Saturday, 16 May 2015

Pasport Ekspres

Saya terjumpa filem pendek ini di salah satu tweet di laman Twitter. Klik gambar, dan terus masuk ke youtube untuk menonton videonya.

MasyaAllah, Perlis! Terus jatuh cinta.

Saya menonton sehingga tamat. Ulang sekali lagi dan lagi. Tiga kali. Kemudian, saya membuat sedikit research berkenaan filem pendek ini. Pertama sekali, pengarahnya. Kemudian pelakon, lokasi dan bahan cerita. Orang putih kata, perfect!

Sejak penghujung tahun lepas, entah macam mana saya tiba-tiba teringin untuk menaiki keretapi menuju utara Tanah Air. Teringat momen sewaktu belajar di Merbok dulu, pernah merasa dua kali menaiki keretapi. Itupun perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur. Teringin untuk melihat sekali lagi sawah padi dari dalam keretapi. 

Alhamdulillah saya ditemukan dengan Pasport Ekspres yang mana filem pendek itu adalah gambaran jiwa saya, keinginan yang saya nak. Yang telah dapat saya lihat, tapi belum dapat pergi. Saya buat research dengan dalam berkenaan filem pendek ini. Mengapa kebiasaannya filem pendek lebih baik kualiti dan pengisiannya daripada filem-filem panjang yang lain?

Filem pendek berdurasi 18 minit ini diterbitkan pada Ogos 2012. Menyesal sebab lambat sangat dapat tahu tentang filem ni. Tapi takpelah, better late than never. Filem pendek ini mengisahkan Ali (Iedil Putra), seorang pembikin filem yang suka berimaginasi tetapi mendapati dirinya kosong dan memerlukan hibernasi dan inspirasi. Kemudian, Ali mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya di Perlis dengan menaiki keretapi. Sewaktu dalam perjalanan, Ali bertemu dengan Umar Ghazi (Josiah Hogan) yang menaiki tren yang sama untuk ke Bangkok melalui Hatyai. Umar Ghazi merupakan seorang yang authentic dan gemar mengumpul barang lama. Sebelum tiba di Arau, Umar sedar yang dia kehilangan pasport dan tidak dapat melepasi sempadan Malaysia-Thailand. 

"Kau cari apa ni?"

"Pasport aku hilang!"

"Bro, kalau takde pasport kau tak boleh pass boarder. Lepas ni Arau, lepas tu Padang Besar dah."

Umar membuat keputusan untuk turun di stesen Arau bersama Ali. Semasa di Arau, Umar bertemu dengan bekas rakan sekolahnya, Roslan Mahmud (Tuan Faisal) yang berasal dari Kuala Lumpur. Roslan bertugas sebagai seorang guru Bahasa Malaysia di Perlis, seorang penggemar puisi karya Usman Awang dan amat mencintai bahasa kebangsaan. 

"Apa buat kat sini?"

"Aku ada 33 jam lagi sebelum aku balik KL. Kejap lagi aku boleh cerita panjang."

"33 jam? Aku boleh bawa jalan satu Perlis ni."

Pertemuan mereka bertiga menjadi satu pengembaraan masa untuk Ali, Umar dan Cikgu Roslan sambil mengingati kembali memori silam ketika Ali membesar di Perlis. Cikgu Roslan membawa Ali dan Umar bersiar-siar di beberapa tempat menarik sekitar Perlis dengan menaiki kereta jenis Volkwagen Beetle. Antaranya, Ladang Tebu Chuping iaitu ladang tebu terbesar di Malaysia dan juga kawasan paling panas di Malaysia dengan suhu mencecah hampir 41⁰C. 

"Aku rasa jiwa aku lebih sesuai dekat sini. Lagipun dekat sini semua orang masih bercakap bahasa kebangsaan." -Cikgu Roslan

Lokasi lain yang terdapat dalam filem pendek ini adalah Padang Melangit, Wang Kelian dan Tasik Timah Tasoh. 

Ali banyak berkongsi kepada Umar dan Cikgu Roslan mengenai kenangan silamnya. Kenangan sewaktu menonton filem Layar Lara hari raya pertama di Panggung Kapitol Kangar dan terus bercita-cita nak jadi pengarah filem selain berangan ada UFO landing di tengah ladang tebu selepas menonton XX-Ray.

"Sebab tu semua benda yang kita boleh ingat kita kena simpan." -Umar Ghazi

Semasa berlatarkan tempat di Tasik Timah Tasoh, Ali menyuarakan isi hati yang dia lebih gemar berangan daripada buat filem dan tidak pasti dengan masa depannya. Namun Cikgu Roslan menasihatinya supaya jangan takut dengan masa depan. Seperti dirinya, yang tidak takut untuk berhijrah ke Perlis untuk menjadi seorang guru. Di lokasi ini juga Ali berimaginasi lagu Ahmad Jais, Hidup Bukan Untuk Derita. Pemandangan Tasik Timah Tasoh  sangat cantik berlatarbelakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan. Tasik ini merupakan tasik buatan yang menjadi empangan saliran terbesar di negeri Perlis. Subhanallah!

"Jangan lupa lagu Ahmad Jais, Hidup Bukan Untuk Derita." 

Sebelum mereka bertiga berpisah, Cikgu Roslan ada menyerahkan sebuah buku koleksi puisi karya Sasterawan Negara Usman Awang kepada Umar. "20-30 tahun lagi dah tak ada dah. Simpan na." Buku koleksi puisi tersebut adalah terbitan Institut Terjemahan Buku Negara (ITBN). Nampaknya, saya kena beli satu ni. Sebelum habis dan tidak diulang cetak lagi. 

"Lain kali datang la lagi. Datang sini tak payah bawa pasport."

Dan Ali akhirnya menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung halamannya.

Tamat.

Banyak tempat-tempat menarik yang saya tak sangka ada di Perlis. Sungguh negerinya kecil, tetapi kaya dengan khazanah alam yang indah dan mungkin tiada tanding di tempat lain. Di situ tertumpahnya cinta saya terhadap Perlis. Mula menanam angan-angan untuk ke sana, buat tribute to Pasport Ekspres. Kembara solo. Kuala Lumpur - Perlis - Kuala Lumpur. Cewah!

Saya sangat kagum dengan Rewan Ishak dan mula tertanya-tanya siapakah beliau yang membikin filem pendek yang hebat seperti ini. Kemudian, saya membuat sedikit pencarian Google. Ternyata, beliau memang anak jati Perlis. Membesar di sana dan hampir keseluruhan plot cerita adalah berdasarkan pengalamannya sendiri. Tabik spring! Hebat orang Perlis. Kemudian, saya mula mengikuti aktiviti beliau di Twitter dan Facebook. (Instagram dah follow lama rupanya, Macam mana la boleh tak perasan)

Menurut cerita beliau yang dipetik dari blognya, filem pendek ini dibuat atas tawaran yang diberikan oleh Astro dengan kerjasama Red Film bertemakan kampung halamannya sempena Merdeka. Beliau amat meminati bidang sastera sewaktu dibangku sekolah lagi jadi tidak hairanlah beliau mendedikasikan beberapa puisi karya Uswan Awang di dalam filem ini selain kisah tentang lagu Ahmad Jais yang juga diinspirasikan sempena minat bapanya terhadap lagu-lagu lama. Rasa macam nak buat ringtone je intro lagu Hidup Bukan Untuk Derita. Haha. Dan puisi tu, sangat menusuk kalbu. Zaman sekarang ni mana nak jumpa anak muda yang minat puisi-puisi lama? Seronok! Suka dengan watak Cikgu Roslan.

Akhir kalam, filem pendek ini adalah jiwa saya. Jom backpack ke Perlis!


Bukankah kecurigaan itu telah terbunuh ketika kita bersapa 
- Usman Awang



Jiwa Hamba

Termenung seketika sunyi sejenak
Kosong di jiwa tiada penghuni
Hidup terasa diperbudak-budak
Hanya suara melambung tinggi

Berpusing roda beralih masa
Pelbagai neka hidup di bumi
Selagi hidup berjiwa hamba
Pasti tetap terjajah abadi

Kalau hidup ingin merdeka
Tiada tercapai hanya berkata
Ke muka maju sekata, maju kita
Melemparkan jauh jiwa hamba

Ingatkan kembali kata sakti
Dari bahang kesedaran berapi
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan Jiwa Merdeka


Wednesday, 15 April 2015

Kawan

Haritu dia SMS aku.

Maghrib.

"Sally, masjid negeri ni takde sediakan telekung ke?" 

"Kenapa? Ada je dekat tingkat atas tu."

"Ooh dekat atas ke...hmm."

"Kau dekat masjid ke? Kenapa tak bawak telekung siap-siap?"

"Aku gerak terus dari ofis tadi."

"Sorang?"

"Ha'ah."

"Kenapa ni?"

"Hmm sedih. Ada masalah sikit."

...

Dalam hati ada sikit senyum dan terharu. Semoga Allah permudahkan segala urusan kau, kawan.

"That Allah may forgive you your sins of the past and the future, 
and complete His on you, and guide you on the straight path." 
[al-Fath : 02]


P/s: Cerita tahun 2014. 

Tuesday, 28 October 2014

Doa Iman




Doa Iman - UNIC

Allahumma ahyina bil iman
Allahumma amitna bil iman
Allahumma syurna bil iman
Wa adkhilna jannata ma'al iman

Ya Allah hidupkan kami dengan iman
Ya Allah matikan kami dalam iman
Ya Allah bangkitkan kami dengan iman
Dan masukkan ke syurga-Mu dengan iman




Friday, 28 February 2014

Perempuan Nan Bercinta


Saya tak mahu ulas dengan panjang lebar tentang novel ini. Sekadar ingin memberitahu yang syaa sudah membacanya awal tahun lepas.

Kalau PNB ini sebuah subjek dalam kursus pengajian di Universiti, saya klasifikasikan ia sebagai sebuah "killer subject".

Susah hadam. Susah faham. Kesudahan membacanya menimbulkan beberapa tanda tanya yang tidak terungkai. 

Sampai kena tegur, "Eh, berhati-hati sikit baca novel-novel Faisal Tehrani ni, bahaya."

Ok, faham. Maklumlah, novel kontroversi. Asyik kontroversi aje FT ni. Barang yang kontroversi ni memang cepat laris. Lebih ramai yang beli nak tahu isi kandung cerita.

Tepuk dada, tanya hati, tanya iman. Baca sendirilah!

Friday, 14 February 2014

Bismillah...

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Masih diberi peluang untuk menulis di blog yang hampir terkubur sejak sembilan bulan yang lalu. Mujur sempat diselamatkan sebelum ia mencecah umur satu tahun tanpa diusik.

Ok, punca sebenar adalah MALAS. Seperti tiada apa yang mahu ditulis. Ada idea tapi tak sempat atau kesuntukan masa. Banyak juga idea dan peristiwa seputar apa saja yang mahu dicoretkan, tapi oleh kerana kemalasan yang melanda sanggup diketepikan semua itu.

Perkara ini terjadi disebabkan oleh kelajuan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram melebihi dari segalanya. Orang zaman sekarang sudah malas mahu menulis panjang-panjang dan mahu membaca yang pendek-pendek sahaja. Lama kelamaan menjadi rindu dan malu. Rindu sebab teringin nak ulas buku macam dulu. Malu sebab masih ada lagi insan yang sudi komen di beberapa entry ulas buku sedangkan last post on April 2013.

Target saya tahun 2014 untuk aktif kembali, tapi kelekaan membuatkan saya terlupa bahawa Januari sudah perlalu dan dari ini sudahpun setengah bulan di Februari. Akan mula mengaktifkan blog dengan ulasan buku yang dibaca, bedah video dan juga lagu. InsyaAllah.

Semoga semangat!

Friday, 12 April 2013

Ramadan dah dekat

Ramadan dah nak dekat.

Kenapa?

Yalah, tak sabar nak sambut bulan baik ni. Boleh perbanyakkan amal waktu tu.

Dalam bulan-bulan lain kau tak buat banyak amal ke?

Erk...?
Bulan-bulan lain sibuk sikit...emm bekerja. Tak banyak masa nak khatam, tadabbur al-Quran setiap hari, qiam sepanjang hari...bla...bla...bla...

Ooo...macam tu.

*senyap

Kau tahu, Allah cakap, kalau nak buat amal tu jangan tunggu esok. Sebab, tomorrow never die tapi mungkin kita yang akan mati esok.

Apa kau cakap ni??!

Betul apa.

*krik krik krik krik....

"The man that decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh."

Jumu'ah mubarakah people!

Thursday, 21 February 2013

Jzkk


“Seriously aku nak nak bagitau kat kau, sebelum ni aku tak pernah tahu pun kod-kod seperti  2:155, 2:286, 6:2-3, 10:67, 47:7, 16:18, 59:21, 67:03, 93:11. Depan tu kod apa, belakang tu kod apa. Aku tak pernah tahu.”

“Ini bukan nasib baik, tapi syukurlah kau dah jumpa apa yang Allah beri. Hidayah tu Allah dah bagi, cuma manusia yang tak nampak. Kau dah tersedar pada jam yang kesepuluh, waktu-waktu kecederaan, waktu-waktu nak kiamat ni. Ingat Contengan Jalanan?”

“Erk?”

“Eh, betul la..petanda kiamat dah banyak dah.”

Aku diam.

Dia menyedut air teh O ais yang masih berbaki.

“Terima kasih sebab bawak aku ke jalan ni.”

Dia senyum je.

“Lagi satu kan, lepas kau bagi Contengan Jalanan tu aku rasa hidup aku macam ada sesuatu, terisi sikit. Mungkin inilah yang dicari oleh K2, erti hidup.”

“Aku tahu hati kau taklah sekeras seperti batu macam K2. Kau tahu, hati manusia ni kalau keras, lebih keras daripada batu tau? Sebab, sekeras-keras batu tu boleh la jugak air mengalir di celah-celahnya.” Senyum.

Aku menganggukkan kepala.

“Aku sebenarnya baru tahu apa maksud jazakumullahu khairan kathira (semoga Allah memberi kamu sebaik-baik ganjaran) walaupun aku selalu dengar kau cakap perkataan tu kat aku. Atau dalam SMS kau selalu tulis ‘jzkk’.”

Sengih kerang.

“Ha?! Kalau tak faham kenapa kau tak tanya?”

“Aku segan. Nanti kau gelak.”

Hahahah!

Tawa pun berderaian di bawah pokok mangga depan surau pangsapuri empat tingkat itu.


“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) yang memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.”
[02:74]

Catatan asal pada 2339 PM, 140113

P/s: Mungkin ada yang terpinga-pinga, siapa itu Fend dan K2. Boleh rujuk entri ke bawah-bawah dan bawah.

Thursday, 31 January 2013

Urusan Cinta Belum Selesai



Novel ini diperoleh di Pesta Buku Selangor di SACC Shah Alam tahun lalu, siap bertandatangan penulis. Jujurnya, saya tidak pernah mengenali Imaen. Cuma mendengar nama sahaja. Kebetulan, dua kali saya ke Pesta Buku Selangor dan kedua-dua hari tersebut saya bertemu dengan penulis di booth Jemari Seni Adiwarna. Mungkin itu adalah satu tanda yang saya perlu membaca karya Imaen.

Pada mulanya saya sangkakan novel ini berkisar tentang cinta yang tidak kesampaian. Tetapi, sangkaan saya tersasar. Novel ini berkisar tentang Rauf yang bekerja sebagai seorang penulis sambilan dan mempunyai sebuah kedai buku kecil di tengah-tengah bandar Sungai Petani. Pelbagai konflik yang dihadapi, antaranya desakan ibu bapa yang mahu melihat Rauf mendirikan rumahtangga dan perkenalan dengan Manisyah, kononnya mahu dijadikan isteri. Namun rasa cinta Rauf semakin hari semakin mendalam terhadap Cinta, iaitu  gadis yang ditemui secara tak sengaja. Pelbagai kisah lucu dan menarik di awal perkenalan Rauf dan Cinta. 

Jujurnya, novel ini mengembalikan ingatan saya kepada Sungai Petani ketika menuntut di UiTM Merbok beberapa tahun yang lalu. Sungai Petani menjadi latar tempat utama dalam novel ini. Seriously, teringat dekat Sungai Layar, Semeling, Bandar Laguna, Merbok, Lembah Bujang, Tanjung Dawai, dan macam-macam lagi. Mahu kembali ke sana suatu hari nanti, insyaAllah.

Ternyata, percubaan pertama saya membaca karya Imaen memberikan tanda yang positif dan saya suka. Walaupun menggunakan gaya bahasa yang agak santai dan mudah difahami, bahasa yang digunakan tidak sekali-kali kelihatan terlalu 'pasar' atau rosak bahasa seperti tulisan dari beberapa penerbit buku yang lain. 

Gaya tulisan Imaen ada sedikit unsur sinis, tentunya tentang politik. Walaupun menggunakan nama parti yang berlainan dari parti di Malaysia  tetapi saya dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh penulis. Paling menarik, bagaimana Rauf mahu mendekati Cinta, anak seorang ahli politik yang berpengaruh tetapi mereka berlainan parti. Terdapat konflik di situ.

Selain itu, bahagian paling 'pedas' bagi saya adalah semasa Rauf keluar buat pertama kali dengan Manisyah untuk makan tengahari. Ketika sedang berbual-bual, Manisya sering kali menggunakan telefon bimbit untuk berbalas SMS dengan rakannya. Penulis ada menegur sikap Manisyah yang terlalu bergantung pada laman sosial dalam kehidupan seharian. Seperti kebanyakan kita pada hari ini. Keluar beramai-ramai dengan kawan, tetapi apabila sampai di tempat makan terutama yanga ada WiFi, semua jadi tidak pedulikan sekeliling. Lebih baik tidak payah keluar makan bersama jika masing-masing asyik dengan telefon bimbit. Kasihan kepada kawan yang tidak memiliki telefon pintar. Duduk tercongok seperti keluar makan dengan sebuah kerusi yang tidak boleh berkata-kata.

Saya cuba untuk mengelakkan tabiat itu di lain hari.

Apapun, tulisan Imaen sangat menarik dan berbeza. Sesuai kepada sesiapa yang sukakan watak yang serius dan tidak terlalu berkarat jiwangnya. Saya dapat tahu, novel-novel Imaen kebanyakannya aksi-romantik. Kalau suka cerita yang ada aksi tembang-menembak atau jenayah, boleh la cuba karya Imaen. Terima kasih kepada seorang teman yang selalu mencadangkan novel Imaen kepada saya.

Tiga bintang untuk buku ini.

"Hidup ini memerlukan sedikit pahit supaya kita lebih menghargai manis."

Friday, 7 December 2012

Buku: Kembara Sastera Nisah Haron

Tujuan asal membaca buku ini adalah untuk mencari idea untuk membuka sebuah kafe buku (suatu hari nanti). InsyaAllah.

Buku ini ringan dan santai kerana ia berkisar tentang kembara sastera seorang penulis. Ceritanya ringkas dan terdapat banyak gambar-gambar yang menarik. Boleh dibaca di mana jua kita berada. Saya pernah membaca hampir sebahagian buku di sebuah cafe sambil menikmati segelas kopi putih sejuk dan sepotong puding cream caramel.


Sebenarnya saya sedang cuba menikmati atau merasai sendiri membaca buku sambil ditemani oleh secawan kopi seperti yang diceritakan di dalam buku dan juga seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penulis lain. Hi hi hi.

Ya. Rasa itu sangat awesome!

Ok. Bagi saya, buku ini merupakan kisah perjalanan menyingkap rahsia kota sastera. Apakah yang dimaksudkan dengan kota sastera (City of Literature)? Kota sastera merupakan kota yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana terdapat sensitiviti masyarakat terhadap sastera dan nilai kesedaran yang tinggi oleh masyarakat terhadap karya agung mereka. Sebagai contoh, Kota Sastera pertama yang diiktiraf oleh UNESCO adalah Edinburgh (2004), kemudian  Melbourne (Ogos 2008), Iowa City (November 2008), Dublin (2010) dan Reykjavic (2011). Nak senang cerita, rakyat sesebuah negara itu mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap kesusasteraan negara masing-masing selain kualiti dan kuantiti dalam bidang pendidikan.

*Tidak seperti di Malaysia, kebanyakan rakyatnya mengagungkan hiburan semata-mata. Eh! Maaf.

Kembali kepada topik asal. Sebenarnya, saya pernah mengikuti bengkel penulisan cerpen yang dianjurkan oleh penulis beberapa tahun yang lalu dan saya agak gerun dengan ketegasan beliau. Beliau sangat tegas dalam berkata-kata. Hehehe. Waktu itu adalah kali kedua cerpen saya siap dan dipersembahkan. (Kali pertama ketika memasuki pertandingan menulis cerpen ketika di tingkatan lima, saya mendapat tempat kedua. Tak tahu macam mana boleh menang, mungkin kurang penyertaan :p Kih kih kih.)

Tiba-tiba teringat pesanan Puan Nisah kepada Shahkang Aizat yang sangat menusuk kalbu di halaman ke 31 buku ini. Katanya,

"Sebuah cerpen yang tidak bagus, tetapi siap adalah lebih baik daripada sebuah cerpen yang kononnya bagus, tetapi tak siap-siap!"

Sentap!

Karya William Shakespeare merupakan satu-satunya karya sastera Inggeris yang pernah saya baca. Itu pun beberapa kerat sahaja. Namun, di dalam buku ini saya dapat mempelajari lebih mengenai Shakespeare. Stratford-Upon-Avon, merupakan tempat kelahiran William Shakespeare. Kata penulis, Stratford-Upon-Avon  adalah sebuah pekan kecil tetapi menjadi besar kerana sasteranya. Di sini terletaknya rumah kelahiran Shakespeare terdapat banyak tugu-tugu yang berkaitan dengan watak-watak dalam karya-karya Shakespeare. Antara karya Shakespeare yang saya pernah baca adalah sewaktu di bangku sekolah dulu, Romeo and Juliet dan Sonnets.

Hay-On-Wye pula adalah sebuah Kampung Buku Pertama Dunia. Setiap tahun akan diadakan Hay Festival. Lebih kurang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur juga tapi Hay Festival lebih meriah katanya. Apa yang menariknya di sini adalah terdapat banyak buku yang dijual dan buku-buku itu dijual secara terbuka. Boleh memilih dan membaca buku sambil menghirup udara segar. Oh!

Hay-on-Wye
Edinburgh, City of Literature 2004

Sesuatu yang menarik tentang Edinburgh adalah Stesen Edinburgh Waverly. Nama "Waverly" diambil sempena judul novel Sir Walter Scott, pengarang terkenal di Scotland. Judul buku pun boleh jadi nama stesen keretapi, sangat menarik. Jadi, tidak hairanlah Edinburgh dipilih sebagai City of Literature pada tahun 2004.

Memandangkan saya peminat setia JK Rowlings dan Harry Potter, tentunya saya amat tertarik dengan tempat tinggal penulis tersebut ketika belum terkenal sebagai penulis Harry Potter iaitu di Leith, Edinburgh, Scotland. Di sana terdapat sebuah kafe yang bernama The Elephant House. Kafe ini merupaka tempat JK Rowlings menulis sebahagian daripada bab novel itu. Ketika itu beliau belum dikenali dan masih menulis dengan tulisan tangan.

Kafe lagi. Inspirasi...

"Sastera dan budaya juga menjadi sebahagian daripada perkara yang membina peradabannya."

Dublin Bumi Shamrock, City of Literature 2010

Shamrock? Pada mulanya saya tertanya-tanya, apa itu Shamrock? Kemudian, Wikipedia memberikan saya jawapan ini. "The Shamrock is a three-leaved old white clover. It is known as a symbol of Ireland." 

Pokok ini namanya Trifolium Repens
Seperti di Malaysia juga, bunga kebangsaan negara kita adalah bunga raya :)

Selain Dublin City Gallery iaitu galeri modern art, pemandangan yang paling menarik di sana adalah The Garden of Remembrance, sebuah taman bagi memperingati mereka yang gugur sewaktu mendapatkan kebebasan untuk orang-orang Irish. Susunan bunga-bunga segar dan kerusi kayu itu sangat menarik!

Lihat, cantik bukan?

The Garden of Remembrance
London

Ketika di Kota London, saya tertarik pada 84, Charing Cross Road, London. Banyak sekali penulis bercerita tentang ini. Rupanya, ia adalah sebuah buku yang menghimpunkan kisah dua sahabat seberang lautan yang membeli buku secara pos pasca-Perang Dunia Kedua. Seorang di Amerika Syarikat, si pembeli bernama Helene Hanff dan Frank Doel, pekerja yang bertugas di kedai buku Marks & Co. yang beralamat di No. 84, Charing Cross Road, London. Namun kedai buku tersebut kini dinamakan Med Kitchen, sebuah restoran.

*Tiba-tiba saya terfikir, jika saya berpeluang seperti penulis, saya mahu mencari lokasi istimewa filem Harry Potter, Platform 9 3/4 iaitu Hogwarts Express, yang akan membawa pelajar Hogwards ke sekolah mereka. Tak tahu samada ia betul-betul wujud atau rekaan semata-mata.

Cecil Court. Kawasan ini terletak bersebelahan dengan Charing Cross, ia merupakan syurga kedai buku terpakai. Nak tahu kenapa saya bercerita tentang Cecil Court? Kerana kawasan ini dikatakan memberi inspirasi kepada JK Rowlings ketika mencipta Diagon Alley dalam buku Harry Potter. Oh! Bestnya....

Cecil Court
Diagon Alley, Cecil Court dalam filem Harry Potter

Selain Harry Potter, Cecil Court juga pernah menjadi lokasi untuk filem Miss Potter (2006) dan The Last Bookshop. Bayangkan, terdapat satu lorong yang kiri dan kanannya terdapat kedai buku, di tengah-tengah kota London. Kalaulah di Malaysia juga begitu...

Kesimpulannya, buku ini sangat lengkap bagi penggemar buku dan sastera barat. Saya yang tidak berapa mengenali sastera barat secara tidak langsung dapat mengetahui sedikit demi sedikit beberapa nama baharu selain belajar subjek geografi. Seriously, tak pernah dengarpun Stratford-Upon-Avon dan Hay-on-Wye sebelum ni. Sadis. Membaca buku kembara ini terasa seperti saya juga turut ikut mengembara bersama. Buku ini juga mudah untuk kita melihat dengan lebih lanjut berkenaan sesuatu tempat kerana terdapat link yang disediakan di bawah setiap buku.

Lima bintang untuk buku ini :)

P/s: Tiba-tiba rasa macam nak pergi backpaking!

Thursday, 18 October 2012

Teach For The Needs


"We believe that everyone have their own potential to succeed."

Teach For The Needs is a non-profit based movement that aims to gather qualified teachers, volunteers and activists all around Malaysia in an effort to provide education opportunities for school pupils, especially those from less privileged households and orphanages who are unable to afford commercial tuition like their fellow peers. Academic excellence is often measured by the achievement in the examination. In the era of a globalized world, economic factors often limit the opportunity for weak class students, orphans and poor families to attend paid tuition classes.
Pada hari Ahad minggu yang lalu, saya berpeluang menjejakkan kaki ke Bangunan BAKTI Siti Hasmah, TTDI, Kuala Lumpur. Teach For The Needs (TFTN) bersama Youth of Hope (YOH) telah mengadakan Charity Garage Sale pada 13-14 Okt yang lalu. Charity Garage Sale adalah jualan amal yang dijalankan bagi mengumpul dana dan bantuan pembelajaran untuk anak-anak TFTN. Selain jualan amal seperti pakaian, buku, cookies, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan di sana. Contohnya ada games untuk kanak-kanak, live performance dan art session.





Di situ juga, secara rasminya saya telah mendaftar sebagai sukarelawan TFTN. Senyum lebar. T_____T


Di sini, saya ingin menyeru dan mengajak kawan-kawan dan pembaca blog semua supaya memberikan sokongan anda kepada kami. Eh? Ya, kami. Cara yang paling mudah untuk anda memberikan sokongan anda kepada kami adalah dengan klik LIKE page Teach For The Needs di facebook. Mudah kan? Percayalah, dengan setiap LIKE yang anda lakukan secara tidak langsung anda telah membantu kami untuk mempromosikan TFTN kepada rakan-rakan anda yang lain.

Sasaran kami adalah 5000 Likes sebelum Konvensyen Pendidikan TFTN yang bakal diadakan pada 8 Disember 2012. Tidak susah untuk promosi - letakkan URL page TFTN di status anda - posting di group-group Facebook anda serta pesanan peribadi di inbox kepada mereka juga. Untuk maklumat lanjut mengenai TFTN ila rujuk di sini.

5000 LIKES untuk TFTN page.

Peace!

Thursday, 11 October 2012

The Eleventh Hour

Hari tu, saya terbaca blog seorang kawan. Dia membuat ulasan berkenaan Contengan Jalanan (baca berkenaan Contengan Jalanan di sini). Berkenaan seseorang yang tidak sabar menanti Ramadan berikutnya untuk berbuat amal. Kalau kita mati minggu depan?

Ramadan.

Ada orang excited nak sambut puasa sebab masa tu boleh pergi terawih. Tahu sajalah, pahala terawih tu besar. Bertadarus, qiamulail dan yang paling best dapat berpuasa. Pahala berganda-ganda wey! Memanglah kan, Ramadan tu bulan rahmat, bulan diturunkan al-Quran, bulan yang malamnya terdapat malam lailatulqadar dan macam-macam lagi fadhilatnya.

Tetapi, adakah anda tahu yang anda masih hidup atau pun tidak pada Ramadan tahun 2013? Kita tidak tahu ajal kita bila. Entahkan esok entahkan lusa. Minggu depan atau bulan depan atau sehari sebelum Ramadan 2013. Dan hasrat kita untuk melakukan amal secara besar-besaran tu tidak kesampaian sebab kita  menunggu Ramadan baru nak buat semua tu.

Dulu, saya pernah berperasaan seperti itu. Extra-buat masa bulan puasa. Kadang-kadang kita terlupa sebab tak ada yang mengingatkan. Tazkirah tu adalah dengar, tapi sekejap je dan tak terkesan pun nak berubah. Sebab tu orang kata tarbiyah tu penting. Saya pernah tulis dalam entri hari tu, (sila baca di sini) berkenaan ilmu tanpa tarbiyah umpama jasad tanpa roh.

Kalau tak ada orang yang tegur dan mentarbiyah kita memang susah sikit nak berubah. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tarbiyah tak boleh sorang-sorang. Susah nak masuk.

Bila dah baca Contengan Jalanan, barulah saya sedar berkenaan the Eleventh Hour. The man who decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh. Saya cakap kat naqibah, rasa rugi tak baca Contengan Jalanan dari awal. Lepas tu, kawan cakap, sepatutnya alhamdulillah sebab dapat juga baca. 

Ya, syukur alhamdulillah.

Masa tu saya rasa takut. Kalau menunggang motor, saya berharap selamat sampai rumah sebab waktu tu belum solat. Lepas tu, kalau tidur saya berharap esok saya ada lagi kat bumi ni sebab al-Quran tak habis taddabur lagi. Sebab sehari kadang-kadang baca sehelai. Kadang-kadang tak baca. Kadang-kadang tu sampai takut nak tidur. Sebab takut esok tak bangun-bangun.

Yang sebenarnya, kita ni takut mati. Betul tak? Kita takut bila kita mati konfemlah kita tak sempat dah buat semua tu. Kita takut kena pukul dalam kubur nanti sebab solat tak cukup lima kali sehari. Kata nak buat solat Dhuha, tapi bila tah nak hafal doa dhuha. Asyik tunggu esok esok dan esok. Kita sangat yakin yang umur kita panjang. Kita sangat yakin yang kita mungkin akan mati pada umur 60 tahun dan ke atas. Sebab time tu barulah nak berjemaah di masjid. Kita pun tak tahu yang sebenarnya Allah dah tetapkan dah tarikh kematian kita.

"Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran (seperti ketentuan yang tertulis di lohmahfuz sebelum kejadian mereka). Dan perintah Kami (ke atasnya) hanyalah satu perkataan seperti sekelip mata." (al-Qamar : 49 - 50)

It's time to change my friend! Mari kita berubah bersama.