Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Monday, 3 January 2011

Dua ribu sebelas

Salam tahun baru Masihi, 2011. Tahun lepas, tidak banyak perubahan. Boleh dikatakan kekal pada kedudukan yang sama. Tidak ada apa-apa perubahan. Banyak kegagalan daripada kejayaan. Permohonan kerja saya kebanyakannya ditolak. Hampa. Bukanlah kegagalan apa, ia adalah cuma sedikit cabaran untuk mencuba yang lebih baik di masa hadapan.

Tetapi apa boleh buat. Saya selalu memohon agar tidak sekali-kali akan berputus asa dan menyesal dengan kesilapan lalu. Mungkin belum tiba masanya. Rezeki itu ada, Tuhan menjanjikan yang terbaik untuk hambaNya, cuma cepat dan lambat saja. Mungkin sudah tua nanti baru ada rezeki, siapa tahu? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Jadi, tahu baru ini saya ingin melupakan kisah lalu dan cuba untuk berfikir kehadapan. Jika semalam ada pahit, hari ini kita carilah manisnya. Saya hanya mengharapkan yang terbaik dan mohon keberkatan dalam setiap tingkah. Dan berharap 2011 ini dapat menyumbang segala kematangan untuk hari yang mendatang. Ya, moga cabaran itu mematangkan.

Selamat menyambut tahun baru!


Thursday, 23 December 2010

Sehangat Bara Cinta Canberra


Ini adalah karya ketiga daripada penulis Ilham Hamdani, yang telah menjadi milik saya kesemuanya, klik untuk membaca entri buku sebelumnya. Kalau dahulu, penulis pernah 'membawa' saya ke negara matahari terbit, Jepun dengan novel bertajuk Hidayah Cinta. Kini, sekali lagi penulis membawa saya 'melancong' ke negara Kanggaru, Australia.

Penulis membawa saya menyoroti suasana di Canberra, saya membayangkan seperti Putrajaya. Kerana Canberra adalah sebuah daerah pentadbiran yang tidak terlalu sibuk. Memang betul-betul dapat mengimaginasikan. Sungguh musim bunganya, musim sejuknya, musim panasnya...alangkah cantik dan indah!

Cukup perihal keindahan Canberra. Seperti biasa, penulis masih mengekalkan figura lelaki sebagai watak utama, Ikmal Hakimi. membaca novel ini ibarat membaca diari seorang lelaki. Ya, sebelum ini saya banyak membaca 'diari seorang perempuan'. Jadi, sesekali membaca luahan hati lelaki apa salahnya. 

Menceritakan Ikmal Hakimi yang mendatangi daerah gumtree, negeri selatan, Canberra kerana kekecewaan yang dialaminya. Ikmal cuba mencari cinta yang benar, yang sahih, cinta Tuhan. Kata Makcik marwa, "Carilah cinta Tuhan, nescaya kamu akan berjumpa dengan cinta hamba."

Novel ini juga sarat dengan mutiara kata dan motivasi yang begitu mendidik. Sesuai degan watak Ikmal Hakimi yang berputus asa dan membawa diri ke negara orang. Betapa tinggal di negara asing itu dugaannya sangat besar. Kalau tiada iman yang teguh mudah saja rapuh dengan cubaan persekitaran!

"Kekuatan dan kepandaian manusia bukannya terletak pada usaha manusia semata-mata, tetapi sejauh mana hubungannya dengan Rabb, Tuhan yang menciptanya."

Penulis banyak menyedarkan saya tentang 'khasiat' sesebuah buku. Katanya, jika membaca perlu berfikir dan selepas membaca amalkanlah serta beristiqamah dengan amalan itu. Gunakan ilmu yang terdapat di dalam buku sebagai rujukan dan melakukan perubahan positif. Jangan terlalu tergesa ketika membaca. Sebelum ini, saya membaca sebab cepat nak habis. Selepas habis baca, tutup buku, simpan semula. Dari situ kita tidak dapat input apa-apa daripada sesebuah buku. Itu sangat membazir. Untuk ulasan lebih lanjut, baca: Membaca itu perlu berfikir.

Di dalam novel ini, saya pelajari bahawa, perkara yang tidak pernah buat, jika istiqamah, lama-kelamaan boleh menjadi amalan rutin seperti watak Ikmal Hakimi yang membuat solat malam sebagai rutin selepas mendapat hidayah dan diketemukan dengan seorang sahabat, Izzudin Al-Qasam.

Membaca perihal riwayat Izzudin Al-Qasam sangat menyentuh kalbu. Sedari detik pertemuan pertamanya dengan Ikmal Hakimi, kita sudah dapat baca bahawa dia sehingga ke akhir hayatnya adalah seorang yang sangat baik dan mulia. Saya suka dengan bahagian bagaimana penulis menceritakan detik-detik menghadapi kematian, saat memandikan mayat, mengkafankan dan mengebumikan jenazah. Duhai...betapa insaf! Sungguh, novel ini benar-benar menyentuh hati seorang hamba. Belum sekali saya membaca novel yang punya peristiwa seperti itu.

Perebutan cinta untuk menakhluki hati Ikmal Hakimi oleh dua orang gadis manis, Nia Suraya dan Melissa Ai Ying Keong, sangat dramatik. Melissa cuba berjinak-jinak dengan Islam demi menambat hati Hakimi. Nia Suraya pula cuba memadam luka lama. Aduh! Betapa dramatik. Dan akhirnya, setelah selesai membaca, tahulah saya siapakah gadis bertudung biru yang menghias kulit depan novel ini.

Seperti novel sebelumnya, saya sangat berharap agar mana-mana penulis yang pernah menulis beberapa buah buku tidak mengulangi cerita, watak dan perwatakan yang sama seperti novelnya yang terdahulu. Saya rasa, ini terjadi lagi kepada penulis yang sama. Daripada Mekar Sakura di Mimbar Cinta hingga ke Hidayah Cinta dan kini Bara Cinta Canberra, ada lagi persamaannya. Bukan apa, saya jadi bosan!

Sebagai contoh, 
1. Watak Brother Qusai terdapat di dalam Mekar Sakura di Mimbar Cinta dan Hidaya Cinta.
2. Rasanya, nama Makcik Marwa juga diulang di dalam novel ini.
3. Isu Palestin-Israel memang tidak lekang dari ketiga-tiga buku ini. Selalu diungkit dan dibangkit.

Bukan apa, rasanya penulis perlu mencipta pembaharuan. Jangan asyik mengulang peristiwa yang sama biarpun mahu menyampaikan mesej Aman Palestin. Mungkin sesuatu yang baru bagi pembaca yang pertama kali membacanya, tetapi tidak bagi saya yang sudah menjadi followernya sejak tulisan pertamanya.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada penulis kerana memberitahu saya tentang banyak perkara. Tentang buku yang perlu dimanfaatkan dan perlu diamalkan ilmunya serta istiqamah. Tentang kelebihan solat malam. Biarpun sekali seumur hidup sudah memadai, tetapi alangkah bagus jika diamalkan selalu. Tentang mengingati mati dan proses menguruskan jenazah, memandikan, mengkafankan, solat jenazah dan mengebumikan. Oh Tuhan, semoga insafnya bukan sekejap.

Akhir sekali, jika kamu mencari cinta hamba, mencari pasangan...carilah cinta tuhannya terlebih dahulu. Nescaya, setelah mendapat cinta tuhan kamu akan berjumpa dengan cinta hambaNya. Alangkah! Alangkah indah mencintai Tuhan.

Monday, 13 December 2010

Membaca itu perlu berfikir

Saya ingin bertanyakan soalan ini kepada anda, samaada anda penggemar buku ataupun tidak. Perlukah kita menghabiskan suatu pembacaan itu sesegera mungkin?

Saya cukup hairan, kenapa sesetengah pembaca gemar menghabiskan bacaannya dengan cepat. Boleh jadi dua hari sudah boleh khatam. Bagaimanakah cara anda membaca? Membaca dengan mata kepala atau membaca dengan mata hati?

Saya kira, bukankah membaca sambil berfikir dan menilai kebenarannya adalah lebih bagus faedahnya. Kadang-kadang saya pelik dengan sesetengah golongan pembaca. Saya pelik dan tidak faham dengan kaedah pembacaan mereka.

Mereka begitu bangga bercerita, kononnya dalam satu bulan mereka boleh membaca sekian-sekian banyak buku, majalah atau bahan bacaan lain. Mungkin juga merasakan dirinya hebat, boleh membaca dengan pantas. Ingat ya, seseorang yang berjaya menghabiskan bacaannya dengan sesegera yang mungkin belum tentu sudah dapat menguasai ilmu yang dibaca sedalam yang mungkin!

Alangkah bagusnya jika mereka menghitung sudah berapa banyak perubahan yang telah dilakukan bertitik tolak dari pembacaannya. Kiranya, berapa deras pembacaan kita seiring dengan seberapa pantas ilmu dari buku tersebut diperolehi. Bukan sekadar, "Semalam aku tidak tidur dan tidak makan kerana mahu membaca secepat mungkin"

Seorang hukamak pernah menyebut begini,

"Rugilah hidup manusia jika tidak menjadi pembaca. Rugilah pembaca jika dia tidak berubah dengan pembacaannya. Dan rugilah orang yang berubah jika dia tidak beristiqamah dengan prubahannya."

Tidak sedarkah anda, sebaik sahaja menutup sesuatu bahan ilmu dan sesegera itu otak menjadi kosong semula. Tidak meninggalkan sebarang kesan pun daripada apa yang telah dibaca. Sayang bukan?

Saya ingin menceritakan fenomena novel cinta dalam kalangan remaja. Sudah tentunya selepas menutup buku, mereka hanya peroleh khayalan semata-mata. Betapa indahnya bercinta dengan seorang pemandu kapal terbang. Betapa indahnya jika bercinta dengan seorang jejaka yang punya BMW 3 Series. Betapa indahnya beristerikan seorang yang cantik, berambut ikal, pipi gebu bak pauh dilayang. Ah, itu semua hanyalah keindahan sementara.

Tetapi inilah yang selalunya terjadi. Usai membaca novel-novel contoh seperti tadi, pembaca tidak kemana. Pemikiran kekal di takuk lama. Tidak berkembang dan otang pun tidak boleh berfikir secara meluas.

Sesungguhnya pertambahan usia itu mengajar kita erti kedewasaan. Kini, saya lebih bijak memilih buku. Sebelum membeli, menilai terlebih dahulu isi kandungan serta penulisnya sekali. Jadi, jika ingin membeli buku, carilah buku yang betul-betul bermanfaat dan boleh memberikan sumbangan dalam kehidupan seharian.

Sambil membaca, berfikirlah dan mengkajilah. Sesudah membaca, amalkannya dan lakukan perubahan yang positif.

Tuesday, 4 May 2010

Aku Cinta Masjid (ACM)

Untuk menjadi seorang yang kuat beribadah, kita boleh menubuhkan AMC (Aku Cinta Masjid). Seorang Muslim dengan masjid ibarat ikan dengan air. Tidak mungkin seorang Muslim itu tidak selesa dengan masjid. Malah, seseorang yang tidak akrab dengan masjid boleh diragukan keimanannya.

Ikhtiar untuk mewujudkan rasa cinta terhadap solat dan masjid adalah dengan berusaha menunaikan solat tepat pada waktunya, di masjid dan dilakukan secara berjemaah. Cara paling mudah untuk melaksanakannya adalah dengan datang lebih awal ke masjid untuk menunggu tibanya waktu solat. Petua untuk istiqamah solat pada awal waktu adalah dengan menjadi penunggu waktu solat.

Saudaraku, di tengah keadaan yang semakin sukar sekarang, tidak ada yang mampu menolong kita selain Allah SWT. Satu daripada ikhtiar untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT ialah dengan meningkatkan pengenalan kita kepada-Nya. Cara mencapainya adalah dengan beribadah secara istiqamah.

(Petikan ini saya peroleh daripada akhbar Berita Harian dan majalah Anis)

Thursday, 11 March 2010

Pahala Yang Bertambah dan Berterusan

Risalah tazkirah 4 minit ini saya peroleh di surau tempat saya berehat waktu tengah hari di tempat kerja. Bersepah-sepah di atas lantai. Saya ambil satu dan bermuhasabah diri membacanya. Di sini, saya mahu kongsikan bersama.


Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang mengajak kepada hidayah (kebaikan), maka baginya pahala yang diperoleh oleh orang yang mengikutnya selapasnya, (serta) tidak berkurangan pula pahala orang yang mengamalkannya, dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka baginya dosa seperti dosa yang turut diperoleh oleh orang yang mwmbuat dosa selepasnya dan tidak akan berkurangan dosa itu walau sedikitpun. –HR Imam Muslim.

Sebab itulah kalau kita perhatikan pahala orang-orang alim dan para pendakwah yang mendidik anak-anak kita dan para remaja sehingga menjadi ornag Islam yang baik, akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya, hanya Allah sahaja yang mengetahui kiraannya. Sebab pahala mereka tidak putus-putus dan sentiasa bertambah dan berlipat ganda sehingga berjumpa Allah Ta’ala nanti di akhirat.

Begitu juga ibu bapa yang mendidik anak-anaknya kepada didikan Islam dan mengajak mereka supaya sentiasa taat dan takut kepada Allah Ta’ala, mereka bukan sahaja mendapat pahala orang yang telah mendapat hidayah tadi, bahkan amalannya serta keluarga dan teman-temannya yang mungkin satu hari nanti mendapat hidanyah juga, akan diberikan pahala mereka semua kepada yang mula-mula sekali menghidayahkan orang tadi.

Jadi alangkah baiknya jika ilmu-ilmu agama dapat disedekahkan/dihebahkan kepada orang lain dengan pelbagai cara (fotostat, SMS, emel, kuliah, nasihat dll) kerana InsyaAllah kita akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya. Jangan berlengah dan segan-segan. Segala perbelanjaan dan usaha tenaga dalam kerja dakeah ini akan dianggap sebagai amalan sedekah, maka akan berterusan pahalanya walaupun selepas wafatnya. Umpama menanam sebutir gandum yang menghasikan 7 tangkai, setiap tangkai menghasilkan seratus biji dan teus membiak hingga tidak terhitung jumlahnya. Rujuk Al-Baqarah, ayat 261. Asalkan kita ikhlas dalam melaksanakannya kerana mencari keredhaan Allah.

Akan tetapi, AWAS! Jangan menyebar ilmu yang boleh merosakkan masyarakat kerana perkara ini amatlah dikeji.

Kaum wanita juga perlu menyedari bahawa dengan mendedahkan auratnya (berpakaian yang sendat, Jeans ketat di punggung, terdedah rambutnya dll), setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di suatu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikitpun kurang dosanya.” (Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sahih)

Termasuklah dalam entri mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki yang melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? Setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya? Ramai wanita yang bertudung, tetapi tidak menutupi dada, berbaju ketat/singkat dan berseluar sendat yang jelas menonjolkan alur punggung juga dikira tidak menutup aurat dengan sempurna kerana ia masih mengundang fitnah (godaan).

Luqman al-Haqim memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai matapelajaran tauhid. Makna tauhid pun tak tahu. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? Ada anak-anak mereka sempurna mendirikan solat lima waktu, tapi dalam masa yang sama mendedahkan aurat di khalayak ramai. Maknanya akidah anak mereka masih belum sempurna sebab ada ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh bab aurat – tidak mereka patuhi. (rujuk Surah Al-Ahzab: 59)

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Hentikanlah tabiat kita yang buruk selama ini. Misalanlah kalau anak-anaknya selalu melihat tabiat bapanya yang kaki judi, kaki rokok atau kaki belit, tak mustahil anak-anak dan keturunannya akan mewarisi sikap ini. Sanggupkah kita menanggung dosa terus menerus kerana mempelopori sesuatu kemaksiatan? Jadi, tunjukkanlah sikap yang baik pada anak-anak. Niat yang baik, InsyaAllah dapat yang baik.

Sekian, terima kasih.

Salam penuh ukhwah...;)