Friday, 23 September 2016

Review Buku: Lemoi


Haritu, lama dah...ketika sedang syok scroll instagram, saya ternampak Rewan Ishak review tentang buku ini. Katanya, buku ini adalah sebuah buku hasil tulisan seorang Cikgu yang mengajar di perkampungan Orang Asli di pedalaman Cameron Highland. Jadi, seperti biasa saya terus membuat kaji selidik berkenaan buku dan penulis. Sangat menarik untuk dibaca secara lebih lanjut, lebih-lebih lagi instagram penulis yang banyak berkongsi tentang kehidpan anak-anak Orang Asli di sana. Lalu saya memutuskan untuk membeli buku tersebut dari penerbit, Studio Anai-anai.

September 2016, saya menerima kiriman buku Lemoi dengan selamat dan teruja untuk membuka bungkusan dan membaca. Pada petang hari yang sama, kakak saya menghantar mesej melaui Whatsapp mengatakan yang beliau telah membeli buku Lemoi siap bertandatangan. And I was like ???

Ha ha ha.

Buku ini adalah hasil daripada tulisan-tulisan jujur seorang guru yang mengajar murid-murid di pedalaman kampung Orang Asli. Sebut sahaja  orang asli terus terbayang hutan, lumpur, tiada elektrik dan rumah buluh. Saya tidak pernah membaca dan mendengar pengalaman seperti ini selain menonton drama Melayu di televisyen, jadi dengan membacanya telah membuatkan saya terkesima seketika. 

Buku ini juga merupakan himpunan pengalaman Cikgu Hanisah atau nama samaran beliau Bungo Lale, sekitar tahun 2010 ketika masih dalam tahun pertama beliau ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Lemoi sehigga tahun 2014. Menurut blurb buku, ini adalah catatan tergesa-gesa yang ditulis dalam media sosial sebelum generator milik sekolah ditutup pada jam 11.59 malam dan akan dibuka semula jam 7.00 pagi. Beliau merakamkan kehidupan 'serba-serbi tak ada' guru-guru dan masyarakat ketika senggang. Haaaa kau sanggup?

Kita biasa dimomokkan oleh drama-drama di televisen berkenaan guru yang takut untuk mengajar di pedalaman. Pergi mengajar sekejap lepas tu lari balik sebab tak tahan. Tetapi, buku ini menceritakan 360 darjah terbalik dari momokan tersebut. Cikgu Hanisah dan seorang lagi guru perempuan, Cikgu Fida, begitu tabah meredah hutan belantara demi mendidik anak bangsa.

Seawal kedatangannya di SK Lemoi, Cikgu Hanisah dan Cikgu Fida telah diberikan sebuah motosikal EX5 untuk memasuki ke dalam kawasan Pos Lemoi. Melalui jalan hutan yang tidak berturap malah berlumpur dan berselut sudah cukup menguji mental dan fizikal. Mereka diberikan asrama guru di dalam kawasan sekolah dan hanya keluar dari situ pada waktu hujung minggu (melainkan jika ada hal kecemasan) kerana tempoh masa perjalanan yang sangat lama dan untuk keluar masuk, kira-kira satu jam setengan untuk keluar ke Tanah Rata. Adakalanya, mereka tidak boleh keluar langsung disebabkan jalan yang sangat teruk sesudah hujan.

Mengajar di pedalaman Orang Asli sememangnya memerlukan kecekalan yang tinggi. Seperti yang kita ketahui, anak-anak pedalaman tentunya mempunyai masalah dalam pelajaran. Menjadi suatu cabaran bagi mereka yang terpilih untuk menagajar murid-murid lemah dalam pelajaran ini. Antara pengalaman yang diceritakan oleh Cikgu Hanisah adalah sikap kepedulian ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak. Saya sangat tersentuh apabila anak-anak Orang Asli yang hadir ke sekolah untuk mendaftar sebagai pelajar baru pada awal tahun hanya memakai baju tshirt biasa dan ada yang tidak berkasut sekolah. Kehadiran mereka juga tidak ditemani oleh ibu bapa. Bayangkan kalau di Semenanjung, murid-murid kita ditemani ibu bapa sehingga ke dalam kelas!

Penduduk Orang Asli ni, mereka bukan tidak mahu berubah, tetapi rasa kecintaan mereka terhadap kampung halaman dan tradisi itu telah menyebabkan mereka tidak mahu keluar. Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang belum cukup untuk menampung perbelanjaan kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi apabila menjelangnya musim baharu persekolahan, mereka tidak mampu untuk membelikan pakai baharu untuk anak-anak mereka. Pernah sekali tu, ketika Aidilfitri, guru-guru di SK Lemoi telah membuat persiapan untuk menyambut aidilfitri bersama murid-murid dan penduduk kampung yang beragama Islam. Mereka sangat seronok membantu dalam menyediakan juadah hari raya seperti lemang, nasi impit, sate, laksa, kuah kacang, nasi kerabu dan macam-macam lagi. Rupanya, ada makanan yang begitu asing bagi mereka kerana ada yang mengambil laksa berkuahkan kacang. Pada sebelah malam pula, murid-murid pula sangat teruja apabila berpeluang memasang pelita dan bermain bunga api.

Sehingga kini, ketika Lemoi siap dibukukan, kata Cikgu Hanisah telah banyak pengalaman dan pembaharuan di Pos Lemoi. Antaranya, jalan yang berlumpur telah diturap, generator telah diganti dengan solar hibrid, ada Astro dan murid-murid semakin rajin ke sekolah.

Selepas membaca buku ini, saya dan rakan-rakan dari geng Projek Kaki Buku mula merancang untuk membuat projek khas di sekolah tersebut.

4/5 bintang untuk buku Lemoi.