Monday 31 January 2011

Detektif Indigo dan sixth sense

Membaca Detektif Indigo ibarat saya menonton Detective Conan versi Bahasa Melayu. Membaca Detektif Indigo juga membuatkan saya berfikir, ini adalah bayangan Harry Potter. Dan, membaca Detektif Indigo saya mengimaginasikan bahan-bahan forensik yang diceritakan adalah seperti dalam drama TV CSI.

Ya, sememangnya novel ini memerlukan kita untuk berimaginasi. Cuba untuk merasai apa yang mereka (iaitu remaja indigo atau remaja yang punya deria keenam) fikirkan. Tabik spring kepada penulis, Dr Faisal Tehrani, kerana berjaya membuatkan saya berfikir secara luar biasa.

Novel ini menceritakan tentang remaja indigo iaitu remaja yang mempunyai deria keenam. Menurut Dr. Dilaysu dalam novel ini, remaja indigo ialah remaja yang memiliki tahap IQ melebihi 120. Sifat dan perangai manusia boleh dikaitkan dengan medan elektromangetik tertentu, atau medan tenaga. Setiap manusia ada warna khas dan warna indigo adalah gabungan biru dan nila. Warna indigo dikaitkan dengan deria keenam. The sixth sense. Warna ini dapat dikesan di antara dahi dan kedua-dua alis mata. Salah seorang remaja dalam novel ini yang mempunyai tahap IQ yang tertinggi ialah Chen-chung iaitu 357.

IQ luar biasa dan deria keenam menjadikan mereka detektif indigo. Mereka mempunyai kebolehan bertelepati. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, telepati bermaksud perhubungan fikiran, perasaan dan sebagainya secara langsung antara minda seseorang dengan minda seorang yang lain tanpa melalui deria yang biasa. Tetapi, saya tak jumpa maksud perkataan 'indigo' selain bahan pewarna biru.

Mereka, remaja indigo ini seramai enam orang, bersatu dan dilatih bukan semata-mata untuk memperalat ilmu dan teknologi bahkan menjelmakan adab dan akhlak berteraskan iman dan takwa.

Saya jarang menonton Detective Conan. Sekadar menontonnya bersama adik. Ceritanya sama saja, mengenai budak-budak penyiasat ala CSI. Kebolehan untuk berhubung secara luar biasa. Kita dapat menerokai alam sains, kimia, fizik dan seangkatan dengannya.

Bayangan Harry Potter. Saya rasa, novel ini lebih islamik sifatnya dan berpijak di bumi yang nyata. Jika Harry Potter menampilkan latar belakang fantasi magis, Detektif Indigo pula datang dari arah yang bertentangan sama sekali. Penulis menggunakan pendekatan yang berbeza dari JK Rowling. Kisah Detektif Indigo bersandarkan realiti dan penyelidikan. Yalah, Harry Potter itu cerita orang putih. Ini cerita orang Melayu. Sesuailah untuk bacaan kita.

Saya tidak pasti bahawa novel yang saya baca adalah novel rekaan semata-mata dan bukanlah suatu yang ‘real’. Dari muka ke muka, helaian demi helaian yang dibaca tidak langsung menunjukkan bahawa ini adalah suatu cereka. Mujur penulis menyatakan pendirian di akhir babak bahawa novel tersebut adalah rekaan semata-mata. Fuhhh! Penat saya Google Maktab Rendah Remaja Indigo. Memang patutlah tak jumpa. Hehe.

Saya amat tertarik dengan watak Faruq atau digelar “Si Tahukah Anda?” oleh teman-teman. Antara info yang menarik:

-  Tahukah anda, jantung manusia mempunyai tekanan yang boleh memancutkan drah setinggi 9 meter?
-  Tahukah anda, menghidu pisang, bukan memakannya, boleh menolong mengurangkan berat badan?
-  Ikan lumba-lumba tidur dengan sebelah mata terbuka.
-  Lipas boleh hidup untuk beberapa minggu lagi meskipun kepalanya telah putus.
-  Semut mengeliat setiap kali bangun daripada tidur. 
-  Secara purata manusia bermimpi sebanyak 1460 kali dalam setahun. 
-  Gajah ialah mamalia yang tidak boleh melompat.

Babak yang paling saya suka di halamaan 80:

Faruq menunduk, (selepas dimarahi oleh Mihrimah) bersuara perlahan. "Tahukah anda serbuk teh di China berjumlah kira-kira 317 ribu tan?"

Kata ibu Faruq, sekiranya dimarahi, Faruq mudah merajuk dan dia akan mula menyebut pelbagai fakta "Tahukah Anda". 

Oh, saya sangat suka babak ini. Sangat menarik dan lucu bukan? Terlalu banyak fakta yng mahu saya kongsikan. Tetapi, bimbang anda bosan membaca entri saya yang berjela-jela. Ok, kalau nak tahu lebih lanjut, sila dapatkan novel ini di pasaran. Murah saja, tak mahal. Apa salahnya berbelanja untuk mendapatkan ilmu, kan?

p/s: Selepas ini nak baca Detektif Indigo Kembali dan Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisn & Jimson.

2 comments:

Unknown said...

ada detektiv indigo kembali ka?
xtaupun?

Siti Salha Rosman said...

Ada. Saya pun baru tahu. Ada dua novel sekuel selepas Detektif Indigo ni. Best kan novel ni?