Showing posts with label Ulat Buku. Show all posts
Showing posts with label Ulat Buku. Show all posts

Thursday, 21 July 2016

Review Buku: Momen-momen Mat Luthfi

P/s: Sebelum tu nak pesan, entri ni ada iras-iras gaya tulisan Mat sikit sebab tak tau pasai pa aku dah terikut gaya Mat tah. Dan entri ni sangat serius, kau kena baca baik-baik.



Buku ni juga saya beli semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di MAEPS. Tapi tak dapat jumpa Mat la, takpe. Dah jemu tengok Mat kat Youtube lagipun Mat dah kahwin sis kecewa haha.

Mula-mula baca buku ni agak hambar juga. Selepas lima enam muka surat baru nampak tujuan asal buku ni diterbitkan. Lawak Mat kali ni bukan lawak kosong, tapi lawak ada isi. Deep sangat. Ada beberapa tajuk yang pernah saya baca di blognya dulu. Setiap kali selesai baca satu tajuk saya perlu fikir terlebih dahulu kelogikannya baru boleh kalih ke halaman seterusnya. Ada kala tersangkut di pertengahan cerita sebab tak sampai. Tinggi sangat bahasa Mat pakai. Sampai kena ulang baca baru sampai kahkah! Tapi ada juga beberapa plot yang tak sampai-sampai maksud dia saya tinggalkan saja. Maaf Mat, Mat tak salah pun. Kami pembaca ni yang salah sebab kurang ilmu barangkali.

Dush!

Kena tumbok diri sendiri bagi sedar sikit.

Saya sangat tertarik dengan mukasurat 17 di mana Mat ada menceritakan tentang kehidupan Banal. Banal ni maksud dia membosankan atau berulang. Dalam ni Mat memberitahu, Lefebvre iaitu filasuf Perancis dan Moran, historian British menceritakan teori Everyday tentang bagaimana rutin seharian terhasil daripada tekanan modeniti.

Rat Race merupakan contoh klasik bagaimana pusingan hidup manusia, 
daripada bangun tidurnya, berkejaran ke tempat kerja, bekerja, pulang, 
tidur dan ulang, menjadi satu banaliti yang menghakis makna diri.

Nak senang cerita, yang manusia ni cepat bosan dengan sesuatu perkara yang dia selalu buat secara berulang-ulang. Kita perlu melakukan sesuatu yang baru untuk menghilangkan kebosanan tersebut. Sebagai contoh, pengalaman pertama mendapat lesen memandu. Mula-mula rasa teruja sebab dapat lesen. Lepaih tu, bila dah selalu mengulang benda yang sama bawa kereta ulang alik pergi kerja, jiwa akan berpindah ke fasa sleepwalking di mana fizikal akan bergerak tanpa sedar, tanpa roh, tanpa makna. Sebab tu bila kau pergi bali kerja setiap hari, lama kelamaan kau bosan. Lalu, manusia akan cuba untuk keluar dari situasi ini dengan melakukan sesuatu yang baharu seperti kahwin lain, pergi bercuti, pergi hiking masuk hutan. Mula la cakap bos itu ini, cakap kerja aku tak dak life la weh, nak tukaq kerja lain la. Lepas tu kau tempah tiket flight kau pergi travel.  Kesimpulannya, jangan biarkan jiwa kita kosong. Isilah dengan ilmu yang bermanfaat. Hadiri majlis-majlis ilmu, bergaul dengan semua orang, solat jemaah di surau, makan di tempat yang berbeza, selalu pulang ke kampung jumpa mak ayah, bela kucing supaya boleh berborak-borak dengan kucing dan seumpama dengannya.

Paham dak? Selebihnya hampa baca la buku ni. Penat Mat tulih tapi hampa tak baca.

"Kita ni jadi baik pasal kita memang baik atau pasal kita ada suasana yang kondusif 
untuk menjadi baik?"

Tak lupa juga footnote yang sangat membantu walaupun ada benda yang remeh pun mat nak footenotekan. Hmm.

Terima kasih Mat untuk buku ni, suatu hasil yang menyedarkan diri. Diri yang selalu leka dengan godaan duniawi. Semoga Allah limpahkan rahmat kepada Mat dan keluarga. 4/5 bintang untuk buku ini.

Pada hari terakhir kita di muka bumi ni nanti, 
yang bakal terserlah bukanlah berapa banyak pencapaian 
peribadi yang berjaya kita rangkul, 
tetapi berapa banyak hati yang telah berjaya kita sentuh.
-Mat Luthfi-

Friday, 27 May 2016

Review Buku: Lelaki Terakhir Menangis di Bumi


"Pada setiap celahan kehidupan perlu kau lihat dengan kaca mata tarbiah."

Sebenarnya, sejak dari awal tahun saya mengidam sangat nak beli buku ni selepas membaca status-status facebook ZF Zamir berkenaan seorang pemuda hebat bernama Musa Nuwayri. Setiap kali dapat gaji mesti nak singgah DuBook waktu pulang dari kerja, nak beli buku kombo 3 buku RM50. Tapi belum cukup 3 buah, saya menangguhkan hasrat tersebut. 

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menjadi jurujual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di MAEPS April lalu dan berada di sana selama dua minggu (Sabtu dan Ahad). Saya mengambil kesempatan utnuk membeli buku, meminta tandatangan dan bergambar dengan penulis. Kebetulan, reruai DuBook berdekatan dengan reruai Khafilah Buku. Kesempatan ini saya gunakan untuk menemui pemuda itu bersama bukunya. 

Tetapi sebenarnya, hakikat saya ni pemalu tidak dapat dinafikan. Saya beli buku ni pada Ahad minggu pertama. Dapatkan tandatangan penulis pada Ahad minggu kedua. Pada mulanya, saya merancang untuk bergambar bersama penulis sambil bertanyakan beberapa soalan. Tapi, bila sampai di reruai DuBook dan ternampak penulis, lidah aku jadi kelu weh! Kah kah! Habis punah soalan yang berbuku di hati.



Tajuk dan cover hadapan buku sangat authentic, sebab tu saya beli. Macam biasa, saya adalah seorang yang akan beli sesuatu buku sebab suka dengan cover hadapan buku. Macam Kunang Pesisir Morten tu. Jadi, kalau nak jadi boyfriend aku kenalah pandai pilih buku, kahkah! Ok gurau.

Buku ini adalah himpunan pengalaman penulis dari awal idea untuk membantu pelarian Syria di Jordan. Permulaan buku yang sangat mencengkam jiwa. Sebak dada baca bab pertama. Bertakung juga air mata ni, mujur tak tumpah. Kau wajib baca dari mula Musa ni dibesarkan sebab lepas tu baru kau tahu kental macam mana hati Musa ni. Padanlah dengan hasil didikan ibu bapa beliau. Buku ni bagi saya sangat lengkap. Lengkap dari awal cerita dia ke Jordan, bagaimana dia terjumpa anak-anak Syria di jalanan, bagaimana beliau tersedar akan kewujudan kem pelarian berdekatan universiti beliau, kira-kira 50 meter saja dari pagar universiti. 

Isi buku yang ringan untuk dibaca. Tulisannya juga sangat baik dan mudah untuk difahami. Saya kagum dengan semangat beliau yang kental sebab pada usia 19 tahun sudah mampu untuk menjadi ejen pengubah. Aku masa umur 19 tahun ada apa? Tengah repeat dua paper di UiTM Merbok sana tu. Belum mampu untuk mengubah apa-apa mahupun mengubah diri sendiri. *Sila hantuk kepala ke dinding*

Kisah bagaimana beliau berusaha mengumpul dana dan dikecam kerana bimbang berlaku penyelewengan terhadap duit sumbangan, sanggup tinggalkan kelas semata-mata untuk mneghulurkan bantuan, ditipu oleh NGO Arab, berjalan kaki dibawah terik panas dan suhu yang rendah, menaiki teksi untuk membeli barang keperluan dan banyak lagi cerita pahit manis beliau di sana. Sanggup berkorban masa dan pelajaran demi membantu anak-anak pelarian Syria di Jordan, secara berterusan. Bukan dah datang hantar bantuan, dan tinggal. Tidak! Aktiviti sukarelawan ini masih diteruskan sehingga ke hari ini sebab beliau sudah ada pelapis dan penyokong dengan tertubuhnya Tangisan Syria di Bumi Jordan. Boleh ikuti aktiviti mereka di facebook.. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan tugas anak muda ini walaupun banyak cabaran dan dugaan dihadapi lebih-lebih lagi di negara orang. 

"Sudah ramai orang Islam yang datang dan menemu ramah kami. Datang mengambil gambar dan pulang tanpa tindakan susulan."

Buku ini bagi saya sebuah travelog. Travelog mencari redha Allah dalam membantu manusia yang memerlukan. MasyaAllah, semoga Allah melimpahkan rezeki buat Musa dan kawan-kawannya.

Buku ini juga seharusnya memberikan inspirasi kepada para sukarelawan di luar sana. Kepada rakan-rakan sukarelawan di luar sana, bacalah buku ini. Ambil inspirasi. Semoga anda semua diberikan kekuatan dan keikhlasan dalam membantu insan yang memerlukan.

"Kesenangan dan senyuman itu lebih bermakna jika dikongsi."

Terima kasih Musa!

4/5 bintang untuk buku ini.

Wednesday, 11 May 2016

Duta Buku

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah diberi peluang untuk menjadi jurujual (di sini kami digelar Duta Buku, rasa terhormat pula) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) buat pertama kali. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menyertai team PBAKL namu belum kesampaian. Saban tahun saya bertanyakan mana-mana syarikat penerbitan buku untuk bekerja separuh masa tetapi sering kali tiada peluang. Teringin untuk bekerja di DuBook sebenarnya, tapi DuBook nak fulltime sepanjang event berlangsung. Sedangkan saya hanya boleh part time hujung minggu sahaja. Kalau ITBM pun bagus jga.

Turjuman Al-Mustafid adalah terjemahan Jawi Melayu pertama yang diterbitkan pada tahun 1884 di Istanbul. Kini dicetak semula oleh Khazanah Fathaniyah.
Kebetulan tahun ini merupakan tahun pertama Klasika Media menyertai pesta buku, jadi saya merebut peluang ini dengan pantas! Untuk pengetahuan, Klasika Media adalah sebuah syarikat penerbitan yang menerbit dan menterjemah karya bermutu dan menawarkan khidmat nasihat Jawi dan taurath ulama.



Saya sudah biasa menjadi jurujual produk pakaian. Bekerja di uswah memberi saya peluang bercakap dengan banyak berkenaan sesuatu produk, instant shawl, bawal labuh, double loop shawl, single loop, wide shawl sampai customer rambang mata nak memilih. Tetapi, bila diberi peluang untuk menjadi jurujual buku-buku ilmiah, buku agama, sejarah dan falsafah kau rasa?

Krik krik krik.

Macam tu lah. Sernyap seribu. Saya sekadar menjadi pemerhati. Tidak berani untuk mempromosi bimbang tersalah cakap. Menyesal pun ada sebab salah pilih booth haha. Buku-buku yang dijual kebanyakannya yang belum pernah saya dengar dan lihat. Tapi saya sangat respect kepada anak muda yang membaca buku-buku macam tu. Respek!

Terima kasih diucapkan kepada team Khafilah Buku kerana memberi peluang kepada saya untuk bekerja dengan insan-insan hebat seperti anda semua. Bekerja dengan anda menjadikan saya yang kerdil ini lebih kecil sekecil biji sawi. Sega rasanya berada di sana. 

Alhamdulillah, dengan rezeki ini juga saya berpeluang menjadi personal shopper untuk kawan-kawan yang tak dapat hadir ke PBAKL (yelah, pertama kali dibuat di MAEPS kot, dah la jauh, tak ada public transport). Empat hari berkampung di sana saya dapat berjumpa dengan raaaaaamai penulis!Banyak buku yang saya borong. Ok, boleh cuba lagi di tahun hadapan :)


Sekian, catatan gadis penjual buku.

Sunday, 28 February 2016

Review Buku: Advantura Pulang Ke Malaya

Dah lama saya nak beli buku ni sebenarnya. Tapi belum berkesempatan nak singgah DuBook. Kebetulah haritu dating dengan Arina, beli sekali dengan Kunang Pesisir Morten. Sebulan selepas beli buku ni, saya terbaca status abang Mut di facebook, ofis bawah DuBook banjir dimasuki air hujan lebat. Jadi ada banyak buku yang mahu disedekahkan dengan syarat sila datang dan ambil sendiri di DuBook Store. Dengan semangatnya selepas kerja saya ke sana untuk mengambil beberapa buah. Tapi malang, kebanyakan buku sudah habis. Yang tinggal adalah Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Advantura Pulang Ke Malaya. Kedua-dua buah buku ni sudah ada di rumah. Dalam hati, "Cis, aku baru je beli buku ni bulan lepas dia nak let go pulak."


Tak apalah, orang dah beri ambil sajalah. Beri betis nak peha! Saya ambil dua buah dan hadiahkannya kepada Tokie. Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia masih ada lagi dalam tangan, siapa nak PM cepat!

***

"Life is wonderful the moment we set off our comfort zone."

Buku ini mengisahkan tentang pengalaman penulis, Badrul Hisham dan dua orang rakannya berbasikal dari UK ke Malaysia selepas beberapa hari menamatkan pengajian ijazah Kejuruteraan Mekanikal di University of Sheffield. Memang gila betul pengembaraan ni. Berbasikal merentas 18 buah negara sejauh 11 000 kilometer demi mengejar impian melihat dunia. Kisah ini sedikit-sebanyak dapat memberikan inspirasi kepada orang muda seperti kita yang masih punya kudrat untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.

Buku ini meskipun travelog tetapi mempunyai penceritaan yang boleh dikatakan baik. Bahasanya juga bagus, tidak terlalu pasar dan rojak. Cuma saya sedikit terkilan sebab terlalu tingkas. Buku travelog tak patut ditulis dengan ringkas. Kisah penulis berbasikal dari satu negara ke negara yang lain terlalu cepat dan ringkas. Susunan cerita tidak mengikut kronologi dari sudut masa dan lokasi sesuatu tempat. Tiada catatan masa dan tarikh perjalanan yang lengkap. Belum sempat saya menelusuri sesebuah negara tersbut, penulis sudah bawa saya keluar dari situ dan masuk ke negara lain pula. Sekejap sudah sampai ke negara di sebelah bawah, sekejap naik semula ke negara atas. Perkara seperti ini sangat mengganggu konsentrasi pembacaan saya.

"Sehingga suatu masa dalam hidup di dunia, kita sedar kita hanya berseorangan dengan Allah."
-Irwan Cheng

Kemudian, ada beberapa ketika penulis bercerita seperti beliau sedang berbasikal seorag diri. Watak-watak utama yang bersamanya pada awal ekspedisi tenggelam timbul. Banyak plot yang tidak teratur. Mungkin penulis tergesa-gesa untuk menyiapkan buku pertamanya. Mujur juga buku ini dihiasi dengan gambar-gambar yang sangat menarik dan kata-kata semangat. Setiap gambar pula disertakan caption sebagai rumusan cerita. 

"Take the world seriously but don't take yourself seriously."
-Ikmal Hazlan

Hasil review di Goodreads saya lihat, ramai juga yang seronok membaca tetapi tidak begitu berpuas hati dengan plot dan kronologi pengembaraan dari A hingga Z. Nampaknya, penulis kena perbaiki kelemahan diri untuk menulis dengan lebih baik untuk buku-buku yang akan datang.



"Cita-cita dan impian biar setinggi langit. Sekurang-kurangnya kalau jatuh tersungkur atas pokok."

Apapun, saya sangat terinspirasi selepas membaca buku ni. Ok, jom set backpack!
Saya beri 3/5 bintang untuk buku ini.


Saturday, 20 June 2015

Review: DIAgnosis - Dr. Anwar Fazal, Dr. Aizzat, Dr. Azah



Saya mendapat tahu tentang buku ini melalui Twitter selepas Dr. Anwar Fazal rajin meretweet tentanng DIAgnosis. Kemudian, ketika saya bekerja di MPH awal tahun yang lalu, buku ini menjadi antara Best Selling dan pernah beberapa kali mendapat tangga teratas carta buku MPH. Kebetulan, pada waktu itu buku DIAgnosis 2 baru saja dilancarkan dan belum sempat masuk MPH. Jadi, ramai pelanggan yang rata-ratanya pelajar sekolah dan universiti bertanya tentang buku ini. Tapi saya tak juga sempat nak beli, sekadar selak dan baca beberapa helai halaman saja. Saya hanya sempat memiliki buku ini dan DIAgnosis 2 semasa di Pesta Buku Kuala Lumpur yang lalu, itupun atas kiriman. Jadilah.


Saya membuka balutan buku dengan gelojoh dan mula membaca. Buku ini hasil sentuhan tiga orang doktor pakar. Agak kagum juga sebenarnya membaca susunan ayat untuk membentuk sebuah cerita oleh tiga orang doktor ni! Pandai doktor menulis :-p


Dr. Anwar Fazal

Bagi saya tulisan Dr. Anwar Fazal kurang menyerlah dan tidak berapa menarik penceritaannya berbanding Dr. Aizzat dan Dr. Azah. Mungkin kerana sudah terlalu biasa membaca tulisan beliau di laman Twitter, jadi tidak begitu hairan dengan buku ini. Mungkin juga tajuk yang diketengahkan itu tidak bersesuaian. Atau mungkin doktor boleh berguru dengan yang lebih pakar dalam bidang penulisan terutamanya jenis cerita yang ingin dipersembahkan. Gaya penceritaan Dr. Aizzat dan Dr. Azzah lebih dramatik dan mencemaskan. Jadi, saya skip beberapa baris ayat tulisan Dr. Anwar. Jangan marah ya doktor? Haha.


Dr. Azah

Baiklah. Dr. Azzah merupakan seorang doktor pakar Pediatrik. Membaca tulisannya saja sudah boleh menenangkan jiwa. Ada naluri keibuan disitu. Sungguh bersopan santun, hehe. Dari pembacaan saya, saya dapati Dr. Azzah seorang yang penyayang dan prihatin. Seorang yang sukakan kanak-kanak. 

Dalam empat bab yang Dr. Azzah tulis, saya paling suka baca bab Tangisan Yang Dinanti. Sungguh la, membaca bab ni macam saya sendiri berada di dalam labour room! Mencemaskan betul bila berhadapan dengan situasi di mana bayi yang dilahirkan tidak menangis. Kes ini berlaku apabila paru-paru bayi tersumbat dan bayi tidak dapat bernafas dengan baik. Bayi dikhuatiri tertelan air ketuban atau najis sendiri. Sebab itu para doktor dan staff nurse yang berada di labour room sangat concern kalau bayi menangis atau tidak. Kalau bayi tak menangis bermaksud ada sesuatu berlaku. Dan situasi ini saya membaca dengan penuh teruja. Rasa macam nak terberanak juga bila membaca baris ayat ketika pesakit sedang meneran untuk bersalin. Haha!

Dr. Aizzat

Baru tahu yang Dr. Azah dan Dr. Aizzat adalah pasangan suami isteri lewat instagram mereka. Saya sangat suka dengan hasil tulisan Dr. Aizzat. Lebih feel ketika membaca, dramatik dan mencemaskan. Dr. Aizzat merupakan seorang neurosurgeon iaitu doktor pakar bedah otak. Gulp! Teruja saya membacanya sebab kagum dengan position beliau. Dan ada satu tajuk sahaja yang saya sangat suka iaitu bab terakhir dalam buku ini, Adrenalin. Perasaan saya ketika membaca bab terakhir ni macam...zasss! Terkesima sekejap. Terasa darah mengalir laju. Tentang kematian. Cepatnya semua tu berlaku. Tiga kali saya ulang baca bab terakhir tu sebelum saya membuat ulasan buku.

Bab terakhir ni betul-betul menyentuh emosi saya ke tahap yang paling dalam sekali. Betapa besarnya tanggungjawab seorang doktor yang bertugas di saat-saat getir ketika melakukan cubaan menyelamatkan nyawa. Besar lagi anugerah Tuhan kepada manusia sebenarnya. Bab terakhir ini juga membuatkan saya berfikir lama. Bagimana Dr. Aizzat menyentuh tentang fungsi otak manusia, dimana itulah tempat segala sesuatu, fungsi saraf yang terdapat di dalamnya dan juga tanggungjawab beliau untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada waris. 


"When you graduate as a neurosurgeon one day, 
it will come in a package with your bloody ego.
At the end of the day, being ego will not bring you anywhere."

Buku ini membuatkan saya memahami dengan lebih dalam  istilah kehidupan dan penciptaan dari sudut pandang seorang doktor. Allahuakhbar, agungnya ciptaan Tuhan. Membaca buku ini menjadikan saya kaku untuk beberapa ketika. Mengira denyut nadi di leher, merasa degupan jantung, menikmati setiap helaan nafas, menikmati penglihatan, pendengaran lantas seluruh pergerakan anggota tubuh. Lalu, terdetik di hati, belum cukup syukur lagikan aku?

Betapa lekanya saya dengan kehidupan selama ini sehingga tak perasan yang degup nadi tu sebenarnya nikmat yang paling dekat dengan kita setiap kali bangun tidur. Yang memang ada pada diri kita sebenarnya. Kita selalu perasan dengan keajaiban dan kebesaran Allah dengan melihat alam, langit, kebesaran itu dan ini tetapi yang dekat iaitu nadi itu sering terlupa (akulah tu). Astaghfirullah. Semoga Allah menjadikan saya dan awak semua hamba yang tidak mudah lupa dan sentiasa bersyukur. Dan pastinya, orang-orang yang tidak keras hatinya saja yang mampu mentafsir.

Satu perkara lagi yang menarik tentang buku ini, terdapat footer untuk menterjemahkan beberapa istilah dan peralatan perubatan yang tidak difahami, diterjemahkan dengan baik. 

Cadangan saya, bacalah!


"Manusia merancang dan Allah juga merancang 
namun perancangan Allah yang terbaik."
[Ali-Imran: 54]

Empat bintang untuk buku ini.

Tuesday, 25 October 2011

Apa bestnya Big Bad Wolf Books?

Rasanya belum terlambat untuk saya bercerita tentang fenomena Big Bad Wolf Books (BBWB) yang melanda negara awal bulan yang lalu. Tak banyak yang mahu saya ceritakan kerana saya masih 'baru' dengan karnival buku ini. Saya haya tahu mengenai jualan gudang  BBWB melalui kakak dan status teman-teman yang sakan di facebook.

Bertempat di MAEPS Serdang, saya dah jangka mesti susah nak ke sana. Mujur menaiki kenderaan sendiri. Tak banyak yang saya beli. Cuma beberapa buku resepi buat kek dan sebuah buku motivasi dari Donald Trump. 

Jualan memang gila-gila murah! Jadi, tidak hairanlah kalau ada yang datang siap bawa troli atau bagasi untuk memborong buku. Saya yang baru pertama kali datang pun hampir terkejut macam nak pengsan melihat harga buku yang terlalu murah yang kebanyakannya buku-buku karya penulis dari luar negara.

Kalau korang semua nak tahu lebih lanjut, sila klik di sini.



P/s: Mujur tak bawak duit banyak. Kalau tidak, hujung bulan makan biskut lah nampaknya. (Tapi sebenarnya ralat sebab tak bawak duit lebih. *Lol!)

Saturday, 7 May 2011

Sasaran 30 buah buku Goodreads saya



Saya telah menetapkan sasaran tersebut pada bulan Januari yang lalu. Sehingga hari ini saya baru hadam 7 daripada 30 buah buku. Ini bermakna, saya ada tujuh bulan lagi untuk menepati sasaran tersebut. Mujur saya tidak mensasarkan 50 buah buku. Saya membaca agak lambat dan suka bertangguh-tangguh.

Alasan yang munasabah? Komitmen kerjaya. Memang itulah alasan yang selalu orang bagi kalau tak sempat melakukan sesuatu. Kerja kerja kerja. Padahal boleh je bahagikan masa. Malam kan ada. Hujung minggu juga ada. Malam letih la, nak berehat dan tidur. Ah! Boleh je kalau luangkan sedikit masa, bukan?

Selepas PBAKL, azam saya semakin membuak-buak. Sasaran 30 buah buku itu menjadi semakin teguh. Ini kerana buku-buku yang saya beli di PBAKL sangat-sangatlah menarik dan perlu dibaca secepat mungkin. Mungkin benar kata seorang teman, kalau rasa bosan membaca satu buah buku pada satu-satu masa, bacalah dua tiga buah buku pada satu masa. Saya sudah cuba dan berjaya. Saya berharap penghujung bulan Disember nanti saya boleh baca lebih daripada 30 buah buku. Ok, berusaha!

Thursday, 24 March 2011

Anda adalah apa yang anda baca

Dia suka baca komik. Patut la perangai dia juga seperti kartun. Oh, dia sangat jiwang sebab dia sangat suka baca novel cinta terbitan Alaf 21. Kamu lihat dia serius bukan? Sebab dia lebih banyak membaca buku sastera berbanding novel-novel biasa. Tahu sajalah, novel sastera kan novel untuk golongan orang tua. Dia tu, sangat suka berimaginasi dan berfantasi. Nak tahu kenapa? Sebab dia suka sangat membaca novel bersiri Harry Potter.

Yang mana satukah anda? Saya....semua! Boleh jadi perangai saya seperti Detektif Conan untuk beberapa ketika setelah membaca novel Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Boleh juga jadi, perangai saya suka berimaginasi, kononnya boleh merubah masa sekarang kepada 20 tahun akan datang atau 20 tahun yang lampau setelah membaca novel bersiri Harry Potter. Mungkin, saya akan termimpikan jejaka kacak lagi bergaya menaiki BMW 5 series setelah tidak tidur semalaman dek penangan novel cinta Alaf 21. Ataupun, saya menjadi seorang yang sangat puitis dalam berkata-kata selepas membaca karya sastera seperti novel Imam karya Abdullah Hussain. Kadang-kadang saya juga teringin nak menjadi watak gila-gila seperti novel karangan Hlovate.

Ah! Sangat tidak tetap pendirian. Kita tidak boleh menilai seseorang itu daripada apa yang dia baca. Boleh jadi, seseorang itu tidaklah seburuk kartun. Mungkin dia seorang yang serius, tetapi oleh kerana minatnya ke arah komik kita pula menggelarkannya kartun. Seperti yang saya terangkan di atas, keadaan minat saya berubah-ubah. Mengikut jenis pembacaan. Di sini jelas menunjukkan, pembacaan yang bagus adalah pembacaan yang memberikan kesan yang mendalam terhadap pembaca.

Saya selalu juga mendengar kata-kata seperti: "Tak bosan ke baca buku sastera? Tak cool langsung!"
Atau, "Kau ni suka sangat baca novel islami, tak masuk la dengan aku"

Oh, saya sangat berkecil hati dengan kata-kata seumpama itu. Belum cuba, belum tahu. Bukan apa, saya cuma mahu kawan saya beralih sedikit daripada pembacan yang sama. Sebab itu saya memberinya pinjam buku-buku seperti itu. Selepas seminggu, dia pulangkan semula. Katanya, "Aku tak bacapun. Tengok cover pun dah tahu tak best."

Hello, novel Tunggu Teduh Dulu pun cerita tentang cinta. Konserto Terakhir yang kau baca sampai keluar air mata dan hingus semasa di tingkatan lima dulupun adalah novel karya Sasterawan Negara.

Aduhai, bagaimana agaknya ya nak merubah persepsi sesetengah masyarakat Malaysia ni agar membaca bahan bacaan yang bermanfaat dan memberi kebaikan kepada diri sendiri?

Jadi, kalau anda nak berubah. Berubahlah dengan pembacaan. Jadilah apa saja yang kamu mahu jadi. Apa salahnya sesekali tu tukar selera. Orang jahat juga boleh berubah menjadi alim setelah membaca buku.

P/s: Ini adalah pandangan saya yang bukan pakar. Jadi, kalau ada yang tidak bersetuju silalah suarakan.

Wednesday, 19 January 2011

Goodreads


Sejak menyertai grup 'ulat buku' Goodreads, minat saya untuk membaca menjadi semakin bertambah-tambah. Kalau dahulu saya paling susah nak menghabiskan bacaan dalam masa yang singkat, contohnya dua hari, walaupun buku tersebut tidaklah tebal mana, cuma 180 halaman. Tetapi, sejak saya masuk Goodreads, saya semakin rajin membaca. Saya boleh menghabiskan bacaan 180 halaman dalam masa 2 hari. (Jangan gelak okey. Saya tahu anda boleh menghabiskannya dalam masa setengah hari). Hal ini terjadi kerana beberapa perkara:

1. Saya jelous melihat teman-teman Goodreads yang meng'update' status mereka setiap hari.
2. Saya rasa nak lawan mereka yang telah ada lebih 100 buah buku di dalam rak. (Owh, rak buku saya cuma ada 29 buah buku sehingga 19 Januari 2011).
3. Seronok dapat berkongsi buku dengan teman-teman. Kita boleh melihat buku apa yang mereka baca. Boleh review buku mana yang saya berkenan berdasarkan bacaan dan pendapat mereka.
4. Dapat berkongsi topik hangat dan berdiskusi semua tentang buku di Goodreads Malaysia.
5. Kenalan baharu mambuatkan kita boleh berfikiran lebih jauh kerana dapat berjumpa kawan-kawan 'ulat buku' dari seluruh Malaysia. Luar negara pun ada. Ini dapat meluaskan pengetahuan terhadap apa yang mereka baca.

Kepada teman-teman yang belum mendaftar sebagai ahli Goodreads, segeralah berbuat demikian. Percayalah anda tidak akan rugi atau menyesal. Mari kawan-kawan, tambah saya sebagai kenalan di Goodreads!



Monday, 13 December 2010

Membaca itu perlu berfikir

Saya ingin bertanyakan soalan ini kepada anda, samaada anda penggemar buku ataupun tidak. Perlukah kita menghabiskan suatu pembacaan itu sesegera mungkin?

Saya cukup hairan, kenapa sesetengah pembaca gemar menghabiskan bacaannya dengan cepat. Boleh jadi dua hari sudah boleh khatam. Bagaimanakah cara anda membaca? Membaca dengan mata kepala atau membaca dengan mata hati?

Saya kira, bukankah membaca sambil berfikir dan menilai kebenarannya adalah lebih bagus faedahnya. Kadang-kadang saya pelik dengan sesetengah golongan pembaca. Saya pelik dan tidak faham dengan kaedah pembacaan mereka.

Mereka begitu bangga bercerita, kononnya dalam satu bulan mereka boleh membaca sekian-sekian banyak buku, majalah atau bahan bacaan lain. Mungkin juga merasakan dirinya hebat, boleh membaca dengan pantas. Ingat ya, seseorang yang berjaya menghabiskan bacaannya dengan sesegera yang mungkin belum tentu sudah dapat menguasai ilmu yang dibaca sedalam yang mungkin!

Alangkah bagusnya jika mereka menghitung sudah berapa banyak perubahan yang telah dilakukan bertitik tolak dari pembacaannya. Kiranya, berapa deras pembacaan kita seiring dengan seberapa pantas ilmu dari buku tersebut diperolehi. Bukan sekadar, "Semalam aku tidak tidur dan tidak makan kerana mahu membaca secepat mungkin"

Seorang hukamak pernah menyebut begini,

"Rugilah hidup manusia jika tidak menjadi pembaca. Rugilah pembaca jika dia tidak berubah dengan pembacaannya. Dan rugilah orang yang berubah jika dia tidak beristiqamah dengan prubahannya."

Tidak sedarkah anda, sebaik sahaja menutup sesuatu bahan ilmu dan sesegera itu otak menjadi kosong semula. Tidak meninggalkan sebarang kesan pun daripada apa yang telah dibaca. Sayang bukan?

Saya ingin menceritakan fenomena novel cinta dalam kalangan remaja. Sudah tentunya selepas menutup buku, mereka hanya peroleh khayalan semata-mata. Betapa indahnya bercinta dengan seorang pemandu kapal terbang. Betapa indahnya jika bercinta dengan seorang jejaka yang punya BMW 3 Series. Betapa indahnya beristerikan seorang yang cantik, berambut ikal, pipi gebu bak pauh dilayang. Ah, itu semua hanyalah keindahan sementara.

Tetapi inilah yang selalunya terjadi. Usai membaca novel-novel contoh seperti tadi, pembaca tidak kemana. Pemikiran kekal di takuk lama. Tidak berkembang dan otang pun tidak boleh berfikir secara meluas.

Sesungguhnya pertambahan usia itu mengajar kita erti kedewasaan. Kini, saya lebih bijak memilih buku. Sebelum membeli, menilai terlebih dahulu isi kandungan serta penulisnya sekali. Jadi, jika ingin membeli buku, carilah buku yang betul-betul bermanfaat dan boleh memberikan sumbangan dalam kehidupan seharian.

Sambil membaca, berfikirlah dan mengkajilah. Sesudah membaca, amalkannya dan lakukan perubahan yang positif.

Tuesday, 2 November 2010

Membaca sebelum menulis


Azam saya pada awal tahun ini salah satunya ialah ingin menghantar karya saya di beberapa media cetak terutamanya Tunas Cipta. Napaknya sudah masuk bulan kesebelas tahun ini, hasrat itu masih belum tertunai, tidak mungkin dalam masa dua bulan ini. Perkara ini terjadi disebabkan sikap diri saya sendiri. Dalam masa hampir satu tahun ini, saya belajar banyak perkara. Saya menuntut banyak ilmu berkaitan penulisan melalui pembacaan.

Menulis itu senang tetapi ia bukan sesuatu kerja yang remeh. Bagi saya menulis itu rumit. memerlukan pembacaan dan pemahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Hal ini membuatkan saya lebih berhati-hati untuk menghasilkan karya. Semua orang inginkan yang terbaik. Sikap saya pula mahu tunjukkan yang terbaik hinggakan prosesnya menjadi lambat. Kerana mahukan karya yang terbaik untuk dibaca mahupun untuk diladeni, saya menjadi buntu. Ya, buntu. Sehingga akhirnya saya tidak termampu untuk mencapai sasaran asal.

Sifat kesempurnaan itu membuatkan saya menjadi seorang yang terlalu rumit. Orang kata, suka merumitkan keadaan padahal benda itu senang dan mudah. Bagi kawan-kawan yang juga mempunyai minat yang sama, mungkin anda juga ada sikap atau tabiat menulis anda sendiri. Bagi diri saya, saya memahaminya. Dan kerana itu karya saya tertangguh agak lama.

Jadi, saya menanganinya dengan banyakan membaca. Saya kini sedang belajar membaca karya sastera terutamanya sastera orang lama. Kawan-kawan sila berikan sokongan yang tinggi kepada saya, kerana 'sastera orang lama' bukan mudah untuk dihadam.

Sekian.

Thursday, 10 June 2010

Mencari ulat di celah buku



Sejak kebelakangan ini, saya sangat rajin membaca buku. Suatu perubahan yang sangat drastik dan perkembangan baik untuk diri sendiri. Sebelum ini, saya cukup jarang membaca. Buku yang baharu dibeli, kena tunggu sehingga dua tahun barulah dibaca. Saya mempunya satu sikap suka bertangguh. Lama-lama tidak buat. Saya suka membaca tetapi tidak rajin membaca.
Sebenarnya, sejak saya bekerja di sebuah kedai gambar, rutin harian saya mula berubah. Saya banyak menghabiskan masa dengan termenung dan berbual kosong dengan rakan. Jika ada pelanggan datang, barulah ada kerja. Jadi saya menggunakan inisiatif ini sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah. Iaitu membaca. Buku yang saya peroleh semasa PBAKL lalu, daripada lima hanya satu yang terusik. Setiap hari saya membawa buku. Setiap saat yang berlalu itu juga saya isikan dengan membaca. Saya tidak lagi termenung menunggu durian jatuh.
Alhamdulillah, setakat tiga minggu bekerja, saya sudah boleh menghabiskan sebuah novel. Biar lambat, asalkan baca daripada tak baca langsung. Selepas berjaya menghabiskan sebuah novel, saya cukup yakin boleh menghabiskan bacaan seterusnya yang banyak tertangguh. Kalau dulu, bila tengok buku di rak buku rumah kakak, rasa takut-takut nak pinjam. Biarlah…nanti dulu. Tunggu habiskan buku tu dulu baru boleh pinjam. Tapi sekarang dah tak rasa malas nak pinjam. Sebab saya sudah ada azam baharu, nak mencari ulat di celah buku! Cari sampai dapat, selagi tak dapat jangan berhenti membaca. Tetapi, benarkah ada ulat di celah buku?