Selesai membaca, saya dapati novel ini sungguh kaya dengan bahasa-bahasa yang indah. Terutamanya pada pantun yang terdapat disetiap bab. Novel ini memang bebeza dari novel yang pernah saya baca. Berdasarkan latarbelakang penulis dalam bidang perundangan, fahamlah saya tentang isu cerai, talak, edah, mutaah, hibah dan lain-lain lagi (meskipun pernah belajar di dalam subjek Pendidikan Islam tingkatan lima). Penjelasan yang sangat terang dan jelas untuk mereka yang kurang memahami tentang itu. Cara penyampaiannya juga menarik dan begitu santai.
Melalui pembacaan juga, saya dapati penulis sangat seni tentang prosa tradisional seperti gurindam, pantun, syair dan puisi. Teringin juga saya untuk mendengar dengan lebih tepat bagaimanakah bentuk sebenar syair dan gurindam apabila dilagukan. Memang ternyata, penulis dapat menterjemahkan ilmu sasteranya dalam bentuk yang sangat mudah. Secara tidak langsung, saya sedikit mempelajari tentang prosa tradisional.
Memang betullah kata pengulas:
"Kisah cinta golongan ilmuwan yang wajar dimaklumi murbawan. Melalui Lentera Mustika kita diperkaya oleh pengalaman dan diperbijak oleh pengetahuan." - Dato A. Samad Said.
"Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam 'wilayahnya'. Cinta, kemelut, seni dan undang-undang pasti mematangkan pembaca." - Faisal Tehrani.
Satu perkara yang sangat menarik tentang novel ini adalah pantun. Saya suka pantun di dalam bab kedua terakhir.
Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.
Rupanya, maksud pantun ini sangat mendalam dan saya sangat tersentuh dengan pantun ini. Kata penulis, "sayang sekali pantun ini tidak pernah disebutkan pintu syurga yang mana satu. Bayangkan: seorang menunggu dipintu masuk Firdaus, seorang lagi di 'Adnin." Pembayang "kalau tuan mudik ke hulu" itu sudah mengajak orang yang mendengar pulang ke tempat asal - bayangkan untuk orang yang akan mati, iaitu pulang ke Rahmatullah. "Bunga kemboja" pula bunga yang biasa dilihat di kawasan perkuburan. Pembayang ini sesuai dipadankan dengan maksud pantun tentang kematian. Sungguh mendalam. Tidak pernah terfikirkan perkara ini.
***** Lima bintang untuk novel ini!