Sunday 7 March 2010

Kecelakaan jalan raya...salah siapa?

Pada pagi Jumaat, 5 Mac 2010 yang lalu, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja seusai menghantar adik ke sekolah, saya telah ditimpa kemalangan tahap ringan. Ceritanya begini. Haritu sama seperti biasa. Saya menunggang motosikal pada kelajuan yang biasa saja. Ketika sedang asyik menunggang motor, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja melintasi perjalanan saya. Saya di lorong kanan. Kereta itu di lorong kiri memberi signal ke kanan. Jadi, tak semena-mena saya jadi bungkam. Terkejut disergah begitu. Dalam kekalutan saya menekan brek kaki sekuat hati. Brek kecemasan bagaikan hampeh, tak berapa nak berfungsi pula waktu tu. Saya tak sempat nak mengelak belakang kereta. Bahagian depan motor saya bertemu sisi kanan belakang kereta. Tapi mujur hentakan yang perlahan. Saya yang terkebil-kebil dan tercungap-cungap dalam keadaan terpinga-pinga dan kaku, akhirnya jatuh menyembah bumi. Saya ditimpa motor sendiri. Selipar tercampak entah ke mana. Tetapi, entah bagaimana saya boleh bangun dengan segera dan buat-buat tak sakit. Releks dan selamba. Terus bangunkan motor lalu menongkatnya. Kemudian tercari-cari, di mana selipar saya lagi sebelah? Saya ingat saya keseorangan, dan hanya diperhatikan saja oleh orang ramai. Rupanya, ada insan yang menghulurkan bantuan meski lewat. ‘Dik, ni selipar kamu’. Saya ambil dan sarungkan semula ke kaki. Terima kasih pak cik.

Proton Waja yang saya langgar tadi berhenti di bahu jalan. Saya saja yang tak tahu ke tepi. Mahu bagaimana, saya sedang kalut. Enjin motor mati serta-merta. Pemandu kereta menghampiri. ‘Dik, tak nampak akak beri singnal ke? Saya tak perasan, sebab saya di lorong kanan. Akak pula dari sisi kiri saya.’ Hmm, kalau akak tu teliti, mungkin dia perasan kesalahan juga ada padanya. Tapi, masa tu saya tak fikir apa, mahu segera dan tidak mahu berlama-lamaan di situ menjadi bahan tontonan. Pemandu Waja itu juga mungkin mahu segera ke tempat kerja. Bagaimana saya katakan tak nampak singnal kereta? Saya hanya beberapa meter di belakang Waja tersebut. Cuma yang bezanya kami di lorong yang berlainan. Saya tetap di lorong kanan. Bukannya memintas kereta Waja. Tetapi memang saya telah berada di lorong itu. Yang peliknya, akak tu dah tahu nak belok ke kanan, kenapa tidak terlebih dahulu ke lorong sebelah kanan? Atau kalau pun tak sempat tukar lorong, akak tu sepatutnya berhenti dan menunggu saya melepasinya dulu. Masakan akak tu tak nampak saya begitu hampir melalui cermin sisi atau cermin pandang belakang?

Saya segera meminta maaf kalau betul itu salah saya. Juga kesan calar di keretanya. Saya risaukan keretanya. Akak tu pula meminta maaf dan risaukan keadaan saya. Saya cuma risau jika pemandunya lelaki, datang memaki hamun saya dan meminta bayaran untuk keretanya yang bercalar itu. Huh! Alhamdulillah, saya tak apa-apa. Mujur akak tu sporting. Sama-sama minta maaf dan sama-sama risau. Saya tak cedera apa-apa, cuma sedikit lebam-lebam sana sini. Motor je la yang parah sikit. Side mirror patah kiri kanan. Ada calar-calar sikit kesan hentakan dan jatuh. Menceritakan detik kejadian, semua menyalahkan kereta Waja. Alhamdulillah, saya masih sihat. Syukur kerana Tuhan beri ujian dan amaran yang sedikit. Syukur juga dengan tersangat-sangatnya, sewaktu jatuh tak ada kenderaan lain di belakang. Kalau tidak, mungkin saya ditimpa malang lagi.Sebagai peringatan, kena berwaspada dan sentiasa beringat dalam apa juga keadaan. Ujian dari Allah itu dalam pelbagai cara dan sememangnya malang tidak boleh dibau.

No comments: