Showing posts with label Hikers. Show all posts
Showing posts with label Hikers. Show all posts

Thursday, 28 March 2019

Gunung Stong dan Air Terjun Jelawang


Pertama kali sertai trip hiking bersama Ohana Adventure. Trip ni boleh dikatakan santai je ala VIP la sebab tak jadi organizer. Ikut je apa yang depa buat. Makan pun tak payah nak tolong-tolong semua depa dah uruskan sebab depa ada AJK tukang masak. 

Trip Gunung Stong ni aku join sebab Ita ajak. Dia cakap dah lama tak hiking, jadi aku pun on je lah sebab memang tengah tak ada trip pun. Ita dah ajak aku dari hujung tahun lepas. Rupanya, GEMA Selangor Backpackerz (GSB) pun ada plan nak buat trip juga waktu yang sama ni iaitu ke KorGa. Waduh waduh, disebabkan dah janji dengan Ita, kena lah tunaikan. tak baik mungkir janji tau.

Trip 3 hari dua malam (1-3 Feb 2019) bermula dari perjalanan malam Khamis 31 Jan hingga Ahad. Kami bergerak ke sana dengan menaiki van. Kebetulan kenal dengan Azlan dan kawan-kawannya, jadi kami pakat untuk sewa van je senang, ada driver. Nanti balik dah penat tak payah gaduh siapa nak drive

Jumaat, 1 Februari 2019 - Air Terjun Jelawang

Kami tiba di Masjid Mukim Jelawang sekitar jam 4-5 pagi. Siapkan diri, mandi dan solat. Dari masjid dah tak jauh nak ke starting point, seberang jalan je. Ada deretan kedai makan di seberang jalan tu, boleh sarapan dulu. Lepas tu boleh jalan kaki untuk masuk kawasan kebun dan terus mendaki. 

Destinasi pertama pagi tu adalah Kem Baha di mana terdapatnya Air Terjun Jelawang. Pergerakan agak lambat waktu ni. Masing-masing mengemas beg tak sudah-sudah dan menunggu guide yang tak sampai-sampai. Dari sarapan pagi hingga nak dekat makan tengahari dah tak sampai juga. Akhirnya, jam 12.40 tengahari barulah kami boleh bergerak. Tak tahulah apa masalah mereka ni. Dah tengahari baru nak mula hiking panas oi.

Inilah Ita. Beg tu aku pinjam dari Azira.

Perjalanan menuju ke campsite santai je, lalu celah kebun getah. Tepat jam 3.30 petang kami tiba di campsite. Perjalanan sangat perlahan sebab ramai, hampir 40 orang tak silap aku. Jadi, bila trip ramai ni faham-faham je lah. Sampai campsite, letak beg dan terus melihat Air Terjun Jelawang yang gah tu. Subhanallah, cantik view dia. Memang betul-betul air terjun di puncak. Teringat CBL tahun lepas!

Duduk di atas batu. Di bawah tu ada air terjun, di belakang aku pun ada sungai dan air terjun. Bawah tu adalah jalan raya dan kawasan masjid yang kitorang berehat pagi tadi. Nampak macam rendah kan?

Kembali ke campsite, diorang dah siap tolong pasangkan fly. Makan malam belum siap, jadi bagi mengisi kekosongan perut, kami buat minum petang sendiri. Alhamdulillah, masuk hutan ni tak sah kalau tak ada kopi dan mi segera. Syok tau!

Masak satu mangkuk, kongsi ramai-ramai.

Siapa yang ada khemah boleh bawa sendiri. Siapa yang tak ada tu duduk bawah fly je. Itupun dah cukup bagus dah ni.



Sabtu, 2 Februari 2019 - Summit Attack

Summit attack ni tak bawa load pun sebab daypack. Beg semua dah tinggal di campsite. Jadi, bergerak ke puncak dengan membawa beg kecil saja yang boleh memuatkan air, snack dan set makan tengahari yang dibekalkan. Dari Kem Baha pukul 8.45am. Pendakian agak santai dan banyak rehat. Setiap waktu rehat tu lama gila sebab nak regroup. Maklumlah, trip ramai kannn. Aku rasa boleh sampai awal lagi ni. 

Sarapan pagi tu adalah mi goreng dan nasi goreng.

Sate ikan atau lokcing kata orang Kelantan.


Sedap kalau makan panas-panas.

Permatang Bonsai

Sebelum tiba di puncak Gunung Stong, kami melalui Permatang Bonsai yang dipenuhi dengan pokok-pokok bonsai yang renek. Daunnya seperti pokok krismas. Sangat cantik dan segar basah selepas hujan. Pertama kali aku melihat pokok bonsai seperti ini di dalam hutan. Sewaktu di CBL dahulu, pokok bonsainya tidak seperti ini, lebih banyak periuk kera menghiasi dahan di sana sini. Kami berehat seketika di Permatang Bonsai, bergambar dan regroup sebelum meneruskan pendakian menuju Puncak Gunung Stong. Dah tak jauh dari sini.


Daun pokok ponsai yang basah dan berembun.





Gunung Stong, 1422M

Tiba di puncak Gunung Stong jam 12.20pm. Satu minit sebelum sampai puncak aku jatuh menyembah bumi sebab kasut tersangkut akar, kusyuk sangat rekod video masa tu tak pandang bawah. Apakan daya, waktu hujan dan trek lembab, habis baju berlumuran lumpur. Spoil gambar baju kotor. Mujur ada cover windbreaker merah tu. 


Ada tupai di puncak ni. Semua orang berebut nak bagi dia makan.



Gunung Ayam, 1550M

Setelah berehat dan makan tengahari di puncak Gunung Stong, kami meneruskan pendakian menuju ke puncak Gunung Ayam. Jangan tanya kenapa nama dia Ayam sebab aku pun tak tahu. Ha ha ha. Kami tiba tepat jam 3.00 petang. Memang tak rasa penat sangat sebab cuaca sejuk berkabus. Seronok betul berjalan dalam sejuk ni. Rasa nyaman dan laju je pace masing-masing. 


Inilah geng satu van yang gerak dari KL. Seronok jumpa kawan baharu.

Gunung Baha, 1450M

Jalan sedikit ke hadapan, kami tiba pula di puncak ketiga iaitu Gunung Baha jam 4.00 petang. Dekat sangat puncak Ayam dan Baha ni. Guling-guling je boleh sampai ha ha. Pemandangan di sini lebih cantik dari Stong dan Ayam sebab pokok-pokok di sini lebih jarak atau sikit.



Finally, berjumpa juga dengan periuk kera ketika kami menghampiri Gunung Ayam. Kecil dan comel. Satu tempat tu je aku jumpa, tiada di tempat lain. Mungkin bukan musim atau memang periuk kera kurang tumbuh di hutan Jelawang. Kalau kenal aku, aku ni memang pemburu periuk kera tegar. Ke mana saja hutan yang aku pergi pasti akan mengambil gambar periuk kera yang pelbagai rupa dan bentuk ni.




Alhamdulillah, selesai tiga puncak dalam masa satu hari. Tiba saja di campsite, terus berendam air sungai!

Ahad, 3 Februari 2019

Awan karpet di view point Air Terjun Jelawang sekitar jam 7.30 pagi. Kalau waktu tanpa awan tebal macam ni, kami boleh lihat pemandangan sekitar perkampungan di daerah Dabong. Boleh nampak rumah dan jalan-jalan raya yang tersusun. Bila waktu malam pula, banyak lampu-lampu jalan terang benderang menghiasi di sana-sini. Seperti dapat melihat dunia dari kaca mata burung, subhanallah. Cantik, sejuk dan berangin.

Gambar ni diambil pada jam 7.37 pagi. Subhanallah!

Sementara aku sibuk melihat keindahan dari hujung batu ni, mereka yang lain semua sedang seronok terjun dan sliding dekat batu besar. Memang syok ni mandi dekat air terjun ni. Air dia sejuk. Tapi aku tak mandi la dekat situ, segan sebab ramai lelaki. Aku celup-celup kaki je lepas tu duduk tepi makan biskut sambil tengok diorang sliding. Lepastu jadi tukang ambilkan gambar he he he.

Dekat batu ni la tempat diorang sliding. Ada tali dekat situ untuk panjat.


Disebabkan hari ni hari terakhir dan ada banyak masa lagi, jadi abang guide ajak kami pergi ke Air Terjun Tujuh Puteri. Kena mendaki sikit di celah batu dan air terjun. Siapa nak ikut boleh ikut. Aku tak dapat mandi terjun tiruk pagi ni jadi aku ikut abang guide.

Dari Kem Baha, kena mendaki kira-kira 30 minit untuk sampai ke air terjun tertinggi. Mungkin ada lagi yang lebih tinggi, tapi hujan semakin lebat jadi kami berhenti setakat ini saja. Banyak laluan hutan yang ditimpa dahan patah, jadi kami menelusuri laluan berbatu di tepi sungai. Result dia, masyaAllah. Amazing! Sejuk dan berkabus pula tu.



Sempat la diorang ni mandi sekejap kat atas ni. Air dia lebih deras berbanding di bawah sebab air terjun kat sini lebih tinggi dan curam. Cuma tak dapat dak duduk lama sebab hujan dan batu licin. Kena extra hati-hati. Ada banyak tempat best nak mandi kat sini.





Selepas turun dari Air Tejun Tujuh Puteri, kami terus bersiap kemas khemah dan beg untuk bergerak turun. Jam 2.00 petang semua dah siap, baru nak melangkah turun, hujan pun turun. Mujur tak lebat dan sekejap saja. 

Ok, jom balik!

Review Trip Ohana

Pertama kali join trip Ohana Adventure, makanan memang sedap. Hari kedua dapat makan sate ikan atau lokcing bak kata orang Kelantan dan nasi goreng. Untuk lunch pack sepanjang pendakian 3 puncak pula, kami dibekalkan dengan nasi dan telur rebus masak kurma. Tapi yang ni aku makan tak habis sebab tak pedas dan nasi dah sejuk di atas puncak. Kebiasaannya, aku ada bawa sambal bilis masuk hutan, tapi kali ni tiada. Terlupa nak buat.

Cuma satu je la nak komen dari segi ikhtilat lelaki dan perempuan. Pengasingan khemah lelaki dan perempuan tak nampak pelaksanaannya. Malam tu aku nampak satu fly besar yang dijadikan dapur, ada lelaki dan perempuan tidur bawah satu fly yang sama. Memang tidur asing dalam hammock berbeza tapi masih di bawah fly yang sama dan benda ni sebenarnya tak patut berlaku. Penganjur sepatutnya lebih peka, lelaki dan perempuan kena tidur asing. Memang semua dan dewasa dan bukan budak sekolah, tapi benda yang perlu dijaga, dicegah kena buat.

Kemudian, tiada ground sheet khas untuk solat. Kena cari dan bentang sendiri. Mungkin sebab dah biasa join trip GSB solat berjemaah, tiba waktu solat terus bentang ground sheet untuk solat. Kalau tak berjemaah pun tapi ground tetap ada untuk sesiapa solat. Perkara ni aku bangkitkan dekat Ita. Dah terbiasa join trip GSB, sesekali join trip orang untuk kita tengok mana yang kena baiki atau mana yang perlu dikekalkan. Nak tegur direct takut sebab bukan trip sendiri. Itu saya yang tak berapa berkenan dengan trip Ohana ni. Yang lain semua ok.

***

Sekian saja perkongsian kali ini. Nak beritahu yang Gunung Stong memang best! View cantik, air terjun pun best! Trek pun tak susah, tiada bukit taubat. Santai-santai aja.


"In the process of discovering the world, we discover ourselves.  The more places you go to, the more you uncover bits of who you are."

Sunday, 10 September 2017

Nuang Complete!

Feb 2016, Pangsun

Pada bulan Feb 2016, aku pernah mencuba untuk mendaki Gunung Nuang sebagai newbies yang noob bersama beberapa orang kawan yang newbies juga. Tak tahu macam mana susahnya trek Nuang. Tak tahu yang Nuang ni gunung tertinggi di Semenanjung. Saja-saja masuk tanpa praktis apapun. Sudahnya, terkandas di Kem Lolo pada jam kira-kira 1 petang. Pukul 1 petang baru sampai di Kem Lolo tuan-tuan, kau fikir pukul berapa nak sampai puncak dan turun semula ke starting point?


April 2016, Janda Baik

Kemudian, pada 23 April 2016, sekali lagi aku cuba mendaki Gunung Nuang. Cuma, kali ni aku mendaki bersama kawan-kawan gunung atau lebih dikenali sebagai geng Gema. Masa ni dah kenal kawan kaki gunung, jadi berani sikit dan boleh dipercayai untuk sampai ke puncak.


Katanya, nak naik dari Janda Baik sebab trek lebih pendek. Pukul 8.30 pagi baru mula naik. Aku ikut je diorang naik dari bawah sampai atas. Tanpa aku sedar, aku sedang mengekori pendaki-pendaki hebat. Langkah mereka besar dan laju. Aku pun ikut sekali, sampai satu waktu nafas aku semakin singkat. Aku nak berhenti tapi di belakang aku ada pendaki hebat yang sedang menolak (baca: push) aku supaya teruskan dan jangan berhenti. Power gila diorang!



Alhamdulillah, sampai puncak jam 1.10 petang, ngam-ngam zuhur. Dari bawah line up ada 13 orang, tapi yang selamat sampai puncak hanya 8 orang. Selebihnya terkandas di bawah. Line up laju gila, mujur aku tak terkandas sebab aku memang nak sangat sampai puncak ni.

Suhu ketika menghampiri puncak sangat sejuk, dan menjadi tersangat sejuk dan berkabus ketika di puncak. Aku sebaga seornag newbies memang tidak prepare apa-apa langsung sewaktu mendaki. Tiada windbreaker ataupun sweater untuk menyelimuti badan. Mujur Mirul bagi pinjam windbreaker dia, rasa lega sikit. 

Selepas menunaikan solat Zuhur di puncak, kami segera turun kerana sudah ada bunyi guruh di langit. Tidak berapa lama turun, hujan pun turun mencurah dengan lebatnya. MasyaAllah, pertama kali rasa hujan lebat dalam hutan. Syahdu betul. Aku bersyukur ada kawan-kawan yang tolong guide aku yang tak tahu apa-apa. Lebih gelabah bila hujan. Kami sampai ke starting point jam 6.00 petang.


Ogos 2017, Pangsun

Pada 26 Ogos 2017, sekali lagi aku diseru untuk mendaki Gunung Nuang melalui Pangsun. Kali ni aku dah tahu sedikit sebanyak pasal gunung. Ditambah pula perkenalan dengan Azira yang kini menjadi hiking buddy. Bila dah ada hiking buddy ni, semangat hiking dia semakin menjadi-jadi.

Pendakian kali ketiga ni memberikan rekod terpantas sebab line up sikit, 6 orang je dan power gila urat besi tulang dawai semua ni. Tak ada rehat lama. Jalan setengah jam, rehat lima minit. Jalan setengah jam, rehat lima minit. Maklumlah, ikut gogo yang ada rekod larian 5km terpantas, bawah 30 minit mana taknya. Semput jugak lah.


Rekod terpantas: Mula 7am, tamat 6pm. 5 jam 45 minit mendaki, 4 jam turun. Jumlah jarak 20 km. Line up 6 orang.
Alhamdulillah, formula tu ternyata berkesan. Pendakian Gunung Nuang melalui Pangsun mempunyai trek yang sangat panjang. Mula mendaki jam 7.00 pagi dan sampai puncak jam 1.15 tu sudah cukup membanggakan. 5 jam 45 minit mendaki. Rekod yang agak pantas pendakian melalui Pangsun. Sempat la aku rasa Puncak Pengasih yang orang selalu cakap puncak tipu atau bukit taubat. Haha, insaf sekejap. Memang semput tahap merangkak dah tu.

Selepas berehat dan makan tengahari, kami segera turun sebab nak sampai bawah waktu siang juga, tak mahu OT. Alhamdulillah, tepat pukul 6.00 petang kami sampai starting point. 4 jam sahaja masa diambil untuk turun. Gila!

***

Kesimpulannya di sini, nampak tahap stamina pendakian aku semakin bertambah dan ada kemajuan. Sekian saja rekod pencapaian untuk Gunung Nuang.  

Gunung Nuang daypack via Janda Baik checked!
Gunung Nuang daypack via Pangsun checked!

Tak nak repeat dah. Cukuplah rasa sekali dari dua arah haha. Sekian, diari pendaki.