Sewaktu bulan puasa tahun lepas, saya kerap kali melihat gambar kulit hadapan buku ini berlegar-legar di laman Twitter. Gambar seorang kanak-kanak yang comot dengan rambut kusut sedang tersenyum. Imej itu menarik hati saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Selepas membuat sedikit review, saya terus tertarik dengan jalan ceritanya dan memasang cita-cita untuk singgah ke DuBook sebelum pulang bercuti hari raya. Malangnya, DuBook tutup awal sempena raya.
Teringat satu bual bicara buku bersama Syed Munawar dan penulis, Raiha Bahaudin di RTM1 tempoh hari, "Macam tak percaya buku sebaik ini diterbitkan oleh DuBook!" Bertambah tak sabar rasa nak beli buku ni. Sekembalinya daripada bercuti Aidilfitri, saya terus ke DuBook sekali lagi dengan harapan yang tinggi menggunung. Alhamdulillah, dapat. Sampai rumah, macam biasa saya terus membuka balutan buku dengan rakus dan mencium bau kertas coklat yang harum itu. Sedapnya bau pokok!
Buku setebal 212 halaman ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan yang comot berusia sembilan tahun yang bernama Dhiya bersama dua orang rakannya Adi dan Lim. Dhiya diceritakan sebagai seorang kanak-kanak degil, pendiam dan bijak sehingga mampu mengatasi kebijaksanaan orang dewasa. Kecerdikannya yang meludah ke atas lukisannya semata-mata untuk menghasilkan warna air yang unik sangat memualkan sebenarnya. Selain itu, Dhiya mampu mengatasi masalah jenayah di sekitar Kampung Morten dan memberikan idea bernas di luar kotak. Rasa seperti tidak masuk akal Dhiya boleh berfikir setiris itu ketika menyelesaikan masalah kes kecurian barang pusaka. Teringat saya kepada novel bersiri Detektif Indigo karya Faisal Tehrani yang persis cerita kartun Detective Conan.
Ya, buku ini sarat dengan kisah penyiasatan, kesetiaan dalam persahabatan dan penyatuan kaum berbilang bangsa. Sesuai untuk mereka yang gemar menonton drama bersiri CSI. Kisah kanak-kanak kampung, permainan zaman kanak-kanak kita, berkaki ayam, mandi sungai dan merayau dari pagi hingga petang.
"Sekolah terlalu bosan, cikgu terlalu lembab dan asrama adalah penjara." - Tam
Satu perkara yang menarik perhatian saya mengenai Dhiya adalah minatnya yang mendalam terhadap bidang lukisan sehingga sanggup membuat dan menjaja popia Nyonya semata-mata untuk mengumpul duit membeli set warna air Daler Rowney yang mahal dan juga kehandalannya berlaga ketam lumpur Uca Annulipes.
Penulis banyak bercerita tentang suasana di Kampung Morten sekitar tahun 1984 iaitu kampung kelahiran penulis sendiri. Sebelum mambaca buku ini saya belum pernah dengar nama Kampung Morten. Ketika saya menghadiri sesi bedah buku ini di DuBook Store, penulis ada bercerita tentang betapa busuk dan kotornya air sungai Morten dan aktiviti melaga ketam itu juga adalah kisah benar. Ketam laga ni dah pupus dan tak wujud lagi sejak kerajaan negeri Melaka membaik pulih saliran sungai untuk memajukan kawasan Kampung Morten. Jika diizinkan suatu hari nanti saya ingin membuat lawatan pendek ke Kampung Morten di Melaka. Teringin!
Namun, setiap buku tidak terlepas daripada beberapa plot yang membosankan. Ya, ada beberapa keadaan di mana saya rasa sedikit bosan dan tidak begitu faham dengan apa yang penulis cuba untuk sampaikan.
Semasa menghadiri sesi bedah buku di DuBook Store tehun lepas, saya berpeluang mendengar beberapa perbahasan berkenaan buku ini. Katanya, buku ini setanding dengan trilogi Laskar Pelangi, boleh tahan lama yang mana kita boleh baca berulang kali. Bukan sebuah buku yang hanya kita baca sekali sahaja. Isinya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
"Novel yang baik adalah novel yang tahan lama dan merentas zaman." Fazallah Pit
Ada yang mencadangkan agar buku ini dijadikan teks wajib baca pelajar sekolah dan ada juga yang mencadangkan agar buku ini dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) atau Hadiah Sastera Perdana. Apapun bagi saya, jika ada anugerah kulit buku terbaik, saya akan calonkan buku ini.
Hmm, terpulang kepada anda untuk menilai. Sila baca dulu dan komen. Saya beri 4/5 bintang.
Bersama penulis, Raiha Bahaudin dalam sesi bedah buku di DuBook Store. Seronok sebab dapat tandatangan dan juga sekeping gambar lakaran Dhiya yang dilukis sendiri oleh penulis. |
Kata Dhiya, "Jika aku punya kemahuan untuk pandai, sekolah manapun mampu
membuat aku pandai."
No comments:
Post a Comment