Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Monday, 20 December 2010

Kehilangan BULAT (2)

Sambungan daripada 'BULAT...Kehilangan yang tidk terucap 1'

Bagaimmana saya membawa Bulat pulang ke rumah dengan menunggang motorsikal beseorangan? Saya memasukkan Bulat ke dalam beg kemudian menutup zip dan meninggalkan sedikit ruang untuk dia bernafas. Sepanjang perjalanan dia mengiaw. Sehinggakan orang yang lalu bersebelahan saya memandang semacam.

Setibanya di rumah, saya langsung melepaskannya. Dia berlari-lari tak tentu arah sambil mengiaw dengan kuat. Kemudian saya memberinya makan nasi dengan ikan goreng. Dia makan dengan sangat lahap! Aduh, sungguh kasihan saya melihatnya. Saya fikir, kalau bukan saya yang menjumpainya pada hari itu, bagaimanalah agaknya nasib dia. Mujur tidak hujan, kalau tidak...

Kemudian, saya membelai-belainya. Cuba menjinakkannya supaya dia tidak takut dan mengiaw dengan kuat lagi. Tidak berapa lama kemudian dia tertidur di atas kerusi. Tidur dengan nyenyaknya. Emak saya sudah bising. Katanya, 'asal jumpa kucing saja, dibawa pulang.' Saya hanya diamkan saja. Kalau emak tidak mahu tak mengapa. Esok saya akan pulangkan dan cuba mencari tuannya. Apa tidaknya, beberapa hari sebelum itu, abang saya baru sahaja membawa pulang seekor kucing berwarna putih, yang diberikan nama Putih.

Keesokan harinya, sewaktu saya bersiap-siap untuk ke tempat kerja, seawal jam 6.30 pagi, saya lihat kucing itu keluar dari bilik air. Rupanya dia membuang air besar! Saya sangat teruja kerana dia pandai buang air di dalam bilik air. Risau juga pada mulanya.

Pagi itu, saya sedikit terlewat kerana menguruskan hal si Bulat. Emak menyuruh saya pulangkan kembali kucing itu ke tempat asal, tetapi saya tidak mahu. Nanti saya cari dahulu tuannya, kalau sudah jumpa baru saya bawa. Lantas, saya mengurungnya ke dalam sangkar. Dia menjerit-jerit, mengiaw seperti semalam. Dengan kuat dan nyaring. Saya berlari, tinggalkan dia di belakang ruamah dan segera ke tempat kerja. Dalam hati, sabarlah...tunggu aku balik petang nanti.

Tiba di tempat kerja, hati saya dibuai sayu dan kasihan. apalah nasib si kucing itu agaknya. Saya menghantar SMS kepada emak, bertanyakan bagaimana. Emak menjawab, 'Mak dah lepaskan dia. Kasihan, kau kurung dia lemudian tinggalkan tanpa air atau makanan. Sekarang, dia ada ni tolong mak sidai kain. Bagus dia, tolong mak.'

Saya punyalah risau, rupanya dia baik-baik saja di rumah. Nampaknya, emak sudah boleh menerima kehadiran Bulat. Jadi tidak payah pulangkan. Saya sangat gembira.

Saya dan adik-adik sangat seronok melihat keletah Bulat. Kami memberikan bermacam-macam cadangan untuk menamakan kucing itu.Pada mulanya Tupai sebab hidung dan telinganya hitam. Kemudian Badut sebab hidungnya ada tanda. Kemudian lagi, Kutip sebab kucing itu dikutip dari dalam longkang. Dan akhir sekali saya yang memberikan namanya sebagai Bulat kerana dia suka tidur dalam keadaan bulat dan matanya terbuka sangat luas dan bulat tidak seperti kucing lain. Kekal dengan nama Bulat sehingga ke akhir hayatnya.

Dia suka tidur bulat.
Dia suka tidur di hujung kaki saya waktu malam.
Bulat sangat comel
Bulat sangat cantik

Bulat sangat manja

Dia suka duduk seperti katak. Hehe.
Bulat suka bermain dan sangat lincah. Juga sangat comel dengan warnanya yang unik. Suka makan whiskas dan tidak suka nasi dan ikan. Whiskas yang berwarna hijau-merah. Kalau merah-oren dia tidak akan makan sehinggalah saya beli hijau-merah, baru dia makan. Suka memanjat pokok. Suka duduk di atas siling rumah dan berlari-lari di atasnya, sangat bising. Seperti rumah mahu runtuh.






Dia menjadi kesayangan saya. Saya akan mengingatinya selagi termampu. Pemergian Bulat mengingatkan saya tentang kematian. Yang hidup pasti akan mati. Juga mengingatkan saya supaya bersiap menghadapi sebuah kematian. Kematian insan tersayang pula bagaimana agaknya jika kematian kucing kesayangan sudah seperti hilang separuh jiwa? Ini memberikan pengajaran buat saya untuk siap menghadapi apa saja kehilangan. Mungkin ahli keluarga, sahabat baik atau sesiapa saja.

Wednesday, 8 December 2010

Kehilangan BULAT (1)

Anda pernah kehilangan? Kehilangan insan tersayang atau apapun yang disayangi? Biar apapun bentuk kehilangan itu, yang pastinya semua orang pasti akan merasainya meski sekali seumur hidup. Samada kehilangan ibu bapa, adik-beradik, sajhbat handai, mahupun kehilangan sesuatu yang bukan bersifat insan.

Ya. Saya baru saja mengalami peristiwa kehilangan. Saya bukan kehilangan ahli keluarga atau sahabat handai. Tetapi saya telah kehilangan seekor kucing yang amat dicintai. Dia adalah seekor kucing. Namanya Bulat. Saya telah kehilangan Bulat pada hari Isnin, 6 Disember 2010.

Menceritakan detik pertemuan dengan Bulat, sangat dramatik. Ketika saya bekerja sebagai tukang cuci beberapa bulan yang lalu, saya telah menemukan Bulat di dalam longkang yang dalam. Saya ditugaskan untuk menyapu di tempat lain bersama seorang makcik, bukan di tempat biasa. Ketika itu saya sedang menyapu, tiba-tiba saya terdengar suatu suara sepertinya suara seekor kucing yang menjerit-jerit. Tetapi sedikit berlainan seperti kebiasaan kucing-kucing lain. Lama saya membiarkan, sebab tidak ketahuan dari mana datangnya suara tersebut.

Ketika sedang berehat-rehat menghilangkan lelah, anggaran 30 minit selepas saya mendengar suara tadi, telinga saya digamit kembali dengan suara tersebut. Hati saya melonjak-lonjak ingin melihat dan mencari dari manakah datangnya suara tersebut. Saya dengan makcik yang juga tukang sapu, saling berpandangan hairan.

"Cik, kasihan bunyi suara tu. Kucingkah?"
"Entahlah. Agaknya. Dah lama acik dengar bunyi tu, sudah dua, tiga hari."

Hati saya menjadi tidak enak.

"Cik, saya pergi tengok sekejap"

Saya mecari dari mana datangnya suara kasihan tersebut. Tidak susah rupanya untuk mencari. Betapa terkejutnya saya apabia melihat ada seekor anak kucing di dalam longkang! Sungguh terkejut. Kerana longkang tersebut bukannya kecil dan redah. Tetapi sangat besar dan dalam. Saya kira, ada dua meter dalamnya kerana apabila saya berdiri di dalam longkang, parasnya lebih kurang tinggi saya. Dan jarak longkang dari tempat saya berehat tadi kira-kira 30 meter saja. Alahai...sungguh kasihan. Mujur tidak ada air, longkang kering. Cuma yang ada lumut yang sedikit licin.

Lantas, saya memanggil makcik tadi.
"Cik, sudah jumpa! Mari tolong saya. Saya mahu terjun. Nanti, acik bantu saya naik semula ya?"
"Ya, baiklah. Hati-hati!"

Saya lompat dengan penuh hati-hati. Kerana lantai longkang berlumut dan sangat licin. Kucing tersebut berlari, cuba menjauhi tatkala melihat saya turun dan cuba mendekatinya. Saya mengerjarnya di dalam longkang. Kata saya, "Jangan lari. Aku mahu menyelamatkan kau." Dia menoleh, langsung berhenti berlari. Seolah-olah dapat memahami. Saya menangkapnya ke dalam dakapan. 

"Cik, comel!"

Saya melonjak kegembiraan di dalam longkang. Tanpa berlengah, saya menyerahkan kucing tersebut kepada makcik tadi sebelum dia membantu saya untuk naik semula ke atas. Kucing tersebut cuba lari. Sepertinya tidak mahu didekati. Saya kira, kucing tersebut tentu sudah lama dia dalam longkang. Kerana suaranya sedikit berlainan ketika mengiaw. Suaranya agak serak. Mungkin sudah lama meminta tolong, tetapi tiada sesiapa yang sudi membantu. Mungkin juga kerana dia terjatuh ke dalam longkang dan tidak mudah kelihatan oleh orang ramai. 

Ya, seperti yang diberitahu oleh makcik tukang sapu dengan saya, sudah dua, tiga hari dia mendengar suara tersebut tetapi tidak pula mencari. Mungkin, hari itu adalah rezeki saya berjumpa dengan anak kucing yang sungguh comel. Kalau saya tidak ditukarkan tempat menyapu petang itu, entah siapalah yang akan membantu menyelamatkan kucing tersebut. Makcik tadipun, sepertinya tidak mempedulikan kerana dia setiap hari menyapu di kawasan tersebut dan mengakui terdengar bunyi suara ganjil, cuma tidak berusaha mencari.

Gambar ini saya ambil hari pertama saya bawa pulang ke rumah. Selepas diberi makan, dia tertidur nyenyak, keletihan dan sungguh kasihan.
Ternyata, kucing tersebut seperti fobia. Takut kalau ada manusia mendekati. Saya membelainya, memberikan sedikit kasih untuknya. Akhirnya, dia terpujuk. Saya mahu ambil dia. Mahu membela dia kerana dia sangat comel dan unik warnanya. Bagaimana saya mahu membawanya pulang ke rumah dengan menunggang motorsikal berseorangan? Nantikan 'BULAT...Kehilangan Yang Tidak Terucap siri 2'.

Bukan apa, bimbang jika panjang sangat kalian tidak terbaca. Tunggu ya, saya akan kembali untuk menceritakan lebih lanjut detik-detik manis dan pahit bersama BULAT.

Saturday, 14 August 2010

Ramadhan Pertama


Dulu, masa di tahun-tahun akhir ketika menuntut di UiTM Kedah, saya pernah membuat pengumuman di laman Friendster (yang kini sudah tidak berapa aktif), tentang Ramadhan Terakhir. Ramadhan terakhir kami sebagai pelajar di sana. Pengumuman saya mendapat respon yang pelbagai daripada kawan-kawan. Tetapi pada hari ini, Ramadhan kali ini saya ingin membuat pengumuman baharu tentang Ramdhan Pertama pula. Orang selalu kata, tanpa permulaan tidak mungkin akan ada pengakhiran bukan? Tetapi kali ini, dengan pegakhiranlah saya ketemu permulaan.

Ramadhan Pertama mungkin boleh jadi tahun lepas, memandangkan saya sudah grad penghujung Mei 2009. Ramadhan pertama selepas tidak bergelar pelajar. Tetapi, saya mahukan Ramadhan Pertama itu untuk tahun ini. Kenapa Ramadhan pertama? Kerana Ramadhan kali ini saya sambut dalam situasi berkerja tetapi bukan berkerjaya. Kerja saya lebih banyak pulang malam. Apa yang pasti, ibadah tarawikh kali ni sudah tentu akan lebih banyak di rumah berbanding berjemaah di masjid seperti Ramadhan sebelum-sebelumnya. Tetapi tidak mengapa. Alah bisa tegal biasa. Terpaksalah teruskan juga. Jangan jadikan pulang lewat sebagai alasan tidak bertarawikh.

Ramadhan kali ini juga merupakan Ramadhan Pertama saya mengambil tempah menjahit baju untuk raya. Kalau sebelum ni saya belum cukup keberanian untuk mengambil tempahan. Tetapi tahun ini saya seratus peratus berani menyahut cabaran. Buat apa ada ilmu tetapi tidak dimanfaatkan, tidak gitu? Ini semua juga atas dorongan keluarga dan teman-teman yang mahukan saya menjahit.

Samaada Ramadhan itu yang pertama atau yang terakhir untuk anda, ingatlah bahawa sesungguhnya Ramadhan itu tetap sama seperti sebelumnya atau yang akan datang. Cuma pahala kita saja yang mungkinkah bertambah ataupun berkurang. Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pengunjung blog.

Saturday, 1 May 2010

Cerita si tukang cuci...

Semalam merupakan hari terakhir saya bekerja sebagai tukang cuci atau cleaner. Saya sengaja memilih tarikh semalam (30 April 2010), kerana Jumaat hari yang paling tepat, hari terakhir bulan April. Tiga hari berturut-turut sebelum semalam, ada saja peristiwanya. 28 April, tarikh saya mendapat gaji terakhir (seronok), 29 April hari lahir saya yang ke-22 tahun (seronok juga), dan 30 April hari terakhir sebagai tukang cuci (seronok dan sedih).

Tugas saya di Kolej Integrasi Ilmu, Feldajaya Raja Alias ialah menyapu kelas dan koridor. Kemudian, bersihkan pejabat yang menempatkan bilik boss dna staf. Bilik pensyarah pun saya. Selepas menyapu dan membersih, saya mencuci pula. Cuci tandas. Antara yang paling letih ialah membersihkan dewan makan, menyapu dan mop lantai (saya akan sakit perut selepas setiap kali pulang dari dewan makan, penat sangat). Kalau ada masa terluang, saya cuci tingkap.

Malu? Ya, saya sangat malu bekerja sebagai tukang cuci. Tapi ini yang saya pilih dengan alasan mahukan pengalaman berharga. Saya malu sebab terpaksa berjumpa dengan kebanyakan orang. Mereka yang segak bergaya, pelajar-pelajar kolej yang tentunya pelbagai ragam. Sedangkan saya, memegang penyapu saja. Semasa di uni saya dulu, ada juga ctukang cuci di kolej saya. Dan kini baru saya tahu apakah perasaannya makcik cleaner sewaktu membersihkan kolej tempat tinggal saya dulu. Tapi semuanya alah bisa tegal biasa, bukan? Mula-mula memang segan, tapi saya tabahkan hati. Ingat niat kita kerja kerana Allah selain nak dapatkan duit daripada mengganggur tidak dapat apa. Sesekali nak juga merasa jadi orang bawah. Ya, memang bawah sebab tempat saya berehat di bawah tangga! (rasa macam Harry Potter pun ya juga)

Tidak ramai yang tahu status saya sebagai tukang cuci. Hanya mereka yang terdekat saja. Bukan malu untuk dihebohkan. Tapi, ianya pasti akan mendapat tentangan pelbagai pihak. Ahli keluarga terutamanya. Ada saja yang menentang. Katanya, tidak layak kerja tukang cuci kalau sudah ada diploma. Bagi saya, bukan tidak layak, tapi terlebih layak!

Sedih juga nak tinggalkan kawan-kawan dan makcik-makcik cleaner yang lain. Mereka banyak membantu. Dua bulan lebih buat kerja bersama dengan mereka semua. Daripada kerja ini, saya tahulah pencuci apa yang paling wangi untuk lantai, perabot, cermin, tandas. Kalau nak cuci cermin kasi betul-betul berkilat juga ada caranya. Tandas juga begitu kalau nak sentiasa segar baunya. Pewangi apa untuk tandas, bilik tidur, pejabat. Juga menepati masa sewaktu bekerja. Banyak yang dipelajari. Hari terakhir saya di sana semalam, saya buat sedikit jamuan perpisahan dengan cleaner yang lain. Semoga perkenalan singkat ini berkekalan dan diberkati Allah.

Sunday, 11 April 2010

Hot Air Baloon, Moroccan Pavillion, Pesta Buku, Jalan TAR, Jakel (Bahagian 2)

Maaf jika entri sambungan ini sedikit lewat. Selepas puas ronda-ronda di sekitar Putrajaya, saya dan rakan-rakan yang lain mula mengatur langkah bergerak menuju ke ibu kota pula. Destinasi kami adalah The Mall. Dari situ kami berjalan kaki menuju ke PWTC di mana berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Saya mengalami sedikit keterujaan dan kegayatan, kerana belum pun pernah menjejakkan kaki ke sana. Belum pernah berpeluang. Selalunya kirim saja pada kakak. Tapi kini, semangat saya sangat berkobar-kobar untuk memborong buku. Tetapi apakan daya, oleh kerana kepadatan manusia yang teramat, saya terpaksa mengalah. Tiada satu apa pun buah tangan buku yang dibawa pulang. Bayangkanlah, saya dan kawan sesat dengan kawan di sana. Kalau boleh saya nak cari buku yang mahu dibeli, tetapi mengenangkan ada rakan yang tak seharusnya ditinggalkan, saya akur juga. Sekadar membelek-belek beberapa jenis buku saja. Cuma satu saja buah tangan yang sempat dibeli iaitu badge I Luv Islam.

Selepas puas mencuci mata dengan buku, kami ke The Mall semula. Menunaikan permintaan perut dan solat Zuhur. Ketika berpeleseran di kaki lima gerai-gerai di The mall, kami terpandang strawberi coklat dan marshmallow coklat. Sempat juga kami singgah makan sebentar.

Kami mula bergerak ke Jalan TAR dan menuju ke Jakel dengan menaiki LRT saja untuk menjimatkan masa dan tenaga untuk mencari parking di sana nanti. Seronok rasanya bila dapat menaiki LRT terutamanya bila bersama Tasneem dan Atie juga Fatima, yang baru kini julung-julung kalinya dapat keluar bersama.

Saya mencari keluarga yang sedang membeli-belah di Jakel, jadi tidaklah membeli apa-apa kain atau sebagainya semasa di Jalan TAR. Memang murah, dan harganya juga boleh dirunding. Tergelak juga saya melihat gelagat teman-teman yang bertikam lidah semahunya untuk mendapatkan harga yang paling murah untuk kain Swiss Coutton.

Tiba di Jakel, saya berpisah dengan yang lain-lain. Mengikut famili memborong kain langsir dan baju pula. Namun, saya kembali dengan kawan-kawan tadi setelah puas di Jakel kerana perlu mengambil barang yang ditinggalkan di Shah Alam. Saya tidur semalam lagi di rumah sewa kawan.

Keseluruhan cerita hari itu, percutian dengan mereka sangat menyeronokkan. Saya mahu mengulanginya jika diberi peluang...=)

Wednesday, 31 March 2010

Hot Air Baloon, Moroccan Pavillion, Pesta Buku, Jalan TAR, Jakel (Bahagian 1)

Cuti-cuti 1 Malaysia!

Pada 20 Mac lalu, saya telah menyertai Tasneem, Atie, Fatima dan seorang lagi kawan mereka jalan-jalan, ronda-ronda, pusing-pusing dan cuti-cuti 1 Malaysia. Bukan menjelajah seluruh Malaysia, cuma beberapa tempat saja. Tujuan saya datang ke Kuala Lumpur sebenarnya untuk membeli-belah bersama beberapa orang ahli keluarga. Saya mengambil waktu ini untuk berdampingan dengan mereka semua. Bukan senang nak jumpa kawan lama. Orang kata, sambil menyelam minum air. Jadi, saya 'minum' banyak air haritu. Sampai di Shah Alam pada Jumaat malam, saya terus bermalam di rumah sewa Cik Tasnem dan Cik Atie. Agenda kami untuk hari esoknya, Hot Air Baloon Fiesta di Putrajaya, berkelah, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC, dan shoping di Jalan TAR. Keesokan harinya, kami semua telah bangun seawal jam 5.30 pagi! Masing-masing semangat nak naik belon. Sampai di Putrajaya kira-kira jam 7 suku pagi, orang sudah mula membanjiri. Jurugambar terutamanya. Mungkin juga wartawan. Dan kerana kebanjiran jurukamera yang terlalu ramai, kami pun jadi segan nak keluarkan kamera yang jauh lebih kecil dari mereka.
Dukacita dimaklumkan, kami semua tidak berkesempatan naik belon. Tiket sudah sold out! Fuhhhh! Kecik hati masing-masing. Bangun punyalah awal pagi tapi tak dapat juga naik. Harga tiket RM10, mungkin ramai kot yang tak nak lepaskan peluang. Jadi, kami semua sempat cuci mata dengan keindahan dan kecantikan belon-belon udara panas yang pelbagai rupa. Belonnya tidak terbanng tinggai pun, sekadar terapung kira-kira tinggi beberapa menara di Malaysia barangkali. Tak lama. Selepas terapung, kemudian mendarat di tempat lain yang tidak kami ketahui di mana, dan terus hilang. Dengar kata, belonnya sudah 'dikempiskan' dan dibungkus sebelum di bawa semula ke tempat pesta bermula. Itu saja. Nasib baik buat mereka yang datang dari awal pagi. Kerana bagi yang lambat, mereka perlu tunggu sebelah petang untuk menyaksikan semula belon-belon itu terbang. Ini berdasarkan beberapa info yang diberikan, maaf jika tersalah. Sedikit gayat juga sebab belum pernah lihat dengan mata kasar. Terima kasih kepada Atie dan Tasneem yang beria mengajak.

Selepas puas 'menonton' belon, kami semua bergerak mencari tempat perkelahan. di Moroccan Pavillion, Putrajaya, bersebelahan tasik Putrajaya. Cantik dan mendamaikan. Seronok sangat berkelah dengan mereka semua. Kalau boleh mahu pergi lagi! Selepas menjamu sandwich, jus buah, keropok lekor, buah-biahan dan beberapa makanan sampingan lain, kami segera menjalani sesi fotografi di sekitar Moroccan Pavillion. Maklumlah, kami semua ditemani seorang jurugambar. Lokasi seperti di Istana Al-Hambra. Cantik sangat! Sudah puas di Putrajaya, kami bergerak ke Kuala Lumpur pula.

Belumpun keluar dari kawasan Putrajaya, kami berhenti di tepi jalan untuk berfotografi lagi. Masih belum puas. Bila melihat kembali gambar-gambar yang diambil, terasa diri ketika itu seperti berada di overseas, London, New Zeeland, Switzerland... Betapa indah bumi Malaysia rupanya.

(Akan bersambung...)