Thursday 23 December 2010

Sehangat Bara Cinta Canberra


Ini adalah karya ketiga daripada penulis Ilham Hamdani, yang telah menjadi milik saya kesemuanya, klik untuk membaca entri buku sebelumnya. Kalau dahulu, penulis pernah 'membawa' saya ke negara matahari terbit, Jepun dengan novel bertajuk Hidayah Cinta. Kini, sekali lagi penulis membawa saya 'melancong' ke negara Kanggaru, Australia.

Penulis membawa saya menyoroti suasana di Canberra, saya membayangkan seperti Putrajaya. Kerana Canberra adalah sebuah daerah pentadbiran yang tidak terlalu sibuk. Memang betul-betul dapat mengimaginasikan. Sungguh musim bunganya, musim sejuknya, musim panasnya...alangkah cantik dan indah!

Cukup perihal keindahan Canberra. Seperti biasa, penulis masih mengekalkan figura lelaki sebagai watak utama, Ikmal Hakimi. membaca novel ini ibarat membaca diari seorang lelaki. Ya, sebelum ini saya banyak membaca 'diari seorang perempuan'. Jadi, sesekali membaca luahan hati lelaki apa salahnya. 

Menceritakan Ikmal Hakimi yang mendatangi daerah gumtree, negeri selatan, Canberra kerana kekecewaan yang dialaminya. Ikmal cuba mencari cinta yang benar, yang sahih, cinta Tuhan. Kata Makcik marwa, "Carilah cinta Tuhan, nescaya kamu akan berjumpa dengan cinta hamba."

Novel ini juga sarat dengan mutiara kata dan motivasi yang begitu mendidik. Sesuai degan watak Ikmal Hakimi yang berputus asa dan membawa diri ke negara orang. Betapa tinggal di negara asing itu dugaannya sangat besar. Kalau tiada iman yang teguh mudah saja rapuh dengan cubaan persekitaran!

"Kekuatan dan kepandaian manusia bukannya terletak pada usaha manusia semata-mata, tetapi sejauh mana hubungannya dengan Rabb, Tuhan yang menciptanya."

Penulis banyak menyedarkan saya tentang 'khasiat' sesebuah buku. Katanya, jika membaca perlu berfikir dan selepas membaca amalkanlah serta beristiqamah dengan amalan itu. Gunakan ilmu yang terdapat di dalam buku sebagai rujukan dan melakukan perubahan positif. Jangan terlalu tergesa ketika membaca. Sebelum ini, saya membaca sebab cepat nak habis. Selepas habis baca, tutup buku, simpan semula. Dari situ kita tidak dapat input apa-apa daripada sesebuah buku. Itu sangat membazir. Untuk ulasan lebih lanjut, baca: Membaca itu perlu berfikir.

Di dalam novel ini, saya pelajari bahawa, perkara yang tidak pernah buat, jika istiqamah, lama-kelamaan boleh menjadi amalan rutin seperti watak Ikmal Hakimi yang membuat solat malam sebagai rutin selepas mendapat hidayah dan diketemukan dengan seorang sahabat, Izzudin Al-Qasam.

Membaca perihal riwayat Izzudin Al-Qasam sangat menyentuh kalbu. Sedari detik pertemuan pertamanya dengan Ikmal Hakimi, kita sudah dapat baca bahawa dia sehingga ke akhir hayatnya adalah seorang yang sangat baik dan mulia. Saya suka dengan bahagian bagaimana penulis menceritakan detik-detik menghadapi kematian, saat memandikan mayat, mengkafankan dan mengebumikan jenazah. Duhai...betapa insaf! Sungguh, novel ini benar-benar menyentuh hati seorang hamba. Belum sekali saya membaca novel yang punya peristiwa seperti itu.

Perebutan cinta untuk menakhluki hati Ikmal Hakimi oleh dua orang gadis manis, Nia Suraya dan Melissa Ai Ying Keong, sangat dramatik. Melissa cuba berjinak-jinak dengan Islam demi menambat hati Hakimi. Nia Suraya pula cuba memadam luka lama. Aduh! Betapa dramatik. Dan akhirnya, setelah selesai membaca, tahulah saya siapakah gadis bertudung biru yang menghias kulit depan novel ini.

Seperti novel sebelumnya, saya sangat berharap agar mana-mana penulis yang pernah menulis beberapa buah buku tidak mengulangi cerita, watak dan perwatakan yang sama seperti novelnya yang terdahulu. Saya rasa, ini terjadi lagi kepada penulis yang sama. Daripada Mekar Sakura di Mimbar Cinta hingga ke Hidayah Cinta dan kini Bara Cinta Canberra, ada lagi persamaannya. Bukan apa, saya jadi bosan!

Sebagai contoh, 
1. Watak Brother Qusai terdapat di dalam Mekar Sakura di Mimbar Cinta dan Hidaya Cinta.
2. Rasanya, nama Makcik Marwa juga diulang di dalam novel ini.
3. Isu Palestin-Israel memang tidak lekang dari ketiga-tiga buku ini. Selalu diungkit dan dibangkit.

Bukan apa, rasanya penulis perlu mencipta pembaharuan. Jangan asyik mengulang peristiwa yang sama biarpun mahu menyampaikan mesej Aman Palestin. Mungkin sesuatu yang baru bagi pembaca yang pertama kali membacanya, tetapi tidak bagi saya yang sudah menjadi followernya sejak tulisan pertamanya.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada penulis kerana memberitahu saya tentang banyak perkara. Tentang buku yang perlu dimanfaatkan dan perlu diamalkan ilmunya serta istiqamah. Tentang kelebihan solat malam. Biarpun sekali seumur hidup sudah memadai, tetapi alangkah bagus jika diamalkan selalu. Tentang mengingati mati dan proses menguruskan jenazah, memandikan, mengkafankan, solat jenazah dan mengebumikan. Oh Tuhan, semoga insafnya bukan sekejap.

Akhir sekali, jika kamu mencari cinta hamba, mencari pasangan...carilah cinta tuhannya terlebih dahulu. Nescaya, setelah mendapat cinta tuhan kamu akan berjumpa dengan cinta hambaNya. Alangkah! Alangkah indah mencintai Tuhan.

No comments: