Saturday 23 January 2010

Satu per satu pergi maninggalkan...

Ini kisah kehidupan. Kisah persinggahan. Kisah yang sementara. Kisah suka juga kisah duka. Kehilangan pasti dirasai meski berlainan jenis makhluk ciptaan yang Esa.
Rentetan ini bermula seminggu yang lalu. Tanda awal telah didapati bahawa mungkin mereka tidak dapat hidup lama mamandangkan keadaannya yang begitu. Kata emak, biarlah...daripada dia menderita, eloklah dia pergi. Hati sayu memikirkan hal pemergian. Sewaktu saya menulis nota ini, jam sembilan lima belas minit pada dua puluh tiga Januari di waktu pagi yang redup dan nyaman, saya baharu saja meratapi pemergian yang terakhir. Lama saya berteleku menatap wajah yang dimamah penyakit itu. Terdetik di hati rasa insaf akan kehidupan ini. Giliran aku, bila pula akan di’jemput’? Oh Tuhan, betapa aku leka. Aku lalai dengan kehidupan. Kau insafkanlah aku dengan petunjukMu.

Sejak saya berhenti kerja dan duduk di rumah, sejak musim persekolah bermula, saya adalah penunggu rumah. Sering juga keseorangan. Waktu-waktu ini, saya mengambil tugas menggaulkan nasi putih bersama ikan rebus kegemarannya setiap hari tiga kali sehari, pagi tengah hari dan malam. Kata adik, mereka kecil lagi, tidak mampu untuk menelan Whiskas. Ya tak ya juga. Kata adik lagi, mereka juga macam manusia, tidak betah lama-lama duduk di rumah. Selalu keluar bermain-main. Jadi, kalau sudah tiba waktu makan mereka tiada, ketuk saja bawah mangkuk yang kita gaulkan makanan tu, nanti mereka datang.

Ini kisah kucing sebenarnya. Ibu kucing itu bukanlah milik kami sekeluarga. Kucing hijrah! Bertandang ke rumah suatu ketika dahulu. Saya gelarkan mereka bertiga sebagai ‘babycat’. Umur terakhir mereka kurang lebih dua bulan saja. Usia yang terlalu muda untuk pergi. Ada tiga warna yang berbeza. Kuning, hitam dan yang sekor lagi ada tiga tompok-tompok putih, kuning dan hitam (paling disukai kerana warnanya yang menarik). Agungnya ciptaan Tuhan, bukan? Ibunya warna kuning, lahirkan anak kembar tiga berlainan warna pulak tu.

Pemergian mereka tanpa dipinta. Mereka dijangkiti sejenis penyakit yang hanya dikenali saya sebagai ‘kurap’, namun tidak pula saya bawa ke klinik. Abah hanya sapukan gamat saja. Penyakit mereka bertambah teruk hari demi hari. Kami sekeluarga tidak pula berani menyentuhnya takut berjangkit. Kata emak, mereka kena ‘aids’. Saya tahu, itu gurauan. Saya ada mencadangkan kepada abah agar membawa mereka berjumpa doktor. Kata abah pula, tidak perlu. Anak-anak yang dilahirkan oleh ibu itu (merujuk kepada ibu kucing), memang ada penyakit. Sebenarnya, kelahiran yang ini merupakan yang kedua. Kelahiran yang pertama juga mati kesemuanya disebabkan penyakit yang sama. Pernah dibawa ke klinik juga, diberi suntikan, dibawa pulang ke rumah, akhirnya mati juga. Kalau begitu sudahnya, penat lelah saja yang kita dapat membesarkan anak-anak kucing ini, beri makan minum, akhirnya mati juga kerana penyakit. Itu kataku pula.

Pemergian anak yang pertama (kucing tiga warna) minggu lepas sangat tragis. Dari emak dan abah pergi ke kebun awal pagi, sehingga petang baru mati. Kesian. Terjelapuk di atas lantai. Semut-semut sedang bersedia di sekeliling untuk menjamah. Kucing yang kedua (warna hitam) mati semalam. Dan yang ketiga mati pagi tadi. Berakhirnya sebuah kehidupan. Pergi di usia muda. Barangkali, ibunya perlu dibawa ke klinik, beri suntikan. Jika tidak kelahiran seterusnya pasti akan terkena tempias penyakit berjangkit itu.

Akan saya bingkiskan sebuah puisi kisah ini. Agar saya tidak lupa mereka pernah singgah dalam lipatan sejarah hidup saya. (maaf, tiada foto yang sempat diabadikan)

1 comment:

Unknown said...

Kalu kurap, saya dengar petuanya sapu minyak goreng ikan. Ini petua orang tua, tapi dari segi medik ada logiknya juga. Sebab nanti kucing akan menjilat tempat sakit dan air liur kucing memang penawar semulajadi....