Friday, 30 December 2016

Travelog Penang, 251216

Pada 25 Disember 2015, aku dan Dayang telah memulakan perjalanan ke Pulau Pinang. Tujuan utama kami adalah untuk menyaksikan Teater Kota Kelip-kelip anjuran TFTN yang dilakonkan oleh anak-anak TFTN. Kebetulan memang ada wakil daripada Maahad Tahfi Anak Yatim Darul Fuqaha Bangi, sekolah yang aku selalu pergi saban minggu sebab menjadi sukarelawan di situ. Jadi, aku terus menempah tiket untuk dua orang tanpa berfikir panjang.

Perjalanan ke Pulau Pinang adalah lebih kepada jalan-jalan makan angin sebab yang pertama, belum pernah travel dengan Dayang dan kedua, aku suka Penang dan loghatnya.

Sebenarnya ada beberapa peristiwa tidak menyenangkan yang terjadi diawal kembara kami. Aku sangat bengang dengan sistem pengangutan awam di Malaysia ni. Tiket bas yang dibeli akan bertolak pada jam 6.50 pagi dan kami telah keluar rumah seawal jam 5 pagi. Tetapi malangnya, sebaik tiba di TBS, bas tersebut tidak muncul dan pegawai bertugas pada mulanya memberitahu bahawa bas tersebut mengalami kelewatan. Selepas hampir setengah jam menunggu, pegawai tersebut sekali lagi memberitahu kami bahawa bas tidak akan datang atas sebab teknikal dan akan digantikan dengan bas lain pada jam 9.00 pagi. 

"Atau kalau Cik nak cepat, boleh cuba cari tiket bas lain jika ada."

Aku dah mula menyumpah seranah waktu tu. Rasa nak hempas meja. Aku naik semula ke kaunter tiket dan Dayang beratur untuk bertanyakan tentang tiket bas yang lain. Manakala aku sedang mencuba nasib mencari tiket bas di kiosk berhampiran. Tiada. Memang tiada tiket on-the-spot beli sebab cuti sekolah dan Krismas.

Selepas meninggikan suara dan gertak sikit di kaunter tiket, barulah kami diberikan tiket bas yang baharu dan akan bertolak jam 9.30 pagi. Lega tapi masih marah. Banyak plan asal kami tergendala gara-gara tiket bas yang macam apa dah.

Jadi di sini aku kongsikan beberapa keping gambar-gambar yang sempat aku ambil sepanjang satu hari setengah keberadaan kami di sana. 

*gambar yang sama juga ada dimuatnaik di facebook dan instagram*




Terjumpa kedai kopi. Ni baru betul-betul hipster. Uncle ni cakap dia proses sendiri biji kopi tu.
Kat kedai dia ni ada jual pelbagai jenis poskad yang cantik-cantik.


Buku-buku lama yang dijual di Lebuh Armenian. Rare betul uncle ni.
Ini Dayang. Pemalu orangnya :)

Kagum dengan bakat adik-adik ni berlakon.
Ada tiga orang wakil dari Fuqaha, sekolah maahad tempat aku mengajar setiap minggu


Sekian, terima kasih.

Saturday, 17 December 2016

YYBTN Merdeka!

Maaf untuk post yang terlewat.

Pada tanggal 27 hingga 30 Ogos yang lalu, saya telah mengikuti pakej Merdeka GEMA Selangor Backpackerz mendaki ke gunung Yong Yap, Bubu dan Tok Nenek (YYBTN). Trip ni saya sertai sebab dah lama tak pergi hiking. Jadi, saya terus bersetuju selepas Nina ajak dalam Whatsapp group

Sebelum saya bercerita tentang pengalaman sepanjang empat hari di sana (27 hingga 30 Ogos), saya nak cerita dulu tentang training untuk misi tersebut. Misi tiga puncak, haruslah kena kuat mental dan fizikal yang gempak.

Untuk sesi latihan berkumpulan, kami telah merancang untuk mendaki Gunung Datok dan Bukit Kutu. Tetapi, saya hanya sempat menyertai sesi latihan berkumpulan ke Bukit Kutu sahaja. Semasa latihan di Bukit Kutu saya sempat melatih diri untuk membawa beg yang berat berisi rambutan (ha ha ha) sebab nanti nak kena bawa beg 40-50 liter. Najwani cakap, "Tak payah bawa beg la, dukung kita je naik sampai atas." Cissss! Selebihnya, saya berlatih sendiri. Antaranya, membuat larian pagi sebelum pergi kerja sebanyak tiga atau lima kilometer, mendaki Bukit Broga belakang rumah dan mendaki Gunung Angsi (ni je yang mampu huhu). Selain daripada training, kami juga digalakkan untuk makan karbohidrat dengan banyak kerana memerlukan tenaga yang sangat banyak di dalam hutan nanti.

26 Ogos 2016,
Shah Alam

Maka, tibalah hari yang dijanjikan. Saya sampai agak lewat ke tempat berkumpul sebab balik kerja lambat. Last minute bos minta sales report 2015 dan 2016. Menggelabah aku nak siapkan. 6.45pm baru keluar ofis dan terus pulang ke rumah, bersiap dan terus keluar rumah selepas Maghrib. Tepat jam 11.20pm kami bergerak meninggalkan Terminal Bas Seksyen 13, Shah Alam. Seramai 31 orang termasuk 7 orang perempuan telah menyertai misi ini. Kira-kira jam 12am, bas berhenti di RnR Sungai Buloh untuk kami makan dan membeli ration terakhir sebelum misi esok.

27 Ogos 2016,
Lojing, Kelantan

Kami tiba di Surau Kampung Rengil kira-kira jam 2 pagi. Cuaca sangat sejuk sebab Lojing terletak di hujung Tanah Tinggi negeri Pahang. Kami turun dari bas bersama beg masing-masing. Sedikit taklimat untuk kami dan pembahagian ration untuk setiap orang. Saya mendapat bungkusan untuk makan malam hari pertama mengandungi beras dan beberapa makanan kering yang lain. Kemudian, barulah kami dibenarkan tidur dan berehat menanti hari siang.

Apabila hari sudah siang, kami berkumpul bersama beg masing-masing. Sebelum tu, Nina dan Isma sempat membantu saya adjust muatan di dalam beg. Pergh, berat gila weh. First time aku nak bawa muatan ni panjat gunung.

Antara senarai barang yang dibawa adalah:

1. Pakaian hiking sepasang
2. Pakaian pergi dan bali sepasang
3. Pakaian tidur sepasang
4. Beg hiking 50L (perempuan), 60L (lelaki) + rain cover
5. Kasut hiking
6. Carry mat + sleeping bag
7. Stokin
8. Headlamp
9. Ubat-ubatan
10. Toileteries
11. Plasti sampah besar
12. Poncho aka baju hujan
13. Tuala
14. Jaket/windbreaker
15. Bekas makanan/cawan plastik
16. Air mineral 1.5L
17. Botol kosong 3L
18. Wet tissue
19. Selipar
20. Wuduk spray
21. Lighter
22. Tali
23. Lilin
24. Pisau lipat

Haaa banyak kan? Ni antara senarai yang saya bawa, empat yang terakhir tu option untuk diri sendiri jika tersesat di dalam hutan. Haritu, sempat tanya Nina pakaian tu nak bawa macam mana? Maklumlah, saya tak pernah survive dalam hutan selain Ringlet untuk misi 3 Peaks Project tahun lepas. Jadi, Nina bagi tips, untuk hiking pakai baju sepasang saja untuk dipakai berulang-ulang selama empat hari tu. Untuk tidur malam baju lain yang kering dan selesa. Stokin kena banyak. Hari terakhir nanti kalau tak selesa boleh pakai baju tidur. Jadi, boleh jimat berat di situ. Tak perlu bawa baju banyak. Dan Nina kongsikan juga beberapa tips lain untuk perempuan. 


Sebelum bergerak meninggalkan surau, kami dibekalkan dengan lunch pack nasi berlaukkan sambal ikan bilis yang telah dibeli siap-siap di kedai makan berhampiran surau. Kira-kira jam 8.30 pagi kami menaiki dua buah 4 wheel untuk masuk ke starting point.

9.00am, Kampung Orang Asli Rengil, Lojing

Tiba di starting point, kami mengemaskan beg, memanaskan badan, membuat sedikit regangan, membaca doa dan bergambar kenangan sebelum bergerak memasuki ke hutan. Peringkat pertama kami perlu melalui perkampungan Orang Asli. Sempat memberikan beberapa biji coklat dan gula-gula (ihsan dari group lelaki) kepada anak-anak orang Asli di situ. 

Warna-warni beg kami :)
Pendakian pada hari pertama adalah santai saja. Tidak begitu tough. Masing-masig boleh bergelak ketawa dan kejar mengejar antara satu sama lain. Banyak sungai yang kami lalui, tak terkira berapa semuanya. Ada satu sungai yang berdekatan dengan air terjun yang tinggi, apa lagi semua orang bermandi manda lah di situ. Kira-kira jam 1 tengahari, kami berehat di sebatang sungai yang mengalir deras. Di situ, kami berehat sambil menikmati juadah makan tengahari nasi berlaukkan sambal ikan bilis petai. Nikmat!

3.30pm, Kem Agas

Lebih kurang jam 3.30 petang, kami tiba di tapak perkhemahan pertama kami iaitu Kem Agas. Saya difahamkan, di situ terdapat banyak agas yang beterbangan apabila waktu maghrib menjelma. Banyak dia sehingga nak solat dan makan pun tak khusyuk dan agas ini sangatlah gatal kalau terkena gigitannya. Tidur malam pun tak lena. Sebab itulah kami digalakkan memakai buff, stokin dan sarung tangan, tutup selagi boleh tutup. Begitulah khabarnya. 


Kem Agas terletak bersebelahan sungai, jadi cukuplah untuk kami membersihkan badan, memasak dan membasuh. Perkara pertama yang kami lakukan setibanya di kem tersebut adalah mendirikan khemah. Kemudian, membersihkan diri dan menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar. Sementara beberapa orang yang lain menyediakan juadah untuk makan malam, kami membuat bulatan untuk sesi taaruf. Waktu itulah baru kami tahu nama dan sedikit latar belakang masing-masing. Alhamdulillah, juadah makan malam itu adalah nasi bersama lauk ayam masak sambal. Nikmat betul, makan sambil mendengarkan bunyi-bunyian air sungai yang mengalir. Selepas makan, kami menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak. Dan sehingga selesai waktu Isyak, saya masih belum nampak agas tersebut. Dan kami tidur dengan begitu lena.

28 Ogos 2016
7.30am, Kem Agas

Bergambar di Kem Agas sebelum menyambung pendakian menuju puncak Yong Yap
Suasana pagi tu sangat dingin. Turun ke sungai saja sudah menggigil apatah lagi ketika menyentuh permukaan air sungai yang sejuk, kebas tangan dan muka. Selepas membersihkan diri dan solat Subuh, kami bersarapan bihun sup ayam yang disediakan oleh AJK makanan. Selepas bersarapan, kami membuka khemah dan mengemas tempat masing-masing. Semasa mengemas ni lah baru agas nak datang. Betul kata Amar, gigitan agas ni sanagat gatal. Kemudian, kami sempat bergambar kenangan sebelum bergerak menuju ke puncak Yong Yap. Khabarnya, untuk pendakian ke puncak ini sangatlah pacak dan mencanak. Bersedia saja mental dan fizikal.

12.45pm, Kem Balak Pecah


Sepanjang perjalanan, ada beberapa take five yang kami ambil. Sehingga pagi itu saya masih mampu bertahan dan masih bertenaga. Tak adalah lembik sangat macam di Bukit Kutu tempoh hari. Beg berat pun rasa seperti sudah sebati dengan diri. Setelah melalui trek yang sangat panjang, kira-kira jam 12.45 tengahari, kami berhenti berehat seketika sambil menikmati makanan tengahari di kem Balak Pecah. Makanan tengahari kami adalah tortilla ayam bersama salad rangup yang sudah dipack siap-siap ketika bersarapan pagi tadi. Entah bila agaknya mereka siapkan makanan ni, terharu rasa. Sedap pulak tu.


Cuaca waktu tu sejuk dan berangin. Penat dan mengantuk, jadi ramai yang menyarung wind breaker untuk memanaskan badan. Tak kurang juga ada yang menyarung plastik hitam di badan sebab plastik hitam tu tebal dan besar dan dapat membekalkan haba yang banyak, boleh cuba lepas ni ya. Tak payah beli baju sejuk lagi dah hihi. Selepas melepaskan lelah lebih sejam, kami meneruskan perjalanaan menuju puncak pertama.

3.00pm, Water Point

Selepas kira-kira dua jam perjalanan, kami bertemu dengan water point terakhir. Ini adalah peluang terakhir kami untuk mendapatkan belakan air. Perjalanan seterusnya tiada punca air. Kami perlu membawa botol air yang telah kosong untuk turun ke bawah sedikit dan melalui jalan di lereng bukit yang sangat curam. Punca air di situ sangat kecil, halus saja. Saya sempat mengisi dua botol 1.5 liter sahaja. Satu botol untuk company dan satu botol lagi untuk kegunaan sendiri. Mujur saya ada baki satu botol lagi air minuman. Botol-botol yang telah berisi air ini perlu dibawa ke puncak untuk kami survive sehingga keesokan hari. Makin berat beg yang perlu dipikul.


Selepas semua pendaki mengisi air masing-masing, kami meneruskan perjalanan untuk lebih maju kehadapan. Beg semakin berat, laluan semakin pacak.

Kira-kira 45 minit perjalanan, kami tiba di persimpangan Yong Yap. Tumbuhan berlumut sudah mula kelihatan. Kami berehat sekejap, bergambar dan meneruskan semula perjalanan.


Perjalanan kami seterusnya dihidangkan dengan pemandangan hutan yang sangat cantik. Tumbuhan berlumut tumbuh di sana sini. Dahan-dahan pokok dan ranting-ranting patah juga diliputi oleh lumut. Tiba-tiba teringat Mossy Forest tahun lepas. Ah rindu!


Disepanjang perjalanan melalui denai-denai berlumut ini satu perkara yang menarik perhatian saya adalah Periuk Kera. Betapa banyaknya tumbuhan itu di sini, pelbagai warna, bentuk dan sais. Tak henti-henti saya mengambil gambar pelbagai jenis Periuk Kera di sini.



Kalau dii Mossy Forest saya jumpa periuk Kera yang cantik, tahun ni saya jumpa yang lebih cantik dan sanagt besar. Isma cakap, kalau hutan di Sabah, Periuk Kera nya lebih besar dari yang ini.

5.00pm, Puncak Yong Yap

Alhamdulillah, kira-kira jam 5.00pm kami berjaya tiba di puncak Yong Yap walaupun perjalanan menuju puncak itu sangatlah pacak gila. Sewaktu kami tiba, hujan pun turun. Puncak Yong Yap kecil saja, tak luas manapun. Cukuplah untuk kami mendirikan khemah masing-masing. Semasa kami sampai di puncak, sudah ada group pendaki lain sampai dan mendirikan khemah terlebih dahulu. Mereka tak ramai, lebih kurang 10 orang. Team kami yang berada di hadapan telah selamat sampai  lebih awal dan memasang khemah, fly dan ground sheet untuk memasak juadah untuk makan malam.

Syoknya hujan, kami menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar di dalam khemah bertemankan bunyi-bunyian hujan dari langit di puncak Yong Yap. Selepas solat, geng lelaki memanggil kami untuk makan. Waahh seronok rasanya, sebab ada orang sediakan makanan lepas tu siap panggil gadis-gadis ni untuk makan. Menu malam tu sedap betul, nasi putih berlaukkan daging deng deng emak Afiq. Sedap daging dia weh, kau patut cuba. Emak Afiq buat business katering, memang padan la sedap dia. Selepas makan malam, solat jamak Maghrib dan Isyak, kami duduk berteleku saja di dalam khemah disebabkan hujan semakin lebat. Jadi, bagi membunuh masa itu, kami pun membuat sedikit sharing setiap ahli (wanita sahaja ya). Kami sharing sambil membuat sesi mengurut kaki dan sengal-sengal di badan sampai tertidur, haha. Penat betul.

29 Ogos 2016
Puncak Yong Yap 2168m

Cuaca pagi tu sejuk sangat. Angin yang bertiup kuat menjadikan kami lebih lena tidur di dalam khemah. Hujan semalaman menjadikan khemah kami lembab. Sleeping bag basah. Usai menunaikan solat subuh, saya terdengar tapak kaki berlari-lari di tepi khemah. Rupanya team lelaki sudah berlari ke hujung puncak untuk melihat pemandangan indah dan mengambil gambar. Apa lagi, kami pun terus keluar dari khemah dan turut berlari mengikut jejak mereka. Untuk melihat view cantik kami perlu berjalan keluar sedikit lebih kurang 30 meter. Dan, alhamdulillah dengan izin Tuhan kami dapat ke sini.

Pre-Merdeka celebration at Yong Yap. Eheh!

Spot tiga ketul Periuk Kera.

MasyaAllah, cantik sungguh view dia. Secantik-cantik view dalam gambar, cantik lagi view sebenar. Terpaku sekejap masa tu. Tapi view puncak-puncak gunung tu semua tak lama sebab awan berarak terlalu cepat menutupi puncak. Suhu sejuk dan berangin. Perasaan waktu tu sangat terharu sebab diizinkan Tuhan untuk berada disitu. Yelah, saya tak pernah mendaki setinggi ini, tidur di puncak dan bangun panginya terus dapat melihat keindahan ini. Rasa nak telefon mak sambil buat video call nak tunjuk pemandangan ni dekat famili, tapi malangnya, tiada coverage di puncak huhuhu.


Inilah tujuh orang gadis tabah yang memanjat Yong Yap
Selain pemandangan puncak gunung dan awan yang indah, saya tertangkap satu lagi objek indah lain. Periuk Kera. Rupanya, Periuk kera di atas puncak lebih cantik dan warnanya sedikit cerah berbanding di dalam hutan sepanjnag treking di kawasan berlumut semalam. Sempat capture beberapa keping gambar Periuk Kera yang besar dan cantik!

Periuk Kera di puncak Yong Yap, betul-betul terdedah menghadap langit.
Ni Periuk Kera di puncak Yong Yap juga, tetapi terlindung sedikit di bawak pokok-pokok renek.
Mujur ada Lumix LX3 yang menjadikan gambar-gambar ni semua cantik.

Setelah puas bergmbar sakan dengan berbagai aksi dan gaya, kami kembali ke tapak perkhemahan untuk sarapan pagi, juga disediakan oleh team lelaki. Selepas makan, kami mula mengemas barang-barang dan membuka khemah. Mana yang nak membuang tu kita dahulukan sesi membuang di pagi hari sebelum khemah dibuka.

Jangan salah anggap ye, yang bersidai itu adalah stokin basah haha.


Selepas siap mengemas, kami bergambar kenagan dengan semua team. Semua orang sudah mengenakan tshirt khas yang kami tempah untuk YYBTN berwarna oren.


Belon tu adalah ehsan daripada team lagi satu yang sampai dulu dari kami. Pinjam untuk bergambar sekejap.

Plate yang diikat khas oleh Gema Selangor Backpackerz sebagai kenangan.

Selepas selesai semuanya, dengan berat hati kami meninggalkan puncak Yong Yap pada jam 10.30 pagi. Kami meneruskan langkah menuruni puncak Yong Yap untuk ke puncak gunung seterusnya iaitu Gunung Bubu. Cabaran sangat tinggi untuk ke gunung Bubu ni sebab trek dia sangat mencanak gila. Di sepanjang laluan ini juga kami diuji dengan kecederaan yang dialami oleh seorang pendaki wanita iaitu Atiqah aka Tokie. Hujung jari kaki dia tercedera akibat tekanan daripada kasut getah yang baru pertama kali dipakai. Jadi, langkah kami pun sedikit perlahan. Kami join kumpulan sweeper je la nampaknya, sebab sweeper pun ada membawa dua orang lagi pendaki lelaki yang tercedera kakinya iaitu Din dan Tufik. Tak apa, tak lari gunung dikejar.

3.15pm, Puncak Gunung Bubu 1657m

Oleh kerana trek yang agak kejam kira-kira 300 meter sebelum puncak dan kaki Tokie semakin sakit, kawan-kawan lain tertinggal agak jauh terkebelakang. Jadi, saya deraskan langkah menuju ke puncak. Malas nak tunggu sebab nanti mengantuk sebab saya sudah beberapa kali mengantuk dan tertidur sekejap di dahan pokok sampai kena tegur dengan Edi, "Salha, jangan tidur!" Jadi, saya berjalan sendirian dengan pantas. Malangnya, saya terkandas di pacak 90 darjah. Kahkah. Tu la, berjalan sendirian lagi. Saya tunggu sekejap sambil merenung pacak 90 darjah. Tak berapa lama kemudian, geng pendaki yang bersama kami di puncak Yong Yap pun tiba. Beliau sendirian juga. Saya cakap, "Takpe naik dulu." Haha. Saya melihat cara dia naik, nak pijak mana, nak pegang mana. Kemudian saya cuba sendiri dan akhirnya, berjaya sampai atas.

Jalan lebih kurang 50 meter ke hadapan, saya pun sampai ke puncak Bubu. Masing-masing senyap, kelihatan letih. Saya dalam keadaan tercungap-cungap terus duduk di sebelah Ita dan Isma, mereka dah sampai dulu ikut group lelaki. Fareez aka gogo kami berikan saya beberapa hiris timun. Katanya untuk basahkan tekak. Errr kenapa timun? Why? Aku tak makan timun mentah macam ni. Tapi masuk juga ke dalam mulut sebab tekak dah kering betul masa tu.

Di puncak Bubu ni tak ada view sangat sebab dilitupi awan tebal. Mungkin ada, tapi kena cari macam di Yong Yap, masuk ke semak-semak sikit baru nampak view. Tapi memang tak sempat la nak cari sebab sampaipun dah lewat, penat dan lapar. Jadi, kami bergambar saja di papan tanda Gunung Bubu dan kuali yang tergantung tu haha.

Bila upload gambar di facebook, ramai yang kata kuali tu tergantung dekat beg aku lol.

Sambil menunggu Madi, Nina dan Tokie saya pun membuka bungkusan makanan tengahari yang telah dibungkus siap-siap pagi tadi untuk makan. Nasi putih berlaukkan ikan bilis ketuk. Entah bila diorang masak ni entah. Tekak tak berapa lalu nak makan sebab penat dan lesu. Badan memerlukan air yang banyak, tapi mengenangkan air botol dah tinggal sedikit dan jauh lagi perjalanan untuk ke water point seterusnya (Tok Nenek tak sampai lagi ni woi!), saya simpan saja air di dalam beg.

Sewaktu saya sampai tadi, group di barisan hadapan bersama guider Emai sudah mahu berangkat. Pukul berapa agaknya mereka sampai? Madi, Nina dan Tokie sampai ke puncak hampir jam 4.00 petang. Masing-masing kepenatan. Group yang  cedera bersama sweeper Naufal, Din, Iwan dan Taufik masih belum kelihatan di puncak Bubu ni. Bagaimana agaknya keadaan mereka. Sudah makan ke belum? Selepas makan, kami berwuduk dan menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar. Rintik-rintik hujan mulai turun di puncak gunung Bubu. Terasa syahdu pula menunaikan solat di bawah hujan renyai dan terik matahari dengan berhamparkan ground sheet. Hukhukhuk.

Ni gambar sebelum memulakan langkah untuk ke Tok Nenek pula. Ceria sikit selepas makan dan bersembang-sembang.
Jam 4.40 petang, kami mengatur langkah untuk ke destinasi seterusnya, Gunung Tok Nenek. Di depan kami ada Isma, si shooter yang sangat pantas dan tak reti penat. Dia jadi guide kami petang tu. Hujan gerimis adakala lebat setia menemani perjalanan kami. Seronok hujan waktu hiking, rasa sejuk sikit badan ni. Penat pun boleh jadi bahagia.

Ketika waktu menghampiri jam 6 petang, Isma berpesan supaya lajukan langkah untuk ke Tok Nenek sebab kalau lambat nanti pukul 7 dah gelap. "Kalau pace macam ni, bila nak sampai?" Susah juga nak berjalan dalam gelap. Waktu tu kami jalan rapat-rapat. Isma cakap jaga jarak, jangan terlalu jauh. Kami terjumpa Afiq di Kem Lopak. Dia sedang tidur berbungkuskan sleeping bag menunggu kami. Alhamdulillah, lega sebab ada seorang lelaki dalam group kami. Perjalanan seterusnya, Afiq menjadi sweeper.


6.55pm, Puncak Kayong

Jam 6.55pm ketika menghampiri waktu Maghrib barulah kami tiba ke puncak Kayong. Di situ, Fareez, Nizam, Yunuss dan Bad sedang sedia menunggu. Kami berhenti sekejap sambil melihat sayup-sayup bayang puncak Tok Nenek. Syahdu je rasa sebab tak sempat sampai waktu cerah. Apa pun, misi YYBTN tetap diteruskan. Azan Maghrib dilaungkan di puncak itu. Selepas azan, kami memakai head lamp masing-masing dan kembali mengatur langkah menunuju Tok Nenek.

Ini saja gambar kenangan yang ada semasa kami di puncak Kayong, melihat Tok Nenek dari kejauhan pada waktu senja.
Perjalanan seterusnya walaupun menurun tetapi menjadi sangat sukar kerana hari semakin gelap. Saya mempunyai head lamp yang sangat besar. Spotlight yang dibelikan Uda di kedai hardware di kampung sangat membantu sebab saiznya besar dan terang seluruh alam gituh. Memang sengaja saya suruh Uda yang belikan head lamp sebab dia reti sikit. Saya dah serik beli di Mr DIY, baru guna sekali dah rosak. Head lamp ini biasa dipakai oleh penoreh getah ketika menyuluh di waktu pagi. Teringat zaman dulu, sewaktu emak dan abah masih menoreh getah, gelap pagi dah pakai lampu ni di kepala untuk menyuluh.

Ok, sambung cerita YYBTN. Sepanjang perjalanan, Tokie asyik mengaduh setiap kali kakinya tersepak sesuatu. Kasihan melihatnya. Jam waktu tu menunjukkan pukul 8 malam. Puncak Tok Nenek masih belum kelihatan. Yunuss kata dah tak jauh, hemmmm. Saya semakin lapar dan dahaga. Rasa mengantuk dan sangat letih mengenangkan nasib diri bergelandangan di dalam hutan. "Bila nak sampai ni? Perut dah lapar, kepala dah pening." Saya mengulang-ulang ayat ini di dalam hati.

8.45pm, Puncak Kambing

Kira-kira jam 8.45 malam, kami tiba di puncak Kambing. Khabarnya, puncak ini adalah suatu persimpangan untuk naik ke puncak Tok Nenek dan akan melalui puncak ini juga untuk turun ke camp site yang akan dituju di mana terdapat sungai di situ untuk kita bermalam. Lega rasanya dah sampai situ. Saya sempat beritahu kepada semua,

"Apa kata kita tak payah ke puncak. Terus je turun ke camp site, nanti nak turun sini juga kan? Lagipun dah malam ni tak nampak apa pun."

"Tak YYBTN la kalau tak naik."

K fine. Saya dah exhausted sangat dah waktu tu, ditambah pula dengan lapar. Dalam beg cuma ada biskut saja. Botol pula sudah kehabisan air. Sungguh, pendakian ini sangat menguji mental dan fizikal. Apa aku tak cukup training lagi ke? Mungkin fizikal ya, tetapi mental belum cukup untuk berhadapan semua ini.

Jadi, kami semua teruskan juga misi ke Tok Nenek. Beg semua kami tinggalkan di puncak Kambing. Ringan sikit nak mendaki. Sepanjang pendakian dari puncak Kambing ke Tok nenek, jalan berbatu-batu dan kami perlu memeluk dan melangkah batu-batu yang sangat besar. Ada beberapa ketika saya hampir tergelincir sebab permukaan yang licin dan berpasir.

9.30pm, Gunung Tok Nenek 1916m

Menurut Google, Gunung Tok Nenek mempunyai pemandangan yang sangat cantik mengalahkan puncak Yong Yap. Dengan permukaan yang berbatu kapur, pemandangannya sangat cantik dari tebing-tebing puncak. Tetapi, malangnya kami sampai ke sana pada waktu malam yang gelap. Hanya head lamp menjadi penyuluh jalan. Waktu tu, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sejuk. Dari jauh kelihatan cahaya lampu terang benderang dari arah Cameron Highland.

Selepas melepaskan lelah beberapa ketika di puncak Tok Nenek dan tetap bergambar kenangan di dalam gelap gelita (ada gambarnya tetapi tak berapa jadi, gambar kabur), kami segera turun ke puncak Kambing, mengambil beg dan mulai turun ke camp site. Selepas turun dari puncak Tok Nenek, keadaan laluan sangat curam, berbatu dan berpasir memaksa kami agar lebih berhati-hati semasa turun. Laluan turun lebih mencabar sebenarnya.

Sewaktu lebih kurang sejam lebih perjalanan turun, kami berjumpa dengan group yang terkehadapan dari kami, mereka sedang menunggu kami sambil menyalakan unggun api sebab risau katanya. Tetapi beberapa orang shooter lain dah turun dulu sebab nak prepare makanan dan masak air untuk kami yang kepenatan. Katanya, tak jauh dah perjalanan untuk sampai bawah. Lama juga diorang tunggu kami. Eira cakap, itupun Arekim push dia supaya cepat kalau tak mesti Eira pun join kami sekali huhu. Power betul Eira, laju!

Jam 10.00 malam belum sampai. Katanya dah dekat. Waktu tu, keadaan saya sudah tidak bermaya. Lapar, haus dan mengantuk yang teramat sangat. Beberapa kali juga saya berhenti terduduk di atas dahan. Saya mula menyalahkan semua orang. Lambat, kalau laju semua tak jadi macam ni. Kita boleh sampai on time. AJK salah buat tentatif ke?

"Kenapa jauh sangat drag masa dia, sekarang dah pukul 10 tak sampai camp site lagi? Sepatutnya AJK makanan membekalkan kita makan malam. Tak tahu ke kita dah lapar? Kali terakhir makan pukul 3pm tadi tahu tak? Diorang tak reti estimate masa ke masa buat trip empat hari YYBTN ni. Tak boleh ke kita berhenti dan tidur saja di Tok Nenek ni?"

Begitulah saya membebel sepanjang masa turun. Jam 11.00 malam pun tak sampai lagi. Kalau orang gunung gelar ni sebagai sindrom 'pewai.' Memang pewai dan mental teruk. Puas Ita dan yang lain-lain menenangkan, "Sabar. Kita tak jangka semua ni terjadi. Ada yang injured kan?" Bad la yang banyak menenangkan sebab dia berjalan di belakang saya. Sabar je lah ya Bad. Sampai suatu ketika, Amirul dan Madi memintas saya. Punya bersemangat betul diorang ni, minum tongkat ali ke apa.

"Lapar."

Kemudian Madi menghulurkan asam. "Makan asam ni, bagi rasa masam sikit tekak tu." Ya, betul. Bertenaga sikit waktu tu. Betul saya lapar teruk bercampur penat. Kawan-kawan perempuan yang lain juga saya lihat begitu. Tokie dengan kakinya yang cedera, Nina dah tertidur-tidur di trek, Isma nampak macam dah nak demam, kejap-kejap terduduk di dahan kayu. Madi je yang bersemangat waja dengan Amirul. Huhuhu.

12.20am, Kem Berlumut

Alhamdulillah. Setelah penat berjalan, dari kejauhan kami telah terlihat lampu suluh melambai-lambai dari bawah menandakan kami sudah hampir sampai. Kami delay enam jam dari jangkaan waktu seperti yang tertulis dalam tentatif. Setibanya di camp site, group lelaki yang telah sampai terlebih dahulu telah menyediakan minuman panas dan mee segera untuk kami. Alhamdulillah, syukur sangat. Terasa seperti baru lepas keluar dari medan perang. Selepas berehat seketika, kami pergi ke sungai untuk membersihkan diri, cuci muka, cuci kaki. Nikmat betul dapat mencicahkan kaki ke dalam air. Memandangkan khemah ada pada Iwan dan Iwan pula bersama dengan group terakhir yang cedera iaitu Din dan Taufik, jadi kami memasang fly dan ground sheet untuk bermalam. Selepas menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak, kami makan biskut pula bersama air teh lemon yang disediakan Naufal. MasyaAllah sedap sungguh! Kira-kira jam 2 pagi kami tertidur.

Pada jam 3 pagi, saya terdengar suara riuh rendah dari luar khemah. Rupa-rupanya, group terakhir sudah selamat sampai. Alhamdulillah. Kami terlalu risau sebenarnya dengan keadaan mereka. Kami yang sihat pun sudah mental teruk apatah lagi mereka yang tercedera. Akhirnya semua orang tertidur dengan lena kepenatan.

30 Ogos 2016,
Kem Berlumut

Pagi tu, masing-masing terlewat bangun, Subuh gajah gamaknya. Alhamdulillah, dapat tidur dengan lena di atas bonjolan akar walaupun sleeping bag basah dan ground sheet bergenang air di hujung kaki sebab hujan lewat malam tu.

Selepas bersarapan dan berkemas, kami bergerak meninggalkan Kem Berlumut secara berkumpulan. Sebelum bergerak, Eira sempat merawat luka Tokie dan balut dengan bandage. Oh ya, Eira adalah pharmacist, jadi banyak betul ubat-ubatan yang dibawa dan termasuk juga berkongsi tips-tips kesihatan sepanjang hiking hehe.

Sebelum meninggalkan Kem Berlumut, sebenarnya ada satu benda yang saya cari iaitu stokin panda lagi sebelah. Mana tah hilangnya. Semasa mengemas saya ada nampak, lepas dah settle semua terus tak nampak dah. Mungkin dah masuk dalam plastik sampah barangkali. Waaa sedih sebab tu stokin kesayangan dan comel pulak tu.


1.50pm, Kem Kicap

Kami berjalan dengan sangat laju. Tokie pun dah boleh jalan dengan baik selepas dirawat. Dah tak rasa sakit lagi dah. Perjalanan kami agak lama juga, pukul 1.30 tengahari baru sampai di Kem Kicap untuk makan tengahari, spageti. Sebab apa nama dia Kem Kicap pun kami tak tahu, yang pasti ada sebotol kicap tergantung di sebatang pokok.


Selepas Kem Kicap, perut saya dah mula meragam. Ah sudah, jangan la buat hal. Takkan nak membuang on track pulak. Yelah, empat hari duduk dalam hutan aku tak membuang langsung hahaha. Tanpa berlengah, saya mula berjalan dengan laju mengekori Emai, Azlan dan Akmal di barisan hadapan sekali dengan harapan agar segera sampai dan saya nak membuang dengan bahagia. Perjalanan seterusnya kami akan menyeberangi banyak anak sungai.

Setiap anak sungai yang dilalui, batu-batu seperti ini akan disusun sebagai tanda laluan bagi memberi isyarat kepada orang di belakang supaya mengikuti laluan bertanda batu bersusun ini.
Laju betul pace Emai, patut la digelar banggaid. Sampai suatu tahap saya dah tak terkejar, saya mampu mengejar Akmal saja dan waktu saya dan Akmal, memang dah tak nampak bayang Emai langsung. Yang di belakang apatah lagi. Jadi kami pun berjalan seperti biasa sambil berborak-borak kosong dan menghitung waktu, "Jauh lagi ke, aku dah tak tahan ni."

4.00pm, Persimpangan Tok Nenek

Tapi, mujur juga ada Akmal, jadi tidak lah berseorangngan semasa melalui jalan-jalan yang sukar di celah-celah pokok buluh yang tumbang tu. Kejam betul buluh tu. Asyik tersangkut beg saja. Akhirnya, kami bertemu dengan Persimpangan Tok Nenek. Lama kami berhenti berehat di sini. Makan, minum dan solat jamak Zuhur dan Asar. Emai siap buka dapur masak nasi dan lauk ikan bilis campur bawang campur petai dan sedikit tempoyak durian. Bau dia, perghhh menusuk kalbu!

Akmal dan Emai sedang memasak tempoyak durian.
Itulah Emai, banggaid kita. Tak kacau orang tak sah.

Setelah selesai semua urusan, kemi pun berangkat meninggalkan Persimpangan Tok Nenek menuju ke destinasi terakhir iaitu Kampung Orang Asli sewaktu kami mula datang haritu. Tak jauh dah. Selepas rasa sedikit nasi dan tempoyak durian buatan Emai tu perut saya rasa macam memulas pulak. Uwaaaa.

Perjalanan seterusnya sedikit perlahan sebab aku tengah menahan nak buang air besar ni haha. Orang lain bukan main laju sebab nak cepat sampai, tetapi saya semakin perlahan. Tak apalah, paling tidak pun group Iwan dan Naufal ada lagi paling belakang.

6.30pm, Kampung Orang Asli Rengil, Lojing

Alhamdulillah, lega bila dah sampai. Masa tu dah terfikir nak tumpang membuang di rumah Orang Asli di situ tapi segan. Jadi terpaksa la menahan sampai surau. 4 Wheel pun sedang menunggu kami dengan tabah. Sampai di surau, kami membersihkan diri sebersih-bersihnya, dan menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak. Jam 9.00 malam kami terus menaiki bas untuk pulang ke tamadunan, Shah Alam. Kami sambut merdeka 31 Ogos di dalam bas, hehe. Sampai di Shah Alam jam 2.00 pagi. Masing-masing sudah kelesuan.

Selesai sudah misi YYBTN kami. Alhamdulillah, semua ini dengan izin Allah. Segala ujian dan cabaran dapat diharungi bersama kawan-kawan. Maklumlah, group perempuan tak ramai, tujuh orang saja. Cubit peha kiri, peha kanan turut terasa. Percutian empat hari ni menjadikan kami akrab dan dapat mengenali antara satu sama lain. Juga dapat membina jatidiri untuk diri ini yang sebenarnya cepat mengalah dengan ujian dan suka sangat melatah dan komplen itu ini.

Terim kasih Allah.

Sebelum saya menutup tirai entri ini, mari kita hayati sebuah hadis ni yang sangat sesuai untuk dikongsikan di sini:

Saidina Umar mendengar seorang lelaki memuji-muji seorang kenalannya, 
beliau bertanya, "Engkau pernah bermusafir dengannya?"

Jawab lelaki itu, "Tidak pernah."

Lantas Saidina Umar berkata, 
"Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnya kamu belum mengenalinya."

Friday, 30 September 2016

Review Buku: Merentas Amerika


Selepas membaca Merentas Amerika dan beberapa buku travelog yang lain, aku rasa aku tak jadi nak beli kereta.

Buku ni dibeli secara dalam talian terus dengan penulisnya, Badrul Hisham. Biarpun agak mustahil untuk aku mengembara ke sana kerana kedudukan benua Amerika yang sangat jauh dan memakan belanja yang sangat besar untuk ke sana, tetapi aku tetap menyimpan angan-angan manalah tahu tiba-tiba dapat cabutan bertuah ke.

Aku biasa membaca tentang Eropah tetapi jarang sekali membaca tentang Amerika. Selepas membaca buku ini, naluri untuk study peta Amerika tu semacam membuak-buak. Terasa ingin mengembara. Terima kasih kepada penulis sebab mengilhamkan aku untuk membaca tentang muka bumi Tuhan yang sangat cantik ini. 

Buku ini dilengkapi dengan beberapa halaman bergambar yang menarik hasil tangkapan penulis sewaktu pengembaraan. Membaca dan elihat gambar sangat membuka minda.

3/5*

Friday, 23 September 2016

Review Buku: Lemoi


Haritu, lama dah...ketika sedang syok scroll instagram, saya ternampak Rewan Ishak review tentang buku ini. Katanya, buku ini adalah sebuah buku hasil tulisan seorang Cikgu yang mengajar di perkampungan Orang Asli di pedalaman Cameron Highland. Jadi, seperti biasa saya terus membuat kaji selidik berkenaan buku dan penulis. Sangat menarik untuk dibaca secara lebih lanjut, lebih-lebih lagi instagram penulis yang banyak berkongsi tentang kehidpan anak-anak Orang Asli di sana. Lalu saya memutuskan untuk membeli buku tersebut dari penerbit, Studio Anai-anai.

September 2016, saya menerima kiriman buku Lemoi dengan selamat dan teruja untuk membuka bungkusan dan membaca. Pada petang hari yang sama, kakak saya menghantar mesej melaui Whatsapp mengatakan yang beliau telah membeli buku Lemoi siap bertandatangan. And I was like ???

Ha ha ha.

Buku ini adalah hasil daripada tulisan-tulisan jujur seorang guru yang mengajar murid-murid di pedalaman kampung Orang Asli. Sebut sahaja  orang asli terus terbayang hutan, lumpur, tiada elektrik dan rumah buluh. Saya tidak pernah membaca dan mendengar pengalaman seperti ini selain menonton drama Melayu di televisyen, jadi dengan membacanya telah membuatkan saya terkesima seketika. 

Buku ini juga merupakan himpunan pengalaman Cikgu Hanisah atau nama samaran beliau Bungo Lale, sekitar tahun 2010 ketika masih dalam tahun pertama beliau ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Lemoi sehigga tahun 2014. Menurut blurb buku, ini adalah catatan tergesa-gesa yang ditulis dalam media sosial sebelum generator milik sekolah ditutup pada jam 11.59 malam dan akan dibuka semula jam 7.00 pagi. Beliau merakamkan kehidupan 'serba-serbi tak ada' guru-guru dan masyarakat ketika senggang. Haaaa kau sanggup?

Kita biasa dimomokkan oleh drama-drama di televisen berkenaan guru yang takut untuk mengajar di pedalaman. Pergi mengajar sekejap lepas tu lari balik sebab tak tahan. Tetapi, buku ini menceritakan 360 darjah terbalik dari momokan tersebut. Cikgu Hanisah dan seorang lagi guru perempuan, Cikgu Fida, begitu tabah meredah hutan belantara demi mendidik anak bangsa.

Seawal kedatangannya di SK Lemoi, Cikgu Hanisah dan Cikgu Fida telah diberikan sebuah motosikal EX5 untuk memasuki ke dalam kawasan Pos Lemoi. Melalui jalan hutan yang tidak berturap malah berlumpur dan berselut sudah cukup menguji mental dan fizikal. Mereka diberikan asrama guru di dalam kawasan sekolah dan hanya keluar dari situ pada waktu hujung minggu (melainkan jika ada hal kecemasan) kerana tempoh masa perjalanan yang sangat lama dan untuk keluar masuk, kira-kira satu jam setengan untuk keluar ke Tanah Rata. Adakalanya, mereka tidak boleh keluar langsung disebabkan jalan yang sangat teruk sesudah hujan.

Mengajar di pedalaman Orang Asli sememangnya memerlukan kecekalan yang tinggi. Seperti yang kita ketahui, anak-anak pedalaman tentunya mempunyai masalah dalam pelajaran. Menjadi suatu cabaran bagi mereka yang terpilih untuk menagajar murid-murid lemah dalam pelajaran ini. Antara pengalaman yang diceritakan oleh Cikgu Hanisah adalah sikap kepedulian ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak. Saya sangat tersentuh apabila anak-anak Orang Asli yang hadir ke sekolah untuk mendaftar sebagai pelajar baru pada awal tahun hanya memakai baju tshirt biasa dan ada yang tidak berkasut sekolah. Kehadiran mereka juga tidak ditemani oleh ibu bapa. Bayangkan kalau di Semenanjung, murid-murid kita ditemani ibu bapa sehingga ke dalam kelas!

Penduduk Orang Asli ni, mereka bukan tidak mahu berubah, tetapi rasa kecintaan mereka terhadap kampung halaman dan tradisi itu telah menyebabkan mereka tidak mahu keluar. Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang belum cukup untuk menampung perbelanjaan kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi apabila menjelangnya musim baharu persekolahan, mereka tidak mampu untuk membelikan pakai baharu untuk anak-anak mereka. Pernah sekali tu, ketika Aidilfitri, guru-guru di SK Lemoi telah membuat persiapan untuk menyambut aidilfitri bersama murid-murid dan penduduk kampung yang beragama Islam. Mereka sangat seronok membantu dalam menyediakan juadah hari raya seperti lemang, nasi impit, sate, laksa, kuah kacang, nasi kerabu dan macam-macam lagi. Rupanya, ada makanan yang begitu asing bagi mereka kerana ada yang mengambil laksa berkuahkan kacang. Pada sebelah malam pula, murid-murid pula sangat teruja apabila berpeluang memasang pelita dan bermain bunga api.

Sehingga kini, ketika Lemoi siap dibukukan, kata Cikgu Hanisah telah banyak pengalaman dan pembaharuan di Pos Lemoi. Antaranya, jalan yang berlumpur telah diturap, generator telah diganti dengan solar hibrid, ada Astro dan murid-murid semakin rajin ke sekolah.

Selepas membaca buku ini, saya dan rakan-rakan dari geng Projek Kaki Buku mula merancang untuk membuat projek khas di sekolah tersebut.

4/5 bintang untuk buku Lemoi.

Friday, 5 August 2016

Review Buku: DIAgnosis 2


Sekuel kedua dari buku bersiri DIAgnosis. Buku ni saya beli sekali dengan DIAgnosis 1 pada pesta buku tahun lepas. Tapi hanya berkesempatan untuk menghabiskan bacaan pada tahun ini, hu hu hu.

Untuk DIAgnosis 2 ni saya mengharapkan sesuatu yang lebih gempak dari DIAgnosis 1 memandangkan sais buku juga sedikit besar dan tebal. Kalau DIAgnosis 1 dulu ada beberapa penulis dan plot yang tidak begitu menarik, hambar dan sedikit bosan (secuali tulisan Dr Aizzat yang saya rasa deep gila), DIAgnosis 2 nampakya ada sedikit kematangan walaupun tak terlepas dari tulisan yang hambar. Ada beberapa penulis baharu yang dapat menulis dengan baik tak kurang juga tulisan yang meleweh. Mungkin tulisan-tulisan ini adalah tulisan daripada seorang doktor, jadi kau jang expect lebih. Akibatnya, buku ni tertangguh sedikit lama untuk dihabiskan. Memang tabiat saya untuk menangguhkan pembacaan jika terdapat beberapa plot dalam sesebuah buku yang tidak begitu menarik dan bosan.

Apa yang menarik dalam DIAgnosis 2 ni adalah yang pertamanya sebab ada beberapa tajuk dari penulis baharu lebih-lebih lagi sewaktu buku kedua ini diterbitkan, Dr Fatin Liyana dan Dr Anwar Fazal baru sahaja mendirikan rumah tangga, makin ramai la orang menyebut namanya. Siapa dia Fatin Liyana ni aku tak kenal weh. Blogger famous katanya, maaf sis baru keluar dari gua dik.

Tulisan Dr Fatin Liyana biasa saja, ringan dan santai malah lebih denkat dengan pembaca muda kerana menggunakan sudut pandang pertama iaitu gelaran "aku" ketika bercerita. Bahasa yang digunakan juga adalah mudah dan lebih dekat dengan pembaca bukan dari dunia medic. Bahkan, semasa baru sahaja membeli buku ini, bab pertama yang saya buka dan baca adalah tulisan Dr Fatin Liyana sebab mahu lihat, apa hebatnya Fatin Liyana sehingga namanya sering disebut-sebut. Beliau banyak bercerita tentang pengalaman seharian sebagai doktor pelatih yang sangat tertekan, tak sempat makan, tak sempat rehat, berlari ke sana sini, on call 24 jam. Begitu rupanya medic life.

*Dan kemudian, saya mula mengGoogle perkataan Fatin Liyana untuk mengenali figura itu dengan lebih dalam.

Hal kedua adalah tulisan Dr Beni Rusani. Umum mengenali Dr Beni lewat Twitter dan blog beliau yang sangat aktif berkongsi maklumat kesihatan, ternyata beliau mempunyai ramai peminat. Terutamanya gadis medik. Baca saja tweet-tweet di akaun beliau, ramai yang adore. Huk huk.

Saya agak tertarik dengan bab Malaena & The Last Conversation. Sebuah tulisan yang jujur. Sedikit-sebanyak, bab ini menyentuh hati saya tentang tujuan hidup.


Selepas membaca halaman 275 buku, saya tertanya-tanya pada diri. "Kalau aku ditakdirkan mati esok hari, apa yang akan aku lakukan pada hari ini?"

"Life is shorter than you could imagine. Better make full use of it. Don't just sit around in your chair whining about how bad life is treating you."

Ketiga, sudah tentu tulisan Dr Aizzat atau Dr Bajat yang sememangnya tidak pernah menghampakan. Deep dan tragik tu tetap ada seolah sudah menjadi suatu kemestian utuk Dr Aizzat menulis begitu. Membaca tulisan beliau juga membuatkan saya kembali terfikir tentang hal penciptaan Allah yang maha hebat iaitu otak. Sejujurnya, saya suka dengan tulisan Dr Aizzat. Walaupun bergelar doktor pakar bedah otak, tetapi hasil tulisannya tidaklah begitu berat dan rumit, masih mudah untuk difaham, begitu santai dan menyentuh hati. Membaca detik-detik cemas di dalam bilik pembedahan terasa seperti berpeluh satu badan seperti sedang menonton drama ER atau Grey's Anatomy! Kalau Dr Aizzat terjumpa entri ini, tahniah saya ucapkan kerana dapat meng'hidup'kan sebuah buku! Mohon doktor terbitkan sebuah buku penuh.

"The ruh (soul) is blown into Adam alayhi sllam starting from the head.
 The brain of mankind is very honored..." 
- Mufti Menk

Dan akhir sekali, bab Norad. Seriously, korang. Bacalah, kisah pengorbanan seorang doktor. Selebihnya, tak banyak yang ingin diceritakan tentang tulisan doktor lain seperti Dr Anwar Fazal, Dr Azzah, Dr Mafeitz dan Dr Mahyuddin. Anda boleh dapatkannya di kedai-kedai buku di seluruh Malaysia atau beli saja secara online di Instagram, ramai ejen jualan di situ selagi stok masih ada.

"Setiap DIAgnosis itu hakikatnya datang dari DIA. Doktor hanya perantara."

3/5 bintang untuk DIAgnosis 2.

Thursday, 21 July 2016

Review Buku: Momen-momen Mat Luthfi

P/s: Sebelum tu nak pesan, entri ni ada iras-iras gaya tulisan Mat sikit sebab tak tau pasai pa aku dah terikut gaya Mat tah. Dan entri ni sangat serius, kau kena baca baik-baik.



Buku ni juga saya beli semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di MAEPS. Tapi tak dapat jumpa Mat la, takpe. Dah jemu tengok Mat kat Youtube lagipun Mat dah kahwin sis kecewa haha.

Mula-mula baca buku ni agak hambar juga. Selepas lima enam muka surat baru nampak tujuan asal buku ni diterbitkan. Lawak Mat kali ni bukan lawak kosong, tapi lawak ada isi. Deep sangat. Ada beberapa tajuk yang pernah saya baca di blognya dulu. Setiap kali selesai baca satu tajuk saya perlu fikir terlebih dahulu kelogikannya baru boleh kalih ke halaman seterusnya. Ada kala tersangkut di pertengahan cerita sebab tak sampai. Tinggi sangat bahasa Mat pakai. Sampai kena ulang baca baru sampai kahkah! Tapi ada juga beberapa plot yang tak sampai-sampai maksud dia saya tinggalkan saja. Maaf Mat, Mat tak salah pun. Kami pembaca ni yang salah sebab kurang ilmu barangkali.

Dush!

Kena tumbok diri sendiri bagi sedar sikit.

Saya sangat tertarik dengan mukasurat 17 di mana Mat ada menceritakan tentang kehidupan Banal. Banal ni maksud dia membosankan atau berulang. Dalam ni Mat memberitahu, Lefebvre iaitu filasuf Perancis dan Moran, historian British menceritakan teori Everyday tentang bagaimana rutin seharian terhasil daripada tekanan modeniti.

Rat Race merupakan contoh klasik bagaimana pusingan hidup manusia, 
daripada bangun tidurnya, berkejaran ke tempat kerja, bekerja, pulang, 
tidur dan ulang, menjadi satu banaliti yang menghakis makna diri.

Nak senang cerita, yang manusia ni cepat bosan dengan sesuatu perkara yang dia selalu buat secara berulang-ulang. Kita perlu melakukan sesuatu yang baru untuk menghilangkan kebosanan tersebut. Sebagai contoh, pengalaman pertama mendapat lesen memandu. Mula-mula rasa teruja sebab dapat lesen. Lepaih tu, bila dah selalu mengulang benda yang sama bawa kereta ulang alik pergi kerja, jiwa akan berpindah ke fasa sleepwalking di mana fizikal akan bergerak tanpa sedar, tanpa roh, tanpa makna. Sebab tu bila kau pergi bali kerja setiap hari, lama kelamaan kau bosan. Lalu, manusia akan cuba untuk keluar dari situasi ini dengan melakukan sesuatu yang baharu seperti kahwin lain, pergi bercuti, pergi hiking masuk hutan. Mula la cakap bos itu ini, cakap kerja aku tak dak life la weh, nak tukaq kerja lain la. Lepas tu kau tempah tiket flight kau pergi travel.  Kesimpulannya, jangan biarkan jiwa kita kosong. Isilah dengan ilmu yang bermanfaat. Hadiri majlis-majlis ilmu, bergaul dengan semua orang, solat jemaah di surau, makan di tempat yang berbeza, selalu pulang ke kampung jumpa mak ayah, bela kucing supaya boleh berborak-borak dengan kucing dan seumpama dengannya.

Paham dak? Selebihnya hampa baca la buku ni. Penat Mat tulih tapi hampa tak baca.

"Kita ni jadi baik pasal kita memang baik atau pasal kita ada suasana yang kondusif 
untuk menjadi baik?"

Tak lupa juga footnote yang sangat membantu walaupun ada benda yang remeh pun mat nak footenotekan. Hmm.

Terima kasih Mat untuk buku ni, suatu hasil yang menyedarkan diri. Diri yang selalu leka dengan godaan duniawi. Semoga Allah limpahkan rahmat kepada Mat dan keluarga. 4/5 bintang untuk buku ini.

Pada hari terakhir kita di muka bumi ni nanti, 
yang bakal terserlah bukanlah berapa banyak pencapaian 
peribadi yang berjaya kita rangkul, 
tetapi berapa banyak hati yang telah berjaya kita sentuh.
-Mat Luthfi-

Friday, 27 May 2016

Review Buku: Lelaki Terakhir Menangis di Bumi


"Pada setiap celahan kehidupan perlu kau lihat dengan kaca mata tarbiah."

Sebenarnya, sejak dari awal tahun saya mengidam sangat nak beli buku ni selepas membaca status-status facebook ZF Zamir berkenaan seorang pemuda hebat bernama Musa Nuwayri. Setiap kali dapat gaji mesti nak singgah DuBook waktu pulang dari kerja, nak beli buku kombo 3 buku RM50. Tapi belum cukup 3 buah, saya menangguhkan hasrat tersebut. 

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menjadi jurujual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di MAEPS April lalu dan berada di sana selama dua minggu (Sabtu dan Ahad). Saya mengambil kesempatan utnuk membeli buku, meminta tandatangan dan bergambar dengan penulis. Kebetulan, reruai DuBook berdekatan dengan reruai Khafilah Buku. Kesempatan ini saya gunakan untuk menemui pemuda itu bersama bukunya. 

Tetapi sebenarnya, hakikat saya ni pemalu tidak dapat dinafikan. Saya beli buku ni pada Ahad minggu pertama. Dapatkan tandatangan penulis pada Ahad minggu kedua. Pada mulanya, saya merancang untuk bergambar bersama penulis sambil bertanyakan beberapa soalan. Tapi, bila sampai di reruai DuBook dan ternampak penulis, lidah aku jadi kelu weh! Kah kah! Habis punah soalan yang berbuku di hati.



Tajuk dan cover hadapan buku sangat authentic, sebab tu saya beli. Macam biasa, saya adalah seorang yang akan beli sesuatu buku sebab suka dengan cover hadapan buku. Macam Kunang Pesisir Morten tu. Jadi, kalau nak jadi boyfriend aku kenalah pandai pilih buku, kahkah! Ok gurau.

Buku ini adalah himpunan pengalaman penulis dari awal idea untuk membantu pelarian Syria di Jordan. Permulaan buku yang sangat mencengkam jiwa. Sebak dada baca bab pertama. Bertakung juga air mata ni, mujur tak tumpah. Kau wajib baca dari mula Musa ni dibesarkan sebab lepas tu baru kau tahu kental macam mana hati Musa ni. Padanlah dengan hasil didikan ibu bapa beliau. Buku ni bagi saya sangat lengkap. Lengkap dari awal cerita dia ke Jordan, bagaimana dia terjumpa anak-anak Syria di jalanan, bagaimana beliau tersedar akan kewujudan kem pelarian berdekatan universiti beliau, kira-kira 50 meter saja dari pagar universiti. 

Isi buku yang ringan untuk dibaca. Tulisannya juga sangat baik dan mudah untuk difahami. Saya kagum dengan semangat beliau yang kental sebab pada usia 19 tahun sudah mampu untuk menjadi ejen pengubah. Aku masa umur 19 tahun ada apa? Tengah repeat dua paper di UiTM Merbok sana tu. Belum mampu untuk mengubah apa-apa mahupun mengubah diri sendiri. *Sila hantuk kepala ke dinding*

Kisah bagaimana beliau berusaha mengumpul dana dan dikecam kerana bimbang berlaku penyelewengan terhadap duit sumbangan, sanggup tinggalkan kelas semata-mata untuk mneghulurkan bantuan, ditipu oleh NGO Arab, berjalan kaki dibawah terik panas dan suhu yang rendah, menaiki teksi untuk membeli barang keperluan dan banyak lagi cerita pahit manis beliau di sana. Sanggup berkorban masa dan pelajaran demi membantu anak-anak pelarian Syria di Jordan, secara berterusan. Bukan dah datang hantar bantuan, dan tinggal. Tidak! Aktiviti sukarelawan ini masih diteruskan sehingga ke hari ini sebab beliau sudah ada pelapis dan penyokong dengan tertubuhnya Tangisan Syria di Bumi Jordan. Boleh ikuti aktiviti mereka di facebook.. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan tugas anak muda ini walaupun banyak cabaran dan dugaan dihadapi lebih-lebih lagi di negara orang. 

"Sudah ramai orang Islam yang datang dan menemu ramah kami. Datang mengambil gambar dan pulang tanpa tindakan susulan."

Buku ini bagi saya sebuah travelog. Travelog mencari redha Allah dalam membantu manusia yang memerlukan. MasyaAllah, semoga Allah melimpahkan rezeki buat Musa dan kawan-kawannya.

Buku ini juga seharusnya memberikan inspirasi kepada para sukarelawan di luar sana. Kepada rakan-rakan sukarelawan di luar sana, bacalah buku ini. Ambil inspirasi. Semoga anda semua diberikan kekuatan dan keikhlasan dalam membantu insan yang memerlukan.

"Kesenangan dan senyuman itu lebih bermakna jika dikongsi."

Terima kasih Musa!

4/5 bintang untuk buku ini.