Sunday, 8 January 2012

Barang yang haram memang sangat laku

Tajuk entri kali ini tentang benda yang haram. Apakah yang haram sejak kebelakangan ini? Salah satunya adalah novel Sebongkah Batu di Kuala Berang karya Faisal Tehrani. Saya sudah membaca novel ini, sila baca ulasan novel di sini. 

Saya jelaskan sedikit di sini kenapa novel tersebut diharamkan oleh JAKIM. Novel ini diharamkan penerbitannya kerana tulisan Faisal Tehrani di dalam novel tersebut terdapat unsur-unsur Syiah di dalam novel. Apa itu Syiah? Sila baca di sini. Saya petik sedikit petikan dari beberapa blogger, seperti Fandy Taher : 

"...hal pengharaman itu punya kaitan dengan tulisan Faisal Tehrani di dalam novel ini pada muka surat 52 - 57. Mungkin. Mungkin dijadikan alasan buat diharamkan."

Tambah beliau lagi,

"Saya seronok membaca novel ini sehingga tak terasa apa-apa yang haram dengannya. Mungkin pihak yang bertanggungjawab mengisytiharkan haram mempunyai sisi bacaan yang berbeza, sehingga nampak perkara-perkara yang sesat lagi menyesatkan di dalam novel ini."

Saya sendiri tidak tahu sisi manakah yang haram. Saya sangat kagum terhadap penulis kerana dapat menghasilkan sebuah karya fiksyen yang saya kira beliau membuat kajian mendalam untuk novel ini. Tetapi sayang, hasil titik peluh beliau tidak dihargai sesetangah pihak. 

Kemudian, blogger Sudu Garpu pula berkata:

"...pihak yang bertanggungjawab di dalam soal pengharaman buku ini wajiblah menyatakan sebab penarikan dengan hujah serta bukti dan terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian."

Saya terpanggil untuk mengisukan hal pengharaman ini. Buku diharamkan sebab terdapat unsur-unsur atau baris ayat yang boleh penyelewengkan akidah pembaca Muslim.

Pada pendapat saya, sebagai contoh. Saya memang peminat setia Harry Potter. Sedia maklum, cerita Harry Potter sememangnya mengarut dan karut sama sekali. Tetapi kenapa saya membaca buku tersebut dan buku tersebut tidak pula diharamkan penjualannya di Malaysia kalau benar buku tersebut terdapat unsur yang boleh menyesatkan dan menyelewengkan akidah? Harry Potter seorang ahli sihir terkemuka, mengamalkan jampi serapah, bertarung nyawa untuk menyelamatkan keadaan, sekolah ahli sihir Hogwarts, penyapu terbang, sihir Avada Kadavra, selimut halimunan dan sebagainya. Bukankah itu semua karut!

Tetapi, lihat saja peminatnya di seluruh dunia. Kita lihat di Malaysia sajalah, tak payah seluruh dunia. Ada tak pembaca fanatik Harry Potter yang beragama Islam di Malaysia sekarang ni telah tersesat? Terpesong agamanya dengan jampi serapah kononnya mahu menjadi ahli sihir terhebat di dunia. Ada tak? Saya belum pernah dengar berita tentang itu. Maaf, kalau ada yang tersesat tetapi saya yang tidak tahu.

Situasi ini sama saja dengan novel Sebongkah Batu di Kuala Berang. Kita rasa seronok membaca novel tersebut, cerita tentang kerenah artis Malsuysia. Saya tidak rasa apa-apa yang haram. Berlainan Harry Potter, apabila terbaca sesuatu baris yang karut dan todak releva, secara automatik saya akan berfikir, "Ish, karutlah. Mana ada macam ni kat dunia ni." Lihat! Kita sendiri yang akan menilai baik buruk sesuatu buku itu.

Kepada anda yang belum mendapatkan novel ini, silalah berbuat demikian. Menurut Puan Ainon dalam satu artikel di malaysiakini kos penerbitan Sebongkah Batu di Kuala Berang sudah pulang modal. Masih terdapat baki stok dalam gudang PTS. Jadi, apa tunggu lagi. Selalunya, barang yang haram ni memang cepat laku. Kita lihat saja Interlok suatu ketika dahulu. 

Apapun yang kita semua baca, pokok pangkalnya adalah hati. Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu yang menciptakan. Kata orang, kita adalah apa yang kita baca. Mungkin 50- 50. Tidak semua yang begitu. Kalau kita baca buku agama, ya. Kita baca dengan kusyuk dan beramal dengan pembacaan. Kalau kita baca buku cerita hantu, tak kan kita nak jadi hantu? Hati dan akidah yang menentukannya. Yang penting niat kita baca buku itu untuk apa. Sila baca di sini berkenaan artikel yang pernah saya tulis tentang 'Anda adalah apa yang anda baca'.  

Sekian. Maaf jika ada yang tidak puas hati dengan tulisan saya kali ini.

Monday, 12 December 2011

Bogel Menuju Tuhan : Don't judge a book by it's title


Buku ini saya peroleh sewaktu jalan-jalan di Pesta Buku Selangor kira-kira lima bulan yang lalu. Saya fikir, sukar untuk mendapatkannya memandangkan buku ini buku 'underground' dan susah nak dapat di kedai-kedai buku MPH. Tapi, tak susah manapun untuk mendapatkannya di pesta buku. Buku ini terbitannya agak terhad.

Sebelum buku ini release di pasaran, saya selalu mengikuti perkembangan buku ini di facebook penulis, Zahiril Adzim dan blognya. Ternyata, buku ini sangat best dan ada kualitinya tersendiri. Buku ini merupakan himpunan antologi puisi serta catatan peribadi penulis di dalam blognya. Sesiapa yang sentiasa mengikuti perkembangan penulis di blog, rasanya tentu ada yang sudah tahu apa yang akan diceritakan. Tetpi, bagi saya memiliki buku itu sendiri lebih baik. Kerana buku Bogel Menuju Tuhan ini adalah himpunan cerita-cerita terbaik sahaja. Kurang lebih buku Kentang - Saharil Hasrin Sanin yang pernah saya ceritakan dahulu.

Mungkin ada sesetengah pihak yang sengaja mengisukan perihal tajuk buku ini - Bogel menuju Tuhan. Saya ada membaca beberapa artikel di blog mereka-mereka yang tidak berkenan dengan tajuk. Orang kata tajuk biar gempak. Buku ini bukan buku 18SX, bukan buku lucah dan boleh dibaca oleh sesiapa sahaja.

Dalam kebanyakan tajuk puisi, saya suka sekali Gagalnya Pemerintahan, Jangan Jadi Pelakon Malas, Kita Peniru Profesional, Toleh dan Percubaan Rampasan Roh Dari Belakang. Saya amat tertarik dengan catatan Percubaan Roh Dari Belakang. Garapan yang saya kira sangat baik. Bagaimana Zahiril Adzim menceritakan ada sesuatu benda pelik atau fikiran yang negatif sedang mengganggu beliau. Seolah-olah ada bisikan halus yang mengganggu fikiran. Perkara yang biasa dialami oleh sesiapa ketika sendirian, dalam gelap mahupun ketika tension. Selain itu, penulis tak lupa untuk mencatatkan beberapa kisah cinta tentang dia dan Sheera Aiyob (sekarang sudahpun sah menjadi isterinya). Selamat pengantin baharu!

"Bogel Menuju Tuhan adalah satu tajuk catatan yang aku tulis di blog, atu masa dahulu. Ia marupakan satu keadaan yang aku gambarkan dalam setiap perjalanan kehidupan manusia yang percaya akan dugaan Tuhan. Tidak ada manusia yang terlepas dari dugaanNya, maka tidak adalah manusia yang tidak akan menempuh satu tempoh kesakitan, penuh perit dan pedih dalam hidupnya.

Aku simpulkan buku ini adalah antologi catatan dan puisi sewaktu aku adalah hari-hari tidak berwarna, sebelum jingga."

P/s: Kalau boleh nak sangat tandatangan penulis di halaman pertama buku. Nak sangat!

Monday, 21 November 2011

Menonton teater Badai Semalam

Malam Sabtu minggu yang lalu, saya berkesempatan menonton teater Badai Semalam di Istana Budaya. Ini adalah pertama kali saya ke Istana Budaya dan secara jujurnya saya sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia! Sebab di Malaysia ada Istana Budaya yang sangat cantik. Ok, itu alasan murahan.

Pendukung watak utama teater ini adalah Erra Fazira yang memegang watak Mazni. Heronya adalah Aaron Aziz dan Fizz Fairuz. Oleh kerana tempat duduk yang sangat tinggi dan jauh dari pentas, jadi para pelakon semua saya lihat sama saiznya seperti semut. Apapun, tetap berbaloi. Kitakan dah biasa dengan pelakon tu semua.

Teater Badai Semalam adalah cerita adaptasi daripada novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim. Saya belum pernah membaca novel tersebut tetapi acap kali mendengar tajuknya. Habatnya novel ini yang diterbitkan pada tahun 1968, ia ditulis oleh seorang penulis tersohor Khadijah Hashim antara penulis wanita terawal di Malaysia. Novel ini pernah menjadi teks KOMSAS pelajar tingkatan enam suatu ketika dahulu. Kamudian, novel ini juga pernah diadaptasi menjadi drama di TV1. Jadi, kehebatan novel ini membuatkan saya terpanggil untuk membacanya (suatu hari nanti).


Saya suka dengan lakonan Erra Fazira yang sangat berkesan. Memang sesuailah dengan gelaran 'pelakon air mata'. Ditambah pula dengan penonton yang sangat sporting, riuh rendah jadinya Panggung Sari, Istana Budaya apabila ada watak lucu atau muzikal tari-menari. Tak lupa juga lakonan yang mencuit hati daripada Emelda Rosmila yang membawa watak sebagai 'mami jarum'. Kelakar sangat!



P/s: Apa yang boleh saya katakan usai menonton teater ini adalah : PERFECT!

Monday, 14 November 2011

Sebongkah Batu di Kuala Berang



Novel ini bukan sebarang novel. Terlalu sarat dengan kata-kata ilmiah. Biarpun tajuk berbunyi sejarah dan kajian, mengenai tokoh-tokoh sejarah, melibatkan banyak fakta tahun, lokasi dan nama-nama tokoh yang saya pun tak kenal, tetapi penulis berjaya menawan hati saya sehingga ke penghujung cerita. Seperti biasa, Faisal Tehrani memang suka meletakkan kata-kata semangat dan bahasa novelnya cukup indah. Serasa seperti saya menonton sebuah dokumentari drama!

Agak susah juga untuk saya menghabiskan pembacaan novel ini. Pada mulanya cerita agak bosan. Mengenai sekumpulan pelajar tahun akhir Akademi Seni Islam yang menjadikan sejarah batu bersurat sebagai doku-drama tugasan terakhir mereka. Saya tersangkut di suku novel agak lama. Namun, ada sesuatu yang menarik di pertengahan cerita apabila ada babak yang melibatkan beberapa pelakon popular tanah air. Secara tidak langsung, apabila membaca novel ini kita mempelajari sedikit sebanyak tentang dunia perfileman. 


Saya amat tertarik bagaimana penulis membuat kritikan terhadap beberapa orang selebriti tanah air yang pernah membuat heboh di negara ini beberapa ketika dahulu. Sebagai contoh:


"Saya rasa seperti bodoh makan cencaluk dan rasa lebih standard apabila makan spageti." Kata Sharifah Ezzati ketika menang Anugerah Pelakon Terbaik untuk filem Budu dahulu. (Halaman 28)


Rasanya, tak perlulah saya terangkan lagi siapakah selebriti tersebut. Semua orang tentu sudah tahu. Kerana mulut, badan binasa.


(Amat bersetuju dengan penulis yang mengatakan, ini adalah perang budaya. Mereka tidak boleh dihina tetapi dibimbing. Golongan seperti ini dianggap madh'u, iaitu sasaran dakwah bukannya musuh.)


Antara perkara lain yang perlu diberikan perhatian dalam novel ini adalah bagaimanakah caranya untuk menjadikan bidang perfileman sebagai satu wadah terbaik untuk berdakwah. Mamandangkan di Malaysia pada ketika ini terlalu sarat dengan filem-filem yang kebanyakannya meruntuh daripada membina seperti cerita seram, lumba haram, bohsia dan sebagainya, novel ini umpama hadir sebagai penyelamat industri filem di Malaysia.


"Sesungguhnya Kami menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu. Dan sesungguhnya kamu sebelum ini adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui." (Surah Yusuf, ayat 3)


Ayat ini menerangkan, Al-Quran amat mengalu-alukan kisah yang baik. Filem hendaklah mendorong renungan, bukan hiburan semata-mata.


Penulis menjelaskan Islam Tsaqafi bermaksud menghasilkan pementasan drama, muzik, filem dan karya sastera bagi mengisi dakwah Islam sebenar. Ini adalah pendekatan yang sudah dikenali oleh manusia zaman sekarang. Remaja sekarang hanya kenal media seni. Jadi kita kena kuasai media ini. Memasjidkan semua lapangan seni.

Melalui novel ini juga, saya menjadi taksub seketika dengan wali songo. Langsung, saya meminta bantuan Google dan membaca beberapa artikel yang berkaitan untuk mendapatkan sedikit sebanyak info mengenainya.

P/s: Rasa macam nak hadiahkan buku ni kepada Sharifah Amani lah!

Tuesday, 25 October 2011

Apa bestnya Big Bad Wolf Books?

Rasanya belum terlambat untuk saya bercerita tentang fenomena Big Bad Wolf Books (BBWB) yang melanda negara awal bulan yang lalu. Tak banyak yang mahu saya ceritakan kerana saya masih 'baru' dengan karnival buku ini. Saya haya tahu mengenai jualan gudang  BBWB melalui kakak dan status teman-teman yang sakan di facebook.

Bertempat di MAEPS Serdang, saya dah jangka mesti susah nak ke sana. Mujur menaiki kenderaan sendiri. Tak banyak yang saya beli. Cuma beberapa buku resepi buat kek dan sebuah buku motivasi dari Donald Trump. 

Jualan memang gila-gila murah! Jadi, tidak hairanlah kalau ada yang datang siap bawa troli atau bagasi untuk memborong buku. Saya yang baru pertama kali datang pun hampir terkejut macam nak pengsan melihat harga buku yang terlalu murah yang kebanyakannya buku-buku karya penulis dari luar negara.

Kalau korang semua nak tahu lebih lanjut, sila klik di sini.



P/s: Mujur tak bawak duit banyak. Kalau tidak, hujung bulan makan biskut lah nampaknya. (Tapi sebenarnya ralat sebab tak bawak duit lebih. *Lol!)

Saturday, 30 July 2011

Ramadhan yang dinanti...


Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Selain makan dan minum, umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengumpat dan bergaduh. Umat Islam juga digalakkan bersedekah, serta meningkat amal ibadah di sepanjang bulan yang penuh barakah ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya umatku tahu apa yang terkandung di dalam bulan Ramadhan, pasti mereka mahukan sepanjang tahun itu bulan Ramadhan.”


Ramadhan tiba lagi. Untuk Ramadhan kali ini, saya tidak dapat menyambutnya bersama keluarga di kampung. Memandangkan komitmen terhadap kerja yang bertalu-talu, memaksa saya untuk menyambutnya secara bersendirian. Tapi, tak mengapa saya sudah pernah merasakannya sewaktu menuntut ilmu di utara tanah air suatu ketika dahulu.

Saya mengharapkan Ramadhan kali ini adalah yang lebih baik daripada Ramadhan yang lalu. Semoga kita semua dapat memanfaat bulan yang penuh barakah ini dengan beribadah sebanyak mungkin. Inilah peluang terbaik untuk kita menambah amal dan bertaubat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” (Al-Baqarah 2:183)

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1432 H

Tuesday, 26 July 2011

Fanatik Harry Potter

Ini cerita tentang saya.

Kalau kamu semua bertanya kepada teman-teman rapat saya, sememangnya mereka tahu yang saya adalah seorang peminat fanatik Harry Potter sejak siri pertama filem ini ditayangkan.

Masih ingat lagi, ketika itu bulan Desember, musim perayaan kira-kira sepuluh tahun yang lalu, saya sanggup membatalkan hasrat untuk beraya bersama teman-teman semata-mata ingin menonton The Making of Harry Potter and The Sorcerer's Stone, iaitu filem pertama Harry Potter yang diadaptasi ke layar perak. Saya sangat teruja! 

Semasa di tingkatan satu, saya gemar beli dan kumpul buku-buku, majalah dan poster Harry Potter. Hampir setiap keratang akhbar yang tertera Harry Potter saya akan gunting dan tampal di dalam buku sekolah.

Saya masih ingat, Teacher Azlin, guru bahasa Inggeris ketika itu menyuruh pelajarnya menulis jurnal harian. Cerita apa saja yang kita mahu. Kebetulan ketika itu Harry Potter and The Prisoner of Azkaban kalau tak silap saya, sedang melanda pawagam. Jadi, saya menggunakan kesempatan ini untuk bercerita tentang Harry Potter. Sebab kawan-kawan yang lain tak ramai yang suka menonton Harry Potter. Jadi, saya tidak ada teman untuk berkongsi cerita tentang ini. Tiba hujung tahun, buku jurnal saya itu hilang. Saya hantar buku tersebut untuk dinilai, tetapi teacher saya mungkin tersalah letak, dan hilang sapai sekarang tak jumpa. Saya kecewa. Sebab di dalam buku tersebut saya tampal gambar Harry Potter yang cantik.

Masuk tingkatan lima, mula dah gatal. Berangan nak jumpa Daniel Radcliffe kat London konon. Haha! Sehingga terbawa ke dalam mimpi. Kononnya saya menang peraduan Harry Potter dan berpeluang menonton tayangan perdana bersama pelakon-pelakon Harry Potter di London.

Entah macam mana, suatu hari tu saya ke bilik guru. Tiba di satu meja guru tu, saya terpandang ada beberapa buah novel Harry Potter di atas meja cikgu tersebut. Cantik yang amat! Novel tu English version yang hard cover punya. Saya excited dapat pegang. Kemudian, saya pun berhasrat untuk memiliki kesemua novel Harry Potter. Hanya pada tahun 2007 hasrat itu terlaksana. Itupun secara berperingkat. Tak larat nak beli ketujuh-tujuh siri Harry Potter. Bankrup! 

Setelah membaca novel-novelnya, fahamlah keseluruhan cerita. Tak semua yang ada di alam novel tersebut ada di dalam movie. Jadi, kalau nak tahu keseluruhan cerita, bacalah novelnya terlebih dahulu. Dari situ, saya mula mnghafal beberapa jenis 'sumpahan' atau spell yang selalu diucapkan oleh Harry Potter. Seperti, Avada Kadavra, lumus, expelliarmus, expecto patronum, imperio dan banyak lagi. Kadang-kadang terpengaruh juga hingga terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Kata orang, tak elok disebut bimbang ia membawa makna yang tidak elok. Yalah, Harry Potter kan seorang ahli sihir. Bapa saya sendiri menegah saya membaca Harry Potter, katanya tidak berfaedah. Tetapi, saya ingat pesanan seorang teman, kalau buku itu seteruk manapun bahasa atau jalan ceritanya mengarut, bacalah ia hanya sebagai sebuah buku.



Sunday, 3 July 2011

KENTANG - Saharil Hasrin Sanin


Buku ini bukanlah sebuah novel atau sebuah cerita pendek mahupun antalogi puisi. Ia adalah himpunan contengan ilustrasi yang terdapat dalam sebuah blog milik penulisnya sendiri, Saharil Hasrin Sanin. 

Saya telah membaca separuh daripada buku ini semasa berada di dalam tren dari UKM menuju ke Seremban yang memakan masa hanya 45 minit. Buku ini ringan. Boleh dibaca di mana-mana jua anda berada. Di kedai makan, di atas pokok, ketika sedang beratur panjang untuk membeli burger atau apa saja keadaan sekalipun. Saya katakan begitu kerana buku ini tidak memerlukan pembacaan yang terlalu teliti. Ia sekadar ilustrasi seperti komik Ujang. Sangat kelakar. Bahasa yang sarkastik dan sinis. Siapa makan cili dia yang terasa pedas.


Tak sangka, kisah yang selalu diceritakan di blog akhirnya menjadi sebuah buku. Kalau macam tu, setiap blogger yang ingin terkenal, boleh la bukukan blog masing-masing. Hehe. Tapi dengan syarat, biarlah cerita yang bagus danbermutu. Tidaklah blog yang menjaja kisah peribadi tu nak dijadikan buku jugak. Agak-agak la kan? Apapun, ini suatu pendekatan yang baik. Semoga, Malaysia ni dapat melahirkan lebih ramai blogger yang berkualiti. Kalau saya bukukan blog saya ni, agak-agak ada orang nak beli tak? Haha!

Berbalik semula kisah Kentang. Saya suka kisah seorang bapa sedang membaca sisipan jawi akhbar Utusan Melayu. Situasi ini sehari selepas pemenang Juara Lagu diumumkan.

Katanya, "Mayat menang Juara Lagu?" Dia ulang lagi, "Mayat Uncle Husin menang Juara Lagu?" Dia tak puas hati dan membaca sekali lagi dengan kuat. "Mim ya ta...mayat kan?" Si anak yang mendengar ketawa terbahak-bahak!

Ha ha ha ha!

Kemudian, saya suka part dialog antara manusia dengan kerang. Halaman 136.

S: Terangkan sedikit tentang diri saudara.

J: "Nama saya kerang. Saya tinggal di tepi laut. Saya belum berkahwin tetapi memang berhasrat mahu berumahtangga dengan wanita idaman saya. Di waktu lapang saya suka mendengar muzik dan tersengih."

S: Tersengih macam mana yang saudara suka?

J: Tersengih macam kerang.

Ha ha ha!

Tetapi, ada juga beberapa halaman yang saya tak berapa nak faham. Contoh, ilustrasi gambar ayam, ABCD dan lain-lain. Buku ini telah memberitahu dan menunjukkan saya bagaipana rupanya ayam berak kapur. Ayam berak keluar kapur. Ha ha ha!

Serius kelakar. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai penulis, buku dan blognya, sila klik pautan ini: http://saharil.com/

P/s: AWAS! Buku ini mengandungi beberapa ilustrasi yang berbaur 18SX. Jadi, sila pantau anak-anak di bawah umur jika ingin membaca buku ini yang mungkin boleh dianggap komik seperti Kampung Boy. (Saya tak faham kenapa mesti ada unsur tersebut. Ops!)

Thursday, 23 June 2011

Karipap-karipap Cinta - Nazri M. Annuar

Setiap hari menunggu tren di stesen komuter untuk ke tempat kerja (beberapa hari yang lalu), telah membuatkan diri saya sering kali tersenyum dan dan ketawa sorang-sorang. Ada kalanya gelak saya terlepas secara spontan dan menyebabkan beberapa penumpang tren memandang ke arah saya. Ah! Malu, tetapi pedulikan. Macam tak biasa pula. Entah kenapa agaknya, novel kali ini kelakarnya luar biasa.

Novel hasil tulisan Nazri M. Annuar (http://www.dunia-vovin.com) bagi saya agak luar biasa. Memang betul la kata orang yang pakar buku, penulis buku perempuan dan lelaki sangat berbeza. Kita boleh kenal dengan hanya membaca buku dan boleh agak gaya penulisan kedua-dua gender ini. Jadi, untuk buku ini, gaya bahasa Vovin sangat lain daripada penulis yang lain. Kalau boleh dikategorikan novel 'gila-gila', saya mahu meletakkan penulis Hlovate dan Vovin. Dan antara Hlovate dan Vovin, mereka punya kekuatan tersendiri. 

Bercerita tentang novel Karipap-karipap Cinta, saya antara peminat fanatik novel ini. Sebab, saya asyik membaca ulasan di blog mereka-mereka yang sudah membaca, semuanya memberikan pujian. Sekarang, saya pula mahu memuji.

Ini kisah tentang Ali, yang wataknya biasa-biasa sahaja. Lelaki bujang, faham-faham sajalah. Nak mengurat Sarah yang tarafnya ibarat seorang ustazah. Dari sini saya faham, betapa lelaki macam Ali pun masih ada hati nak kan seorang perempuan seperti Sarah. Dan, gadis manis lepasan Al-Azhar seperti Sarah, boleh juga jatuh hati kepada Ali. Dipendekkan cerita, seorang rokers nak mengurat seorang ustazah. Siapa kata ustazah tak boleh bercinta dengan rokers? Tak semestinya ustazah mesti dengan ustaz. Lebih kurang begitulah kisah di dalam novel ini.

Bermaca-macam helah dan lawak antarabangsa, yang kalau baca boleh je gelak sampai hampir pecah perut. Tak percaya? Bacalah kalau nak tahu. Sejujurnya, novel ini sangat baguslah kalau lelaki nak baca, sebab saya rasa watak seperti Ali memang banyak kat Malaysia ni. Sesuailah untuk korang.

Selepas membaca, tahulah saya kenapa tajuknya Karipap-karipap Cinta. Selain watak Sarah yang suka makan karipap, tajuknyanya juga boleh dikaitkan dengan tajuk-tajuk novel karya Habiburahman El-Shirazy seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan lain-lain.Mungkin, Vovin sengaja beri tajuk begitu.

Untuk kamu semua, bacalah Karipap-karipap Cinta jika mahukan kelainan. Novel ini memang berbeza.

P/s: Suka dengan kata-kata Bart Rasta:

"Hidup adalah cinta,
cinta adalah jiwa,
jiwa adalah nyawa,
nyawa adalah manusia,
dan manusia adalah cinta.
Tanpa cinta, tiadalah kita,
kita wujud di dunia kerana cinta Tuhan,
tanpa cinta Tuhan, kita tiada makna,
tanpa makna, tiadalah cinta di dunia.
Tanpa cinta, tiadalah kita.
Tanpa kita, tiadalah cinta!"

Saturday, 7 May 2011

Sasaran 30 buah buku Goodreads saya



Saya telah menetapkan sasaran tersebut pada bulan Januari yang lalu. Sehingga hari ini saya baru hadam 7 daripada 30 buah buku. Ini bermakna, saya ada tujuh bulan lagi untuk menepati sasaran tersebut. Mujur saya tidak mensasarkan 50 buah buku. Saya membaca agak lambat dan suka bertangguh-tangguh.

Alasan yang munasabah? Komitmen kerjaya. Memang itulah alasan yang selalu orang bagi kalau tak sempat melakukan sesuatu. Kerja kerja kerja. Padahal boleh je bahagikan masa. Malam kan ada. Hujung minggu juga ada. Malam letih la, nak berehat dan tidur. Ah! Boleh je kalau luangkan sedikit masa, bukan?

Selepas PBAKL, azam saya semakin membuak-buak. Sasaran 30 buah buku itu menjadi semakin teguh. Ini kerana buku-buku yang saya beli di PBAKL sangat-sangatlah menarik dan perlu dibaca secepat mungkin. Mungkin benar kata seorang teman, kalau rasa bosan membaca satu buah buku pada satu-satu masa, bacalah dua tiga buah buku pada satu masa. Saya sudah cuba dan berjaya. Saya berharap penghujung bulan Disember nanti saya boleh baca lebih daripada 30 buah buku. Ok, berusaha!

Sunday, 10 April 2011

Bedar Sukma Bisu by Faisal Tehrani

Kisah tentang sebuah semenanjung emas. Tanahnya emas, lautannya perak berkilauan. Ada pohon dan tanam-tanaman. Ada hujan menyegarkan. Ada sungai-sungai mengalir perlahan. Ada awan-gemawan melitupi meneduhkan. Ada laut bergelora permukaan tetapi tenang di dalam.

Membaca novel ini sama keadaannya seperti saya membaca novel Imam dahulu.  Agak lambat saya hayati. Bahasanya mudah tetapi penceritannya sedikit berat. Apatah lagi untuk saya yang tidak tahu apa itu bedar. Sehinggakan, saya bertanya kepada kakak. Apa itu bedar? Rupanya, adik-beradik perahu, kapal atau sampan.

Cerita ini terlalu sarat dengan bedar. Tentang keluarga Wefada yang menjadikan bedar sebagai ekonomi keluarga. Novel ini lebih banyak membicarakan tentang konsep ekonomi. Ada juga bahagian yang saya skip, sebab tak faham. Cuma sedikit faham mengenai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebab dulu pernah belajar. Apapun, saya cuba untuk menghabiskannya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya serabut mengenai kedudukan watak dan bab.  Sebagai contoh, bab satu cerita sedikit tentang nenek Wefada, iaitu Tengku Fatimah. Kemudian, bab dua cerita tentang Elamine. Lepas tu masuk pula Muawiyah, Waqeel, Marwan, Chen, Ben Qortubi dan lain-lain watak. Sehinggakan saya terpaksa membuat mind-map untuk susun semula salasilah keluarga Wefada.

Apa yang saya suka adalah ketika membaca mengenai kesuburan tanah di Semenanjung Emas iaitu Malaysia. Mengulang kembali ingatan saya terhadap sejarah Melaka. Ketika membaca novel ini, filem Hikayat Merong Mahawangsa sedang hangat ditayangkan. Dan secara kebetulan juga saya terjumpa persamaannya iaitu Semenanjung Emas dan bedar.

Ceritanya memang bagus. Saya kagum dengan Dr. Faisal Tehrani kerana setiap buah tangannya pasti bukan yang calang-calang. Semestinya sesuatu yang excellent. Jadi, tak hairanlah kalau novel ini memenangi tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.


"Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang bertaqwa dan yang kaya" (Riwayat Saad bin Abi Waqqas, halaman 98)

"Nabi Muhammad yang pintar berniaga dan tidak pernah menolak kekayaan sebagai satu unsur penting dalam dakwah dan jihad." (halaman 180)

P/s: Jadi, tak salah kalau nak kaya, asalkan jangan sombong dan kedekut.