Wednesday, 31 March 2010

Hot Air Baloon, Moroccan Pavillion, Pesta Buku, Jalan TAR, Jakel (Bahagian 1)

Cuti-cuti 1 Malaysia!

Pada 20 Mac lalu, saya telah menyertai Tasneem, Atie, Fatima dan seorang lagi kawan mereka jalan-jalan, ronda-ronda, pusing-pusing dan cuti-cuti 1 Malaysia. Bukan menjelajah seluruh Malaysia, cuma beberapa tempat saja. Tujuan saya datang ke Kuala Lumpur sebenarnya untuk membeli-belah bersama beberapa orang ahli keluarga. Saya mengambil waktu ini untuk berdampingan dengan mereka semua. Bukan senang nak jumpa kawan lama. Orang kata, sambil menyelam minum air. Jadi, saya 'minum' banyak air haritu. Sampai di Shah Alam pada Jumaat malam, saya terus bermalam di rumah sewa Cik Tasnem dan Cik Atie. Agenda kami untuk hari esoknya, Hot Air Baloon Fiesta di Putrajaya, berkelah, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC, dan shoping di Jalan TAR. Keesokan harinya, kami semua telah bangun seawal jam 5.30 pagi! Masing-masing semangat nak naik belon. Sampai di Putrajaya kira-kira jam 7 suku pagi, orang sudah mula membanjiri. Jurugambar terutamanya. Mungkin juga wartawan. Dan kerana kebanjiran jurukamera yang terlalu ramai, kami pun jadi segan nak keluarkan kamera yang jauh lebih kecil dari mereka.
Dukacita dimaklumkan, kami semua tidak berkesempatan naik belon. Tiket sudah sold out! Fuhhhh! Kecik hati masing-masing. Bangun punyalah awal pagi tapi tak dapat juga naik. Harga tiket RM10, mungkin ramai kot yang tak nak lepaskan peluang. Jadi, kami semua sempat cuci mata dengan keindahan dan kecantikan belon-belon udara panas yang pelbagai rupa. Belonnya tidak terbanng tinggai pun, sekadar terapung kira-kira tinggi beberapa menara di Malaysia barangkali. Tak lama. Selepas terapung, kemudian mendarat di tempat lain yang tidak kami ketahui di mana, dan terus hilang. Dengar kata, belonnya sudah 'dikempiskan' dan dibungkus sebelum di bawa semula ke tempat pesta bermula. Itu saja. Nasib baik buat mereka yang datang dari awal pagi. Kerana bagi yang lambat, mereka perlu tunggu sebelah petang untuk menyaksikan semula belon-belon itu terbang. Ini berdasarkan beberapa info yang diberikan, maaf jika tersalah. Sedikit gayat juga sebab belum pernah lihat dengan mata kasar. Terima kasih kepada Atie dan Tasneem yang beria mengajak.

Selepas puas 'menonton' belon, kami semua bergerak mencari tempat perkelahan. di Moroccan Pavillion, Putrajaya, bersebelahan tasik Putrajaya. Cantik dan mendamaikan. Seronok sangat berkelah dengan mereka semua. Kalau boleh mahu pergi lagi! Selepas menjamu sandwich, jus buah, keropok lekor, buah-biahan dan beberapa makanan sampingan lain, kami segera menjalani sesi fotografi di sekitar Moroccan Pavillion. Maklumlah, kami semua ditemani seorang jurugambar. Lokasi seperti di Istana Al-Hambra. Cantik sangat! Sudah puas di Putrajaya, kami bergerak ke Kuala Lumpur pula.

Belumpun keluar dari kawasan Putrajaya, kami berhenti di tepi jalan untuk berfotografi lagi. Masih belum puas. Bila melihat kembali gambar-gambar yang diambil, terasa diri ketika itu seperti berada di overseas, London, New Zeeland, Switzerland... Betapa indah bumi Malaysia rupanya.

(Akan bersambung...)

Friday, 26 March 2010

Antara Mimpi dan Realiti

Mimpi cabut gigi dan ular

Beberapa minggu lepas (lewat sikit sebab terlupa pasal ni), saya mengalami dua buah mimpi pada hari yang berbeza. Hari pertama, saya mimpi kena cabut gigi. Geraham saya yang berlubang tu sudah rosak dan harus dicabut. Memang sebelum tidur malam tu saya mengadu sakit gigi geraham. Menurut doktor gigi, geraham yang berlubang sudah tidak boleh ditampal kecuali cabut. Kalau tak nak cabut kena tanam akar (tak faham prosesnya). Tapi tak nak buat, sebab takut. Heheeee. Mungkin kesakitan yang mencengkam ini terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi.

Hari kedua pula (bukan berturut-turut), saya mengalami mimpi dililit ular! Tidak ketahuan pula di mana lokasinya. Apa yang pasti waktu itu siang. Lalu, saya berjaya membuka liltan ular itu dengan jayanya.

Rupa-rupanya, di sebalik mimpi-mimpi itu ada kisah yang tersirat. Saya menceritakan kepada mak, kemudian mak memulakan pandangannya berdasarkan mimpi-mimpi saya. Mimpi yang pertama, mimpi sakit gigi dan kena cabut, kata mak alamat berputih mata. Apa-apa yang dihajati tidak kesampaian. Kalau sudah dapat kemudian ada halangan. Saya pun teringatkan beberapa tawaran kerja yang saya terima tapi tidak kesampaian untuk pergi. Ada saja halangan.
Mimpi kedua, dililit ular, kata mak orang yang datang nak masuk meminang tidak jadi! Kesitu pula. Kalau dah sampai depan rumah, bpleh patah balik.

Samaada tanggapan mimpi-mimpi ini hanya sekadar mitos atau pun apa, ia tetap sekadar 'andaian'. Tidak boleh 100 peratus percaya. Mungkin ini semua suatu kebetulan. Kerja yang diterima saya tak dapat pergi. Pasal pinangan tu...tiada komen. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Bukan itu saja, bahkan semua kejadian di muka bumi ini, qada dan qadar atas ketentuan Allah. Hanya pada Dia yang harus kita percaya. Segala mitos itu mungkin pepatah orang tua-tua saja untuk menyedapkan hati atau untuk mengingatkan kita supaya lebih berhati-hati. Apapun, mimpi ini hanyalah mainan tidur.

(Sedikit artikel bekaitan mimpi)

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang Muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar adalah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang Muslim adalah sebahagian daripada 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis iaitu mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya daripada syaitan dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan janagn menceritakannya kepada oang lain." (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, mimpi bagi insan yang jauh daripada keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan, maka ia sebagai peringatan daripada Allah agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) itu kembali dekat kepada-Nya. (Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Semoga kita sentiasa menerima hidayah daripada Allah SWT. Amin.

Tuesday, 23 March 2010

Dari Jahitan ke Kraftangan

Selepas hampir setahun saya mendalami ilmu jahitan dan busana Melayu moden, kini saya mula beralih angin. Ialah, monsun tidak selalu ke timur laut bukan? Jadi saya mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Bukan bermaksud saya ingin meninggalkan bidang jahitan. Sedikitpun tidak. Kerana saya telah mula jatuh cinta dengan busana jahitan sendiri! Cuma, saya rasa tertarik dengan keunikan hasil seni kraftangan. Betapa kagumnya ciptaan Tuhan. Dikurniakan otak untuk manusia berfikiran kreatif dan kritis. Diberikan pula jemari halus yang rancak menganyam. Tidak terbilang dengan nikmat yang lain juga.

Sejak sebulan yang lalu saya telah mula mempelajari seni kraftangan iaitu bakul, bukan rotan. Tetapi bakul yang menggunakan kertas surat khabar lama. Saya mempelajarinya daripada seorang kawan. Belajar dua kali saja saya sudah boleh buat sendiri. pada mulanya rasa malas nak belajar menganyam bakul, memandangkan kerjanya yang sedikit rumit. Namun, di atas desakan emak yang mahukan saya pelajarinya dengan harapan dapat dijadikan sebagai saguhati tetamu untuk majlis perkahwinan abang penggal kedua 2010 nanti, saya gagahi juga. Setelah mencuba beberapa kali, saya berjaya menghasilkan sebuah bakul yang bagi saya cukup unik! Malah sering disalah anggap oleh kebanyakan orang yang menyangka ia adalah bakul rotan. Modal yang diperlukan tidaklah sebesar mana. Tetapi, berdasarkan survey di kedai-kedai barangan perkahwinan, harganya sekitar RM1.00 hingga RM2.00 untuk bakul yang bersaiz kecil. Boleh la buat side income nanti..;)

Alhamdulillah, dalam masa kurang sebulan saya sudah dapat menyiapkan lebih kurang 30 buah bakul. Sepatutnya boleh banyak lagi, tetapi terpaksa dilepaskan atas komitmen bekerja dan menjahit. Terpaksalah bahagikan masa dan tenaga untuk semua kerja-kerja itu. Dan atas komitment itu semua, aktiviti penulisan saya terpaksa ditangguhkan sementara waktu. Cuma hujung minggu kalau tiada urusan penting, saya akan menulis sedikit. Itupun kalau ada ilham, kalau tiada saya biarkan saya cerpen saya tertangguh. Nak buat macam mana. Jadi, saya kena rajin-rajin bekerja, menjahit, menganyam dan menulis.

bakul ini sebagai contoh,ada juga. tapi saya macam tak larat nak buat je.

Thursday, 11 March 2010

Pahala Yang Bertambah dan Berterusan

Risalah tazkirah 4 minit ini saya peroleh di surau tempat saya berehat waktu tengah hari di tempat kerja. Bersepah-sepah di atas lantai. Saya ambil satu dan bermuhasabah diri membacanya. Di sini, saya mahu kongsikan bersama.


Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang mengajak kepada hidayah (kebaikan), maka baginya pahala yang diperoleh oleh orang yang mengikutnya selapasnya, (serta) tidak berkurangan pula pahala orang yang mengamalkannya, dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka baginya dosa seperti dosa yang turut diperoleh oleh orang yang mwmbuat dosa selepasnya dan tidak akan berkurangan dosa itu walau sedikitpun. –HR Imam Muslim.

Sebab itulah kalau kita perhatikan pahala orang-orang alim dan para pendakwah yang mendidik anak-anak kita dan para remaja sehingga menjadi ornag Islam yang baik, akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya, hanya Allah sahaja yang mengetahui kiraannya. Sebab pahala mereka tidak putus-putus dan sentiasa bertambah dan berlipat ganda sehingga berjumpa Allah Ta’ala nanti di akhirat.

Begitu juga ibu bapa yang mendidik anak-anaknya kepada didikan Islam dan mengajak mereka supaya sentiasa taat dan takut kepada Allah Ta’ala, mereka bukan sahaja mendapat pahala orang yang telah mendapat hidayah tadi, bahkan amalannya serta keluarga dan teman-temannya yang mungkin satu hari nanti mendapat hidanyah juga, akan diberikan pahala mereka semua kepada yang mula-mula sekali menghidayahkan orang tadi.

Jadi alangkah baiknya jika ilmu-ilmu agama dapat disedekahkan/dihebahkan kepada orang lain dengan pelbagai cara (fotostat, SMS, emel, kuliah, nasihat dll) kerana InsyaAllah kita akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya. Jangan berlengah dan segan-segan. Segala perbelanjaan dan usaha tenaga dalam kerja dakeah ini akan dianggap sebagai amalan sedekah, maka akan berterusan pahalanya walaupun selepas wafatnya. Umpama menanam sebutir gandum yang menghasikan 7 tangkai, setiap tangkai menghasilkan seratus biji dan teus membiak hingga tidak terhitung jumlahnya. Rujuk Al-Baqarah, ayat 261. Asalkan kita ikhlas dalam melaksanakannya kerana mencari keredhaan Allah.

Akan tetapi, AWAS! Jangan menyebar ilmu yang boleh merosakkan masyarakat kerana perkara ini amatlah dikeji.

Kaum wanita juga perlu menyedari bahawa dengan mendedahkan auratnya (berpakaian yang sendat, Jeans ketat di punggung, terdedah rambutnya dll), setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di suatu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikitpun kurang dosanya.” (Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sahih)

Termasuklah dalam entri mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki yang melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? Setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya? Ramai wanita yang bertudung, tetapi tidak menutupi dada, berbaju ketat/singkat dan berseluar sendat yang jelas menonjolkan alur punggung juga dikira tidak menutup aurat dengan sempurna kerana ia masih mengundang fitnah (godaan).

Luqman al-Haqim memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai matapelajaran tauhid. Makna tauhid pun tak tahu. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? Ada anak-anak mereka sempurna mendirikan solat lima waktu, tapi dalam masa yang sama mendedahkan aurat di khalayak ramai. Maknanya akidah anak mereka masih belum sempurna sebab ada ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh bab aurat – tidak mereka patuhi. (rujuk Surah Al-Ahzab: 59)

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Hentikanlah tabiat kita yang buruk selama ini. Misalanlah kalau anak-anaknya selalu melihat tabiat bapanya yang kaki judi, kaki rokok atau kaki belit, tak mustahil anak-anak dan keturunannya akan mewarisi sikap ini. Sanggupkah kita menanggung dosa terus menerus kerana mempelopori sesuatu kemaksiatan? Jadi, tunjukkanlah sikap yang baik pada anak-anak. Niat yang baik, InsyaAllah dapat yang baik.

Sekian, terima kasih.

Salam penuh ukhwah...;)

Sunday, 7 March 2010

Kecelakaan jalan raya...salah siapa?

Pada pagi Jumaat, 5 Mac 2010 yang lalu, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja seusai menghantar adik ke sekolah, saya telah ditimpa kemalangan tahap ringan. Ceritanya begini. Haritu sama seperti biasa. Saya menunggang motosikal pada kelajuan yang biasa saja. Ketika sedang asyik menunggang motor, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja melintasi perjalanan saya. Saya di lorong kanan. Kereta itu di lorong kiri memberi signal ke kanan. Jadi, tak semena-mena saya jadi bungkam. Terkejut disergah begitu. Dalam kekalutan saya menekan brek kaki sekuat hati. Brek kecemasan bagaikan hampeh, tak berapa nak berfungsi pula waktu tu. Saya tak sempat nak mengelak belakang kereta. Bahagian depan motor saya bertemu sisi kanan belakang kereta. Tapi mujur hentakan yang perlahan. Saya yang terkebil-kebil dan tercungap-cungap dalam keadaan terpinga-pinga dan kaku, akhirnya jatuh menyembah bumi. Saya ditimpa motor sendiri. Selipar tercampak entah ke mana. Tetapi, entah bagaimana saya boleh bangun dengan segera dan buat-buat tak sakit. Releks dan selamba. Terus bangunkan motor lalu menongkatnya. Kemudian tercari-cari, di mana selipar saya lagi sebelah? Saya ingat saya keseorangan, dan hanya diperhatikan saja oleh orang ramai. Rupanya, ada insan yang menghulurkan bantuan meski lewat. ‘Dik, ni selipar kamu’. Saya ambil dan sarungkan semula ke kaki. Terima kasih pak cik.

Proton Waja yang saya langgar tadi berhenti di bahu jalan. Saya saja yang tak tahu ke tepi. Mahu bagaimana, saya sedang kalut. Enjin motor mati serta-merta. Pemandu kereta menghampiri. ‘Dik, tak nampak akak beri singnal ke? Saya tak perasan, sebab saya di lorong kanan. Akak pula dari sisi kiri saya.’ Hmm, kalau akak tu teliti, mungkin dia perasan kesalahan juga ada padanya. Tapi, masa tu saya tak fikir apa, mahu segera dan tidak mahu berlama-lamaan di situ menjadi bahan tontonan. Pemandu Waja itu juga mungkin mahu segera ke tempat kerja. Bagaimana saya katakan tak nampak singnal kereta? Saya hanya beberapa meter di belakang Waja tersebut. Cuma yang bezanya kami di lorong yang berlainan. Saya tetap di lorong kanan. Bukannya memintas kereta Waja. Tetapi memang saya telah berada di lorong itu. Yang peliknya, akak tu dah tahu nak belok ke kanan, kenapa tidak terlebih dahulu ke lorong sebelah kanan? Atau kalau pun tak sempat tukar lorong, akak tu sepatutnya berhenti dan menunggu saya melepasinya dulu. Masakan akak tu tak nampak saya begitu hampir melalui cermin sisi atau cermin pandang belakang?

Saya segera meminta maaf kalau betul itu salah saya. Juga kesan calar di keretanya. Saya risaukan keretanya. Akak tu pula meminta maaf dan risaukan keadaan saya. Saya cuma risau jika pemandunya lelaki, datang memaki hamun saya dan meminta bayaran untuk keretanya yang bercalar itu. Huh! Alhamdulillah, saya tak apa-apa. Mujur akak tu sporting. Sama-sama minta maaf dan sama-sama risau. Saya tak cedera apa-apa, cuma sedikit lebam-lebam sana sini. Motor je la yang parah sikit. Side mirror patah kiri kanan. Ada calar-calar sikit kesan hentakan dan jatuh. Menceritakan detik kejadian, semua menyalahkan kereta Waja. Alhamdulillah, saya masih sihat. Syukur kerana Tuhan beri ujian dan amaran yang sedikit. Syukur juga dengan tersangat-sangatnya, sewaktu jatuh tak ada kenderaan lain di belakang. Kalau tidak, mungkin saya ditimpa malang lagi.Sebagai peringatan, kena berwaspada dan sentiasa beringat dalam apa juga keadaan. Ujian dari Allah itu dalam pelbagai cara dan sememangnya malang tidak boleh dibau.