Sunday, 10 April 2011

Bedar Sukma Bisu by Faisal Tehrani

Kisah tentang sebuah semenanjung emas. Tanahnya emas, lautannya perak berkilauan. Ada pohon dan tanam-tanaman. Ada hujan menyegarkan. Ada sungai-sungai mengalir perlahan. Ada awan-gemawan melitupi meneduhkan. Ada laut bergelora permukaan tetapi tenang di dalam.

Membaca novel ini sama keadaannya seperti saya membaca novel Imam dahulu.  Agak lambat saya hayati. Bahasanya mudah tetapi penceritannya sedikit berat. Apatah lagi untuk saya yang tidak tahu apa itu bedar. Sehinggakan, saya bertanya kepada kakak. Apa itu bedar? Rupanya, adik-beradik perahu, kapal atau sampan.

Cerita ini terlalu sarat dengan bedar. Tentang keluarga Wefada yang menjadikan bedar sebagai ekonomi keluarga. Novel ini lebih banyak membicarakan tentang konsep ekonomi. Ada juga bahagian yang saya skip, sebab tak faham. Cuma sedikit faham mengenai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebab dulu pernah belajar. Apapun, saya cuba untuk menghabiskannya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya serabut mengenai kedudukan watak dan bab.  Sebagai contoh, bab satu cerita sedikit tentang nenek Wefada, iaitu Tengku Fatimah. Kemudian, bab dua cerita tentang Elamine. Lepas tu masuk pula Muawiyah, Waqeel, Marwan, Chen, Ben Qortubi dan lain-lain watak. Sehinggakan saya terpaksa membuat mind-map untuk susun semula salasilah keluarga Wefada.

Apa yang saya suka adalah ketika membaca mengenai kesuburan tanah di Semenanjung Emas iaitu Malaysia. Mengulang kembali ingatan saya terhadap sejarah Melaka. Ketika membaca novel ini, filem Hikayat Merong Mahawangsa sedang hangat ditayangkan. Dan secara kebetulan juga saya terjumpa persamaannya iaitu Semenanjung Emas dan bedar.

Ceritanya memang bagus. Saya kagum dengan Dr. Faisal Tehrani kerana setiap buah tangannya pasti bukan yang calang-calang. Semestinya sesuatu yang excellent. Jadi, tak hairanlah kalau novel ini memenangi tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.


"Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang bertaqwa dan yang kaya" (Riwayat Saad bin Abi Waqqas, halaman 98)

"Nabi Muhammad yang pintar berniaga dan tidak pernah menolak kekayaan sebagai satu unsur penting dalam dakwah dan jihad." (halaman 180)

P/s: Jadi, tak salah kalau nak kaya, asalkan jangan sombong dan kedekut.