Showing posts with label Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Sahabat. Show all posts

Sunday, 11 April 2010

Hot Air Baloon, Moroccan Pavillion, Pesta Buku, Jalan TAR, Jakel (Bahagian 2)

Maaf jika entri sambungan ini sedikit lewat. Selepas puas ronda-ronda di sekitar Putrajaya, saya dan rakan-rakan yang lain mula mengatur langkah bergerak menuju ke ibu kota pula. Destinasi kami adalah The Mall. Dari situ kami berjalan kaki menuju ke PWTC di mana berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Saya mengalami sedikit keterujaan dan kegayatan, kerana belum pun pernah menjejakkan kaki ke sana. Belum pernah berpeluang. Selalunya kirim saja pada kakak. Tapi kini, semangat saya sangat berkobar-kobar untuk memborong buku. Tetapi apakan daya, oleh kerana kepadatan manusia yang teramat, saya terpaksa mengalah. Tiada satu apa pun buah tangan buku yang dibawa pulang. Bayangkanlah, saya dan kawan sesat dengan kawan di sana. Kalau boleh saya nak cari buku yang mahu dibeli, tetapi mengenangkan ada rakan yang tak seharusnya ditinggalkan, saya akur juga. Sekadar membelek-belek beberapa jenis buku saja. Cuma satu saja buah tangan yang sempat dibeli iaitu badge I Luv Islam.

Selepas puas mencuci mata dengan buku, kami ke The Mall semula. Menunaikan permintaan perut dan solat Zuhur. Ketika berpeleseran di kaki lima gerai-gerai di The mall, kami terpandang strawberi coklat dan marshmallow coklat. Sempat juga kami singgah makan sebentar.

Kami mula bergerak ke Jalan TAR dan menuju ke Jakel dengan menaiki LRT saja untuk menjimatkan masa dan tenaga untuk mencari parking di sana nanti. Seronok rasanya bila dapat menaiki LRT terutamanya bila bersama Tasneem dan Atie juga Fatima, yang baru kini julung-julung kalinya dapat keluar bersama.

Saya mencari keluarga yang sedang membeli-belah di Jakel, jadi tidaklah membeli apa-apa kain atau sebagainya semasa di Jalan TAR. Memang murah, dan harganya juga boleh dirunding. Tergelak juga saya melihat gelagat teman-teman yang bertikam lidah semahunya untuk mendapatkan harga yang paling murah untuk kain Swiss Coutton.

Tiba di Jakel, saya berpisah dengan yang lain-lain. Mengikut famili memborong kain langsir dan baju pula. Namun, saya kembali dengan kawan-kawan tadi setelah puas di Jakel kerana perlu mengambil barang yang ditinggalkan di Shah Alam. Saya tidur semalam lagi di rumah sewa kawan.

Keseluruhan cerita hari itu, percutian dengan mereka sangat menyeronokkan. Saya mahu mengulanginya jika diberi peluang...=)

Wednesday, 31 March 2010

Hot Air Baloon, Moroccan Pavillion, Pesta Buku, Jalan TAR, Jakel (Bahagian 1)

Cuti-cuti 1 Malaysia!

Pada 20 Mac lalu, saya telah menyertai Tasneem, Atie, Fatima dan seorang lagi kawan mereka jalan-jalan, ronda-ronda, pusing-pusing dan cuti-cuti 1 Malaysia. Bukan menjelajah seluruh Malaysia, cuma beberapa tempat saja. Tujuan saya datang ke Kuala Lumpur sebenarnya untuk membeli-belah bersama beberapa orang ahli keluarga. Saya mengambil waktu ini untuk berdampingan dengan mereka semua. Bukan senang nak jumpa kawan lama. Orang kata, sambil menyelam minum air. Jadi, saya 'minum' banyak air haritu. Sampai di Shah Alam pada Jumaat malam, saya terus bermalam di rumah sewa Cik Tasnem dan Cik Atie. Agenda kami untuk hari esoknya, Hot Air Baloon Fiesta di Putrajaya, berkelah, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC, dan shoping di Jalan TAR. Keesokan harinya, kami semua telah bangun seawal jam 5.30 pagi! Masing-masing semangat nak naik belon. Sampai di Putrajaya kira-kira jam 7 suku pagi, orang sudah mula membanjiri. Jurugambar terutamanya. Mungkin juga wartawan. Dan kerana kebanjiran jurukamera yang terlalu ramai, kami pun jadi segan nak keluarkan kamera yang jauh lebih kecil dari mereka.
Dukacita dimaklumkan, kami semua tidak berkesempatan naik belon. Tiket sudah sold out! Fuhhhh! Kecik hati masing-masing. Bangun punyalah awal pagi tapi tak dapat juga naik. Harga tiket RM10, mungkin ramai kot yang tak nak lepaskan peluang. Jadi, kami semua sempat cuci mata dengan keindahan dan kecantikan belon-belon udara panas yang pelbagai rupa. Belonnya tidak terbanng tinggai pun, sekadar terapung kira-kira tinggi beberapa menara di Malaysia barangkali. Tak lama. Selepas terapung, kemudian mendarat di tempat lain yang tidak kami ketahui di mana, dan terus hilang. Dengar kata, belonnya sudah 'dikempiskan' dan dibungkus sebelum di bawa semula ke tempat pesta bermula. Itu saja. Nasib baik buat mereka yang datang dari awal pagi. Kerana bagi yang lambat, mereka perlu tunggu sebelah petang untuk menyaksikan semula belon-belon itu terbang. Ini berdasarkan beberapa info yang diberikan, maaf jika tersalah. Sedikit gayat juga sebab belum pernah lihat dengan mata kasar. Terima kasih kepada Atie dan Tasneem yang beria mengajak.

Selepas puas 'menonton' belon, kami semua bergerak mencari tempat perkelahan. di Moroccan Pavillion, Putrajaya, bersebelahan tasik Putrajaya. Cantik dan mendamaikan. Seronok sangat berkelah dengan mereka semua. Kalau boleh mahu pergi lagi! Selepas menjamu sandwich, jus buah, keropok lekor, buah-biahan dan beberapa makanan sampingan lain, kami segera menjalani sesi fotografi di sekitar Moroccan Pavillion. Maklumlah, kami semua ditemani seorang jurugambar. Lokasi seperti di Istana Al-Hambra. Cantik sangat! Sudah puas di Putrajaya, kami bergerak ke Kuala Lumpur pula.

Belumpun keluar dari kawasan Putrajaya, kami berhenti di tepi jalan untuk berfotografi lagi. Masih belum puas. Bila melihat kembali gambar-gambar yang diambil, terasa diri ketika itu seperti berada di overseas, London, New Zeeland, Switzerland... Betapa indah bumi Malaysia rupanya.

(Akan bersambung...)