Wednesday, 28 April 2010

29 April 2010...Selepas dua puluh dua tahun

Entri ini ditulis pada waktu malam, beberapa jam sebelum menjelang hari lahir saya, iaitu pada Khamis, 29 April 2010 bersamaan 14 Jamadil Awal 1431H. Tarikh ini bukanlah tarikh keramat atau apa, cuma ia tarikh bersejarah, iaitu hari ulang tahun emak saya melahirkan saya. Atau untuk mudah difahami, hari lahir atau hari jadi saya yang ke-22 tahun. Saya dilahirkan pada jam 8.25 pagi.

Saya berfikir, apa yang sudah saya peroleh setelah 22 tahun? Apa yang tidak saya dapatkan selepas 22 tahun? Apa sudah bertambah atau berkurang imannya selepas 22 tahun? Pahala saya banyak mana selepas 22 tahun? Dosa saya berat mana selepas 22 tahun? Tingkah laku, perangai...adakah disenangi, memasak...pandai dah ke, mengemas rumah, menjadi anak yang baik dan solehah, dan....kahwin, semua ni perlu difikirkan ke?


Pada umur ini, saya sepatutnya sudah melangkah ke alam pekerjaan. Tetapi sehingga sekarang masih belum pernah merasa duduk di kerusi empuk dan bilik beraircond. Bukanlah memilih, cuma mahukan yang terbaik. Harapan saya, dengan umur yang berganjak setahun ini, saya dipermudahkan mendapat pekerjaan. Mohon murah rezeki. Juga berharap, amalan ibadah saya akan bertambah seiring pertambahan usia ini. Amin...

Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberikan ucapan selamat. Semoga anda juga dilimpahi rahmat Allah. Selamat hari jadi kepada diri sendiri, sekian =)





Sunday, 25 April 2010

Pembacaan yang lembab (buku)

Buah tangan dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari boleh dikatakan sangat sakan. Saya sendiri pergi ke sana, tapi tidak membawa pulang apa-apa. Kemudian, memesan beberapa tajuk buku kepada kakak, dan dia telahpun membawanya pulang. Lima buah buku kesemuanya, Harry Potter sudah cukup tujuh siri, Mekar Sakura di Mimbar Cinta (Ilham Hamdani) dan 5 Tahun 5 Bulan (Hlovate), dan dua belas buah majalah Tunas Cipta (Jan-Dis 2009). Tahun lepas tak berkesempatan nak beli satu pun.Saya sangat teruja dapat kesemua buku yang dipesan, dan rasa tak sabar nak baca. Namun, sehingga hari ini...sudah hampir sebulan, kesemua lima buah buku tu belumpun sempat dibaca.

Saya cuma membelek-belek, dan membaca sinopsisnya. Saya tidak betah mencuri masa. Kalau ada seminit dua atau masa menunggu, saya lebih gemar merehatkan minda. Tidak mahu berfikir. Siangnya kerja, malam dihabiskan masa dengan menjahit. Setiap hari saya hanya memandang saja buku-buku itu tersusun di rak. Dalam masa terdekat ni, ada beberapa tempahan yang perlu disiapkan.


Mulai minggu depan, saya akan kembali duduk di rumah. Kebanyakan masa nanti saya mahu habiskan dengan membaca. Membaca sebanyak mungkin. Kena rajin-rajin membaca. Teringin sangat jadi ulat ulat buku, tapi payah juga kalau tak ada semangat yang kuat. Jadi, saya perlu teruskan memandang buku-buku itu supaya nanti timbul keinginan untuk rajin membaca!

Tuesday, 20 April 2010

Jururawat...antara rela dan tidak

Minggu lepas saya menerima tawaran temuduga SPA. Temuduga sebagai jururawat pelatih. Saya kurang pasti sama ada saya memohon untuk jawatan itu atau tidak. Kalau betul saya mohon, mungkin pilihan terakhir. Saya memang kurang berminat dan semahunya ingin menolak tawaran itu. Nanti kena belajar lagi. Kalau beri jawatan tu belajar sekejap saja tak apa. Huhhhhh. Memang jiwa saya tiada asas langsung pasal jururawat. Juga tiada sedikit pun rasa mahu me jadi seorang jururawat. Setakat PBSM tu boleh la. Tapi atas desakan ibu bapa, saya turutkan.

Pagi tadi saya menghadiri temuduga di Kolej Pembantu Perubatan, Seremban. Biarpun sedikit lewat memasuki dewan peperiksaan. Perasaan sebelum sampai, saya sangat tidak sabar. Sudah mula berangan-angan memakai uniform putih. Semasa menduduki peperiksaan, semuanya berjalan lancar. Tapi perasaan dan tanggapan saya mula berubah semasa dan selepas sesi temuduga.

Penemuduga tanya saya berulang kali, adakah anda rela nelajar tiga tahun lagi untuk diploma kejururawatan? Saya kata saya rela dan sanggup kalau sesudah tamat belajar sudah ada pekerjaan yang dapat menjamin masa depan. Memandangkan sehingga kini saya masih belum ada pekerjaan yang tetap. Jawapan saya itu tersangatlah hipokrit! Saya nak jawab tak sanggup. tapi tak kan nak jawap macam tu. Jadi, saya membuat keyakinan dan kenyataan palsu. Minta maaf ya kepada penemuduga tadi. Saya tak nak kerjaya sebagai jururawat jika memerlukan saya belajar tiga tahun lagi. Kalau dapat tawaran tu saya akan tolak mentah-mentah.

Kepada ibu bapa saya juga sudah dibilang, saya tidak minat dan tak sanggup lagi nak mengulang Diploma walaupun berbesa kursus. Lebih rela menunggu penggilan kerja yang entah bila akan muncul daripada belajar jururawat. Kalaulah tiga tahun itu ditukarkan dengan belajar kek, pasti saya tidak akan menolak. Tapi jururawat, tidak.

Minta maaf kepada pihak yang berkecil hati. Terutamanya jururawat. Bukan niat untuk menyindir, tapi memang saya tidak minat.

Sunday, 11 April 2010

Hot Air Baloon, Moroccan Pavillion, Pesta Buku, Jalan TAR, Jakel (Bahagian 2)

Maaf jika entri sambungan ini sedikit lewat. Selepas puas ronda-ronda di sekitar Putrajaya, saya dan rakan-rakan yang lain mula mengatur langkah bergerak menuju ke ibu kota pula. Destinasi kami adalah The Mall. Dari situ kami berjalan kaki menuju ke PWTC di mana berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Saya mengalami sedikit keterujaan dan kegayatan, kerana belum pun pernah menjejakkan kaki ke sana. Belum pernah berpeluang. Selalunya kirim saja pada kakak. Tapi kini, semangat saya sangat berkobar-kobar untuk memborong buku. Tetapi apakan daya, oleh kerana kepadatan manusia yang teramat, saya terpaksa mengalah. Tiada satu apa pun buah tangan buku yang dibawa pulang. Bayangkanlah, saya dan kawan sesat dengan kawan di sana. Kalau boleh saya nak cari buku yang mahu dibeli, tetapi mengenangkan ada rakan yang tak seharusnya ditinggalkan, saya akur juga. Sekadar membelek-belek beberapa jenis buku saja. Cuma satu saja buah tangan yang sempat dibeli iaitu badge I Luv Islam.

Selepas puas mencuci mata dengan buku, kami ke The Mall semula. Menunaikan permintaan perut dan solat Zuhur. Ketika berpeleseran di kaki lima gerai-gerai di The mall, kami terpandang strawberi coklat dan marshmallow coklat. Sempat juga kami singgah makan sebentar.

Kami mula bergerak ke Jalan TAR dan menuju ke Jakel dengan menaiki LRT saja untuk menjimatkan masa dan tenaga untuk mencari parking di sana nanti. Seronok rasanya bila dapat menaiki LRT terutamanya bila bersama Tasneem dan Atie juga Fatima, yang baru kini julung-julung kalinya dapat keluar bersama.

Saya mencari keluarga yang sedang membeli-belah di Jakel, jadi tidaklah membeli apa-apa kain atau sebagainya semasa di Jalan TAR. Memang murah, dan harganya juga boleh dirunding. Tergelak juga saya melihat gelagat teman-teman yang bertikam lidah semahunya untuk mendapatkan harga yang paling murah untuk kain Swiss Coutton.

Tiba di Jakel, saya berpisah dengan yang lain-lain. Mengikut famili memborong kain langsir dan baju pula. Namun, saya kembali dengan kawan-kawan tadi setelah puas di Jakel kerana perlu mengambil barang yang ditinggalkan di Shah Alam. Saya tidur semalam lagi di rumah sewa kawan.

Keseluruhan cerita hari itu, percutian dengan mereka sangat menyeronokkan. Saya mahu mengulanginya jika diberi peluang...=)

Wednesday, 31 March 2010

Hot Air Baloon, Moroccan Pavillion, Pesta Buku, Jalan TAR, Jakel (Bahagian 1)

Cuti-cuti 1 Malaysia!

Pada 20 Mac lalu, saya telah menyertai Tasneem, Atie, Fatima dan seorang lagi kawan mereka jalan-jalan, ronda-ronda, pusing-pusing dan cuti-cuti 1 Malaysia. Bukan menjelajah seluruh Malaysia, cuma beberapa tempat saja. Tujuan saya datang ke Kuala Lumpur sebenarnya untuk membeli-belah bersama beberapa orang ahli keluarga. Saya mengambil waktu ini untuk berdampingan dengan mereka semua. Bukan senang nak jumpa kawan lama. Orang kata, sambil menyelam minum air. Jadi, saya 'minum' banyak air haritu. Sampai di Shah Alam pada Jumaat malam, saya terus bermalam di rumah sewa Cik Tasnem dan Cik Atie. Agenda kami untuk hari esoknya, Hot Air Baloon Fiesta di Putrajaya, berkelah, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC, dan shoping di Jalan TAR. Keesokan harinya, kami semua telah bangun seawal jam 5.30 pagi! Masing-masing semangat nak naik belon. Sampai di Putrajaya kira-kira jam 7 suku pagi, orang sudah mula membanjiri. Jurugambar terutamanya. Mungkin juga wartawan. Dan kerana kebanjiran jurukamera yang terlalu ramai, kami pun jadi segan nak keluarkan kamera yang jauh lebih kecil dari mereka.
Dukacita dimaklumkan, kami semua tidak berkesempatan naik belon. Tiket sudah sold out! Fuhhhh! Kecik hati masing-masing. Bangun punyalah awal pagi tapi tak dapat juga naik. Harga tiket RM10, mungkin ramai kot yang tak nak lepaskan peluang. Jadi, kami semua sempat cuci mata dengan keindahan dan kecantikan belon-belon udara panas yang pelbagai rupa. Belonnya tidak terbanng tinggai pun, sekadar terapung kira-kira tinggi beberapa menara di Malaysia barangkali. Tak lama. Selepas terapung, kemudian mendarat di tempat lain yang tidak kami ketahui di mana, dan terus hilang. Dengar kata, belonnya sudah 'dikempiskan' dan dibungkus sebelum di bawa semula ke tempat pesta bermula. Itu saja. Nasib baik buat mereka yang datang dari awal pagi. Kerana bagi yang lambat, mereka perlu tunggu sebelah petang untuk menyaksikan semula belon-belon itu terbang. Ini berdasarkan beberapa info yang diberikan, maaf jika tersalah. Sedikit gayat juga sebab belum pernah lihat dengan mata kasar. Terima kasih kepada Atie dan Tasneem yang beria mengajak.

Selepas puas 'menonton' belon, kami semua bergerak mencari tempat perkelahan. di Moroccan Pavillion, Putrajaya, bersebelahan tasik Putrajaya. Cantik dan mendamaikan. Seronok sangat berkelah dengan mereka semua. Kalau boleh mahu pergi lagi! Selepas menjamu sandwich, jus buah, keropok lekor, buah-biahan dan beberapa makanan sampingan lain, kami segera menjalani sesi fotografi di sekitar Moroccan Pavillion. Maklumlah, kami semua ditemani seorang jurugambar. Lokasi seperti di Istana Al-Hambra. Cantik sangat! Sudah puas di Putrajaya, kami bergerak ke Kuala Lumpur pula.

Belumpun keluar dari kawasan Putrajaya, kami berhenti di tepi jalan untuk berfotografi lagi. Masih belum puas. Bila melihat kembali gambar-gambar yang diambil, terasa diri ketika itu seperti berada di overseas, London, New Zeeland, Switzerland... Betapa indah bumi Malaysia rupanya.

(Akan bersambung...)

Friday, 26 March 2010

Antara Mimpi dan Realiti

Mimpi cabut gigi dan ular

Beberapa minggu lepas (lewat sikit sebab terlupa pasal ni), saya mengalami dua buah mimpi pada hari yang berbeza. Hari pertama, saya mimpi kena cabut gigi. Geraham saya yang berlubang tu sudah rosak dan harus dicabut. Memang sebelum tidur malam tu saya mengadu sakit gigi geraham. Menurut doktor gigi, geraham yang berlubang sudah tidak boleh ditampal kecuali cabut. Kalau tak nak cabut kena tanam akar (tak faham prosesnya). Tapi tak nak buat, sebab takut. Heheeee. Mungkin kesakitan yang mencengkam ini terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi.

Hari kedua pula (bukan berturut-turut), saya mengalami mimpi dililit ular! Tidak ketahuan pula di mana lokasinya. Apa yang pasti waktu itu siang. Lalu, saya berjaya membuka liltan ular itu dengan jayanya.

Rupa-rupanya, di sebalik mimpi-mimpi itu ada kisah yang tersirat. Saya menceritakan kepada mak, kemudian mak memulakan pandangannya berdasarkan mimpi-mimpi saya. Mimpi yang pertama, mimpi sakit gigi dan kena cabut, kata mak alamat berputih mata. Apa-apa yang dihajati tidak kesampaian. Kalau sudah dapat kemudian ada halangan. Saya pun teringatkan beberapa tawaran kerja yang saya terima tapi tidak kesampaian untuk pergi. Ada saja halangan.
Mimpi kedua, dililit ular, kata mak orang yang datang nak masuk meminang tidak jadi! Kesitu pula. Kalau dah sampai depan rumah, bpleh patah balik.

Samaada tanggapan mimpi-mimpi ini hanya sekadar mitos atau pun apa, ia tetap sekadar 'andaian'. Tidak boleh 100 peratus percaya. Mungkin ini semua suatu kebetulan. Kerja yang diterima saya tak dapat pergi. Pasal pinangan tu...tiada komen. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Bukan itu saja, bahkan semua kejadian di muka bumi ini, qada dan qadar atas ketentuan Allah. Hanya pada Dia yang harus kita percaya. Segala mitos itu mungkin pepatah orang tua-tua saja untuk menyedapkan hati atau untuk mengingatkan kita supaya lebih berhati-hati. Apapun, mimpi ini hanyalah mainan tidur.

(Sedikit artikel bekaitan mimpi)

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang Muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar adalah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang Muslim adalah sebahagian daripada 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis iaitu mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya daripada syaitan dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan janagn menceritakannya kepada oang lain." (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, mimpi bagi insan yang jauh daripada keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan, maka ia sebagai peringatan daripada Allah agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) itu kembali dekat kepada-Nya. (Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Semoga kita sentiasa menerima hidayah daripada Allah SWT. Amin.

Tuesday, 23 March 2010

Dari Jahitan ke Kraftangan

Selepas hampir setahun saya mendalami ilmu jahitan dan busana Melayu moden, kini saya mula beralih angin. Ialah, monsun tidak selalu ke timur laut bukan? Jadi saya mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Bukan bermaksud saya ingin meninggalkan bidang jahitan. Sedikitpun tidak. Kerana saya telah mula jatuh cinta dengan busana jahitan sendiri! Cuma, saya rasa tertarik dengan keunikan hasil seni kraftangan. Betapa kagumnya ciptaan Tuhan. Dikurniakan otak untuk manusia berfikiran kreatif dan kritis. Diberikan pula jemari halus yang rancak menganyam. Tidak terbilang dengan nikmat yang lain juga.

Sejak sebulan yang lalu saya telah mula mempelajari seni kraftangan iaitu bakul, bukan rotan. Tetapi bakul yang menggunakan kertas surat khabar lama. Saya mempelajarinya daripada seorang kawan. Belajar dua kali saja saya sudah boleh buat sendiri. pada mulanya rasa malas nak belajar menganyam bakul, memandangkan kerjanya yang sedikit rumit. Namun, di atas desakan emak yang mahukan saya pelajarinya dengan harapan dapat dijadikan sebagai saguhati tetamu untuk majlis perkahwinan abang penggal kedua 2010 nanti, saya gagahi juga. Setelah mencuba beberapa kali, saya berjaya menghasilkan sebuah bakul yang bagi saya cukup unik! Malah sering disalah anggap oleh kebanyakan orang yang menyangka ia adalah bakul rotan. Modal yang diperlukan tidaklah sebesar mana. Tetapi, berdasarkan survey di kedai-kedai barangan perkahwinan, harganya sekitar RM1.00 hingga RM2.00 untuk bakul yang bersaiz kecil. Boleh la buat side income nanti..;)

Alhamdulillah, dalam masa kurang sebulan saya sudah dapat menyiapkan lebih kurang 30 buah bakul. Sepatutnya boleh banyak lagi, tetapi terpaksa dilepaskan atas komitmen bekerja dan menjahit. Terpaksalah bahagikan masa dan tenaga untuk semua kerja-kerja itu. Dan atas komitment itu semua, aktiviti penulisan saya terpaksa ditangguhkan sementara waktu. Cuma hujung minggu kalau tiada urusan penting, saya akan menulis sedikit. Itupun kalau ada ilham, kalau tiada saya biarkan saya cerpen saya tertangguh. Nak buat macam mana. Jadi, saya kena rajin-rajin bekerja, menjahit, menganyam dan menulis.

bakul ini sebagai contoh,ada juga. tapi saya macam tak larat nak buat je.

Thursday, 11 March 2010

Pahala Yang Bertambah dan Berterusan

Risalah tazkirah 4 minit ini saya peroleh di surau tempat saya berehat waktu tengah hari di tempat kerja. Bersepah-sepah di atas lantai. Saya ambil satu dan bermuhasabah diri membacanya. Di sini, saya mahu kongsikan bersama.


Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang mengajak kepada hidayah (kebaikan), maka baginya pahala yang diperoleh oleh orang yang mengikutnya selapasnya, (serta) tidak berkurangan pula pahala orang yang mengamalkannya, dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka baginya dosa seperti dosa yang turut diperoleh oleh orang yang mwmbuat dosa selepasnya dan tidak akan berkurangan dosa itu walau sedikitpun. –HR Imam Muslim.

Sebab itulah kalau kita perhatikan pahala orang-orang alim dan para pendakwah yang mendidik anak-anak kita dan para remaja sehingga menjadi ornag Islam yang baik, akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya, hanya Allah sahaja yang mengetahui kiraannya. Sebab pahala mereka tidak putus-putus dan sentiasa bertambah dan berlipat ganda sehingga berjumpa Allah Ta’ala nanti di akhirat.

Begitu juga ibu bapa yang mendidik anak-anaknya kepada didikan Islam dan mengajak mereka supaya sentiasa taat dan takut kepada Allah Ta’ala, mereka bukan sahaja mendapat pahala orang yang telah mendapat hidayah tadi, bahkan amalannya serta keluarga dan teman-temannya yang mungkin satu hari nanti mendapat hidanyah juga, akan diberikan pahala mereka semua kepada yang mula-mula sekali menghidayahkan orang tadi.

Jadi alangkah baiknya jika ilmu-ilmu agama dapat disedekahkan/dihebahkan kepada orang lain dengan pelbagai cara (fotostat, SMS, emel, kuliah, nasihat dll) kerana InsyaAllah kita akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya. Jangan berlengah dan segan-segan. Segala perbelanjaan dan usaha tenaga dalam kerja dakeah ini akan dianggap sebagai amalan sedekah, maka akan berterusan pahalanya walaupun selepas wafatnya. Umpama menanam sebutir gandum yang menghasikan 7 tangkai, setiap tangkai menghasilkan seratus biji dan teus membiak hingga tidak terhitung jumlahnya. Rujuk Al-Baqarah, ayat 261. Asalkan kita ikhlas dalam melaksanakannya kerana mencari keredhaan Allah.

Akan tetapi, AWAS! Jangan menyebar ilmu yang boleh merosakkan masyarakat kerana perkara ini amatlah dikeji.

Kaum wanita juga perlu menyedari bahawa dengan mendedahkan auratnya (berpakaian yang sendat, Jeans ketat di punggung, terdedah rambutnya dll), setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di suatu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikitpun kurang dosanya.” (Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sahih)

Termasuklah dalam entri mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki yang melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? Setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya? Ramai wanita yang bertudung, tetapi tidak menutupi dada, berbaju ketat/singkat dan berseluar sendat yang jelas menonjolkan alur punggung juga dikira tidak menutup aurat dengan sempurna kerana ia masih mengundang fitnah (godaan).

Luqman al-Haqim memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai matapelajaran tauhid. Makna tauhid pun tak tahu. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? Ada anak-anak mereka sempurna mendirikan solat lima waktu, tapi dalam masa yang sama mendedahkan aurat di khalayak ramai. Maknanya akidah anak mereka masih belum sempurna sebab ada ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh bab aurat – tidak mereka patuhi. (rujuk Surah Al-Ahzab: 59)

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Hentikanlah tabiat kita yang buruk selama ini. Misalanlah kalau anak-anaknya selalu melihat tabiat bapanya yang kaki judi, kaki rokok atau kaki belit, tak mustahil anak-anak dan keturunannya akan mewarisi sikap ini. Sanggupkah kita menanggung dosa terus menerus kerana mempelopori sesuatu kemaksiatan? Jadi, tunjukkanlah sikap yang baik pada anak-anak. Niat yang baik, InsyaAllah dapat yang baik.

Sekian, terima kasih.

Salam penuh ukhwah...;)