Wednesday 31 May 2017

Projek Pendidikan Semporna

Alhamdulillah. 

Pada 19 hingga 21 Mei yang lalu, aku telah mengikuti team TFTN menjayakan Projek Pendidikan di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah. Projek ini adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran pendidikan kepada penduduk dan anak-anak Bajau Laut tanpa negara yang tinggal di  atas air, persisiran pantai Semporna kerana rata-rata anak-anak di situ tidak mempunyai pendidikan asas, senang cerita tidak bersekolah. Jadi, lawatan pertama ini adalah untuk mengenalpasti status pendidikan anak-anak di sana.

Bajau Laut

Sedikit latar belakang mengenai masyarakat Bajau Laut. Masyarakat Bajau Laut adalah sebuah komuniti besar yang tinggal di atas air di sekitar laut daerah Semporna. Komuniti Bajau Laut ini juga dikenali sebagai Sea Gypsi atau orang laut kerana kehidupan mereka yang sangat bergantung kepada laut. Mereka tinggal di dalam bot atau pondok kecil yang dibina di atas air dan sering berpindah randah di perairan Filipina dan Indonesia. Sejak kecil mereka telah dididik dengan budaya hidup atas air. Mereka juga sangat dikenali sebagai perenang dan penyelam yang handal di dunia disebabkan cara hidup tradisional di atas air. Kehidupan daif di atas air ini membuatkan anak-anak komuniti Bajau Laut tidak bersekolah dan kurang kesedaran pendidikan selain status mereka yang tidak mempunyai warganegara kerana tiada sijil kelahiran yang sah dan kehidupan yang berpindah randah. Disebabkan itu, merka tidak mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Kehidupan mereka sangat jauh dari kemodenan dan kecanggihan teknologi yang terdapat di Malaysia.

Projek Pendidikan Semporna

Jadi, kami telah pergi ke salah sebuah kampung di Semporna iaitu Kampung Bangau-Bangau. Kampung ini terletak di persisiran pantai Semporna, jadi sedikit mudah untuk kami melakukan aktiviti. Kedatangan kami ke sana adalah bertujuan untuk membantu anak-anak stateless yang tidak berpeluang untuk ke sekolah dan mendapat pendidikan asas dan juga membina sebuah perpustakaan mini.

Pada mulanya, tujuan aku mengikuti TFTN ke Semporna adalah kerana ingin pergi ke Pulau Bohey Dulang. Ya, memang itulah niat asal aku. Dari dulu lagi nak pergi Bohey Dulang tapi belum berkesempatan. Jadi, bila TFTN cakap nak buat projek dekat sana terus aku bagi nama tanpa berfikir panjang. Dah la last minute pulak tu. Waktu tu baru je beberapa minggu pulang dari Long Busang.

Selepas membeli tiket kapal terbang dari Air Asia, aku terus bersiap sedia dengan membuat sedikit kajian berkenaan Kampung Bangau-Bangau yang akan kami lawati nanti. Selain itu, aku juga dijemput masuk ke dalam satu grup Whatsapp yang akan membincangkan mengenai projek di sana.

Dari grup Whatsapp itu, aku mulai sedar akan misi ini. Ini adalah misi kemanusiaan yang terlupakan. Mereka sering kali mengingatkan di dalam grup bahawa, anak-anak di sana perlukan kita. Kehidupan mereka teruk. Sangat daif, kotor dan miskin. Masalah sosial berleluasa. "Nanti korang datang sana korang tengok la sendiri keadaan mereka." Begitu kata Ishak, CEO TFTN. Dari situ, aku mula membetulkan niat. Bukan ke Semporna untuk Bohey Dulang semata-mata, tetapi untuk memberikan kesedaran pendidikan kepada mereka.

Jumaat, 19 Mei 2017

Syuuuuuuuu......
Pada hari Jumaat, 19 Mei 2017 jam 12.30 petang, aku bertolak ke KLIA2 dari tempat kerja di Bandar Baru Bangi. Aku bawa satu bagpack besar dan satu beg galas kecil. Di sana, aku bertemu dengan Ishak, Nina dan Faris. Kami berempat saja dari KLIA. Tiga orang lagi gerak dari Johor. Selepas check in bagasi kami menunaikan solat jamak Zuhur-Asar dan kami makan KFC sekejap sementara menunggu waktu berlepas. Penerbangan kami petang tu adalah pukul 4 petang. Kali ni dapat seat tepi tingkap, seronoknya!

Semporna, 10.00 malam

Kami tiba ti Tawau Airport pada jam 6 petang. Di sana, kami bertemu dengan Nadhia, Naqibah dan Zunnu yang gerak dari Johor dan Mukmin Nantang dari Kota Kinabalu. Kami berlapan disambut Jamal Amdus iaitu setiausaha Masjid Nur Hidyah yang terletak di kampung Bangau-Bangau. Dari airport, kami menaiki teksi dan kereta sapu untuk ke Semporna. Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam lebih.

Tiba di Kampung Bangau-Bangau pada jam 10 malam, kami disambut pula oleh beberapa AJK Masjid dan dua orang gadis, Anis dan Farhana yang berusia 18 tahun. Waktu tu malam, gelap. Jadi, aku hanya melihat samar-samar pintu gerbang ke Kampung Bangau-Bangau dan titi yang kami lalui untuk ke perkampungan atas air itu. Nampak air laut yang pudar, tak tahu dalam atau cetek. Meriah betul kampung ni waktu malam. Sudah pukul 10 malam masih ada yang berkeliaran di luar rumah. Kami  singgah di Masjid Nur Hidayah yang juga merupakan tempat berlangsungnya program kami sepanjang tiga hari, kami dihidangkan dengan makan malam sederhana berupa bihun sup dan kuih muih. Selepas berbual-bual sedikit mengenai pergerakan esok, kami bersurai ke tempat tinggal.

Menu malam pertama di Semporna
Sepanjang tiga hari di sana, kami tinggal di masjid. Malam tu selepas makan malam, kami mengekori Farhana untuk menumpang mandi di rumahnya yang terletak tidak jauh dari masjid. Pada mulanya, semacam seram juga berjalan di atas titi bertiang kecil ni, tapi bila melihat masyarakat di sini selamber je jalan siap berlari-lari, jadi aku gagahkan juga kaki ini melangkah. Selepas mandi, aku bertanya kepada Farhana ada tong sampah atau plastik sampah tak. Kemudian, dia menjawab dalam keadaan terpinga-pinga, "Tiada plastik sampah. Biasa kami buang terus ke laut."

Sungguh terkesima aku mendengar jawapan itu. Ya Allah, benda yang basic macam ni pun tak ada kau fikir apa? Kritikal tak kritikal kehidupan di sini. Baru malam pertama aku di sini, tak tahu kejutan apa lagi yang aku akan terima untuk dua hari akan datang.

Kampung Bangau-Bangau, 20 Mei 2017

Sarapan pagi yang dibeli di gerai-gerai yang terdapat disepanjnag lorong-lorong perkampungan Bangau-Bangau
Selepas solat Subuh dan bersarapan, pagi tu kami adakan sesi temuduga bersama anak-anak di sini jam 10 pagi. Tatpi, mereka telah menunggu kami seawal jam 7.30 pagi, sedangkan kakak dan abang sukarelawan turun lewat dek kepenatan. Ada antara mereka yang hadir ke masjid lengkap berpakaian kelas kafa, berbaju Melayu putih lengkap bersampin coklat. Aku tanya, kenapa berbaju sekolah? Hari ni sekolah ke? Jawapan mereka, "Tidak sekolah. Ustaz yang suruh pakai datang ke kelas kamu."

MasyaAllah, bersungguh betul anak-anak ini.

Kami kumpulkan semua anak-anak mengikut peringkat umur. Fokus kami adalah mengenalpasti anak-anak yang tidak boleh membaca, menulis, mengira dan juga mengenalpasti anak-anak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Jai, kiri berbaju oren bersama teman-temannya
Mengikut catatan di dalam buku sewaktu aku menemuduga anak-anak syurga ini, Jai yang berumur 12 tahun dan tidak bersekolah  kerana tidak mempunyai sijil kelahiran hanya mengenali huruf A hingga Z sahaja. Tidak boleh mengeja dengan betul apatah lagi membaca. Jai hanya menerima pendidikan agama dari kelas kafa yang dibuat di masjid. Sepanjang berada di sana, aku tak pernah nampak Jai tanpa kopiah lusuhnya.

"Nanti kamu datang lagi ke sini ya?" Pesannya kepada ku sepanjang berada di sana. InsyaAlla, jika diizinkan Tuhan, aku mahu ke sini lagi Jai.




Setelah mengenalpasti anak-anak yang memerlukan pendidikan, kami merangka sebuah kelas khas seramai 10 orang anak-anak yang tidak boleh membaca. Kelas ini akan diterajui oleh Anis, anak muda berusia 18 tahun yang akan meneruskan kelas membaca setiap minggu dengan harapan agar jumlah itu meningkat dan lebih ramai sukarelawan yang berminat untuk sertai.

Sawifah, 18 tahun, tidak bersekolah
Atas ni adalah Sawifah. Dia menggelarkan dirinya Sawi. Sawi berumur 18 tahun pada tahun ini, sebaya dengan Anis. Anis berjaya menamatkan persekolahan sehingga SPM. Manakala Sawi tidak pernah bersekolah malah tidak mengenali huruf dan mengeja langsung. Sungguh menyedihkan. Waktu tu, Cikgu Zunnu sedang membuat ujian pegenalan huruf kepada Sawi. Semoga Sawi dapat dibantu dan semoga nasibnya berubah dan dapat mengubah nasib anak-anak Kampung Bangau-Bangau.

Selepas melakukan aktiviti bersama anak-anak Kampung Bangau-Bangau, kami membina sebuah perpustakaan mini di masjid. Buku-buku sumbangan yang kami bawa bersama dari KL kami letakkan di situ. Seronok betul anak-anak di sini dapat buku. Kami berhasrat untuk mengumpul dan menambah bilangan buku pada lawatan akan datang.

Rak terpakai yang sedia ada di surau, kami ambil dan baiki

Belum sempat susun buku-buku ni dah kena sambar. Alhamdulillah.
Petang tu, kami meluangkan sedikit masa untuk bersiar-siar di sekitar kampung. Benar kata Ishak, "Kau datang dan tengok sendiri ekadaan mereka di sana." Keaadaan perkampungan ini sangat daif, kotor dan tidak terurus. Tidak seperti rumah-rumah di darat yang lebih tersusun dan selesa. Sampah kelihatan terapung-apung di permukaan air. Lebih mengejutkan, sistem pembuangan mereka juga dibuang terus ke laut. Kau buang air dan jatuh terus ke laut. Kemudian, sisa tu terapung di dasar. Persis Slumdog Millionaire! Allahuakhbar, sadis betul.

Longgokan sampah-sarap di tepi pantai. Dan lihat anak kecil itu???!
Selain isu pendidikan yang kami bawa, ada satu lagi isu lain yang lebih penting iaitu kebersihan. Serius, terkejut dengan budaya buang sampah terus ke laut yang diamalkan oleh masyarakat di sini. Sedih dan marah sebenarnya. Kesian dekat ikan dan hidupan laut yang lain.

Anak-anak di sini sejak lahir sudah diajar berenang dan tempat paling mudah untuk bermain air adlaah di bawah rumah! Mereka memang tiada perasaan langsung ketika bermain air di tepi sampah dan longgokan najis. Mereka hanya tahu seronok.Ya, sebagaimana kita merasa seronok bermain air di theme park, begitulah juga perasaan meraka di situ.


Kepadatan penduduk di perkampungan atas air ini menjadikan sampah yang terhasil sangat banyak. Aku tertanya-tanya di dalam hati, di manakah menteri yang sepatutnya memainkan peranan dalam isu kebersihan ini? Majlis perbandaran, ketua kampung semua pergi mana? Tiada tong sampah disediakan. Sehinggakan anak-anak di sini kata, "Kamu kena biasakan dengan budaya di sini." Aduh, kita pula yang kena.

Mentaliti mereka masih boeh diperbetulkan lagi kalau kiat bantu dan beri peluang kepada anak-anaak syurga ini. Kalau yang tua sudah terlambat, yang kecil masih belum terlewat.




Naik bot tambang seringgit sorang.
Pekan Semporna

Selepas bersiar-siar sekitar kampung, kami meniki bot untuk ke pekan. Saja, jalan-jalan melihat ragam manusia di Semporna. Kemudian, kami singgah makan malam di sebuah gerai tepi jeti. Sambil makan dan merasai suasana petang yang redup, kami teruja melihat sekumpulan anak-anak sedang asyik terjun ke dalam laut sambil berenang-renang. Hebat betul anak-anak ni membuataksi terjunan. Ada video yang sempat aku rakamkan di bawah.


Menurut Jamal, kebanyakan penduduk di situ adalah dari suku kaum Bajau Laut. Asal usul mereka adalah orang asal yang singgah dari perairan Filipina dan Indonesia ratusan tahun yang lalu kemudian menginap di situ menjadikan perairan laut Semporna sebagai penempatan. Ciri kewarganegaraan mereka diragukan dan disebabkan hal itu anak-anak yang lahir tidak dapat didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Anehnya, kewarganegaraan mereka dinafikan tetapi mereka dibenarkan tinggal di situ berpuluh malah ratusan tahun. Anak-anak tidak dibenarkan bersekolah, hak pendidikan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan mereka dinafikan. Jadi, mereka sebenarnya apa? Warga asing yang datang tinggal di Malaysia lima tahun pun boleh buat Kad Pengenalan apatah lagi mereka ini.

Menyaksikan keindahan matahari terbenam sambil memikirkan nasib anak-anak Semporna


Ahad, 21 Mei 2017

Pagi tu, kami bangun seawal jam 5.00 pagi. Bersiap-siap dan keluar untuk menembak sunrise di hujung titi perkampungan ini. MasyaAllah, cantik betul pemandangan matahari terbit di Semporna. Sungguh, kau begitu sempurna!

Pagi, 6.30am.


Apabila cuaca sudah agak cerah sedikit, kami dipelawa untuk sarapan di masjid. Sarapan pagi tu berupa kuih muih dan teh o panas. Kemudian, aku jumpa donat keding ni:


Selepas bersarapan dan menyaksikan alam bertukar warna, kami bersiap-siar di sekeliling kampung sementara menunggu bot untuk ke pulau. Setiap pagi, terdapat begitu ramai peniaga yang akan menjual ikan-ikan segar dari laut. Begitu segar dan berwarna-warni. Beruntungnya mereka berumah di atas laut. Sungguhpun makanan laut di Sabah murah, kami tak sempat nak merasa keenakkanya sebab masa terlalu singkat dan tak sempat nak makan angin sangat.


Di waktu pagi seperti ini juga, begitu ramai anak-anak yang bermandi manda di dalam laut. Pelbagai aksi terjunan dilalukan di sana sini. Melihat keadaan yang sangat menarik itu, aku pun mengeluarkan kamera Panasonic Lumix LX3 dan segera mengambil beberapa keping gambar menarik itu sebelum aku tersedar akan sesuatu perkara yang agak mnjengkelkan!

Terdapat tompokan 'bendasing' sedang terapung-apung tidak jauh dari tempat mereka mandi. Tekak aku terus terasa mual lalu beredar dari tempat itu dengan pantas. Kahkahkah. Aku kena gelak dengan kawan-kawan yang lain.

Hai anak-anak.


Mujur aku tak snap sekali gambar 'bendasing' tu.
Kira-kira jam 9.00 pagi, kami bergerak ke jeti untuk menaiki bot menuju ke Pulau Bohey Dulang. Yay!

Belakang sekali tu Farhana, yang kami menumpang mandi di rumahnya. Tengah tu pula adalah Anis. Mereka berdua berkawan baik dan juga kan menjadi sukarelawan untuk Projek Pendidikan Semporna ini.



Trafik di waktu pagi agak sesak dengan perahu yang menurunkan dan menaikkan penumpang.
Sepanjang perjalanan menuju ke pulau yang mengambil masa kira-kira 1 jam, kami melihat perubahan pemandangan daripada kotor kepada bersih. Daripada kekeruhan air kepada kejernihan air laut. Daripada biru gelap kepada biru cair dan kemudian kehijauan. Begitu jernih sehingga boleh lihat terumbu karang di dasar lautan. Gerun juga bila berada di tengah lautan ini.  Begitu berbeza suasana tengah lautan dangan pinggir laut. Pamandangan sampah-sarap yang banyak berlonggok di tepian tadi sudah bertukar menjadi jernihnya air tengah laut.

Sebelum tiba di pulau, sempat juga kami melihat beberapa botol plastik dan polsterin yang dibuang di pinggir pantai tadi terdampar di lautan. Allahu, kasihan sungguh kepada ikan dan hidupan laut yang lain. Lihat video di bawah:


Pulau Bohey Dulang, 10.00am

Alhamdulillah, kira-kira jam 10.00 pagi kami tiba di Pulau Bohey Dulang. Satu-satunya pulau yang aku teringin sangat nak pergi sangat. Pertama kali dapat tahu tentang Bohey Dulang pada tahun 2015 selepas ternampak sekeping gambar yang dimuat naik di dinding facebook. Aku berasa sangat terpegun kerana kecantikan itu terdapat di Malaysia. Lalu, aku menanam azam untuk ke sana suatu hari nanti.

Alhamudlillah, selepas dua tahun berangan, dapat juga aku menjejakkan kaki di sini. MasyaAllah, cantik betul. Seperti dalam gambar-gambar yang aku lihat lewat media sosial.

Alhamdulillah. My dream comes true.

Airnya begitu jernih kehijauan. Terpancar keindahan terumbu karang di dasar laut. Subhanallah!
Starting point
Selepas mengambil beberapa keping gambar dan mendaftar masuk sebagai pengunjung ke Taman Marin Tun Sakaran Semporna dengan yuran RM5.00, kami memulakan langkah untuk mendaki ke puncak bukit Bohey Dulang. Pendakian setinggi 265m yang mengambil masa kurang dari 30 minit bagi aku begitu mudah. Rendah saja bukitnya. Terdapat sederet anak tangga yang agak penat sikit untuk mendaki. Tapi, bila terkenangkan pemandangan yang cantik, makin laju aku melangkah.

Tiba saja di puncak, langsung aku berlari ke hujung dan menjerit! Subhanallah, indah betul ciptaan Tuhan. Bersyukur tak terkata sebab dapat sampai ke puncak Bohey Dulang dan dapat melihat sendiri keindahan lautnya yang jernih hijau-biru.



Terdapat tompok-tompok kecil di sekitar pulau-pulau berdekatan. Keluk dan pulau-pulau itu terbentuk hasil dari letusan gunung berapi suatu masa dahulu. Jika dilihat dari pandangan satelit, kepulauan ini berbentuk bulan sabit. I love those color, tiffany blue and turquoise!

So I say a little prayer and hope my dreams will take me there
Where the skies are blue to see you once again
Over seas from coast to coast
To find the place I love the most
Where the fields are green to see you once again
My love

[Westlife]




Tertinggalkan buku nota di masjid, so tiket flight balik bertukar menjadi kertas doodle haha.

Tiket masuk ke Taman Marin Tun Sakaran Semporna
Selepas menghabiskan masa kira-kira dua jam, kami mula bergerak turun untuk ke destinasi seterusnya iaitu melawat ke pulau-pulau berdekatan. Kami datang ke sini sekadar untuk volunteering, sambil menyelam minum air saja, jadi tiada aktiviti snorkeling. Kami menaiki bot pergi ke 2-3 pulau. Tapi hanya berhenti turun bermain air di Pulau Maiga.

Pulau Maiga, 12.45pm

Di Pulau Maiga, terdapat juga perkampungan di atas air tetapi tidak banyak. Hanya beberapa buah rumah sahaja dan keadaan pantai di sini begitu cantik dan bersih. Mungkin kurang kepadatan penduduk, jadi kurangnya sampah. Oleh kerana pulau ini agak jauh dan sedikit terpencil dari daratan, anak-anak Bajau Laut di sini tidak fasih berbahasa Melayu. Agak susah juga untuk berkomunikasi. Mujur kami singgah tak lama.

Dalam waktu yang singkat itu juga, aku sempat meminjam sebuah perahu kecil milik anak berbaju merah ini (lihat gambar di bawah). Dia ikut saja ke mana aku mendayung walaupun sudah diberitahu jangan ikut. Tak mengapa sebab aku sudah tahu berkayak dan mendayung. Namun tidak diendahkan, dia ikut sambil memegang bucu perahu. Sehingga sudah naik ke atas bot pun dia ikut juga. Rupanya dia nak minta duit. Dia bagi pinjam perahu bukanlah percuma sebenarnya. Kahkahkah.

Ok, pengajaran di situ.




Rumah atas air di sini lebih cantik dan unik.
Bila melihat rumah seperti ini, aku terfikir bagaimanakah cara mereka membinanya?
Tepat jam 1.00 tengahari, kami segera menaiki bot dan segera pulang ke Kampung Bangau-Bangau. Semoga kenangan-kenangan dan ingatan-ingatan yang ternikmat di pulau ini dapat aku sematkan sampai bila-bila.

Kampung Bangau-Banagu, 3.00pm

Selepas mengemas barang-barang dan bersalaman dengan Anis, Farhana, anak-anak Semporna dan beberapa orang penduduk kampung, kami bergerak meninggalkan Kampung Bangau-Bangau yang penuh kenangan itu dengan hati yang syahdu.

Harapan kami semoga Projek Pendidikan Semporna ini dapat memupuk semangat cintakan ilmu dalam kalangan anak-anak stateless Bajau Laut serta mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat luar. Projek pendidikan ini akan dipantau dari semasa ke semasa oleh TFTN.

Semoga kita diizinkan untuk bertemu lagi di lain masa dan usia. Semoga Allah merahmati kamu, Semporna.




Sekian, catatan-catatan suka dan duka di Semporna.

P/s: Jika ada sebarang pertanyaan berkenaan Projek Pendidikan Semporna TFTN ini, boleh hubungi saya melalui emel sitisalharosman@gmail.com

Ikuti facebook Teach For The Needs (TFTN) untuk maklumat dari semasa ke semasa.
https://www.facebook.com/teachfortheneeds/

Saturday 13 May 2017

Kembara Amal Long Busang

Alhamdulillah. 

Pertama kali menyertai kembara amal bersama Jejak Tarbiah. Sebenarnya dari dulu lagi aku dah menanam hajat untuk mengikuti trip Tejak Tarbiah ke Padang mahupun Acheh, tapi masih belum berkesempatan untuk ke sana. Jadi, bila Jejak Tarbiah mengiklankan poster tentang kembara amal ke pedalaman Sarawak, tanpa berfikir panjang aku terus whatsapp Puan Saadiah iaitu founder Jejak Tarbiah untuk mendaftar.

Perkara pertama yang terlintas di fikiran sewaktu melihat poster tersebut adalah, pedalaman Sarawak. Memang teringin sangat nak pergi ke kawasan pedalaman Sarawak ni. Lebih-lebih lagi Sarawak antara negeri di Malaysia yang masih belum aku lawati. Kedua, harga promosi waktu itu agak murah RM800+ berbanding trip ke Padang dan Acheh. Jadi, ini tidak memustahilkan aku untuk pergi.

Sebenarnya, jenuh juga nak cari duit untuk bayar trip ni sebab last minute plan. Aku meminjam kad kredit along untuk membeli tiket kapal terbang berharga RM300+. Baki yuran selebihnya aku bayar menggunakan duit BR1M. Yaaaaaa, mujur waktu tu Najib bagi duit awal. Haha. Jadi, aku gunakan semua duit BR1M tu membayar yuran ke Long Busang. Baki selebihnya bayar gunakan duit poket sendiri. Punya la tragis nak kumpul duit pergi Long Busang ni. Yelah, kerja kerani cabuk je gaji tak besar.

Selepas selesai semua bayaran, barulah teringat untuk memohon cuti. Maklumlah, trip ke Long Busang ni makan masa lima hari. Haha, kena mohon straight lima hari cuti dari Isnin hingga Jumaat. Matilah. Sudahlah aku baru ditukarkan deparment dan baru dua minggu menyesuaikan diri dengan kerja baharu. Alhamdulillah, bos bagi cuti dengan syarat kerja siap!

Ok, selepas mendaftar, kami dimasukkan ke dalam satu whatsapp group untuk saling berkenalan dan berbincang mengenai perjalanan ke sana. Misi kami ke Long Busang adalah untuk membina perpustakaan mini di salah satu rumah panjang di Long Busang. Beberapa hari sebelum berlepas ke sana, aku sempat Google mengenai Long Busang untuk dapatkan sebanyak mungkin maklumat. Khabarnya, kami akan menaiki bot ekspres beberapa jam dan 4x4 untuk masuk ke kawasan pedalaman Long Busang. 

***

20 Mac 2017
KLIA2, 4.00 petang

Hari yang ditunggu telah tiba. Pada hari Isnin, 20 Mac 2017, sekitar jam 2 petang, aku menumpang Afiqah untuk ke KLIA2 kebetulah Afiqah juga dari Bangi. Sebelum ke KLIA2, kami singgah ke rumah Puan Saadiah untuk mengambil beberapa kotak buku untuk dibawa ke sana. Tiba di KLIA2 pada jam 4 petang.

Di sana, kami bertemu dengan Mas Henri iaitu suami Puan Saadiah. Beliau tidak turut serta, sekadar menghantar kami di airport je. Kemudian, kami bertemu pula denga beberapa orang peserta kembara yang lain iaitu Shidi, Nisa dan Nazatul. Aku tak pernah kenal mereka semua ni. Trip kembara ni pun aku redah je memang niat nak berkenalan dengan kawan baharu disamping meluaskan networking hehe.

Selepas selesai urusan check in bagasi dan 13 buah kotak buku, kami ke surau untuk menunaikan solat asar sebentar dan kemudian kembali beratur di balai perlepasan. Penerbangan kami ke Sibu adalah pada jam 6.50 petang.

Sibu, 9.00 malam

Kami tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 9.00 malam. Di sana Ustaz Din telah sedia menunggu kami di lobi airport. Ustaz Din adalah orang yang bertanggungjawab untuk membawa kami kembara ke Long Busang. Beliau adalah seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kapit.

Dari airport, kami dibawa menaiki teksi untuk ke Capitol Hotel, tempat untuk kami bermalam dan melepaskan lelah. Di sana, kami bertemu pula dengan Cikgu Wan, Zaid dan Atiqah. Cikgu Wan adalah seorang pesara guru yang berasal dari Alor Setar. Pada mulanya agak terkejut juga bila ada warga emas yang menyertai kembara ni. Menurut Cikgu Wan,  beliau teringin untuk ke Long Busang selepas terpesona melihat gambar-gambar perkampungan tersebut yang dimuatnaik oleh seorang temannya yang juga seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Long Busang. Guru tersebut juga merupakan kenalan kepada Ustaz Din. Haa, dapat tangkap tak? Kawan kepada kawan. Bagaimanapun, guru tersebut telahpun berpindah ke Semenanjung. Jadi, bila Cikgu Wan dah bersara ni berjalan sajalah kerjanya.  Hehe.

Ok, ni yang rasa tak sabar nak sampai Long Busang!


21 Mac 2017
Terminal Wharf Sibu

Inilah bos ekspres yang kami naik pergi dan balik, Sibu-Kapit dan Kapit-Putai.
Kami bangun seawal jam 5.00 pagi dan bersiap-siap untuk ke terminal jeti kerana mahu menaiki bot pertama pada hari tersebut. 

Untuk ke Long Busang, kami perlu menukar bot dua kali. Sibu-Kapit dan Kapit-Putai. Putai adalah hentian terakhir bagi bot-bot ekspres. Tiket bot ekspres ke Kapit berharga RM35. Pergghh mahal juga harga tiketnya. Bot akan berlepas pada jam 8.00 pagi.

Ini adalah perjalanan pertama saya menggunakan bot ekspres. Botnya agak besar dan panjang. Boleh memuatkan kira-kira 100 orang. Agak teruja dan sedikit rasa gerun di hati sebab tidak memakai life jacket haha. Perjalanan menaiki bot ini akan meredah Sungai Rajang iaitu sungai terpanjang di Malaysia dan juga sungai yang terkenal dengan seekor buaya bernama Bujang Senang. Sepanjang perjalanan menaiki bot ke Kapit yang mengambil masa selama 3 jam itu, saya berbual-bual dengan Afiqah. Afiqah adalah seorang pelajar di Institut Perguruan di Sungai Merab, Bangi. Beliau berasal dari Kota Kinabalu. Seronok betul bersembang dengan orang jauh ni.

Bergambar kenangan sementara menunggu bot ke Kapit



Kapit, 11.15 pagi

Kami tiba di Kapit pada jam 11.15 pagi. Kami perlu turun dan membeli tiket untuk ke Putai yang berharga RM30. Hujan mulai turun sepanjang perjalanan ke Putai yang memakan masa lebih kurang 4 jam sebab terdapat banyak hentian. Penduduk yang tinggal di Putai dan beberapa lagi kawasan berdekatan kebanyakannya membeli barang seperti tong gas, minyak dan beberapa keperluan asas yang lain secara pukal. Jadi, sepanjang perjalanan Kapit-Putai tu banyak la kelihatan kren yang mengangkut tong gas dan tong minyak dari bos.

Tiada pengangkutan darat untuk ke Putai. Jalan darat berakhir di Kapit sahaja. Jadi, pengangkutan bot ekspres ini adalah penting untuk mereka keluar masuk ke pekan untuk mencari bekalan bahan mentah dan ubat-ubatan. Khabarnya, jalan darat ke Putai telah dibina sejak tahun 2012, namun sehingga kini masih belum kelihatan. Road to negara maju katanya. Hmmm.

Bergambar di atas bot. Waktu ni sedang hujan gerimis. Depan sekali tu Ustaz Din, sebelah dia Afiqah dan belakang aku tu Atiqah.



Putai, 3.40 petang

Kami tiba di Putai jam 3.40 petang. Waktu tu sudah ada dua orang pakcik bersama dua buah pacuan Hilux sedang menunggu kami untuk masuk ke dalam perkampungan Long Busang. Kami segera menurunkan beg, kotak-kotak buku, rak buku yang dibeli di Kapit dan beberapa ekor ayam siap proses untuk dimasak bersama penduduk kampung nanti. Terdapat beberapa buah kotak buku yang telah hancur basah mungkin disebabkan hujan atau percikan air sunagi. Silap kami tak wrap elok-elok di KLIA2. 

Tepat jam 4.00 petang, selepas semua barang dibawa naik ke dalam Hilux, kami bergerak menuju masuk ke perkampungan Long Busang dengan menaiki dua buah Hilux. Kami perlukan 4 jam lagi untuk sampai. Bertabahlah. Betul kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan. Kami banyak berselisih dengan lori balak yang keluar masuk menghantar kayu balak ke Putai.


Memunggah barang-barang dari bot masuk ke dalam Hilux
Kawasan perkampungan Long Busang terletak di dalam hutan belantara di kawasan pergunungan.  Berkabus dan sejuk berangin. Jadi, kami perlu menempuh jalan berliku-liku, kadang kala mendaki, kadang kala menurun. Cantik betul pemandangan di sana. Tak lepas tangan ni memengang kamera untuk merakamkan setiap detik.



Sejuk dan berkabus
Sewaktu dalam perjalanan ke Long Busang, kami berhenti di sebuah kilang balak untuk menunaikan solat jamak kerana waktu sudah semakin lewat. Jarak kilang kira-kira dua jam perjalanan dari Putai, lokasi terakhir bot menurunkan penumpang.

Sebelum ke sini, saya sempat Google tentang Long Busang dan ternanti-nanti juga di mana kilang balak yang dimaksudkan. Rasa macam tak percaya sebab ada kilang balak yang besar di tengah-tengah hutan belantara siap dengan sebuah surau kecil. Jauh dari pekan. Bukan kilang kayu ok, kilang batu. Diperbuat daripada simen. 

Kilang Balak
Waktu tu cuaca sudah mulai gelap dan sejuk. Kami meneruskan perjalanan sehingga ke kawasan perkampungan Long Busang sambil disimbahi cuaca sejuk berkabus dan rintik-rintik hujan di sepanjang baki perjalanan. Mujur aku ada bawa windbreaker, cepat-cepat aku keluarkan dan sarung ke badan.



Kampung Long Busang, 8.00 malam

Alhamdulillah, selepas melalui onak dan duri perjalanan, lega rasanya apabila kami ternampak sayup-sayup cahaya lampu dari kejauhan. Tepat jam 8.00 malam kami tiba dan disambut orang kampung yang sedang menanti.

Kami terus dibawa ke wakaf masjid, tempat untuk kami membuat aktiviti sepanjang berada di sini. Di situ, makan malam sudah terhidang. Ada lauk ikan sungai. Menyelerakan sungguh! Kata salah seorang makcik di situ, "Iya, makanannya sudah sejuk menunggu kamu tidak sampai-sampai."

MasyaAllah, terharu betul kami dilayan sebaik itu. 

Usai makan malam, kami yang perempuan ini, dibawa ke rumah panjang milik penghulu kampung. Pertama kali masuk ke rumah panjang ni. Dalam rumah panjang ni terdapat beberapa buah bilik. Ada bilik yang mempunyai bilik air dan ada bilik yang tiada bilik air. Rumah panjang ni diperbuat daripada kayu keseluruhannya. Klasik sangat. Tiba-tiba teringat cerita P.Ramlee, Masam Manis. Macam tu la lebih kurang view dia. Kami bermalam di rumah panjang tersebut selama tiga malam.

Selepas membersihkan diri, tepat jam 11.00 malam generator dipadamkan. Maka, bergelaplah seluruh kampung.

22 Mac 2017
Long Busang

Kami bangun seawal jam 5.30 pagi, bersiap dan bersarapan. Mandi air dari sungai sejuk gila. Selepas sarapan pagi, kami bersiar-siar di sekitar kampung. Sungguh nyaman dan tenteram. Pagi tu barulah nampak rupa sebenar kampung Long Busang. Terletak di pinggir sungai rupanya.

Pertama kali masuk rumah panjang
Kampung Long Busang merupakan kampung pedalaman terpencil di Malaysia. Penduduk di sini  berbangsa Kenyah dan majoriti beragama Islam. Selebihnya beragama kristian. Kami sempat melawat ke Sekolah Kebangsaan Long Busang yang merupakan sekolah P3 iaitu sekolah pedalaman paling dalam di Malaysia. Kami sempat berbual-bual dengan pengawal keselamatan sekolah, pakcik Sulaiman.  Ramah sungguh pakcik Sulaiman ni. Sewaktu kunjungan kami sedang musim cuti sekolah, jadi ramai guru yang pulang ke Semenanjung dan ada juga yang keluar ke pekan. Ye la, siapa yang nak duduk di Long Busang ni tak ada line telefon haha.

Jambatan menuju ke Sekolah Kebangsaan Long Busang yang terletak di atas bukit

Court futsal tu telah dirasmikan oleh KJ sewaktu membuat lawatan rasmi ke sini pada Semptember 2015


Terdapat court futsal yang telah dirasmikan oleh Khairy Jamaludin sewaktu membuat lawatan rasmi pada September 2015. Juga terdapat sebuah Klinik Desa yang turut dirasmikan pada waktu itu, tapi sehingga kini masih belum beroperasi kerana tiada jururawat ditempatkan di situ.

Selepas puas bersiar-siar dan bergambar, oh ya, SK Long Busang terletak di atas bukit. Cantik gila pemandangan dari atas bukit. Bekabus! Kami kembali semula ke rumah panjang untuk memulakan projek perpustakaan mini. Anak-anak di sana rajin metul membantu. Mungkin, mereka suka tetamu yang datang ke sana lebih-lebih lagi kami datang membawa buku.



Seronok murid-muris di sini, setiap hari dapat tengok view cantik
Depan makmal sekolah
Sebelum menyusun buku di rak, kami sempat sorting buku-buku mengikut tajuk dan genre. Terdapat beberapa buah buku yang basa dan lembab, jadi kami keringkan dulu di surau. buku-buku ni semua adalah hasil sumbang orang ramai. Geram pula tengok buku-buku ni, tajuk semua best dan ada yang aku nak beli tapi belum dapat. Takpe, rezeki untuk anak-anak di sini.  Tempat jam 12.00 tengahari, sebuah rak buku telah terbina dan anak-anak ini sangat seronok membaca bersama kami.






Selepas selesai membina perpustakaan mini, kami ke dapur untuk membantu isteri penghulu memasak. Pakcik Sulaiman datang membawa daging rusa. Daging rusa tu dia dapat dari jirannya yang pergi berburu. Orang sinipanggil rusa tu Payau. MasyaAllah, tak pernah makan daging rusa! Lepas tu dia suruh kami masak daging rusa. Haha, itu lawak. 

Alhamdulillah, makan tengahari kami adalah ikan (lagi). Ikan tu nama dia ikan benggalan. Memang antara menu utama bagi masyarakat di sini. Ikan benggalan boleh didapati di tepi-tepi sungai sebelah rumah mereka. Ikan ni banyak tulang. Halus betul tulang dia. Rupa ikan ni macam ikan talapia. memang sedap kalau diratah begitu saja. Daging rusa tadi pakcik Sulaiman masak dua jenis masakan, kicap dan kari. Sedap dan manis rasanya daging rusa ni.

Inilah juadah makan tengahari kami pada haritu
Selepas Asar, kami mengadakan sedikit sukaneka untuk anak-anak di kampung Long Busang. Seronok betul mereka bermain.



Seronok betuk anak-anak di sini melakukan aktiviti bersama kami. Selain bermain, mereka juga suka membaca buku dan gemar bertanya.




Rutin setiap pagi masyarakat di sini adalah menaiki bot untuk mencari hasil di sungai
Kemudian, selepas beraktiviti bersama anak-anak di situ, kami ke wakaf untuk menyediakan makan malam. Selepas Isya, pula, kami sediakan sedikit cenderahati untuk orang kampung yang banyak membantu selama kami di sini.


23 Mac 2017

Aktiviti kami pada hari ini adalah bermandi manda di sungai. Yay!

Bot kecil ni la yang kami nai, seram tak?

Kami telah dibawa menaiki dua buah bot kecil untuk ke Sungai Tanyit. Untuk ke sungai tersebut, kami perlu meredah sungai Rajang yang sangat besar, luas dan dalam. Tuhan saja yang tahu perasaan aku waktu tu. Sudah la tidak memakai life jacket, tak tahu berenang, naik pula bot kecil yang dipandu oleh orang kampung. Alhamdulillah, kami selamat pergi dan pulang walaupun perasaan cuak gila masa bot lalu dekat pusaran air. Rasa nak terbalik bot tu. Sungai Rajang ok. Dalam hati aku tak henti berzikir dan mengucap kalimah syahadah.

Waktu petang, kami semua ke wakaf membantu orang kampung masak untuk juadah makan malam ini iaitu acara penutup kami di sini. Sekali lagi, kami dihidangkan dengan lauk daging rusa. Memang senang nak dapat daging rusa di sini kerana aktiviti orang kampung adalah berburu dan rusa antara haiwan yang selalu terjerat.

Gotong royong memasak bersama penduduk kampung

Ikan benggalan. Tiga hari duduk sana, tiga hari makan ikan ni

Sedang membuat lia akau 
Sewaktu menyediakan makan malam, aku berkenalan denga sejenis sambal yang sangat sedap iaitu sambal lia akau. Sambal ni diperbuat daripada cili api yang ditumbuk sehingga lumat bersama ikan bilis. Kemudian dimasak di atas dapur. Masyarakat di sini makan sambal lia akau bersama timun dan ulam ulaman lain. Lepas tu, salah seorang makcik kat situ tanya, "Kamu pandai masak apa?" Dia suruh aku masak makanan yang jarang dimasak orang di sana. Jadi, aku jawab 'terung balado' kebetulan ada sayur terung di situ. Baru lepas dipetik di belakang surau.

Petang tu, kami jalan-jalan lagi melihat kawasan perumahan di sini pula. Rumah di sini dibina tinggi-tinggi sebab air sungai selalu naik bila tiba musim hujan.





Malam tu kami makan malam bersama penduduk kampung yang terlibat dalam program kami sepanjang tiga hari di sana. Ada lauk ikan benggalan, sup rusa dan terung balado yang aku masak hihi. Usai makan malam, ada Ustaz Din dan penghulu kampung memberikan sedikit ucapan, disusuli acara penyampaian cenderahati.

24 Mac 2017

Kami bangun awal pagi ni dan bersiap-siap untuk pulang. Dua buah Hilux sedang menanti kami seawal jam 6.30 pagi. Kami perlu segera kerana perjalanan untuk keluar dari Long Busang 4 jam, Putai-Kapit 4 jam, Kapit-Sibu 3 jam. Flight malam pukul 9.00.

Selamat tinggal Long Busang, ada umur yang panjang boleh kita kembali lagi.
Perjalanan keluar menuju Sibu sama saja seperti perjalanan kami datang. Alhamdulillah, sampai di Lapangan Terbang Sibu jam 6.00 petang ditemani oleh Ustaz Din. Sempat berehat sekejap sementara menunggu giliran penerbangan. Aku, Afiqah, Nazatul, Nisa, Shidi, Zaid dan Atiqah menaiki pesawat yang sama untuk ke KLIA2. Manakala Cikgu Wan mengambil penerbangan terus ke Alor Setar.

KLIA2, 11.30 malam

Alhamdulillah. Kami berpisah di sini. Kawan baharu, pengalaman baharu. Semoga pengembaraan kami diberkati dan diredai Allah. Tak sabar nak cerita pengalaman dekat ahli keluarga dan kawan-kawan terutamanya followers di Instagram dan Facebook haha. K bye.

Sekian.