Wednesday, 10 February 2010

Di Sebalik Konserto Terakhir dan Sebuah Intermeso


Apa yang ingin saya sampaikan di sini bukanlah ulasan mahupun sinopsis buku ini yang rata-ratanya telah dibaca ketika di Tingkatan Lima. Tetapi, perkara yang ingin saya kongsikan adalah kekaguman dan keterujaan saya terhadap buku ini. Buku Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain yang juga merupakan teks komsas tingkatan lima sejak tahun 2001, TIDAK PERNAH saya baca sehingga tamat Tingkatan Lima. Saya hanya mempelajarinya melalui buku rujukan komsas. Biarpun guru Bahasa Melayu saya pernah acap kali mengatakan buku ini sangat bagus dan sedih, namun tidak pula berjaya meruntun hati saya untuk membacanya. Pernah juga berkali-kali saya mencuba untuk membacanya. Tetapi cukup sekadar dua, tiga bab. Selepas itu, saya jadi malas untuk meneruskannya. Perkara yang sama saya ulangi untuk waktu-waktu yang berikutnya. Sehinggalah tamat Tingkatan Lima, saya tidak juga khatam novel tersebut.

Kini, sehingga detik ini dan pada akhir-akhir ini, hati saya sering terusik dengan buku Konserto Terakhir. Semacam ada sesuatu di dalam hati saya menggamit-gamit diri ini untuk membaca buku itu. Kata-kata Cikgu Masri, guru Bahasa Melayu saya suatu ketika dahulu seperti terngiang-ngiang di telinga. Lalu, saya memikirkan bagaimanakah caranya untuk mendapatkan buku tersebut. Ada juga terdengar cakap-cakap atas angin bahawa komsas Tingkatan Lima sudah diperbaharui. Sudah ada buku yang baharu. Perkara ini membuatkan hati saya sedikit tawar untuk mendapatkannya tanpa bertanyakan dahulu kepada pelajar Tingkatan Lima. Saya redakan permintaan hati ini. Tetapi tidak lama. Kerana hati saya seakan tidak mahu reda. Seperti ada bola sebesar biji guli yang menendang-nendang mahu memecahkan hati saya selagi buku itu tidak saya dapatkan. Kenapalah saya tidak dapatkan saja daripada pelajar tingkatan lima sendiri. Tapi, hati saya berkata, jangan pinjam! Beli saja dari kedai! Itu lebih baik. Boleh buat rujukan meluas.

Saya turutkan juga kata hati. Tanpa membuang masa, saya memberanikan diri untuk menjengah kedai-kedai buku untuk sedaya-upaya mencari buku itu. Jika tidak ada juga, semahunya saya menuntut pihak penerbitan buku itu supaya mengulang cetak untuk saya. Ternyata itu sekadar perasaan. Saya hanya pergi ke sebuah kedai buku sahaja untuk mendapatkan buku itu. Pada mulanya, saya sedikit ragu-ragu untuk memasuki kedai buku tersebut. Semacam keberatan mulut untuk bertanya. Takut juga buku itu tidak dijual memandangkan ia adalah buku teks sekolah. Namun, setelah bersoal jawab dengan pemilik kedai buku, akhirnya pada tanggal 28 Januari tahun ini, buku Konserto Terakhir dapat juga saya miliki. Bukannya bersoal jawab apa. Saya cuma mahukan kepastian darinya. ‘Ada jual buku Konserto terakhir tak? Benarkah teks komsas tingkatan lima telah diperbaharui?’ Katanya ada. Hanya tingkatan satu dan empat saja yang diperbaharui. Ooh...begitu. Mujur saya cepat. Jika saya terlewat setahun atau dua tahun lagi, tentu novel tingkatan lima juga akan diperbaharui tidak lama lagi. Dan sudah tentu buku itu sudah tidak dijual.

Hati saya kini berasa senang dan girang setelah dapat memiliki buku tersebut. Bola kecil yang menendang-nendang di dalam hati saya kini sudah lenyap. Tak tahu mana hilangnya. Saya pasti, bola kecil itu mungkin telah bertukar menjadi kuntuman bunga yang mekar berputik. Cantik dan berseri-seri. Saya pulang ke rumah dan terus sahaja membaca buku yang pernah menjadi impian. Namun, atas kesuntukan masa disebabkan berhadapan dengan pelbagai komitment lain, buku itu terpaksa saya baca sedikit demi sedikit dan beransur juga ke penghujung muka surat pada 2 Februari lalu.

Perasaan saya usai membaca buku ini tersangatlah kagum! Saya kagum dengan penulisnya yang dapat menghasilkan sebuah cerita yang lebih menjurus ke bidang muzik. Sama ada penulis pernah belajar muzik ataupun sekadar membuat kajian untuk bukunya itu tidak pasti. Selain berlatarkan muzik, cerita ini saya menjangkakan penulis mengambil latar tempat dan masa sekitar tahun 60-an atau 70-an memandangkan buku ini terbitan pertamanya tahun 1980. Saya tidak dapat gambarkan tambang bas hanya sepuluh sen dan gaji sebagai tukang kebun sekalipun sebanyak dua puluh ringgit waktu itu! Jika diberi peluang walaupun beberapa saat, terasa saya mahu terbang ke waktu dahulu. Zaman muda-muda emak dan abah. Ingin melihat sendiri keadaan Kuala Lumpur suatu ketika dahulu seperti yang diceritakan di dalam buku ini. Bagaimanakah orang-orang kuala Lumpur pada waktu dahulu berbanding waktu ini. Saya kagum juga dengan watak Hilmi yang begitu tabah dengan dugaan hidupnya. Membuatkan saya menginsafi diri sendiri kerana saya yang hidup di masa yang boleh dikatakan senang di zaman ini sering saja menyalahkan. Selalu saja mudah mengalah dengan musibah. Tidak seperti Hilmi, hidupnya susah. Sanggup bekerja apa saja untuk menyara hidup, namun dia tetap kuat. Duhai, saya begitu terpukul! terkena batang hidung sendiri disaat saya sedang terkapai-kapai tanpa pekerjaan biarpun bukannya bersekolah setakat Darjah Empat Sekolah Melayu. Insaf.

Saya tidak menangis di penghujung cerita biarpun kesudahannya adalah kesedihan. Saya cuma berasa sebak dengan pemergian Hilmi. Walaupun sesekali tu ada juga terasa kehangatan air di kelopak mata yang tidak sekalipun tertumpah. Fikiran saya terlalu ligat berfikir tentang kehidupan seorang seniman muzik. Biarpun hidupnya telah berjaya dikecapi dengan menempa nama yang begitu hebat dalam orkestra, namun kegembiraan tidak semuanya indah. Hilmi yang tabah untuk berjuang menjadi seorang pemuzik juga mengalami kegagalan rumah tangga. Malah, orkestra terulungnya juga tidak sempat dipimpin setelah bekerja keras untuk itu. Saya kasihan sangat dengan Hilmi. Membaca Konserto Terakhir ibarat saya membaca biografi seorang seniman. Saya dapat menyelami perasaan Hilmi sehingga ke akhir hayatnya. Susah senang yang dilaluinya terlalu mendalam. Terdetik di hati saya untuk bertemu penulis, Abdullah Hussain. Ingin bertanyakan bagaimanakah beliau boleh menghasilkan karya klasik moden yang boleh juga dikatakan karya masterpiece, yang pastinya diingati sampai bila-bila. Tidak tahu beliau masih ada atau tidak. Betapa menyesal saya tidak membacanya sejak dulu. Konserto Terakhir banyak menginsafkan saya tentang kehidupan selain mengkagumi kebesaran yang Esa.

Kesimpulannya, Konserto Terakhir adalah cerita kehidupan. Cerita kepayahan. Cerita kemanisan. Cerita perjalanan hidup daripada kesusahan kepada kesenangan. Cerita tentang darah, darjat, cinta, lagu dan irama. Sebuah Intermeso di pentas hidup. Dari sini juga saya mendapat ilham untuk tajuk blog saya, SEBUAH INTERMESO, iaitu judul lagu gubahan pertama Hilmi. Menurut Pak bakar, iaitu guru muzik hilmi: ‘Intermeso itu macam-macam. Apa saja boleh jadi.’ Jadi saya anggap intermeso itu bukan sekadar gubahan muzik. Tetapi mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Saya namakan ia ‘SEBUAH INTERMESO DI BELANTARA HIDUP’.

Konserto Terakhir

Cerita darah
Cerita darjat
birunya darah
pogahnya darjat
Cerita lagu dan irama
lagu jasad tegar
irama nurani sunyi
Cerita cinta
Cerita luka
Cerita Konserto Terakhir
Sebuah Intermeso di pentas hidup

(Petikan dari novel Konserto Terakhir)

2 comments:

Secret Drifter said...

one of my fav books selepas Panas Salju..

boleh katakan inilah buku yg saya still can follow..

Konserto Terakhir mmg terbaik n Alhamdulillah Hilmi terselamat dari bercinta dgn adiknya..

tapi sian.. jalan citenya, saya suka sbb dia tabah !!!

mmg setuju penulis Abdullah Hussain mmg hebat..

jap awk stay KL ke?? mcm mana dapat buku teks?? susah tau i nak cari..

Siti Salha Rosman said...

Saya di Negeri Sembilan, cuma kadang-kadang di Shah ALam. Saya beli tahun lepas. Buku ni dah tak dijadikan buku teks. So, nasib-nasib la kalau ada jual kat kedai lagi.