Sunday, 24 June 2012

Langit tak selalu cerah

"La yukalifullahu nafsan illa wus'aha"

Kawan-kawan,
'Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang hamba melainkan sesuai dengan kesanggupannya.'

Al-Baqarah: 286

Saya meletakkan penyataan di atas sebagai status di Facebook beberapa hari yang lepas. Apabila berhadapan dengan minggu-minggu akhir kuliah, rata-rata antara kita sering mengaduh dengan ketidaksempatan menyiapkan pelbagai tugasan. Saya antara mereka yang mengaduh. Kerja-kerja persatuan di dalam dan luar kampus jadi bertindih. Assignment, persediaan untuk kuis dan test, kertas kerja projek dan juga kelas yang mesti pergi setiap hari. Ada yang perlu disiapkan serentak. Dalam seminggu ada dua-tiga test. Bukannya tak biasa. Saya dah lalui lebih teruk semasa di Kedah. Tak sangka ianya terjadi lagi di Shah Alam. Jadi, saya menganggapnya memang lumrah kepada sesiapa yang bergelar pelajar.

Pernah saya terbaca dari blog seorang kawan, katanya kadang-kala dia merasa bosan dengan sistem pembelajaran di universiti yang agak rigid dan terkejar-kejar. Ya, saya sangat-sangat-sangat setuju dengan pernyataan itu. Segalanya perlu dihantar ontime. Satu semester ada empat, lima bulan saja atau bersamaan 14 minggu. Dalam satu-satu masa pelajar perlu mengambil enam hingga sepuluh subjek. Semester ini saja saya mengambil lapan subjek. Cuba bayangkan jika anda perlu menghantar assignment setiap minggu, belum lagi kuis dan test. Aktiviti persatuan di fakulti, di kolej, tak kan tak nak join kan?

Masalah inilah yang dihadapi oleh pelajar sekarang, stress. 

Apabila perkara ini terjadi, saya menjadi tak tentu arah. Pernah sekali, saya dipanggil ke bilik Timbalan Dekan berkenaan kertas kerja yang sepatutnya tidak lulus. Kami buat program tanpa pengesahan daripada pihak HEP. Saya punyalah kecut perut sebab saya adalah ketua. Saya seorang yang tampil. Hampir setengah jam saya di kaunseling. Saya kena marah, kemudian dinasihat dan dipujuk semula. Sebelum Timbalan Dekan akhirnya menurunkan tandatangannya.. Saya hanya diam tanpa kata. Dan apabila  keluar dari bilik Timbalan Dekan, saya cuba menahan tangis, tak mahu rasa 'sakit' diketahui rakan-rakan.

Dua minggu selepas itu, kelas saya menganjurkan seminar keusahawanan. Pensyarah mahukan yang terbaik. Waktu itu saya sangat letih. Balik lambat. Tidur selalu tak cukup. Dalam kelas mengantuk, makan jangan ceritalah, tak pernah sempat. Alhamdulillah, seminar berjalan dengan lancar dan mendapat pujian beberapa pihak.

Pada minggu yang sama sebenarnya, saya mendapat desakan daripada beberapa pihak untuk segera menghantar kertas kerja. Kali ini untuk persatuan di luar fakulti dan di luar kampus. Pernah sekali ada seorang bertanya kepada saya, "awak ni ke hulu ke hilir macam tak ada kelas atau assignment je?" Saya, gulp! Tak ada kelas awak cakap? Sebab saya ada satu je dalam dunia ni. Daripada satu itu saya membuat banyak kerja. Seorang teman sekelas pernah melarang saya kerja separuh masa, dia suruh saya study. Kemudian, seorang lagi melarang saya daripada pergi usrah, dan suruh saya study. Datang pula lagi seorang, suruh saya tak payah pergi aktiviti persatuan di luar kampus itu lagi dan tumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran. 

Sehingga pada satu saat, saya menyerahkan projek kepada orang lain kerana saya rasa selagi saya yang menjadi ketua ia tidak akan berjalan. Ternyata selepas projek itu diserahkan, aktiviti berjalan dengan lancar. Saya mengucapkan tahniah. Sejak itu, saya faham. Saya gagal menjadi seorang ketua. Saya pernah merayu kepada seorang kawan, rasa macam nak lucut semua jawatan yang ada. Tetapi katanya, kalau bukan kita yang gerakkan siapa lagi?

Dan saya?

Dan saya pun pulang ke rumah lewat malam, dan mengaduh kepada Tuhan. Ayat itulah yang saya sebut berulang kali. Terlalu banyak perkara yang perlu saya lakukan dalam masa yang singkat. Semoga Allah berikan saya kesempatan waktu dan hati yang kuat sehingga ke akhir semester. Amin.

P/s: Ini mungkin kisah duka. Tetapi percayalah, langit tak selalunya cerah. Saya akan hadir semula menghiasi pelangi di blog ini!