Thursday, 26 January 2012

Mari mengasah pena!

Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian



Menulis???

Seperti sedia maklum, saya sudah lama tidak menulis (tidak termasuk di blog). Kali terakhir saya menulis ketika mengikuti Bengkel Menulis Cerpen Bersama Puan Nisah Haron, di Seremban kira-kira lebih satu tahun yang lalu. Itupun saya menggunakan cerpen yang sedia ada di dalam laptop dan cuma menokok tambah sedikit. Nak yang lagi padat dan betul-betul menulis, empat tahun lalu sewaktu saya menyertai Pertandingan Menulis Esei Integriti Peringkat IPT 2007. Dan saya memenangi tempat kedua! Alhamdulillah, hehe. Tiba-tiba terkenang detik kegembiraan yang lalu. Adoi la, lama dah. Kata orang, kalau kita sudah tinggalkan sesuatu perkara memang sukar untuk memulakannya semua.

Lebih mengejutkan lagi, baru-baru ini saya bersembang dengan seorang teman di laman sembang YM! dan dengan beraninya saya memberitahu teman tersebut bahawa saya sudah malas menulis sebab saya sudah ada komitmen baharu. Ya, saya sudah mula berbisnes. Tempahan kek dan menjahit semakin menjadi-jadi pula sejak kebelakangan ini. Rezeki jangan ditolak, bukan? Menulis juga lubuk rezeki. Seperti seorang teman penulis, Hasni Jamali atau nama penanya Hanna Johan, menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa. Saya sangat kagum dengan beliau, kerana setiap minggu ada saja karyanya yang terbit di majalah dan akhbar mingguan. Tetapi saya memilih untuk fokus kepada bidang yang lebih cerah 'hasilnya'. Bukan menulis tidak untung, cuma saya ni suka main-main ketika menulis. Menulis untuk suka-suka. Biar saya setia dengan hobi membaca saja walaupun sudah tidak menulis.

Pernah saya terbaca status seorang teman di laman sosial facebook. Katanya, seorang pembaca belum tentu seorang penulis. Tetapi, seorang penulis sudah tentu seorang pembaca. Kerana seorang penulis memerlukan bahan bacaan serta kajian untuk menulis. Menurut penulis Puan Nisah Haron pula dalam salah satu entri di blognya yang bertajuk "Penulis itu Pembaca", karya yang baik itu terhasil daripada pembacaan yang baik dan juga mencakupi pelbagai bidang. Ya, dahulu, ketika saya menulis esei integriti, yang saya menang wang tunai dan sijil penghargaan tu..(cewah!) saya juga membaca. Memandangkan saya memilih tajuk "Sistem Pendidikan di Negara Ini Berjaya Memupuk Integriti Masyarakan Berbilang Kaum di Malaysia", jadi saya mengkaji segala aspek pendidikan negara. Antara yang saya ingat, buku rujukan Sejarah tingkatan empat dan lima, selain maklumat di internet. 

Penulis lain, seperti Faisal Tehrani sebagai contoh, sewaktu menulis novel kontroversi Sebongkah Batu di Kuala Berang, juga telah membuat kejian menyeluruh mengenai Batu Bersurat Terengganu sebelum menulis. Boleh lihat di halaman akhir novel tersebut dimana terdapat beberapa rujukan dan sumber bacaan. Kemudian, penulis Sri Rahayu Mohd Yusop di dalam novelnya Kasih Nan Agung, (boleh baca ulasan saya mengenainya di sini) telah mememenagi tempat pertama hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008, sudah tentu membuat kajian mengenai teori Darwin terlebih dahulu sebelum menulis. Saya sangat-sangat suka novel ini dan memang patut layak menang. Pucuk pangkalnya, seorang penulis itu memang perlu membaca untuk menghasilkan karya yang baik.

Kita berbalik semula kepada tajuk entri ini. Saya rasa tiba-tiba terpanggil untuk menulis semula. Wah! Itu satu perkhabaran yang bagus. Sebab apa? Sebab mahu menang hadiah wang tunai. Sayembara ini merupakan salah satu langkah untuk memartabatkan sastera Malaysia. Hadiah yang lumayan bagi saya adalah untuk menggalakkan penulis muda terutamanya untuk lebih serius dalam bidang ini. Lagipun, sudah lama kita tidak ada sayembara besar bagi mengiktiraf karya satera. Sayembara kai ini pula dikhususkan kepada penulis muda  berumur 45 tahun dan ke bawah.

Untuk kategori cerpen dan puisi, minimum 10 buah cerpen yang belum pernah terbit di mana-mana mahupun di blog dan tarikh tutupnya 31 Julai 2012. Untuk kategori puisi pula, minimum 30 buah puisi dan tarikh tutupnya 31 Januari 2013. Untuk info lebih lanjut, boleh baca di laman web ITNM.

Cabarannya untuk saya adalah, mampukah saya menghasilkan 10 buah cerpen dalam masa lima bulan bermula dari sekarang? Sedangkan, sebuah cerpen saja saya pernah tulis hampir setahun sebab banyak bertangguh dan malas. Ah, ingat...dahulu ketika menghasilkan esei IIM, saya menulis tidak sampai sebulan sebab saya mahukan hadiah wang tunai. Tapi, itu dulu. Ya, dahulu. Ketika saya menulis untuk menang.

Tiba-tiba saya teringat kata SN Abdullah Hussain, penulis novel Interlok dan Konserto Terakhir, menulis dengan tujuan untuk mendapatkan hadiah sama seperti orang yang mengerjakan solat mengharapkan pahala. Adoi!

P/s: Tepuk dada tanya selera. Selamat menulis buat teman-teman semua!

Sunday, 8 January 2012

Barang yang haram memang sangat laku

Tajuk entri kali ini tentang benda yang haram. Apakah yang haram sejak kebelakangan ini? Salah satunya adalah novel Sebongkah Batu di Kuala Berang karya Faisal Tehrani. Saya sudah membaca novel ini, sila baca ulasan novel di sini

Saya jelaskan sedikit di sini kenapa novel tersebut diharamkan oleh JAKIM. Novel ini diharamkan penerbitannya kerana tulisan Faisal Tehrani di dalam novel tersebut terdapat unsur-unsur Syiah di dalam novel. Apa itu Syiah? Sila baca di sini. Saya petik sedikit petikan dari beberapa blogger, seperti Fandy Taher

"...hal pengharaman itu punya kaitan dengan tulisan Faisal Tehrani di dalam novel ini pada muka surat 52 - 57. Mungkin. Mungkin dijadikan alasan buat diharamkan."

Tambah beliau lagi,

"Saya seronok membaca novel ini sehingga tak terasa apa-apa yang haram dengannya. Mungkin pihak yang bertanggungjawab mengisytiharkan haram mempunyai sisi bacaan yang berbeza, sehingga nampak perkara-perkara yang sesat lagi menyesatkan di dalam novel ini."

Saya sendiri tidak tahu sisi manakah yang haram. Saya sangat kagum terhadap penulis kerana dapat menghasilkan sebuah karya fiksyen yang saya kira beliau membuat kajian mendalam untuk novel ini. Tetapi sayang, hasil titik peluh beliau tidak dihargai sesetangah pihak. 

Kemudian, blogger Sudu Garpu pula berkata:

"...pihak yang bertanggungjawab di dalam soal pengharaman buku ini wajiblah menyatakan sebab penarikan dengan hujah serta bukti dan terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian."

Saya terpanggil untuk mengisukan hal pengharaman ini. Buku diharamkan sebab terdapat unsur-unsur atau baris ayat yang boleh penyelewengkan akidah pembaca Muslim.

Pada pendapat saya, sebagai contoh. Saya memang peminat setia Harry Potter. Sedia maklum, cerita Harry Potter sememangnya mengarut dan karut sama sekali. Tetapi kenapa saya membaca buku tersebut dan buku tersebut tidak pula diharamkan penjualannya di Malaysia kalau benar buku tersebut terdapat unsur yang boleh menyesatkan dan menyelewengkan akidah? Harry Potter seorang ahli sihir terkemuka, mengamalkan jampi serapah, bertarung nyawa untuk menyelamatkan keadaan, sekolah ahli sihir Hogwarts, penyapu terbang, sihir Avada Kadavra, selimut halimunan dan sebagainya. Bukankah itu semua karut!

Tetapi, lihat saja peminatnya di seluruh dunia. Kita lihat di Malaysia sajalah, tak payah seluruh dunia. Ada tak pembaca fanatik Harry Potter yang beragama Islam di Malaysia sekarang ni telah tersesat? Terpesong agamanya dengan jampi serapah kononnya mahu menjadi ahli sihir terhebat di dunia. Ada tak? Saya belum pernah dengar berita tentang itu. Maaf, kalau ada yang tersesat tetapi saya yang tidak tahu.

Situasi ini sama saja dengan novel Sebongkah Batu di Kuala Berang. Kita rasa seronok membaca novel tersebut, cerita tentang kerenah artis Malsuysia. Saya tidak rasa apa-apa yang haram. Berlainan Harry Potter, apabila terbaca sesuatu baris yang karut dan todak releva, secara automatik saya akan berfikir, "Ish, karutlah. Mana ada macam ni kat dunia ni." Lihat! Kita sendiri yang akan menilai baik buruk sesuatu buku itu.

Kepada anda yang belum mendapatkan novel ini, silalah berbuat demikian. Menurut Puan Ainon dalam satu artikel di malaysiakini kos penerbitan Sebongkah Batu di Kuala Berang sudah pulang modal. Masih terdapat baki stok dalam gudang PTS. Jadi, apa tunggu lagi. Selalunya, barang yang haram ni memang cepat laku. Kita lihat saja Interlok suatu ketika dahulu. 

Apapun yang kita semua baca, pokok pangkalnya adalah hati. Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu yang menciptakan. Kata orang, kita adalah apa yang kita baca. Mungkin 50- 50. Tidak semua yang begitu. Kalau kita baca buku agama, ya. Kita baca dengan kusyuk dan beramal dengan pembacaan. Kalau kita baca buku cerita hantu, tak kan kita nak jadi hantu? Hati dan akidah yang menentukannya. Yang penting niat kita baca buku itu untuk apa. Sila baca di sini berkenaan artikel yang pernah saya tulis tentang 'Anda adalah apa yang anda baca'.  

Sekian. Maaf jika ada yang tidak puas hati dengan tulisan saya kali ini.

Monday, 2 January 2012

Dua ribu dua belas dan Ustaz Azhar Idruz

Kira-kira lebih tujuh puluh ribu yang hadir mendengar ceramah Ustaz Ahar Idrus di Dataran Shah Alam, malam tahun baharu yang lalu. Selepas mendengar pengumuman itu, saya jadi teruja dan bersemangat untuk duduk mendengar ceramah sehingga habis.

Apa yang ingin saya ceritakan di sini adalah keperbezaan sambutan tahun baharu di Dataran Shah Alam dengan tempat-tempat yang lain. Kebiasaanya, sambutan tahun baharu sinonim dengan konsert dan bunga api. Tetapi, berbeza untuk hari itu. Acara pada malam itu berkonsepkan Islamik dan santai. Tidaklah terlalu sarat dengan ceramah agama seperti kebiasaan.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu dakwah oleh beberapa artis. Kemudian, Ustaz Ahar Idrus naik ke pentas bersama Zizan Raja Lawak sebagai tukang baca soalan. Saya mengambil tempat di bahagian hadapan pentas bersama seorang kawan. Kawan saya sangat teruja dapat melihat UAI. Sehingga pulang ke rumah, tak habis-habis bercerita tentang keterujaannya.

Antara soalan yang dikemukakan malam itu adalah, 'memakai tudung itu tak wajib, yang wajib adalah menutup aurat'. Alhamdulillah, UAI dapat menjawab soalan dengan baik dan jelas. Kemudian, soalan berkenaan alat muzik, benarkah ia najis? Jawapan UAI: boleh sekadar untuk berhibur, tetapi jangan sampai jadi najis. Maksudnya, jangan terlalu leka sehingga melalaikan. Terdapat banyak lagi soalan-soalan yang menarik. Dan kalau masih ada lagi yang tak kenal dengan UAI, rajin-rajinlah buka YouTube. 


Tiba detik countdown tahun baharu 2012, tiada laungan 10 hingga 1 dan tiada  juga tembakan bunga api, sebab kata UAI, itu suatu pembaziran duit rakyat. Lebih baik sedekahkan ke rumah anak yatim atau hulurkan bantuan kepada pihak yang lebih memerlukan. Jadi, kami semua sambut dengan nyanyian Asmaul Husna. Diikuti dengan bacaan doa tahun baharu oleh UAI.

Selepas malam tahun baharu, ramailah yang bercerita di Facebook berkenaan UAI. Dan secara tiba-tiba UAI menjadi fenomena di Facebook, YouTube dan perbualan seharian bersama teman-teman. Rata-rata yang hadir malam itu adalah muda mudi bertudung labuh dan berkopiah. Alhamdulillah, sejuk mata memandang. Persis ceramah PAS! Selamat tahun baharu semua. Jangan lupa tanamkan azam dan kalau ada yang tertunggak, settlekan terlebih dahulu. Semoga berjaya 2012. Ok, peace with love, takbir!


P/s: Kata kawan saya, ini barulah nampak macam negara Islam!