Monday, 13 December 2010

Membaca itu perlu berfikir

Saya ingin bertanyakan soalan ini kepada anda, samaada anda penggemar buku ataupun tidak. Perlukah kita menghabiskan suatu pembacaan itu sesegera mungkin?

Saya cukup hairan, kenapa sesetengah pembaca gemar menghabiskan bacaannya dengan cepat. Boleh jadi dua hari sudah boleh khatam. Bagaimanakah cara anda membaca? Membaca dengan mata kepala atau membaca dengan mata hati?

Saya kira, bukankah membaca sambil berfikir dan menilai kebenarannya adalah lebih bagus faedahnya. Kadang-kadang saya pelik dengan sesetengah golongan pembaca. Saya pelik dan tidak faham dengan kaedah pembacaan mereka.

Mereka begitu bangga bercerita, kononnya dalam satu bulan mereka boleh membaca sekian-sekian banyak buku, majalah atau bahan bacaan lain. Mungkin juga merasakan dirinya hebat, boleh membaca dengan pantas. Ingat ya, seseorang yang berjaya menghabiskan bacaannya dengan sesegera yang mungkin belum tentu sudah dapat menguasai ilmu yang dibaca sedalam yang mungkin!

Alangkah bagusnya jika mereka menghitung sudah berapa banyak perubahan yang telah dilakukan bertitik tolak dari pembacaannya. Kiranya, berapa deras pembacaan kita seiring dengan seberapa pantas ilmu dari buku tersebut diperolehi. Bukan sekadar, "Semalam aku tidak tidur dan tidak makan kerana mahu membaca secepat mungkin"

Seorang hukamak pernah menyebut begini,

"Rugilah hidup manusia jika tidak menjadi pembaca. Rugilah pembaca jika dia tidak berubah dengan pembacaannya. Dan rugilah orang yang berubah jika dia tidak beristiqamah dengan prubahannya."

Tidak sedarkah anda, sebaik sahaja menutup sesuatu bahan ilmu dan sesegera itu otak menjadi kosong semula. Tidak meninggalkan sebarang kesan pun daripada apa yang telah dibaca. Sayang bukan?

Saya ingin menceritakan fenomena novel cinta dalam kalangan remaja. Sudah tentunya selepas menutup buku, mereka hanya peroleh khayalan semata-mata. Betapa indahnya bercinta dengan seorang pemandu kapal terbang. Betapa indahnya jika bercinta dengan seorang jejaka yang punya BMW 3 Series. Betapa indahnya beristerikan seorang yang cantik, berambut ikal, pipi gebu bak pauh dilayang. Ah, itu semua hanyalah keindahan sementara.

Tetapi inilah yang selalunya terjadi. Usai membaca novel-novel contoh seperti tadi, pembaca tidak kemana. Pemikiran kekal di takuk lama. Tidak berkembang dan otang pun tidak boleh berfikir secara meluas.

Sesungguhnya pertambahan usia itu mengajar kita erti kedewasaan. Kini, saya lebih bijak memilih buku. Sebelum membeli, menilai terlebih dahulu isi kandungan serta penulisnya sekali. Jadi, jika ingin membeli buku, carilah buku yang betul-betul bermanfaat dan boleh memberikan sumbangan dalam kehidupan seharian.

Sambil membaca, berfikirlah dan mengkajilah. Sesudah membaca, amalkannya dan lakukan perubahan yang positif.

4 comments:

AdH said...

Salha, mungkin ada yang membaca sekadar melepaskan tekanan. Contohnya saya suka baca buku kanak-kanak atau komik sewaktu tekanan. Sudah tentu bacaan yang dibuat juga pantas. Hehe.. (boleh masuk dalam kategori ni ke?)

Siti Salha Rosman said...

Owh...kalau buku komik tu rasanya tak termasuk dalam senarai. Sebab, buku yang memerlukan pembacaan yang mendalam ni selalunya buku-buku agama, atau novel sastera yang berat, yang sarat dengan pengajaran. Atau juga novel-novel lain yang bermanfaat, novel cinta barangkali.

Imran Arjuna said...

Baca cepat atau lambat itu pilihan masing-masing, ikut keserasian individu. Saya ada kawan yang mampu menghabiskan buku sepantas 3 hingga 4 jam dan lebih penting dapat pula "menguyah" isi kandungan buku yang di baca. Kadang kala jauh lebih baik dari yang baca lambat kononnya untuk lebih memahami.

Pada saya itu semua terletak pada individu, pada keserasian mereka terhadap gaya pembacaan. Ada benarnya buku di baca dengan pantas kerana masih banyak menunggu giliran untuk di baca. Ulat buku mengejar masa untuk membaca kerana terdapat banyak buku yang menunggu giliran di kunyah dan di hadam isinya.

Janganlah di persoalkan cepat atau lambat mereka membaca kerana saya pasti mereka mendapat sesuatu dari apa yang mereka baca.

Siti Salha Rosman said...

Mungkin juga terpulang kepada individu. Mana yang mempunyai pemikiran yang genius mungkin boleh khatam buku setiap hari. Tetapi, pada saya agak mustahil. Hehe. sebab saya banyak urusan selain membaca. Membaca sekadar mengisi masa terluang.

Sehingga sekarang, saya masih tak faham, bagaimana seseorang boleh membaca sebegitu pantas. Hmm...