Setelah sekian lama 'mengulangkaji' novel IMAM karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, akhirnya saya sampai juga ke halaman terakhir pada jam 1:55 petang hari ini. Saya menyalahkan diri sendiri kerana terlalu banyak penangguhan berlaku sepanjang membaca IMAM. Sikap ini tidak baik untuk dicontohi ya.
Saya ini bukanlah seorang yang arif mahupun sasterawan atau apa. Apa yang ingin saya sampaikan hanyalah daripada seorang pembaca terhadap bahan bacaan yang dibaca. Saya tertarik untuk membaca novel Imam setelah membaca Konserto Terakhir selain sinopsis dan tajuknya yang unik.
Saya sangat respek kepada penulis kerana berjaya menyampaikan mesej kepada pembaca seperti saya. Syabas saya ucapkan kerana Abdullah Hussain bukanlah seorang yang berstatus 'imam' atau 'ustaz' tetapi beliau mampu menghasilkan sebuah novel Islam seperti imam. Membaca novel ini seperti saya membaca tulisan seorang ulama!
Novel Imam bagi saya sangat menyentuh hati. Ia mengisahkan tentang perjuangan seorang imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri. Namun ia mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri. Imam Haji Mihad didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Saya dapat mempelajari bagaimana tugas seorang imam. Bukan sekadar mengimamkan solat, malah imam juga menyelesaikan banyak hal yang berkaitan agama.
Sesungguhnya bahasa melayu itu sangat indah. Bahasa yang digunakan di dalam novel ini aduhai...sangat mudah difahami, sangat lembut dan berhemah bagi saya. Di awal pembacaan saya sudah dapat agak novel ini sangat bagus. Ibarat membaca buku panduan agama. Banyak hal-hal fardu ain yang kita terlepas pandang, diperbetulkan. Sebagai contoh, cara berwuduk dengan betul dan rukun-rukun di dalam solat. Ya, memang banyak isu tentang solat disentuh. Setiap konflik dan penyelesaian juga dapat disusun dengan baik.
Haji Mihad. Saya amat tersentuh dengan perjalanan hidup Haji Mihad. Ya Allah, Haji Mihad ni sangat baik la. Beliau sangat berhemah dan penyabar orangnya. Setiap tutur katanya melambangkan peribadinya yang santun. Jika dimarah atau dikutuk, beliau sentiasa positif dan berprasangka baik. Saya ingin mencontohi sikap Haji Mihad. Jarang sekali beliau berprasangka buruk terhadap orang lain.
Saya paling meminati bahagian di mana Haji Mihad dipanggil untuk disoal jawab oleh pegawai dari Pejabat agama. Di mana, segala persoalan terjawab dengan penuh tertib. Perbalahan di antara Yang Dipertua bersama dua orang pembantunya dengan Haji Mihad sangat dramatik. Biar seberat manapun soalan itu, Haji Mihad dapat menjawabnya dengan hujah-hujah yang bernas berdasarkan pengalamannya semasa menuntut ilmu.
Tetapi, kisah tragis di akhir novel ini sangat menyayat hati. dan sangat-sangat tidak disangka. Semoga ia tidak terjadi kepada masyarakat kita hari ini.
Novel ini begitu sarat dengan nasihat, panduan tentang agama, mutiara kata, hadis dan beberapa pandangan daripada ulama-ulama tersohor. Buku ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan ataupun tanda aras untuk menulis novel berlandaskan dakwah dan Islam jika anda seorang penulis.









