Showing posts with label Sastera. Show all posts
Showing posts with label Sastera. Show all posts

Friday, 7 December 2012

Buku: Kembara Sastera Nisah Haron

Tujuan asal membaca buku ini adalah untuk mencari idea untuk membuka sebuah kafe buku (suatu hari nanti). InsyaAllah.

Buku ini ringan dan santai kerana ia berkisar tentang kembara sastera seorang penulis. Ceritanya ringkas dan terdapat banyak gambar-gambar yang menarik. Boleh dibaca di mana jua kita berada. Saya pernah membaca hampir sebahagian buku di sebuah cafe sambil menikmati segelas kopi putih sejuk dan sepotong puding cream caramel.


Sebenarnya saya sedang cuba menikmati atau merasai sendiri membaca buku sambil ditemani oleh secawan kopi seperti yang diceritakan di dalam buku dan juga seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penulis lain. Hi hi hi.

Ya. Rasa itu sangat awesome!

Ok. Bagi saya, buku ini merupakan kisah perjalanan menyingkap rahsia kota sastera. Apakah yang dimaksudkan dengan kota sastera (City of Literature)? Kota sastera merupakan kota yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana terdapat sensitiviti masyarakat terhadap sastera dan nilai kesedaran yang tinggi oleh masyarakat terhadap karya agung mereka. Sebagai contoh, Kota Sastera pertama yang diiktiraf oleh UNESCO adalah Edinburgh (2004), kemudian  Melbourne (Ogos 2008), Iowa City (November 2008), Dublin (2010) dan Reykjavic (2011). Nak senang cerita, rakyat sesebuah negara itu mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap kesusasteraan negara masing-masing selain kualiti dan kuantiti dalam bidang pendidikan.

*Tidak seperti di Malaysia, kebanyakan rakyatnya mengagungkan hiburan semata-mata. Eh! Maaf.

Kembali kepada topik asal. Sebenarnya, saya pernah mengikuti bengkel penulisan cerpen yang dianjurkan oleh penulis beberapa tahun yang lalu dan saya agak gerun dengan ketegasan beliau. Beliau sangat tegas dalam berkata-kata. Hehehe. Waktu itu adalah kali kedua cerpen saya siap dan dipersembahkan. (Kali pertama ketika memasuki pertandingan menulis cerpen ketika di tingkatan lima, saya mendapat tempat kedua. Tak tahu macam mana boleh menang, mungkin kurang penyertaan :p Kih kih kih.)

Tiba-tiba teringat pesanan Puan Nisah kepada Shahkang Aizat yang sangat menusuk kalbu di halaman ke 31 buku ini. Katanya,

"Sebuah cerpen yang tidak bagus, tetapi siap adalah lebih baik daripada sebuah cerpen yang kononnya bagus, tetapi tak siap-siap!"

Sentap!

Karya William Shakespeare merupakan satu-satunya karya sastera Inggeris yang pernah saya baca. Itu pun beberapa kerat sahaja. Namun, di dalam buku ini saya dapat mempelajari lebih mengenai Shakespeare. Stratford-Upon-Avon, merupakan tempat kelahiran William Shakespeare. Kata penulis, Stratford-Upon-Avon  adalah sebuah pekan kecil tetapi menjadi besar kerana sasteranya. Di sini terletaknya rumah kelahiran Shakespeare terdapat banyak tugu-tugu yang berkaitan dengan watak-watak dalam karya-karya Shakespeare. Antara karya Shakespeare yang saya pernah baca adalah sewaktu di bangku sekolah dulu, Romeo and Juliet dan Sonnets.

Hay-On-Wye pula adalah sebuah Kampung Buku Pertama Dunia. Setiap tahun akan diadakan Hay Festival. Lebih kurang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur juga tapi Hay Festival lebih meriah katanya. Apa yang menariknya di sini adalah terdapat banyak buku yang dijual dan buku-buku itu dijual secara terbuka. Boleh memilih dan membaca buku sambil menghirup udara segar. Oh!

Hay-on-Wye
Edinburgh, City of Literature 2004

Sesuatu yang menarik tentang Edinburgh adalah Stesen Edinburgh Waverly. Nama "Waverly" diambil sempena judul novel Sir Walter Scott, pengarang terkenal di Scotland. Judul buku pun boleh jadi nama stesen keretapi, sangat menarik. Jadi, tidak hairanlah Edinburgh dipilih sebagai City of Literature pada tahun 2004.

Memandangkan saya peminat setia JK Rowlings dan Harry Potter, tentunya saya amat tertarik dengan tempat tinggal penulis tersebut ketika belum terkenal sebagai penulis Harry Potter iaitu di Leith, Edinburgh, Scotland. Di sana terdapat sebuah kafe yang bernama The Elephant House. Kafe ini merupaka tempat JK Rowlings menulis sebahagian daripada bab novel itu. Ketika itu beliau belum dikenali dan masih menulis dengan tulisan tangan.

Kafe lagi. Inspirasi...

"Sastera dan budaya juga menjadi sebahagian daripada perkara yang membina peradabannya."

Dublin Bumi Shamrock, City of Literature 2010

Shamrock? Pada mulanya saya tertanya-tanya, apa itu Shamrock? Kemudian, Wikipedia memberikan saya jawapan ini. "The Shamrock is a three-leaved old white clover. It is known as a symbol of Ireland." 

Pokok ini namanya Trifolium Repens
Seperti di Malaysia juga, bunga kebangsaan negara kita adalah bunga raya :)

Selain Dublin City Gallery iaitu galeri modern art, pemandangan yang paling menarik di sana adalah The Garden of Remembrance, sebuah taman bagi memperingati mereka yang gugur sewaktu mendapatkan kebebasan untuk orang-orang Irish. Susunan bunga-bunga segar dan kerusi kayu itu sangat menarik!

Lihat, cantik bukan?

The Garden of Remembrance
London

Ketika di Kota London, saya tertarik pada 84, Charing Cross Road, London. Banyak sekali penulis bercerita tentang ini. Rupanya, ia adalah sebuah buku yang menghimpunkan kisah dua sahabat seberang lautan yang membeli buku secara pos pasca-Perang Dunia Kedua. Seorang di Amerika Syarikat, si pembeli bernama Helene Hanff dan Frank Doel, pekerja yang bertugas di kedai buku Marks & Co. yang beralamat di No. 84, Charing Cross Road, London. Namun kedai buku tersebut kini dinamakan Med Kitchen, sebuah restoran.

*Tiba-tiba saya terfikir, jika saya berpeluang seperti penulis, saya mahu mencari lokasi istimewa filem Harry Potter, Platform 9 3/4 iaitu Hogwarts Express, yang akan membawa pelajar Hogwards ke sekolah mereka. Tak tahu samada ia betul-betul wujud atau rekaan semata-mata.

Cecil Court. Kawasan ini terletak bersebelahan dengan Charing Cross, ia merupakan syurga kedai buku terpakai. Nak tahu kenapa saya bercerita tentang Cecil Court? Kerana kawasan ini dikatakan memberi inspirasi kepada JK Rowlings ketika mencipta Diagon Alley dalam buku Harry Potter. Oh! Bestnya....

Cecil Court
Diagon Alley, Cecil Court dalam filem Harry Potter

Selain Harry Potter, Cecil Court juga pernah menjadi lokasi untuk filem Miss Potter (2006) dan The Last Bookshop. Bayangkan, terdapat satu lorong yang kiri dan kanannya terdapat kedai buku, di tengah-tengah kota London. Kalaulah di Malaysia juga begitu...

Kesimpulannya, buku ini sangat lengkap bagi penggemar buku dan sastera barat. Saya yang tidak berapa mengenali sastera barat secara tidak langsung dapat mengetahui sedikit demi sedikit beberapa nama baharu selain belajar subjek geografi. Seriously, tak pernah dengarpun Stratford-Upon-Avon dan Hay-on-Wye sebelum ni. Sadis. Membaca buku kembara ini terasa seperti saya juga turut ikut mengembara bersama. Buku ini juga mudah untuk kita melihat dengan lebih lanjut berkenaan sesuatu tempat kerana terdapat link yang disediakan di bawah setiap buku.

Lima bintang untuk buku ini :)

P/s: Tiba-tiba rasa macam nak pergi backpaking!

Monday, 10 January 2011

Mengulangkaji novel IMAM karya Abdullah Hussain

Setelah sekian lama  'mengulangkaji' novel IMAM karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, akhirnya saya sampai juga ke halaman terakhir pada jam 1:55 petang hari ini. Saya menyalahkan diri sendiri kerana terlalu banyak penangguhan berlaku sepanjang membaca IMAM. Sikap ini tidak baik untuk dicontohi ya.

Saya ini bukanlah seorang yang arif mahupun sasterawan atau apa. Apa yang ingin saya sampaikan hanyalah daripada seorang pembaca terhadap bahan bacaan yang dibaca. Saya tertarik untuk membaca novel Imam setelah membaca Konserto Terakhir selain sinopsis dan tajuknya yang unik. 

Saya sangat respek kepada penulis kerana berjaya menyampaikan mesej kepada pembaca seperti saya. Syabas saya ucapkan kerana Abdullah Hussain bukanlah seorang yang berstatus 'imam' atau 'ustaz' tetapi beliau mampu menghasilkan sebuah novel Islam seperti imam. Membaca novel ini seperti saya membaca tulisan seorang ulama!

Novel Imam bagi saya sangat menyentuh hati. Ia mengisahkan tentang perjuangan seorang imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri. Namun ia mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri. Imam Haji Mihad didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Saya dapat mempelajari bagaimana tugas seorang imam. Bukan sekadar mengimamkan solat, malah imam juga menyelesaikan banyak hal yang berkaitan agama.

Sesungguhnya bahasa melayu itu sangat indah. Bahasa yang digunakan di dalam novel ini aduhai...sangat mudah difahami, sangat lembut dan berhemah bagi saya. Di awal pembacaan saya sudah dapat agak novel ini sangat bagus. Ibarat membaca buku panduan agama. Banyak hal-hal fardu ain yang kita terlepas pandang, diperbetulkan. Sebagai contoh, cara berwuduk dengan betul dan rukun-rukun di dalam solat. Ya, memang banyak isu tentang solat disentuh. Setiap konflik dan penyelesaian juga dapat disusun dengan baik.

Haji Mihad. Saya amat tersentuh dengan perjalanan hidup Haji Mihad. Ya Allah, Haji Mihad ni sangat baik la. Beliau sangat berhemah dan penyabar orangnya. Setiap tutur katanya melambangkan peribadinya yang santun. Jika dimarah atau dikutuk, beliau sentiasa positif dan berprasangka baik. Saya ingin mencontohi sikap Haji Mihad. Jarang sekali beliau berprasangka buruk terhadap orang lain.

Saya paling meminati bahagian di mana Haji Mihad dipanggil untuk disoal jawab oleh pegawai dari Pejabat agama. Di mana, segala persoalan terjawab dengan penuh tertib. Perbalahan di antara Yang Dipertua bersama dua orang pembantunya dengan Haji Mihad sangat dramatik. Biar seberat manapun soalan itu, Haji Mihad dapat menjawabnya dengan hujah-hujah yang bernas berdasarkan pengalamannya semasa menuntut ilmu.

Tetapi, kisah tragis di akhir novel ini sangat menyayat hati. dan sangat-sangat tidak disangka. Semoga ia  tidak terjadi kepada masyarakat kita hari ini.

Novel ini begitu sarat dengan nasihat, panduan tentang agama, mutiara kata, hadis dan beberapa pandangan daripada ulama-ulama tersohor. Buku ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan ataupun tanda aras untuk menulis novel berlandaskan dakwah dan Islam jika anda seorang penulis.

Tuesday, 2 November 2010

Membaca sebelum menulis


Azam saya pada awal tahun ini salah satunya ialah ingin menghantar karya saya di beberapa media cetak terutamanya Tunas Cipta. Napaknya sudah masuk bulan kesebelas tahun ini, hasrat itu masih belum tertunai, tidak mungkin dalam masa dua bulan ini. Perkara ini terjadi disebabkan sikap diri saya sendiri. Dalam masa hampir satu tahun ini, saya belajar banyak perkara. Saya menuntut banyak ilmu berkaitan penulisan melalui pembacaan.

Menulis itu senang tetapi ia bukan sesuatu kerja yang remeh. Bagi saya menulis itu rumit. memerlukan pembacaan dan pemahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Hal ini membuatkan saya lebih berhati-hati untuk menghasilkan karya. Semua orang inginkan yang terbaik. Sikap saya pula mahu tunjukkan yang terbaik hinggakan prosesnya menjadi lambat. Kerana mahukan karya yang terbaik untuk dibaca mahupun untuk diladeni, saya menjadi buntu. Ya, buntu. Sehingga akhirnya saya tidak termampu untuk mencapai sasaran asal.

Sifat kesempurnaan itu membuatkan saya menjadi seorang yang terlalu rumit. Orang kata, suka merumitkan keadaan padahal benda itu senang dan mudah. Bagi kawan-kawan yang juga mempunyai minat yang sama, mungkin anda juga ada sikap atau tabiat menulis anda sendiri. Bagi diri saya, saya memahaminya. Dan kerana itu karya saya tertangguh agak lama.

Jadi, saya menanganinya dengan banyakan membaca. Saya kini sedang belajar membaca karya sastera terutamanya sastera orang lama. Kawan-kawan sila berikan sokongan yang tinggi kepada saya, kerana 'sastera orang lama' bukan mudah untuk dihadam.

Sekian.

Monday, 10 May 2010

Seusai Bengkel Menulis Cerpen bersama Puan Nisah Haron

Sabtu lalu, saya meluangkan masa untuk menghadiri bengkel penulisan cerpen yang belum pernah dihadiri sebelum ini. Kebanyakan bengkel yang pernah saya hadiri hanyalah bengkel puisi dan penulisan yang tidak dispesifikkan bentuk penulisannya. Jadi, pemergian saya ke bengkel menulis cerpen tempoh hari sangat mengujakan.

Apa yang ingin dikongsikan di sini adalah bagaimana cerpen saya yang bertajuk Sebuah Impian (tajuk yang tidak tepat dan amat diragui oleh saya) dibedah. Pada awalnya, cerpen ini saya tulis untuk dihantar ke penerbitan Tunas Cipta. Tetapi, saya ingin mencuba nasib mengetengahkan cerpen ini ke Bengkel Penulisan Puan Nisah dahulu sebelum dihantar.
Seperti yang sudah dijangkakan, cerpen saya dibedah dengan begitu tragis sekali. Mamandangkan ini adalah cerpen sulung saya (tidak termasuk cerpen 'buruk' saya semasa di alam persekolahan), jadi saya sudah berteka-teki dari rumah, kritikan apa yang akan saya terima.
Komen Puan Nisah Haron:
1. Judul cerpen saya tidak bersesuaian dengan jalan cerita (working title). Memang saya sudah menjangkakan perkara ini akan ditegur. Tajuk cerpen saya sentiasa berubah-ubah dari awal saya merangka cerpen ini. Tajuk cerpen Sebuah Impian diletak atas keterpaksaan.

2. Kaitan alam dengan perasaan sangat baik. Target saya memang untuk menarik pembaca dengan bahasa alam. Tetapi, adakalanya imaginasi saya terhadap alam terlalu padat sehingga mengganggu penceritaan. Tidak perlu huraian terlalu mendalam tentang keadaan cuaca (sudah macam ramalan kaji cuaca kata Puan Nisah).

3. Watak sampingan yang terlalu ramai. Cukup sekadar dua hingga tiga orang. Tidak perlu watak yang tidak berfungsi. Ada watak, tetapi tidak membantu. Cerpen adalah cerita yang pendek dan padat, jadi tidak perlu watak yang muncul tetapi tidak membantu hingga akhir cerita.

4. Tidak cukup dramatik. Konflik yang ditrjemahkan tidak cukup besar dan tidak terlalu kuat. Perlu bina masalah yang lebih konflik dan rumit untuk diselesaikan. Semakin banyak masalah (konflik), semakin mantap sesuatu cerpen (penyelesaian juga perlu kukuh).

5. Ikatan sebab dan akibat yang longgar. Saya terlupa, apakah punca yang menyebabkan kegagalan (masalah watak utama).Mesti ada punca, akibat dan penyelesaian (konflik).

Komen Ustaz Amiza Khusyri:
1. Teknik panorama (watak alam) dengan manusia amat kuat dan berkesan. Gaya bahasa juga bagus.

2. Isu tidak terlalu besar. Kena perbesarkan masalah untuk menghasilkan konflik yang lebih berkesan.

3. Tajuk mungkin terpengaruh dengan novel (memang tajuk cerpen saya tidak bersesuaian).

5. Kebaikan cerpen, nasihat yang baik. Tetapi masih lagi terapung-apung. Plot yang longgar dan bertempel-tempel.

Itu adalah komen dua orang kuat di bengkel penulisan. Komen daripada reserta yang lain jug a tidak kurang hebatnya. Rata-rata mereka memberikan komen yang lebih kurang sama. Bahasa yang indah dan puitis. Banyak menggunakan unsur alam. Nasihat dan mutiara kata yang berguna (Puan Zalila Isa perli, katanya tidak sia-sia saya buka kamus mutiara kata). Tetapi tidak, kata-kata nasihat itu say peroleh dari pelbagai sumber termasuk sumber Hadis dan Al-Quran. Selain tiu, masalah yang dihadapi watak utama sudah biasa. Cadangan untuk carikan suatu kelainan lagi. Konflik yang lebih terkesan. Watak yang saling sokong-menyokong. Jalinan persahabatan yang baik.

Menurut Puan Nisah, saya perlu merehatkan cerpen Sebuah Impian seketika, ambil sedikit masa dan fikirkan idea baharu, kemudian mula mengedit cerpen tersebut. Baiki kesilapan semasa pembedahan. Ambil idea yang diberi kemudian, sudah siap...hantar terus ke Tunas Cipta. jangan ditangguh-tangguh lagi.

Bermula pada hari ini juga, saya perlu menggiatkan diri sendiri supaya menulis cerpen dengan dengan banyak dan hantar ke editor sebanyak mana yang mungkin. Bila lagi nak publisitikan karya sendiri kalau asyik simpan dalam fail saja.Mudah-mudahan nanti.

Bengkel penulisan ini sangat berguna dan saya peroleh banyak manfaat daripadanya. Terima kasih kepada Puan Nisah Haron yang sudi membedah cerpen saya dan kepada semua yang terlibat dalam bengkel tersebut. Harapan saya selepas ini, cerpen hasil tulisan saya mesti sampai ke tangan editor sedikit masa lagi.

Wednesday, 10 February 2010

Di Sebalik Konserto Terakhir dan Sebuah Intermeso


Apa yang ingin saya sampaikan di sini bukanlah ulasan mahupun sinopsis buku ini yang rata-ratanya telah dibaca ketika di Tingkatan Lima. Tetapi, perkara yang ingin saya kongsikan adalah kekaguman dan keterujaan saya terhadap buku ini. Buku Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain yang juga merupakan teks komsas tingkatan lima sejak tahun 2001, TIDAK PERNAH saya baca sehingga tamat Tingkatan Lima. Saya hanya mempelajarinya melalui buku rujukan komsas. Biarpun guru Bahasa Melayu saya pernah acap kali mengatakan buku ini sangat bagus dan sedih, namun tidak pula berjaya meruntun hati saya untuk membacanya. Pernah juga berkali-kali saya mencuba untuk membacanya. Tetapi cukup sekadar dua, tiga bab. Selepas itu, saya jadi malas untuk meneruskannya. Perkara yang sama saya ulangi untuk waktu-waktu yang berikutnya. Sehinggalah tamat Tingkatan Lima, saya tidak juga khatam novel tersebut.

Kini, sehingga detik ini dan pada akhir-akhir ini, hati saya sering terusik dengan buku Konserto Terakhir. Semacam ada sesuatu di dalam hati saya menggamit-gamit diri ini untuk membaca buku itu. Kata-kata Cikgu Masri, guru Bahasa Melayu saya suatu ketika dahulu seperti terngiang-ngiang di telinga. Lalu, saya memikirkan bagaimanakah caranya untuk mendapatkan buku tersebut. Ada juga terdengar cakap-cakap atas angin bahawa komsas Tingkatan Lima sudah diperbaharui. Sudah ada buku yang baharu. Perkara ini membuatkan hati saya sedikit tawar untuk mendapatkannya tanpa bertanyakan dahulu kepada pelajar Tingkatan Lima. Saya redakan permintaan hati ini. Tetapi tidak lama. Kerana hati saya seakan tidak mahu reda. Seperti ada bola sebesar biji guli yang menendang-nendang mahu memecahkan hati saya selagi buku itu tidak saya dapatkan. Kenapalah saya tidak dapatkan saja daripada pelajar tingkatan lima sendiri. Tapi, hati saya berkata, jangan pinjam! Beli saja dari kedai! Itu lebih baik. Boleh buat rujukan meluas.

Saya turutkan juga kata hati. Tanpa membuang masa, saya memberanikan diri untuk menjengah kedai-kedai buku untuk sedaya-upaya mencari buku itu. Jika tidak ada juga, semahunya saya menuntut pihak penerbitan buku itu supaya mengulang cetak untuk saya. Ternyata itu sekadar perasaan. Saya hanya pergi ke sebuah kedai buku sahaja untuk mendapatkan buku itu. Pada mulanya, saya sedikit ragu-ragu untuk memasuki kedai buku tersebut. Semacam keberatan mulut untuk bertanya. Takut juga buku itu tidak dijual memandangkan ia adalah buku teks sekolah. Namun, setelah bersoal jawab dengan pemilik kedai buku, akhirnya pada tanggal 28 Januari tahun ini, buku Konserto Terakhir dapat juga saya miliki. Bukannya bersoal jawab apa. Saya cuma mahukan kepastian darinya. ‘Ada jual buku Konserto terakhir tak? Benarkah teks komsas tingkatan lima telah diperbaharui?’ Katanya ada. Hanya tingkatan satu dan empat saja yang diperbaharui. Ooh...begitu. Mujur saya cepat. Jika saya terlewat setahun atau dua tahun lagi, tentu novel tingkatan lima juga akan diperbaharui tidak lama lagi. Dan sudah tentu buku itu sudah tidak dijual.

Hati saya kini berasa senang dan girang setelah dapat memiliki buku tersebut. Bola kecil yang menendang-nendang di dalam hati saya kini sudah lenyap. Tak tahu mana hilangnya. Saya pasti, bola kecil itu mungkin telah bertukar menjadi kuntuman bunga yang mekar berputik. Cantik dan berseri-seri. Saya pulang ke rumah dan terus sahaja membaca buku yang pernah menjadi impian. Namun, atas kesuntukan masa disebabkan berhadapan dengan pelbagai komitment lain, buku itu terpaksa saya baca sedikit demi sedikit dan beransur juga ke penghujung muka surat pada 2 Februari lalu.

Perasaan saya usai membaca buku ini tersangatlah kagum! Saya kagum dengan penulisnya yang dapat menghasilkan sebuah cerita yang lebih menjurus ke bidang muzik. Sama ada penulis pernah belajar muzik ataupun sekadar membuat kajian untuk bukunya itu tidak pasti. Selain berlatarkan muzik, cerita ini saya menjangkakan penulis mengambil latar tempat dan masa sekitar tahun 60-an atau 70-an memandangkan buku ini terbitan pertamanya tahun 1980. Saya tidak dapat gambarkan tambang bas hanya sepuluh sen dan gaji sebagai tukang kebun sekalipun sebanyak dua puluh ringgit waktu itu! Jika diberi peluang walaupun beberapa saat, terasa saya mahu terbang ke waktu dahulu. Zaman muda-muda emak dan abah. Ingin melihat sendiri keadaan Kuala Lumpur suatu ketika dahulu seperti yang diceritakan di dalam buku ini. Bagaimanakah orang-orang kuala Lumpur pada waktu dahulu berbanding waktu ini. Saya kagum juga dengan watak Hilmi yang begitu tabah dengan dugaan hidupnya. Membuatkan saya menginsafi diri sendiri kerana saya yang hidup di masa yang boleh dikatakan senang di zaman ini sering saja menyalahkan. Selalu saja mudah mengalah dengan musibah. Tidak seperti Hilmi, hidupnya susah. Sanggup bekerja apa saja untuk menyara hidup, namun dia tetap kuat. Duhai, saya begitu terpukul! terkena batang hidung sendiri disaat saya sedang terkapai-kapai tanpa pekerjaan biarpun bukannya bersekolah setakat Darjah Empat Sekolah Melayu. Insaf.

Saya tidak menangis di penghujung cerita biarpun kesudahannya adalah kesedihan. Saya cuma berasa sebak dengan pemergian Hilmi. Walaupun sesekali tu ada juga terasa kehangatan air di kelopak mata yang tidak sekalipun tertumpah. Fikiran saya terlalu ligat berfikir tentang kehidupan seorang seniman muzik. Biarpun hidupnya telah berjaya dikecapi dengan menempa nama yang begitu hebat dalam orkestra, namun kegembiraan tidak semuanya indah. Hilmi yang tabah untuk berjuang menjadi seorang pemuzik juga mengalami kegagalan rumah tangga. Malah, orkestra terulungnya juga tidak sempat dipimpin setelah bekerja keras untuk itu. Saya kasihan sangat dengan Hilmi. Membaca Konserto Terakhir ibarat saya membaca biografi seorang seniman. Saya dapat menyelami perasaan Hilmi sehingga ke akhir hayatnya. Susah senang yang dilaluinya terlalu mendalam. Terdetik di hati saya untuk bertemu penulis, Abdullah Hussain. Ingin bertanyakan bagaimanakah beliau boleh menghasilkan karya klasik moden yang boleh juga dikatakan karya masterpiece, yang pastinya diingati sampai bila-bila. Tidak tahu beliau masih ada atau tidak. Betapa menyesal saya tidak membacanya sejak dulu. Konserto Terakhir banyak menginsafkan saya tentang kehidupan selain mengkagumi kebesaran yang Esa.

Kesimpulannya, Konserto Terakhir adalah cerita kehidupan. Cerita kepayahan. Cerita kemanisan. Cerita perjalanan hidup daripada kesusahan kepada kesenangan. Cerita tentang darah, darjat, cinta, lagu dan irama. Sebuah Intermeso di pentas hidup. Dari sini juga saya mendapat ilham untuk tajuk blog saya, SEBUAH INTERMESO, iaitu judul lagu gubahan pertama Hilmi. Menurut Pak bakar, iaitu guru muzik hilmi: ‘Intermeso itu macam-macam. Apa saja boleh jadi.’ Jadi saya anggap intermeso itu bukan sekadar gubahan muzik. Tetapi mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Saya namakan ia ‘SEBUAH INTERMESO DI BELANTARA HIDUP’.

Konserto Terakhir

Cerita darah
Cerita darjat
birunya darah
pogahnya darjat
Cerita lagu dan irama
lagu jasad tegar
irama nurani sunyi
Cerita cinta
Cerita luka
Cerita Konserto Terakhir
Sebuah Intermeso di pentas hidup

(Petikan dari novel Konserto Terakhir)