Sunday 30 May 2010

Meratapi Lentera Mustika


Halaman hadapan buku ini membuatkan saya tertarik untuk membaca. Seperti kebiasaan, memang tabiat saya membaca kerana halaman hadapan sesebuah buku. Saya meminjam daripada kakak. Mula membaca penghujung April dan berakhir semalam. Lebih sebulan tempoh yang saya ambil untuk membaca novel karya Nisah Haron ini. Bukan apa, saya tidak berapa minat permulaan cerita yang terlalu 'sastera'. Biarpun bahasa yang sangat indah, diselitkan pantun yang begitu gemersik, saya tetap membacanya secara pelahan. Namun, lama-kelamaan saya menjadi boring. Perasaan malas mula hadir. Permulaan yang biasa dan biasa saja. Saya mudah berasa boring dengan penulisan tidak banyak dialog. Jadi, pembacaan ini banyak bertangguh. Sengaja ditangguhkan. Malas nak baca. Bila buka semula, kemudian tutup balik. Memang patut la lambat habis.

Selesai membaca, saya dapati novel ini sungguh kaya dengan bahasa-bahasa yang indah. Terutamanya pada pantun yang terdapat disetiap bab. Novel ini memang bebeza dari novel yang pernah saya baca. Berdasarkan latarbelakang penulis dalam bidang perundangan, fahamlah saya tentang isu cerai, talak, edah, mutaah, hibah dan lain-lain lagi (meskipun pernah belajar di dalam subjek Pendidikan Islam tingkatan lima). Penjelasan yang sangat terang dan jelas untuk mereka yang kurang memahami tentang itu. Cara penyampaiannya juga menarik dan begitu santai.

Melalui pembacaan juga, saya dapati penulis sangat seni tentang prosa tradisional seperti gurindam, pantun, syair dan puisi. Teringin juga saya untuk mendengar dengan lebih tepat bagaimanakah bentuk sebenar syair dan gurindam apabila dilagukan. Memang ternyata, penulis dapat menterjemahkan ilmu sasteranya dalam bentuk yang sangat mudah. Secara tidak langsung, saya sedikit mempelajari tentang prosa tradisional.

Memang betullah kata pengulas:

"Kisah cinta golongan ilmuwan yang wajar dimaklumi murbawan. Melalui Lentera Mustika kita diperkaya oleh pengalaman dan diperbijak oleh pengetahuan." - Dato A. Samad Said.

"Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam 'wilayahnya'. Cinta, kemelut, seni dan undang-undang pasti mematangkan pembaca." - Faisal Tehrani.

Satu perkara yang sangat menarik tentang novel ini adalah pantun. Saya suka pantun di dalam bab kedua terakhir.

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.

Rupanya, maksud pantun ini sangat mendalam dan saya sangat tersentuh dengan pantun ini. Kata penulis, "sayang sekali pantun ini tidak pernah disebutkan pintu syurga yang mana satu. Bayangkan: seorang menunggu dipintu masuk Firdaus, seorang lagi di 'Adnin." Pembayang "kalau tuan mudik ke hulu" itu sudah mengajak orang yang mendengar pulang ke tempat asal - bayangkan untuk orang yang akan mati, iaitu pulang ke Rahmatullah. "Bunga kemboja" pula bunga yang biasa dilihat di kawasan perkuburan. Pembayang ini sesuai dipadankan dengan maksud pantun tentang kematian. Sungguh mendalam. Tidak pernah terfikirkan perkara ini.

Namun, ending cerita agak mengejutkan. Seperti belum habis. Mungkin ada sambungannya nanti. Tunggu sajalah. Secara keseluruhan, novel ini sesuai dibaca untuk mereka yang inginkan kelainan. Bukan sekadar cerita cinta biasa, tetapi padat dengan ilmu yang berguna, ilmu sastera, perundangan dan juga ilmu tentang Islam. Dalam kelembapan saya membaca novel ini, rupanya ada sesuatu yang berharga yang saya peroleh seusai membaca novel ini. Selamat membaca.

***** Lima bintang untuk novel ini!

No comments: