Showing posts with label Nature. Show all posts
Showing posts with label Nature. Show all posts

Thursday, 28 March 2019

Gunung Stong dan Air Terjun Jelawang


Pertama kali sertai trip hiking bersama Ohana Adventure. Trip ni boleh dikatakan santai je ala VIP la sebab tak jadi organizer. Ikut je apa yang depa buat. Makan pun tak payah nak tolong-tolong semua depa dah uruskan sebab depa ada AJK tukang masak. 

Trip Gunung Stong ni aku join sebab Ita ajak. Dia cakap dah lama tak hiking, jadi aku pun on je lah sebab memang tengah tak ada trip pun. Ita dah ajak aku dari hujung tahun lepas. Rupanya, GEMA Selangor Backpackerz (GSB) pun ada plan nak buat trip juga waktu yang sama ni iaitu ke KorGa. Waduh waduh, disebabkan dah janji dengan Ita, kena lah tunaikan. tak baik mungkir janji tau.

Trip 3 hari dua malam (1-3 Feb 2019) bermula dari perjalanan malam Khamis 31 Jan hingga Ahad. Kami bergerak ke sana dengan menaiki van. Kebetulan kenal dengan Azlan dan kawan-kawannya, jadi kami pakat untuk sewa van je senang, ada driver. Nanti balik dah penat tak payah gaduh siapa nak drive

Jumaat, 1 Februari 2019 - Air Terjun Jelawang

Kami tiba di Masjid Mukim Jelawang sekitar jam 4-5 pagi. Siapkan diri, mandi dan solat. Dari masjid dah tak jauh nak ke starting point, seberang jalan je. Ada deretan kedai makan di seberang jalan tu, boleh sarapan dulu. Lepas tu boleh jalan kaki untuk masuk kawasan kebun dan terus mendaki. 

Destinasi pertama pagi tu adalah Kem Baha di mana terdapatnya Air Terjun Jelawang. Pergerakan agak lambat waktu ni. Masing-masing mengemas beg tak sudah-sudah dan menunggu guide yang tak sampai-sampai. Dari sarapan pagi hingga nak dekat makan tengahari dah tak sampai juga. Akhirnya, jam 12.40 tengahari barulah kami boleh bergerak. Tak tahulah apa masalah mereka ni. Dah tengahari baru nak mula hiking panas oi.

Inilah Ita. Beg tu aku pinjam dari Azira.

Perjalanan menuju ke campsite santai je, lalu celah kebun getah. Tepat jam 3.30 petang kami tiba di campsite. Perjalanan sangat perlahan sebab ramai, hampir 40 orang tak silap aku. Jadi, bila trip ramai ni faham-faham je lah. Sampai campsite, letak beg dan terus melihat Air Terjun Jelawang yang gah tu. Subhanallah, cantik view dia. Memang betul-betul air terjun di puncak. Teringat CBL tahun lepas!

Duduk di atas batu. Di bawah tu ada air terjun, di belakang aku pun ada sungai dan air terjun. Bawah tu adalah jalan raya dan kawasan masjid yang kitorang berehat pagi tadi. Nampak macam rendah kan?

Kembali ke campsite, diorang dah siap tolong pasangkan fly. Makan malam belum siap, jadi bagi mengisi kekosongan perut, kami buat minum petang sendiri. Alhamdulillah, masuk hutan ni tak sah kalau tak ada kopi dan mi segera. Syok tau!

Masak satu mangkuk, kongsi ramai-ramai.

Siapa yang ada khemah boleh bawa sendiri. Siapa yang tak ada tu duduk bawah fly je. Itupun dah cukup bagus dah ni.



Sabtu, 2 Februari 2019 - Summit Attack

Summit attack ni tak bawa load pun sebab daypack. Beg semua dah tinggal di campsite. Jadi, bergerak ke puncak dengan membawa beg kecil saja yang boleh memuatkan air, snack dan set makan tengahari yang dibekalkan. Dari Kem Baha pukul 8.45am. Pendakian agak santai dan banyak rehat. Setiap waktu rehat tu lama gila sebab nak regroup. Maklumlah, trip ramai kannn. Aku rasa boleh sampai awal lagi ni. 

Sarapan pagi tu adalah mi goreng dan nasi goreng.

Sate ikan atau lokcing kata orang Kelantan.


Sedap kalau makan panas-panas.

Permatang Bonsai

Sebelum tiba di puncak Gunung Stong, kami melalui Permatang Bonsai yang dipenuhi dengan pokok-pokok bonsai yang renek. Daunnya seperti pokok krismas. Sangat cantik dan segar basah selepas hujan. Pertama kali aku melihat pokok bonsai seperti ini di dalam hutan. Sewaktu di CBL dahulu, pokok bonsainya tidak seperti ini, lebih banyak periuk kera menghiasi dahan di sana sini. Kami berehat seketika di Permatang Bonsai, bergambar dan regroup sebelum meneruskan pendakian menuju Puncak Gunung Stong. Dah tak jauh dari sini.


Daun pokok ponsai yang basah dan berembun.





Gunung Stong, 1422M

Tiba di puncak Gunung Stong jam 12.20pm. Satu minit sebelum sampai puncak aku jatuh menyembah bumi sebab kasut tersangkut akar, kusyuk sangat rekod video masa tu tak pandang bawah. Apakan daya, waktu hujan dan trek lembab, habis baju berlumuran lumpur. Spoil gambar baju kotor. Mujur ada cover windbreaker merah tu. 


Ada tupai di puncak ni. Semua orang berebut nak bagi dia makan.



Gunung Ayam, 1550M

Setelah berehat dan makan tengahari di puncak Gunung Stong, kami meneruskan pendakian menuju ke puncak Gunung Ayam. Jangan tanya kenapa nama dia Ayam sebab aku pun tak tahu. Ha ha ha. Kami tiba tepat jam 3.00 petang. Memang tak rasa penat sangat sebab cuaca sejuk berkabus. Seronok betul berjalan dalam sejuk ni. Rasa nyaman dan laju je pace masing-masing. 


Inilah geng satu van yang gerak dari KL. Seronok jumpa kawan baharu.

Gunung Baha, 1450M

Jalan sedikit ke hadapan, kami tiba pula di puncak ketiga iaitu Gunung Baha jam 4.00 petang. Dekat sangat puncak Ayam dan Baha ni. Guling-guling je boleh sampai ha ha. Pemandangan di sini lebih cantik dari Stong dan Ayam sebab pokok-pokok di sini lebih jarak atau sikit.



Finally, berjumpa juga dengan periuk kera ketika kami menghampiri Gunung Ayam. Kecil dan comel. Satu tempat tu je aku jumpa, tiada di tempat lain. Mungkin bukan musim atau memang periuk kera kurang tumbuh di hutan Jelawang. Kalau kenal aku, aku ni memang pemburu periuk kera tegar. Ke mana saja hutan yang aku pergi pasti akan mengambil gambar periuk kera yang pelbagai rupa dan bentuk ni.




Alhamdulillah, selesai tiga puncak dalam masa satu hari. Tiba saja di campsite, terus berendam air sungai!

Ahad, 3 Februari 2019

Awan karpet di view point Air Terjun Jelawang sekitar jam 7.30 pagi. Kalau waktu tanpa awan tebal macam ni, kami boleh lihat pemandangan sekitar perkampungan di daerah Dabong. Boleh nampak rumah dan jalan-jalan raya yang tersusun. Bila waktu malam pula, banyak lampu-lampu jalan terang benderang menghiasi di sana-sini. Seperti dapat melihat dunia dari kaca mata burung, subhanallah. Cantik, sejuk dan berangin.

Gambar ni diambil pada jam 7.37 pagi. Subhanallah!

Sementara aku sibuk melihat keindahan dari hujung batu ni, mereka yang lain semua sedang seronok terjun dan sliding dekat batu besar. Memang syok ni mandi dekat air terjun ni. Air dia sejuk. Tapi aku tak mandi la dekat situ, segan sebab ramai lelaki. Aku celup-celup kaki je lepas tu duduk tepi makan biskut sambil tengok diorang sliding. Lepastu jadi tukang ambilkan gambar he he he.

Dekat batu ni la tempat diorang sliding. Ada tali dekat situ untuk panjat.


Disebabkan hari ni hari terakhir dan ada banyak masa lagi, jadi abang guide ajak kami pergi ke Air Terjun Tujuh Puteri. Kena mendaki sikit di celah batu dan air terjun. Siapa nak ikut boleh ikut. Aku tak dapat mandi terjun tiruk pagi ni jadi aku ikut abang guide.

Dari Kem Baha, kena mendaki kira-kira 30 minit untuk sampai ke air terjun tertinggi. Mungkin ada lagi yang lebih tinggi, tapi hujan semakin lebat jadi kami berhenti setakat ini saja. Banyak laluan hutan yang ditimpa dahan patah, jadi kami menelusuri laluan berbatu di tepi sungai. Result dia, masyaAllah. Amazing! Sejuk dan berkabus pula tu.



Sempat la diorang ni mandi sekejap kat atas ni. Air dia lebih deras berbanding di bawah sebab air terjun kat sini lebih tinggi dan curam. Cuma tak dapat dak duduk lama sebab hujan dan batu licin. Kena extra hati-hati. Ada banyak tempat best nak mandi kat sini.





Selepas turun dari Air Tejun Tujuh Puteri, kami terus bersiap kemas khemah dan beg untuk bergerak turun. Jam 2.00 petang semua dah siap, baru nak melangkah turun, hujan pun turun. Mujur tak lebat dan sekejap saja. 

Ok, jom balik!

Review Trip Ohana

Pertama kali join trip Ohana Adventure, makanan memang sedap. Hari kedua dapat makan sate ikan atau lokcing bak kata orang Kelantan dan nasi goreng. Untuk lunch pack sepanjang pendakian 3 puncak pula, kami dibekalkan dengan nasi dan telur rebus masak kurma. Tapi yang ni aku makan tak habis sebab tak pedas dan nasi dah sejuk di atas puncak. Kebiasaannya, aku ada bawa sambal bilis masuk hutan, tapi kali ni tiada. Terlupa nak buat.

Cuma satu je la nak komen dari segi ikhtilat lelaki dan perempuan. Pengasingan khemah lelaki dan perempuan tak nampak pelaksanaannya. Malam tu aku nampak satu fly besar yang dijadikan dapur, ada lelaki dan perempuan tidur bawah satu fly yang sama. Memang tidur asing dalam hammock berbeza tapi masih di bawah fly yang sama dan benda ni sebenarnya tak patut berlaku. Penganjur sepatutnya lebih peka, lelaki dan perempuan kena tidur asing. Memang semua dan dewasa dan bukan budak sekolah, tapi benda yang perlu dijaga, dicegah kena buat.

Kemudian, tiada ground sheet khas untuk solat. Kena cari dan bentang sendiri. Mungkin sebab dah biasa join trip GSB solat berjemaah, tiba waktu solat terus bentang ground sheet untuk solat. Kalau tak berjemaah pun tapi ground tetap ada untuk sesiapa solat. Perkara ni aku bangkitkan dekat Ita. Dah terbiasa join trip GSB, sesekali join trip orang untuk kita tengok mana yang kena baiki atau mana yang perlu dikekalkan. Nak tegur direct takut sebab bukan trip sendiri. Itu saya yang tak berapa berkenan dengan trip Ohana ni. Yang lain semua ok.

***

Sekian saja perkongsian kali ini. Nak beritahu yang Gunung Stong memang best! View cantik, air terjun pun best! Trek pun tak susah, tiada bukit taubat. Santai-santai aja.


"In the process of discovering the world, we discover ourselves.  The more places you go to, the more you uncover bits of who you are."

Saturday, 3 October 2015

3 Peaks Project

Bulan Mei yang lalu, Kak Nurul WhatsApp ajak pergi Mossy Forest. Serius terkejut! Kak Nurul ajak pergi masuk hutan tuh. Ok, setuju pada sekian-sekian tarikh. Memang teringin sangat nak masuk Mossy Forest. Pernah terbaca tentangnya beberapa waktu dahulu. Tapi plan tersebut tak jadi atas beberapa faktor.

Kemudian, bulan Julai Sarah post iklan di WhatsApp group berkenaan trip hiking ke Irau dan Brinchang anjuran GEMA Backpakers. Apa lagi, terus setuju tanpa berfikir panjang. Maka terjadilah misi '3 Peaks Project' Irau - Brinchang - Berembun. Seperti selalu, GEMA kalau buat aktiviti bukan saja-saja, pasti ada sesuatu. Misi ini kami akan meletakkan plat mutiara kata di beberapa check point sepanjang pendakian ke tiga puncak. Mutiara kata ini termasuklah hadis, petikan terjemahan al-Quran dan beberapa quote dari ahli fikir. Ia juga hasil perkongsian daripada ahli-ahli yang menyertai. 

Persiapan mental dan fizikal dilaksanakan dengan tidak begitu teratur. Mula membuat sedikit kajian di internet, do's and don'ts. Memandangkan tarikh trip tersebut penghujung Ogos iaitu baru lepas raya, makan ketupat, rendang, lemang, sate, nasi briani, nasi ayam, ketupat kuah kacang, lodeh semualah. Belum masuk lagi kek coklat, cheese cake, brownies, puding, Almond London berbalang-balang semua tu. Faham sajalah, berapa banyak dah kolestrol yang terkumpul di dalam badan. 

Pernah suatu waktu dahulu, tahun lepas kalau tak silap. Kawan tegur, "Kau nak panjat Irau? Kau dah cukup fit ke nak ke sana?"

Saya rasa ter'hina' sangat dengan kata-kata tersebut. Lalu, misi keep fit pun bermula.

Jogging, berjalan jauh, parking motor jauh-jauh, di ofis naik tangga tak naik lif, makan ala kadar. Makanan mengandungi cheese ditolak ketepi terlebih dahulu semata-mata misi ke Irau. Setiap kali selepas makan atau sebelum makan saya akan google jumlah kalori untuk hidangan yang telah saya ambil. Rasa-rasa terlebih kalori, saya akan bersenam lebih sikit. Nampak tak kesungguhannya di situ. Belum cukup dengan jaga makan, saya buat lone ranger trip ke bukit belakang rumah, Broga. Seminggu sebelum pergi, balik kampung lalu Bukit Putus singgah panjat Gunung Angsi sekejap. Tolong abah di kampung pungut buah kelapa sawit dan angkat tandan masuk kereta. Fuh fuhh fuhhh!

Itu adalah cara saya keep fit untukmu Irau. Mungkin cara anda berbeza. 

Alhamdulillah, misi berjaya. Saya lebih banyak mentadabbur sekeliling. Jalan sendirian dan ambil gambar. Lebih-lebih lagi dalam grup kecil tersebut saya hanya kenal seorang sahaja, Atikah. Itupun kenal semasa di UiTM Merbok lima tahun yang lalu. Kah! Jadi, memang tak banyak bercakaplah. 

Pengembaraan bermula Jumaat malam. Bertolak dari Kuala Lumpur kurang lebih jam 10 malam. Sampai ke Kem Sungai Pauh, Cameron Highland kira-kira jam 2 pagi. Terus mendirikan khemah untuk bermalam beberapa jam sebelum matahari terbit. Pesanan untuk korang yang baru nak berjinak-jinak bermalam dalam khemah di Cameron Highland, bawalah sleeping bag, stokin dan sarung tangan secukupnya. Suhu di sana sumpah sejuk. Mujur iklim khatulistiwa, kalau tak embun pun bertukar ais agaknya.

Sabtu, 22 Ogos 2015

Bangun subuh seperti biasa. Kalau suhu di dalam khemah sudah terlampau sejuk lebih-lebih lagi tidur di atas simen yang beralaskan sleeping bag sahaja, sejuk lagi air paip yang mengalir ketika mengambil wuduk. Jari jemari rasa beku. Terasa macam darah tak mengalir ke muka. Patutlah di oversea mereka menggunakan kaedah khuf untuk berwuduk. Kemudian, selepas solat subuh, kami menyediakan makanan untuk sarapan pagi dan membungkus makanan untuk bekalan makan tengahari. Saya lihat, semua orang bekerjasama dari penyediaan makanan sehinggalah membasuh dulang dan bekas makanan. Timbul keakraban di situ.

Tapak Perkemahan di Kem Sungai Pauh


Misi bermula kira-kira jam 9.30 pagi. Puncak pertama adalah Brinchang. Untuk ke Irau kita akan melalui Brinchang terlebih dahulu. Gunung Brinchang boleh dinaiki dengan menaiki kereta. Ada yang bertanya, Mossy Forest tu dekat mana? Mossy Forest tu adalah sejenis hutan di sepanjang pendakian ke puncak gunung. Brinchang dan Irau terletak di dalam Mossy Forest. Sekian info Wikipedia. 



Misi dua puncak dalam satu hari berjaya. Perasaan saya? Sungguh, tiada ciptaan yang lebih indah dari ciptaan Allah. Apa yang saya lihat di internet tak sama. Totally different. Malah lebih indah dan lebih cantik. Laluan sepanjang pendakian juga berlumut dan berselut. Saya fikir, selut-selut ini menjadi lebih teruk akibat penerokaan alam semulajadi oleh manusia. Teruk betul selut dia. Tak rupa jalan, persis sebuah paya bakau. Tapi seronok sebenarnya bermain dengan selut sambil mata memerhati kecantikan alam sekeliling. Tumbuhan liar yang jarang ditemui tumbuh melata. Tanpa berfikir panjang, pantas saya mengeluarkan Lumix dan HTC dan capture beberapa keping gambar sebagai tanda kenangan. Semakin tinggi pendakian semakin cantik ciptaan Tuhan. Rasa nak sujud syukur dalam lumpur je masa tu. Tak tergambar dengan kata-kata. Sejuk. Lumut-lumut menghijau melingkar di celah dahan, melingkar di sana sini. Sempat juga saya sentuh lumut-lumut yang berantai, sejuk dan berair. Nampak embun masih basah tak terusik. Begitu rupanya alam yang tidak ditelan arus kemodenan. 





"Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalng, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani."
[al-Anbiya: 31]





Ketika menghampiri puncak, HTC dah tunjuk tanda amaran berwarna merah di status bar, tanda bateri semakin habis. Dengan pantas capture lagi beberapa keping gambar Monkey Cup atau Periuk Kera yang sedang elok melingkar di tebing. Teruja betul melihat bentuk dan saiznya yang pelbagai. Bagus HTC, cantik! Teruk juga kena lenjan walau belum sampai sebulan beli. Beberapa kali terjatuh. Mujur tak jatuh atas lumpur. Cuma Lumix ada sekali jatuh atas lumpur. Lumpuh luluh hatiku seketika melihat situasi itu. 

Periuk Kera atau nama saintifiknya Nepenthes Pitcher Plant



Kami sampai ke puncang Gunung Irau kira-kira jam 1 tengahari. Duduk berehat sekejap, makan, bergambar dan bergerak turun semula. Daya ketahanan kaki mulai lemah ketika perjalanan turun. Bertabahlah. Sekejap-sekejap melihat jam di HTC yang hampir berkelip-kelip. Tak sabar untuk sampai ke bawah. Lebih kurang jam 6 petang kami yang perempuan membersihkan diri di sebuah masjid di Brinchang dan terus jamak qasar Zuhur dan Asar. Pada sebelah malam, kami berbbq menghilangkan lelah.





Ahad, 23 Ogos 2015

Kami mendaki untuk puncak ketiga, Gunung Berembun. Gunung setinggi 1840m ini terletak tidak jauh dari camp site. Hanya perlu berjalan kaki sahaja untuk ke tempat mula. Perjalanan ok, trail tidak berselut seperti di Mossy Forest. Cuma agak curam sedikit. Penat nak mendongak. Misi menggantungkan plat mutiara kata juga berjaya. Tapak kasut pun dah koyak. Apa lagi, marilah kita pulang.



Seronok dapat jumpa hikers kental. Saya pelik betul macam mana Nina dan Isma boleh hiking sambil bersembang dan bernyanyi kecil. Serius pelik. Saya dah tercungap-cungap nak termuntah dan terberak, mereka boleh bergurau senda. Memang respeklah! Sungguh, pengembaraan ini sangat ternilai. Mahal harganya. Semoga diizinkan Tuhan sekali lagi untuk menjejaki Mossy Forest.

Sekian, catatan insan gelandangan.

"Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedekah."
[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]