Showing posts with label DuBook. Show all posts
Showing posts with label DuBook. Show all posts

Friday, 19 January 2018

Republik Sungai Golok


Novel ni dibeli sewaktu aku menjadi Duta Buku di reruai Kafilah Buku pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016. Agak lama simpan buku ni tanpa dibaca.

Aku membaca novel tulisan Isma Ae Mohamad ini kerana tertarik dengan tajuk. Kemudian aku membaca sedikit review. Aku suka membaca tulisan Isma Ae Mohamad di Facebook. Penulisannya di dalam buku juga sangat baik dan tersusun. 

Ada apa dengan Sungai Golok sebenarnya? Novel ini mengisahkan tentang pergolakan kehidupan masyarakat di sempadan kedua-dua negara, Malaysia-Thailand. Sempadan yang dicipta sebagai pemutus hubungan masyarakat setempat. Satu sempadan yang ditentang dan tidak diredai.

Sebelum membaca novel ini, aku seperti manusia di luar sana yang kurang faham tentang 'Sungai Golok' sudah tentu akan berfikir negatif tentang penyeludupan, kahwin lari dan PATI. Namun, selepas membaca permulaan bab saja aku seperti terleka dan ingin membaca bab seterusnya. Persepsi aku terhadap Sungai Golok langsung berubah.

Sungai Golok sangat terkenal dengan aktiviti penyeludupan lembu yang banyak bila tiba musim perayaan, penyeludupan beras dan bahan makanan lain. Aktiviti penyeludupan merupakan satu-satunya pekerjaan dan mata pencarian masyarakat setempat. Bagi mereka, tiada kesalahan penyeludupan itu asalkan mereka tidak menyeludup barang yang haram seperti dadah dan senjata api.

Aku suka dengan penjelasan penulis tentang penyeludupan. Bagaimana seorang guru menjelaskan secara berhemah kepada anak muridnya tentang bahaya penyeludupan dan melanggar undang-undang. Setiap negara mempunyai undang-undang dan rakyat harus patuh kepadanya. Sebagai contoh, lembu ynag diseludup masuk melalui sempadan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit dan menyebarkan virus jika tidak disuntik vaksin. Pentingnya undang-undang di sini adalah, lembu yang di bawa masuk ke dalam negara perlu melalui kastam dan melepasi beberapa ujian kesihatan agar tidak menyebarkan sebarang penyakit atau virus. Di sini pentingnya ilmu dan pendidikan dalam menyampaikan maklumat kepada anak-anak yang kurang berkemampuan.

Setiap babak yang berlaku dalam novel ini diceritakan dengan detail dan padat. Sarat dengan maklumat. Bermula dengan kisah kehidupan Ramlee sebagai anak yang dilahirkan di sempadan Malaysia, Kelantan tetapi ibu bapanya warga Thailand. Ramlee dibesarkan di Kelantan dengan cara hidup orang Malaysia. Namun, jauh disudut hatinya, dia sangat mencintai negara asalnya dan teringin berbahasa Thai dengan fasih seperti ibu dan bapanya.

Ramlee sering diceritakan oleh ibunya mengenai negera Patani. Tembok pemisah itu telah memutuskan hubungan mereka dengan saudara mara di Thailand. Sebelum adanya tembok sempadan Sungai Golok, mereka begitu bebas keluar masuk. 

Satu perkara yang menarik tentang Ramlee, kerana kemahuannya untuk berbahasa Thai dengan fasih dan percuma, Ramlee telah berguru dengan seorang sami di Wat yang dipanggil khru di sempadan sebelah Thailand tanpa diketahui bapanya. Sehingga suatu hari, cerita berkenaan Ramlee berguru dengan seorang sami tersebar dan diketahui oleh bapanya. Sejak itu, Ramlee tidak dibenarkan untuk belajar bahasa Tahi dengan khru lagi kerana bimbang akidahnya terpesong kerana bergurukan seorang sami Buddha. Sedikit sebak sewaktu membaca bab ini.

Turut menjadi konflik adalah dalam menentukan warganegara anak dengan memutuskan kelahiran anak di Malaysia atau Thailand. Perbezaan warganegara dalam satu keluarga ditunjukkan dalam watak Fatimah dan dua orang adiknya. Fatimah dilahirkan di Malaysia kerana bapanya mahu ada seorang anak yang berwarganegara Malaysia. Kahidupan Fatimah menjadi seorang anak yang menentang. Dia sering mempersoalkan kepada dia berwarganegara Malaysia. Setiap pagi dia perlu menyeberang Sungai Golok untuk ke sekolah. Adakalanya, dia tidak dapat ke sekolah jika terdapat konflik di sempadan. Sehingga suatu hari Fatimah mengutuskan sepucuk surat kepada Menteri Dalam Negeri sewaktu membuat lawatan ke kampungnya, memohon supaya tembok sempadan tidak dibina.

Novel ini menjadi lebih menarik kerana penulis turut sertakan beberapa dialog ringkas dalam bahasa Thai. Dari situ aku faham betapa unik dan menariknya bahasa Thai. 

Kesimpulannya, novel ini telah mengubah persepsi aku terhadap Sungai Golok dan terasa mahu pergi ke sana dan melihat sendiri suasana di pinggir sungai. Aku pernah menghantar mesej kepada penulis di Facebook bertanyakan tentang Sungai Golok. Adakah kita masih berpeluang untuk menaiki sampan untuk menyeberang Sungai Golok seperti yang dilakukan oleh Fatimah, Ramlee dan Ahmad dalam novel ini dan adakah pasport diperlukan untuk mnyeberanginya? Jawabnya, sempadan dijaga oleh tentera, jadi lebih selamat jika sediakan pasport untuk menyeberang. Mungkin akan ada pemeriksaan tubuh badan sebelum masuk. Jika bernasib baik, tak perlu melepasi kawalan tentera pun.

P/s: Ok, tiba-tiba rasa nak pergi Sungai Golok pula haha.







Friday, 27 May 2016

Review Buku: Lelaki Terakhir Menangis di Bumi


"Pada setiap celahan kehidupan perlu kau lihat dengan kaca mata tarbiah."

Sebenarnya, sejak dari awal tahun saya mengidam sangat nak beli buku ni selepas membaca status-status facebook ZF Zamir berkenaan seorang pemuda hebat bernama Musa Nuwayri. Setiap kali dapat gaji mesti nak singgah DuBook waktu pulang dari kerja, nak beli buku kombo 3 buku RM50. Tapi belum cukup 3 buah, saya menangguhkan hasrat tersebut. 

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menjadi jurujual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di MAEPS April lalu dan berada di sana selama dua minggu (Sabtu dan Ahad). Saya mengambil kesempatan utnuk membeli buku, meminta tandatangan dan bergambar dengan penulis. Kebetulan, reruai DuBook berdekatan dengan reruai Khafilah Buku. Kesempatan ini saya gunakan untuk menemui pemuda itu bersama bukunya. 

Tetapi sebenarnya, hakikat saya ni pemalu tidak dapat dinafikan. Saya beli buku ni pada Ahad minggu pertama. Dapatkan tandatangan penulis pada Ahad minggu kedua. Pada mulanya, saya merancang untuk bergambar bersama penulis sambil bertanyakan beberapa soalan. Tapi, bila sampai di reruai DuBook dan ternampak penulis, lidah aku jadi kelu weh! Kah kah! Habis punah soalan yang berbuku di hati.



Tajuk dan cover hadapan buku sangat authentic, sebab tu saya beli. Macam biasa, saya adalah seorang yang akan beli sesuatu buku sebab suka dengan cover hadapan buku. Macam Kunang Pesisir Morten tu. Jadi, kalau nak jadi boyfriend aku kenalah pandai pilih buku, kahkah! Ok gurau.

Buku ini adalah himpunan pengalaman penulis dari awal idea untuk membantu pelarian Syria di Jordan. Permulaan buku yang sangat mencengkam jiwa. Sebak dada baca bab pertama. Bertakung juga air mata ni, mujur tak tumpah. Kau wajib baca dari mula Musa ni dibesarkan sebab lepas tu baru kau tahu kental macam mana hati Musa ni. Padanlah dengan hasil didikan ibu bapa beliau. Buku ni bagi saya sangat lengkap. Lengkap dari awal cerita dia ke Jordan, bagaimana dia terjumpa anak-anak Syria di jalanan, bagaimana beliau tersedar akan kewujudan kem pelarian berdekatan universiti beliau, kira-kira 50 meter saja dari pagar universiti. 

Isi buku yang ringan untuk dibaca. Tulisannya juga sangat baik dan mudah untuk difahami. Saya kagum dengan semangat beliau yang kental sebab pada usia 19 tahun sudah mampu untuk menjadi ejen pengubah. Aku masa umur 19 tahun ada apa? Tengah repeat dua paper di UiTM Merbok sana tu. Belum mampu untuk mengubah apa-apa mahupun mengubah diri sendiri. *Sila hantuk kepala ke dinding*

Kisah bagaimana beliau berusaha mengumpul dana dan dikecam kerana bimbang berlaku penyelewengan terhadap duit sumbangan, sanggup tinggalkan kelas semata-mata untuk mneghulurkan bantuan, ditipu oleh NGO Arab, berjalan kaki dibawah terik panas dan suhu yang rendah, menaiki teksi untuk membeli barang keperluan dan banyak lagi cerita pahit manis beliau di sana. Sanggup berkorban masa dan pelajaran demi membantu anak-anak pelarian Syria di Jordan, secara berterusan. Bukan dah datang hantar bantuan, dan tinggal. Tidak! Aktiviti sukarelawan ini masih diteruskan sehingga ke hari ini sebab beliau sudah ada pelapis dan penyokong dengan tertubuhnya Tangisan Syria di Bumi Jordan. Boleh ikuti aktiviti mereka di facebook.. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan tugas anak muda ini walaupun banyak cabaran dan dugaan dihadapi lebih-lebih lagi di negara orang. 

"Sudah ramai orang Islam yang datang dan menemu ramah kami. Datang mengambil gambar dan pulang tanpa tindakan susulan."

Buku ini bagi saya sebuah travelog. Travelog mencari redha Allah dalam membantu manusia yang memerlukan. MasyaAllah, semoga Allah melimpahkan rezeki buat Musa dan kawan-kawannya.

Buku ini juga seharusnya memberikan inspirasi kepada para sukarelawan di luar sana. Kepada rakan-rakan sukarelawan di luar sana, bacalah buku ini. Ambil inspirasi. Semoga anda semua diberikan kekuatan dan keikhlasan dalam membantu insan yang memerlukan.

"Kesenangan dan senyuman itu lebih bermakna jika dikongsi."

Terima kasih Musa!

4/5 bintang untuk buku ini.

Sunday, 28 February 2016

Review Buku: Advantura Pulang Ke Malaya

Dah lama saya nak beli buku ni sebenarnya. Tapi belum berkesempatan nak singgah DuBook. Kebetulah haritu dating dengan Arina, beli sekali dengan Kunang Pesisir Morten. Sebulan selepas beli buku ni, saya terbaca status abang Mut di facebook, ofis bawah DuBook banjir dimasuki air hujan lebat. Jadi ada banyak buku yang mahu disedekahkan dengan syarat sila datang dan ambil sendiri di DuBook Store. Dengan semangatnya selepas kerja saya ke sana untuk mengambil beberapa buah. Tapi malang, kebanyakan buku sudah habis. Yang tinggal adalah Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Advantura Pulang Ke Malaya. Kedua-dua buah buku ni sudah ada di rumah. Dalam hati, "Cis, aku baru je beli buku ni bulan lepas dia nak let go pulak."


Tak apalah, orang dah beri ambil sajalah. Beri betis nak peha! Saya ambil dua buah dan hadiahkannya kepada Tokie. Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia masih ada lagi dalam tangan, siapa nak PM cepat!

***

"Life is wonderful the moment we set off our comfort zone."

Buku ini mengisahkan tentang pengalaman penulis, Badrul Hisham dan dua orang rakannya berbasikal dari UK ke Malaysia selepas beberapa hari menamatkan pengajian ijazah Kejuruteraan Mekanikal di University of Sheffield. Memang gila betul pengembaraan ni. Berbasikal merentas 18 buah negara sejauh 11 000 kilometer demi mengejar impian melihat dunia. Kisah ini sedikit-sebanyak dapat memberikan inspirasi kepada orang muda seperti kita yang masih punya kudrat untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.

Buku ini meskipun travelog tetapi mempunyai penceritaan yang boleh dikatakan baik. Bahasanya juga bagus, tidak terlalu pasar dan rojak. Cuma saya sedikit terkilan sebab terlalu tingkas. Buku travelog tak patut ditulis dengan ringkas. Kisah penulis berbasikal dari satu negara ke negara yang lain terlalu cepat dan ringkas. Susunan cerita tidak mengikut kronologi dari sudut masa dan lokasi sesuatu tempat. Tiada catatan masa dan tarikh perjalanan yang lengkap. Belum sempat saya menelusuri sesebuah negara tersbut, penulis sudah bawa saya keluar dari situ dan masuk ke negara lain pula. Sekejap sudah sampai ke negara di sebelah bawah, sekejap naik semula ke negara atas. Perkara seperti ini sangat mengganggu konsentrasi pembacaan saya.

"Sehingga suatu masa dalam hidup di dunia, kita sedar kita hanya berseorangan dengan Allah."
-Irwan Cheng

Kemudian, ada beberapa ketika penulis bercerita seperti beliau sedang berbasikal seorag diri. Watak-watak utama yang bersamanya pada awal ekspedisi tenggelam timbul. Banyak plot yang tidak teratur. Mungkin penulis tergesa-gesa untuk menyiapkan buku pertamanya. Mujur juga buku ini dihiasi dengan gambar-gambar yang sangat menarik dan kata-kata semangat. Setiap gambar pula disertakan caption sebagai rumusan cerita. 

"Take the world seriously but don't take yourself seriously."
-Ikmal Hazlan

Hasil review di Goodreads saya lihat, ramai juga yang seronok membaca tetapi tidak begitu berpuas hati dengan plot dan kronologi pengembaraan dari A hingga Z. Nampaknya, penulis kena perbaiki kelemahan diri untuk menulis dengan lebih baik untuk buku-buku yang akan datang.



"Cita-cita dan impian biar setinggi langit. Sekurang-kurangnya kalau jatuh tersungkur atas pokok."

Apapun, saya sangat terinspirasi selepas membaca buku ni. Ok, jom set backpack!
Saya beri 3/5 bintang untuk buku ini.


Friday, 29 January 2016

Review Buku: Kunang Pesisir Morten

Sewaktu bulan puasa tahun lepas, saya kerap kali melihat gambar kulit hadapan buku ini berlegar-legar di laman Twitter. Gambar seorang kanak-kanak yang comot dengan rambut kusut sedang tersenyum. Imej itu menarik hati saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Selepas membuat sedikit review, saya terus tertarik dengan jalan ceritanya dan memasang cita-cita untuk singgah ke DuBook sebelum pulang bercuti hari raya. Malangnya, DuBook tutup awal sempena raya.

Teringat satu bual bicara buku bersama Syed Munawar dan penulis, Raiha Bahaudin di RTM1 tempoh hari, "Macam tak percaya buku sebaik ini diterbitkan oleh DuBook!" Bertambah tak sabar rasa nak beli buku ni. Sekembalinya daripada bercuti Aidilfitri, saya terus ke DuBook sekali lagi dengan harapan yang tinggi menggunung.  Alhamdulillah, dapat. Sampai rumah, macam biasa saya terus membuka balutan buku dengan rakus dan mencium bau kertas coklat yang harum itu. Sedapnya bau pokok!


Buku setebal 212 halaman ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan yang comot berusia sembilan tahun yang bernama Dhiya bersama dua orang rakannya Adi dan Lim. Dhiya diceritakan sebagai seorang kanak-kanak degil, pendiam dan bijak sehingga mampu mengatasi kebijaksanaan orang dewasa. Kecerdikannya yang meludah ke atas lukisannya semata-mata untuk menghasilkan warna air yang unik sangat memualkan sebenarnya. Selain itu, Dhiya mampu mengatasi masalah jenayah di sekitar Kampung Morten dan memberikan idea bernas di luar kotak. Rasa seperti tidak masuk akal Dhiya boleh berfikir setiris itu ketika menyelesaikan masalah kes kecurian barang pusaka. Teringat saya kepada novel bersiri Detektif Indigo karya Faisal Tehrani yang persis cerita kartun Detective Conan.

Ya, buku ini sarat dengan kisah penyiasatan, kesetiaan dalam persahabatan dan penyatuan kaum berbilang bangsa. Sesuai untuk mereka yang gemar menonton drama bersiri CSI. Kisah kanak-kanak kampung, permainan zaman kanak-kanak kita, berkaki ayam, mandi sungai dan merayau dari pagi hingga petang.

"Sekolah terlalu bosan, cikgu terlalu lembab dan asrama adalah penjara." - Tam

Satu perkara yang menarik perhatian saya mengenai Dhiya adalah minatnya yang mendalam terhadap bidang lukisan sehingga sanggup membuat dan menjaja popia Nyonya semata-mata untuk mengumpul duit membeli set warna air Daler Rowney yang mahal dan juga kehandalannya berlaga ketam lumpur Uca Annulipes. 

Penulis banyak bercerita tentang suasana di Kampung Morten sekitar tahun 1984 iaitu kampung kelahiran penulis sendiri. Sebelum mambaca buku ini saya belum pernah dengar nama Kampung Morten. Ketika saya menghadiri sesi bedah buku ini di DuBook Store, penulis ada bercerita tentang betapa busuk dan kotornya air sungai Morten dan aktiviti melaga ketam itu juga adalah kisah benar. Ketam laga ni dah pupus dan tak wujud lagi sejak kerajaan negeri Melaka membaik pulih saliran sungai untuk memajukan kawasan Kampung Morten. Jika diizinkan suatu hari nanti saya ingin membuat lawatan pendek ke Kampung Morten di Melaka. Teringin!



Namun, setiap buku tidak terlepas daripada beberapa plot yang membosankan. Ya, ada beberapa keadaan di mana saya rasa sedikit bosan dan tidak begitu faham dengan apa yang penulis cuba untuk sampaikan.

Semasa menghadiri sesi bedah buku di DuBook Store tehun lepas, saya berpeluang mendengar beberapa perbahasan berkenaan buku ini. Katanya, buku ini setanding dengan trilogi Laskar Pelangi, boleh tahan lama yang mana kita boleh baca berulang kali. Bukan sebuah buku yang hanya kita baca sekali sahaja. Isinya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

"Novel yang baik adalah novel yang tahan lama dan merentas zaman." Fazallah Pit

Ada yang mencadangkan agar buku ini dijadikan teks wajib baca pelajar sekolah dan ada juga yang mencadangkan agar buku ini dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) atau Hadiah Sastera Perdana. Apapun bagi saya, jika ada anugerah kulit buku terbaik, saya akan calonkan buku ini.

Hmm, terpulang kepada anda untuk menilai. Sila baca dulu dan komen. Saya beri 4/5 bintang.

Bersama penulis, Raiha Bahaudin dalam sesi bedah buku di DuBook Store.
Seronok sebab dapat tandatangan dan juga sekeping gambar lakaran Dhiya yang dilukis sendiri oleh penulis.
Kata Dhiya, "Jika aku punya kemahuan untuk pandai, sekolah manapun mampu 
membuat aku pandai."