Friday, 12 April 2013

Ramadan dah dekat

Ramadan dah nak dekat.

Kenapa?

Yalah, tak sabar nak sambut bulan baik ni. Boleh perbanyakkan amal waktu tu.

Dalam bulan-bulan lain kau tak buat banyak amal ke?

Erk...?
Bulan-bulan lain sibuk sikit...emm bekerja. Tak banyak masa nak khatam, tadabbur al-Quran setiap hari, qiam sepanjang hari...bla...bla...bla...

Ooo...macam tu.

*senyap

Kau tahu, Allah cakap, kalau nak buat amal tu jangan tunggu esok. Sebab, tomorrow never die tapi mungkin kita yang akan mati esok.

Apa kau cakap ni??!

Betul apa.

*krik krik krik krik....

"The man that decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh."

Jumu'ah mubarakah people!

Thursday, 21 February 2013

Jzkk


Seriously aku nak nak bagitau kat kau, sebelum ni aku tak pernah tahu pun kod-kod seperti  2:155, 2:286, 6:2-3, 10:67, 47:7, 16:18, 59:21, 67:03, 93:11. Depan tu kod apa, belakang tu kod apa. Aku tak pernah tahu.”

“Ini bukan nasib baik, tapi syukurlah kau dah jumpa apa yang Allah beri. Hidayah tu Allah dah bagi, cuma manusia yang tak nampak. Kau dah tersedar pada jam yang kesepuluh, waktu-waktu kecederaan, waktu-waktu nak kiamat ni. Ingat Contengan Jalanan?”

“Erk?”

“Eh, betul la..petanda kiamat dah banyak dah.”

Aku diam.

Dia menyedut air teh O ais yang masih berbaki.

“Terima kasih sebab bawak aku ke jalan ni.”

Dia senyum je.

“Lagi satu kan, lepas kau bagi Contengan Jalanan tu aku rasa hidup aku macam ada sesuatu, terisi sikit. Mungkin inilah yang dicari oleh K2, erti hidup.”

“Aku tahu hati kau taklah sekeras seperti batu macam K2. Kau tahu, hati manusia ni kalau keras, lebih keras daripada batu tau? Sebab, sekeras-keras batu tu boleh la jugak air mengalir di celah-celahnya.” Senyum.

Aku menganggukkan kepala.

“Aku sebenarnya baru tahu apa maksud jazakumullahu khairan kathira (semoga Allah memberi kamu sebaik-baik ganjaran) walaupun aku selalu dengar kau cakap perkataan tu kat aku. Atau dalam SMS kau selalu tulis ‘jzkk’.”

Sengih kerang.

“Ha?! Kalau tak faham kenapa kau tak tanya?”

“Aku segan. Nanti kau gelak.”

Hahahah!

Tawa pun berderaian di bawah pokok mangga depan surau pangsapuri empat tingkat itu.


“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) yang memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.”
[02:74]

Catatan asal pada 2339 PM, 140113

P/s: Mungkin ada yang terpinga-pinga, siapa itu Fend dan K2. Boleh rujuk entri ke bawah-bawah dan bawah.

Thursday, 31 January 2013

Urusan Cinta Belum Selesai



Novel ini diperoleh di Pesta Buku Selangor di SACC Shah Alam tahun lalu, siap bertandatangan penulis. Jujurnya, saya tidak pernah mengenali Imaen. Cuma mendengar nama sahaja. Kebetulan, dua kali saya ke Pesta Buku Selangor dan kedua-dua hari tersebut saya bertemu dengan penulis di booth Jemari Seni Adiwarna. Mungkin itu adalah satu tanda yang saya perlu membaca karya Imaen.

Pada mulanya saya sangkakan novel ini berkisar tentang cinta yang tidak kesampaian. Tetapi, sangkaan saya tersasar. Novel ini berkisar tentang Rauf yang bekerja sebagai seorang penulis sambilan dan mempunyai sebuah kedai buku kecil di tengah-tengah bandar Sungai Petani. Pelbagai konflik yang dihadapi, antaranya desakan ibu bapa yang mahu melihat Rauf mendirikan rumahtangga dan perkenalan dengan Manisyah, kononnya mahu dijadikan isteri. Namun rasa cinta Rauf semakin hari semakin mendalam terhadap Cinta, iaitu  gadis yang ditemui secara tak sengaja. Pelbagai kisah lucu dan menarik di awal perkenalan Rauf dan Cinta. 

Jujurnya, novel ini mengembalikan ingatan saya kepada Sungai Petani ketika menuntut di UiTM Merbok beberapa tahun yang lalu. Sungai Petani menjadi latar tempat utama dalam novel ini. Seriously, teringat dekat Sungai Layar, Semeling, Bandar Laguna, Merbok, Lembah Bujang, Tanjung Dawai, dan macam-macam lagi. Mahu kembali ke sana suatu hari nanti, insyaAllah.

Ternyata, percubaan pertama saya membaca karya Imaen memberikan tanda yang positif dan saya suka. Walaupun menggunakan gaya bahasa yang agak santai dan mudah difahami, bahasa yang digunakan tidak sekali-kali kelihatan terlalu 'pasar' atau rosak bahasa seperti tulisan dari beberapa penerbit buku yang lain. 

Gaya tulisan Imaen ada sedikit unsur sinis, tentunya tentang politik. Walaupun menggunakan nama parti yang berlainan dari parti di Malaysia  tetapi saya dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh penulis. Paling menarik, bagaimana Rauf mahu mendekati Cinta, anak seorang ahli politik yang berpengaruh tetapi mereka berlainan parti. Terdapat konflik di situ.

Selain itu, bahagian paling 'pedas' bagi saya adalah semasa Rauf keluar buat pertama kali dengan Manisyah untuk makan tengahari. Ketika sedang berbual-bual, Manisya sering kali menggunakan telefon bimbit untuk berbalas SMS dengan rakannya. Penulis ada menegur sikap Manisyah yang terlalu bergantung pada laman sosial dalam kehidupan seharian. Seperti kebanyakan kita pada hari ini. Keluar beramai-ramai dengan kawan, tetapi apabila sampai di tempat makan terutama yanga ada WiFi, semua jadi tidak pedulikan sekeliling. Lebih baik tidak payah keluar makan bersama jika masing-masing asyik dengan telefon bimbit. Kasihan kepada kawan yang tidak memiliki telefon pintar. Duduk tercongok seperti keluar makan dengan sebuah kerusi yang tidak boleh berkata-kata.

Saya cuba untuk mengelakkan tabiat itu di lain hari.

Apapun, tulisan Imaen sangat menarik dan berbeza. Sesuai kepada sesiapa yang sukakan watak yang serius dan tidak terlalu berkarat jiwangnya. Saya dapat tahu, novel-novel Imaen kebanyakannya aksi-romantik. Kalau suka cerita yang ada aksi tembang-menembak atau jenayah, boleh la cuba karya Imaen. Terima kasih kepada seorang teman yang selalu mencadangkan novel Imaen kepada saya.

Tiga bintang untuk buku ini.

"Hidup ini memerlukan sedikit pahit supaya kita lebih menghargai manis."