Saturday 8 December 2018

Resipi Brownies Kedut


Sekali sekala post pasal resipi ni best juga. Asyik buku dan panjat gunung je kan, hehe.

Ok, disebabkan ramai kawan-kawan di Instagram dan Facebook yang bertanya tentang resipi brownies kedut, kali ni saya kongsikan resipinya. Resipi ni dapat dari blog Masam Manis, Kak Ita, beberapa tahun dulu. Terima kasih Kak Ita sebab sudi kongsi resipi. Resipi ni saya dah hafal dalam kepala dah sebab senang sangat. InsyaAllah sedap, boleh cuba buat di rumah.

Bahan-bahan: 

400g dark chocolate
150g unsalted butter
4 biji telur
100g gula kastor
100g gula perang
1tsp esen vanila
100g tepung naik sendiri
30g serbuk koko

Cara-cara penyediaan:

1. Cairkan coklat dan butter atas dapur dengan api sederhana. Ketepikan. 
2. Pukul telur menggunakan whisk. 
3. Masukkan gula kastor dan gula perang. 
4. Tambah sedikit esen vanila. 
5. Masukkan bancuhan coklat yang dicairkan tadi. Gaul sebati. 
6. Akhir sekali, masukkan tepung dan serbuk koko yang siap diayak ke dalam adunan. Kaup balik pakai spatula.
7. Tuang ke dalam loyang saiz 9" atau apa-apa saiz pun tak kisah. Bakar pada suhu 170°c selama 30-40 minit.

Kedut tu subjektif. Ramai yang tanya kenapa dia buat brownies tak kedut. Saya sendiri buat kadang-kadang kedut, kadang-kadang tak kedut. Ada yang kata sebab jenis butter, kaedah pembuatan dan suhu api di dalam oven. Tapi tak juga sebenarnya. Saya guna buttercup biasa pun cantik juga kedutnya. Jadi, janganlah runsing ya. Brownies tu jadi dan sedap je kalau kita gunakan bahan dan sukatan yang betul.

Ok, selamat mencuba! 😄


Kalau nak lebih sedap, boleh letak nutella sebagai hiasan.

Saturday 29 September 2018

Trip Gunung Tok Nenek Single



Hari tu ada yang tanya, "Kau pergi hiking sorang ke?"

Ok, perkataan 'single' di sini membawa maksud satu gunung sahaja. Kebiasaan orang buat trip YYBTN iaitu Gunung Yong Yap, Gunung Bubu dan Gunung Tok Nenek. Kalau 3 gunung dipanggil YYBTN, kalau satu sahaja dipanggil single.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, berjaya juga ikut trip Wanie untuk ke Gunung Tok Nenek. Dulu masa tahun 2016 aku dah pernah buat YYBTN bersama Gema Selangor Backpackerz tapi waktu tu tiba di puncak Gunung Tok Nenek waktu malam, tak nampak view. Jadi, trip kali ni adalah untuk menebus kembali view yang tak nampak.


4 Ogos 2018, Sabtu

Bila buat trip single dua hari satu malam ni, perjalanan pun sedikit santai dan tidak terburu-buru. Perjalanan bermula pada hari Jumaat malam 3 Ogos 2018 dengan menaiki kereta. Tiba di kawasan Lojing, Kelantan sebelum menaiki powil untuk ke hutan simpan Lojing. 

Suka sangat dengan tumbuhan berlumut di puncak, cantik!
Bercerita tentang kasut sewaktu pendakian, ini bukan pertama kali aku sertai trip laluan hardcore yang melalui laluan berakar, merangkak bawah pokok buluh, meredah sungai, melalui selut dan sebagainya. Dan juga bukan pertama kali kasut hiking hancur gara-gara laluan itu semua. Beli kasut mahal pun, kalau hardcore tetap akan koyak.

Susunan batu bertingkat ini adalah untuk memberitahu tentang arah laluan yang betul.
Sewaktu tiba di starting point, kami melalui anak sungai sebagai permulaan langkah. Di hadapan, terdapat beberapa batang sungai lagi untuk diredah. Jadi, aku buka kasut hiking dan memakai sandal, ikat ketat-ketat. Agak selesa meredah sungai. Keadaan menjadi tidak berapa selesa bila tiba di laluan pokok buluh. Kemudian, tukar semua kepada kasut hiking untuk laluan berbatu dan berbuluh. Begitulah kerjanya sehingga tiba di campsite.

Bukan sahaja trip yang santai, makan tengahari dan malam juga mewah dan sedap. MasyaAllah.

Depa siap bawa kicap okay.


Inilah campsite kami.

5 Ogos 2018, Ahad

Kami bangun seawal jam 4 pagi untuk sunrise attack. Dalam kesejukan pagi tu, menggigil juga la nak gerak. Biasalah, cuaca dalam hutan sedikit sejuk berbanding di luar hutan. Katanya dua jam hiking untuk sampai puncak. Ketika waktu sudah menunjukkan jam 6.30 pagi, kami berhenti sekejap untuk menunaikan solat Subuh on track, memang betul-betul on track, haha.



Nampak tak muka I seronok gila dapat sampai puncak dengan pemandangan yang lawa macam ni.
Tak jauh dari tempat solat, kami sudah pun tiba di puncak. Subhanallah pemandangan dia, cantik betul. Bersyukur sangat sebab cuaca sangat baik dan cantik. Tertebus sudah trip YYBTN dulu.



Kira-kira jam 10 pagi, kami semua bergerak turun sebab dah ada group lain yang sampai puncak, beri peluang kepada mereka pula. Perjalanan turun tak lama pun, sejam je. Tapi aku mengambil sedikit lama sebab sibuk merekod video dan mengambil gambar. Orang lain dah lama sampai bawah haha.

Semua orang ambil gambar di bucu hujung tu, tapi aku takut, aku duduk dalam sikit.
Di sini aku berjumpa dengan tumbuhan yang cantik. Periuk kera di sini juga comel-comel.







Sekian saja perkongsian trip dua hari satu malam di Gunung Tok Nenek. Ok, lepas ni tak nak repeat dah. Oh, lupa nak beritahu. Sewaktu menyertai trip ni, aku baru beberapa hari beli handphone baharu, Xiomi Redmi Note 5. Jadi, gambar-gambar ni semua dari Xiomi, alhamdulillah puas hati gambar cantik.



Friday 19 January 2018

Republik Sungai Golok


Novel ni dibeli sewaktu aku menjadi Duta Buku di reruai Kafilah Buku pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016. Agak lama simpan buku ni tanpa dibaca.

Aku membaca novel tulisan Isma Ae Mohamad ini kerana tertarik dengan tajuk. Kemudian aku membaca sedikit review. Aku suka membaca tulisan Isma Ae Mohamad di Facebook. Penulisannya di dalam buku juga sangat baik dan tersusun. 

Ada apa dengan Sungai Golok sebenarnya? Novel ini mengisahkan tentang pergolakan kehidupan masyarakat di sempadan kedua-dua negara, Malaysia-Thailand. Sempadan yang dicipta sebagai pemutus hubungan masyarakat setempat. Satu sempadan yang ditentang dan tidak diredai.

Sebelum membaca novel ini, aku seperti manusia di luar sana yang kurang faham tentang 'Sungai Golok' sudah tentu akan berfikir negatif tentang penyeludupan, kahwin lari dan PATI. Namun, selepas membaca permulaan bab saja aku seperti terleka dan ingin membaca bab seterusnya. Persepsi aku terhadap Sungai Golok langsung berubah.

Sungai Golok sangat terkenal dengan aktiviti penyeludupan lembu yang banyak bila tiba musim perayaan, penyeludupan beras dan bahan makanan lain. Aktiviti penyeludupan merupakan satu-satunya pekerjaan dan mata pencarian masyarakat setempat. Bagi mereka, tiada kesalahan penyeludupan itu asalkan mereka tidak menyeludup barang yang haram seperti dadah dan senjata api.

Aku suka dengan penjelasan penulis tentang penyeludupan. Bagaimana seorang guru menjelaskan secara berhemah kepada anak muridnya tentang bahaya penyeludupan dan melanggar undang-undang. Setiap negara mempunyai undang-undang dan rakyat harus patuh kepadanya. Sebagai contoh, lembu ynag diseludup masuk melalui sempadan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit dan menyebarkan virus jika tidak disuntik vaksin. Pentingnya undang-undang di sini adalah, lembu yang di bawa masuk ke dalam negara perlu melalui kastam dan melepasi beberapa ujian kesihatan agar tidak menyebarkan sebarang penyakit atau virus. Di sini pentingnya ilmu dan pendidikan dalam menyampaikan maklumat kepada anak-anak yang kurang berkemampuan.

Setiap babak yang berlaku dalam novel ini diceritakan dengan detail dan padat. Sarat dengan maklumat. Bermula dengan kisah kehidupan Ramlee sebagai anak yang dilahirkan di sempadan Malaysia, Kelantan tetapi ibu bapanya warga Thailand. Ramlee dibesarkan di Kelantan dengan cara hidup orang Malaysia. Namun, jauh disudut hatinya, dia sangat mencintai negara asalnya dan teringin berbahasa Thai dengan fasih seperti ibu dan bapanya.

Ramlee sering diceritakan oleh ibunya mengenai negera Patani. Tembok pemisah itu telah memutuskan hubungan mereka dengan saudara mara di Thailand. Sebelum adanya tembok sempadan Sungai Golok, mereka begitu bebas keluar masuk. 

Satu perkara yang menarik tentang Ramlee, kerana kemahuannya untuk berbahasa Thai dengan fasih dan percuma, Ramlee telah berguru dengan seorang sami di Wat yang dipanggil khru di sempadan sebelah Thailand tanpa diketahui bapanya. Sehingga suatu hari, cerita berkenaan Ramlee berguru dengan seorang sami tersebar dan diketahui oleh bapanya. Sejak itu, Ramlee tidak dibenarkan untuk belajar bahasa Tahi dengan khru lagi kerana bimbang akidahnya terpesong kerana bergurukan seorang sami Buddha. Sedikit sebak sewaktu membaca bab ini.

Turut menjadi konflik adalah dalam menentukan warganegara anak dengan memutuskan kelahiran anak di Malaysia atau Thailand. Perbezaan warganegara dalam satu keluarga ditunjukkan dalam watak Fatimah dan dua orang adiknya. Fatimah dilahirkan di Malaysia kerana bapanya mahu ada seorang anak yang berwarganegara Malaysia. Kahidupan Fatimah menjadi seorang anak yang menentang. Dia sering mempersoalkan kepada dia berwarganegara Malaysia. Setiap pagi dia perlu menyeberang Sungai Golok untuk ke sekolah. Adakalanya, dia tidak dapat ke sekolah jika terdapat konflik di sempadan. Sehingga suatu hari Fatimah mengutuskan sepucuk surat kepada Menteri Dalam Negeri sewaktu membuat lawatan ke kampungnya, memohon supaya tembok sempadan tidak dibina.

Novel ini menjadi lebih menarik kerana penulis turut sertakan beberapa dialog ringkas dalam bahasa Thai. Dari situ aku faham betapa unik dan menariknya bahasa Thai. 

Kesimpulannya, novel ini telah mengubah persepsi aku terhadap Sungai Golok dan terasa mahu pergi ke sana dan melihat sendiri suasana di pinggir sungai. Aku pernah menghantar mesej kepada penulis di Facebook bertanyakan tentang Sungai Golok. Adakah kita masih berpeluang untuk menaiki sampan untuk menyeberang Sungai Golok seperti yang dilakukan oleh Fatimah, Ramlee dan Ahmad dalam novel ini dan adakah pasport diperlukan untuk mnyeberanginya? Jawabnya, sempadan dijaga oleh tentera, jadi lebih selamat jika sediakan pasport untuk menyeberang. Mungkin akan ada pemeriksaan tubuh badan sebelum masuk. Jika bernasib baik, tak perlu melepasi kawalan tentera pun.

P/s: Ok, tiba-tiba rasa nak pergi Sungai Golok pula haha.