Wednesday 30 March 2011

Novel Siri Detektif Indigo: Ikan fugu, Lukisan & Jimson

Novel Siri Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisan & Jimson merupakan kesinambungan novel HSKU, Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Kalau dulu, saya memberikan lima bintang untuk Detektif Indigo. Tetapi kali ni saya hanya memberikan empat sahaja. Kerana, kebanyakan watak perwatakan sudah diketahui. Jadi, tidak ada apa yang mengujakan mengenai watak. Jalan cerita juga agak ringkas berbanding novel yang pertama.
Baiklah. Bercerita tentang novel ini, ia terbahagi kepada tiga bahagian atau tiga kes penyiasatan. Pertama penyiasatan tentang ikan fugu (sejenis ikan yang berasal dari Jepun), yang melibatkan Chen-chung, Faruq, Ruzbihan dan Isamu. Kedua, penyiasatan tentang kecurian lukisan untuk pameran yang melibatkan Mihrimah Maryam. Manakala Rabiah Zaitun pula mengendalikan kes penyiasatan berkenaan Jimson. Pada mulanya saya menyangkakan Jimson adalah nama orang, tetapi ia sebenarnya adalah sejenis teh. Teh yang ada kesan dadah dan boleh menyebabkan penggunanya mengalami halusinasi bunyi, lupa, selain suhu badan naik mendadak juga boleh mengalami photofobia, takut dengan cahaya. Kesemua detektif indigo terpaksa mengorbankan beberapa hari cuti sekolah mereka untuk menjadi penyiasat.
Daripada ketiga-tiga kes, saya dapati penyiasatan tentang ikan fugu yang lebih menarik perhatian. Kerana, penyiasatannya lebih dramatik melibatkan empat orang detektif indigo.
Untuk novel kali ini, watak kegemaran saya, Faruq tidak banyak mengeluarkan fakta ‘Tahukah Anda’ yang menarik atau kelakar. Mungkin kerana fakta-fakta menarik itu telah banyak dicurahkan untuk Detektif Indigo yang pertama. Namun fakta-fakta ini tetap mampu membuatkan pembaca mengukir senyuman.
Sebagai contoh, tahukah anda mesin elekteonsefalograf  akan mengalirkan satu gelombang elektrik yang dapat mengesan sebarang penipuan yang dilakukan pada otak?
Atau, tahukah anda dalam tahun 1971 sebuah syarikat makanan segera Bon Vivant telah jatuh bangkrap kerana seorang pelanggannya meninggal dunia akibat keracunan botulinum yang terdapat di dalam sup segera vichyssoise?
Atau, tahukah anda takifugu rubripes (ikan fugu) ikan dengan bibir tebal sebenarnya mengandungi tetrodotoxin.
Atau, tahukah anda dalam tahun 1776 Paul Revere mengecam mayat Joseph Warren sepuluh bulan selepas dikebumikan menerusi giginya?
Atau, tahukah anda permaidani Parsi mengandungi kira-kira sejuta ikatan dalam setiap  tiga kaki persegi, warna dan kualitinya hanya akan luntur selepas lima ratus tahun.
Selain itu, di dalam novel ini juga saya jumpa banyak perkataan saintifik yang sukar untuk disebut. Seperti, elektreonsefalograf, subdural hematoma, vichyssoise dan tetrodotoxin.
Dan perkataan yang paling unik dan paling susah untuk disebut di dalam novel ini adalah, Llanfairpwllqwyngyllgogerychwyrndrobwllllantysiliogogogoch iaitu nama tempat yang diketahui paling panjang di bumi ini yang terletak di barat laut Wales, United Kingdom. Tetapi selalunya orang menyebut sebagai Llanfair PG saja.
Macam mana? Cuba anda sebut dengan sekali lafaz sahaja. Hehe…berbelit lidah bukan? Kesimpulannya, biarpun ratingnya sedikit jatuh daripada novel yang pertama, namun jalan ceritanya tetap menarik dan mampu memberikan manfaat kepada pembaca. Saya akan baca Detektif Indigo Kembali pula selepas ini.

No comments: