Sunday, 3 July 2011

KENTANG - Saharil Hasrin Sanin


Buku ini bukanlah sebuah novel atau sebuah cerita pendek mahupun antalogi puisi. Ia adalah himpunan contengan ilustrasi yang terdapat dalam sebuah blog milik penulisnya sendiri, Saharil Hasrin Sanin. 

Saya telah membaca separuh daripada buku ini semasa berada di dalam tren dari UKM menuju ke Seremban yang memakan masa hanya 45 minit. Buku ini ringan. Boleh dibaca di mana-mana jua anda berada. Di kedai makan, di atas pokok, ketika sedang beratur panjang untuk membeli burger atau apa saja keadaan sekalipun. Saya katakan begitu kerana buku ini tidak memerlukan pembacaan yang terlalu teliti. Ia sekadar ilustrasi seperti komik Ujang. Sangat kelakar. Bahasa yang sarkastik dan sinis. Siapa makan cili dia yang terasa pedas.


Tak sangka, kisah yang selalu diceritakan di blog akhirnya menjadi sebuah buku. Kalau macam tu, setiap blogger yang ingin terkenal, boleh la bukukan blog masing-masing. Hehe. Tapi dengan syarat, biarlah cerita yang bagus danbermutu. Tidaklah blog yang menjaja kisah peribadi tu nak dijadikan buku jugak. Agak-agak la kan? Apapun, ini suatu pendekatan yang baik. Semoga, Malaysia ni dapat melahirkan lebih ramai blogger yang berkualiti. Kalau saya bukukan blog saya ni, agak-agak ada orang nak beli tak? Haha!

Berbalik semula kisah Kentang. Saya suka kisah seorang bapa sedang membaca sisipan jawi akhbar Utusan Melayu. Situasi ini sehari selepas pemenang Juara Lagu diumumkan.

Katanya, "Mayat menang Juara Lagu?" Dia ulang lagi, "Mayat Uncle Husin menang Juara Lagu?" Dia tak puas hati dan membaca sekali lagi dengan kuat. "Mim ya ta...mayat kan?" Si anak yang mendengar ketawa terbahak-bahak!

Ha ha ha ha!

Kemudian, saya suka part dialog antara manusia dengan kerang. Halaman 136.

S: Terangkan sedikit tentang diri saudara.

J: "Nama saya kerang. Saya tinggal di tepi laut. Saya belum berkahwin tetapi memang berhasrat mahu berumahtangga dengan wanita idaman saya. Di waktu lapang saya suka mendengar muzik dan tersengih."

S: Tersengih macam mana yang saudara suka?

J: Tersengih macam kerang.

Ha ha ha!

Tetapi, ada juga beberapa halaman yang saya tak berapa nak faham. Contoh, ilustrasi gambar ayam, ABCD dan lain-lain. Buku ini telah memberitahu dan menunjukkan saya bagaipana rupanya ayam berak kapur. Ayam berak keluar kapur. Ha ha ha!

Serius kelakar. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai penulis, buku dan blognya, sila klik pautan ini: http://saharil.com/

P/s: AWAS! Buku ini mengandungi beberapa ilustrasi yang berbaur 18SX. Jadi, sila pantau anak-anak di bawah umur jika ingin membaca buku ini yang mungkin boleh dianggap komik seperti Kampung Boy. (Saya tak faham kenapa mesti ada unsur tersebut. Ops!)

Thursday, 23 June 2011

Karipap-karipap Cinta - Nazri M. Annuar

Setiap hari menunggu tren di stesen komuter untuk ke tempat kerja (beberapa hari yang lalu), telah membuatkan diri saya sering kali tersenyum dan dan ketawa sorang-sorang. Ada kalanya gelak saya terlepas secara spontan dan menyebabkan beberapa penumpang tren memandang ke arah saya. Ah! Malu, tetapi pedulikan. Macam tak biasa pula. Entah kenapa agaknya, novel kali ini kelakarnya luar biasa.

Novel hasil tulisan Nazri M. Annuar (http://www.dunia-vovin.com) bagi saya agak luar biasa. Memang betul la kata orang yang pakar buku, penulis buku perempuan dan lelaki sangat berbeza. Kita boleh kenal dengan hanya membaca buku dan boleh agak gaya penulisan kedua-dua gender ini. Jadi, untuk buku ini, gaya bahasa Vovin sangat lain daripada penulis yang lain. Kalau boleh dikategorikan novel 'gila-gila', saya mahu meletakkan penulis Hlovate dan Vovin. Dan antara Hlovate dan Vovin, mereka punya kekuatan tersendiri. 

Bercerita tentang novel Karipap-karipap Cinta, saya antara peminat fanatik novel ini. Sebab, saya asyik membaca ulasan di blog mereka-mereka yang sudah membaca, semuanya memberikan pujian. Sekarang, saya pula mahu memuji.

Ini kisah tentang Ali, yang wataknya biasa-biasa sahaja. Lelaki bujang, faham-faham sajalah. Nak mengurat Sarah yang tarafnya ibarat seorang ustazah. Dari sini saya faham, betapa lelaki macam Ali pun masih ada hati nak kan seorang perempuan seperti Sarah. Dan, gadis manis lepasan Al-Azhar seperti Sarah, boleh juga jatuh hati kepada Ali. Dipendekkan cerita, seorang rokers nak mengurat seorang ustazah. Siapa kata ustazah tak boleh bercinta dengan rokers? Tak semestinya ustazah mesti dengan ustaz. Lebih kurang begitulah kisah di dalam novel ini.

Bermaca-macam helah dan lawak antarabangsa, yang kalau baca boleh je gelak sampai hampir pecah perut. Tak percaya? Bacalah kalau nak tahu. Sejujurnya, novel ini sangat baguslah kalau lelaki nak baca, sebab saya rasa watak seperti Ali memang banyak kat Malaysia ni. Sesuailah untuk korang.

Selepas membaca, tahulah saya kenapa tajuknya Karipap-karipap Cinta. Selain watak Sarah yang suka makan karipap, tajuknyanya juga boleh dikaitkan dengan tajuk-tajuk novel karya Habiburahman El-Shirazy seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan lain-lain.Mungkin, Vovin sengaja beri tajuk begitu.

Untuk kamu semua, bacalah Karipap-karipap Cinta jika mahukan kelainan. Novel ini memang berbeza.

P/s: Suka dengan kata-kata Bart Rasta:

"Hidup adalah cinta,
cinta adalah jiwa,
jiwa adalah nyawa,
nyawa adalah manusia,
dan manusia adalah cinta.
Tanpa cinta, tiadalah kita,
kita wujud di dunia kerana cinta Tuhan,
tanpa cinta Tuhan, kita tiada makna,
tanpa makna, tiadalah cinta di dunia.
Tanpa cinta, tiadalah kita.
Tanpa kita, tiadalah cinta!"

Saturday, 7 May 2011

Sasaran 30 buah buku Goodreads saya



Saya telah menetapkan sasaran tersebut pada bulan Januari yang lalu. Sehingga hari ini saya baru hadam 7 daripada 30 buah buku. Ini bermakna, saya ada tujuh bulan lagi untuk menepati sasaran tersebut. Mujur saya tidak mensasarkan 50 buah buku. Saya membaca agak lambat dan suka bertangguh-tangguh.

Alasan yang munasabah? Komitmen kerjaya. Memang itulah alasan yang selalu orang bagi kalau tak sempat melakukan sesuatu. Kerja kerja kerja. Padahal boleh je bahagikan masa. Malam kan ada. Hujung minggu juga ada. Malam letih la, nak berehat dan tidur. Ah! Boleh je kalau luangkan sedikit masa, bukan?

Selepas PBAKL, azam saya semakin membuak-buak. Sasaran 30 buah buku itu menjadi semakin teguh. Ini kerana buku-buku yang saya beli di PBAKL sangat-sangatlah menarik dan perlu dibaca secepat mungkin. Mungkin benar kata seorang teman, kalau rasa bosan membaca satu buah buku pada satu-satu masa, bacalah dua tiga buah buku pada satu masa. Saya sudah cuba dan berjaya. Saya berharap penghujung bulan Disember nanti saya boleh baca lebih daripada 30 buah buku. Ok, berusaha!

Sunday, 10 April 2011

Bedar Sukma Bisu by Faisal Tehrani

Kisah tentang sebuah semenanjung emas. Tanahnya emas, lautannya perak berkilauan. Ada pohon dan tanam-tanaman. Ada hujan menyegarkan. Ada sungai-sungai mengalir perlahan. Ada awan-gemawan melitupi meneduhkan. Ada laut bergelora permukaan tetapi tenang di dalam.

Membaca novel ini sama keadaannya seperti saya membaca novel Imam dahulu.  Agak lambat saya hayati. Bahasanya mudah tetapi penceritannya sedikit berat. Apatah lagi untuk saya yang tidak tahu apa itu bedar. Sehinggakan, saya bertanya kepada kakak. Apa itu bedar? Rupanya, adik-beradik perahu, kapal atau sampan.

Cerita ini terlalu sarat dengan bedar. Tentang keluarga Wefada yang menjadikan bedar sebagai ekonomi keluarga. Novel ini lebih banyak membicarakan tentang konsep ekonomi. Ada juga bahagian yang saya skip, sebab tak faham. Cuma sedikit faham mengenai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebab dulu pernah belajar. Apapun, saya cuba untuk menghabiskannya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya serabut mengenai kedudukan watak dan bab.  Sebagai contoh, bab satu cerita sedikit tentang nenek Wefada, iaitu Tengku Fatimah. Kemudian, bab dua cerita tentang Elamine. Lepas tu masuk pula Muawiyah, Waqeel, Marwan, Chen, Ben Qortubi dan lain-lain watak. Sehinggakan saya terpaksa membuat mind-map untuk susun semula salasilah keluarga Wefada.

Apa yang saya suka adalah ketika membaca mengenai kesuburan tanah di Semenanjung Emas iaitu Malaysia. Mengulang kembali ingatan saya terhadap sejarah Melaka. Ketika membaca novel ini, filem Hikayat Merong Mahawangsa sedang hangat ditayangkan. Dan secara kebetulan juga saya terjumpa persamaannya iaitu Semenanjung Emas dan bedar.

Ceritanya memang bagus. Saya kagum dengan Dr. Faisal Tehrani kerana setiap buah tangannya pasti bukan yang calang-calang. Semestinya sesuatu yang excellent. Jadi, tak hairanlah kalau novel ini memenangi tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.


"Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang bertaqwa dan yang kaya" (Riwayat Saad bin Abi Waqqas, halaman 98)

"Nabi Muhammad yang pintar berniaga dan tidak pernah menolak kekayaan sebagai satu unsur penting dalam dakwah dan jihad." (halaman 180)

P/s: Jadi, tak salah kalau nak kaya, asalkan jangan sombong dan kedekut.

Wednesday, 30 March 2011

Novel Siri Detektif Indigo: Ikan fugu, Lukisan & Jimson

Novel Siri Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisan & Jimson merupakan kesinambungan novel HSKU, Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Kalau dulu, saya memberikan lima bintang untuk Detektif Indigo. Tetapi kali ni saya hanya memberikan empat sahaja. Kerana, kebanyakan watak perwatakan sudah diketahui. Jadi, tidak ada apa yang mengujakan mengenai watak. Jalan cerita juga agak ringkas berbanding novel yang pertama.
Baiklah. Bercerita tentang novel ini, ia terbahagi kepada tiga bahagian atau tiga kes penyiasatan. Pertama penyiasatan tentang ikan fugu (sejenis ikan yang berasal dari Jepun), yang melibatkan Chen-chung, Faruq, Ruzbihan dan Isamu. Kedua, penyiasatan tentang kecurian lukisan untuk pameran yang melibatkan Mihrimah Maryam. Manakala Rabiah Zaitun pula mengendalikan kes penyiasatan berkenaan Jimson. Pada mulanya saya menyangkakan Jimson adalah nama orang, tetapi ia sebenarnya adalah sejenis teh. Teh yang ada kesan dadah dan boleh menyebabkan penggunanya mengalami halusinasi bunyi, lupa, selain suhu badan naik mendadak juga boleh mengalami photofobia, takut dengan cahaya. Kesemua detektif indigo terpaksa mengorbankan beberapa hari cuti sekolah mereka untuk menjadi penyiasat.
Daripada ketiga-tiga kes, saya dapati penyiasatan tentang ikan fugu yang lebih menarik perhatian. Kerana, penyiasatannya lebih dramatik melibatkan empat orang detektif indigo.
Untuk novel kali ini, watak kegemaran saya, Faruq tidak banyak mengeluarkan fakta ‘Tahukah Anda’ yang menarik atau kelakar. Mungkin kerana fakta-fakta menarik itu telah banyak dicurahkan untuk Detektif Indigo yang pertama. Namun fakta-fakta ini tetap mampu membuatkan pembaca mengukir senyuman.
Sebagai contoh, tahukah anda mesin elekteonsefalograf  akan mengalirkan satu gelombang elektrik yang dapat mengesan sebarang penipuan yang dilakukan pada otak?
Atau, tahukah anda dalam tahun 1971 sebuah syarikat makanan segera Bon Vivant telah jatuh bangkrap kerana seorang pelanggannya meninggal dunia akibat keracunan botulinum yang terdapat di dalam sup segera vichyssoise?
Atau, tahukah anda takifugu rubripes (ikan fugu) ikan dengan bibir tebal sebenarnya mengandungi tetrodotoxin.
Atau, tahukah anda dalam tahun 1776 Paul Revere mengecam mayat Joseph Warren sepuluh bulan selepas dikebumikan menerusi giginya?
Atau, tahukah anda permaidani Parsi mengandungi kira-kira sejuta ikatan dalam setiap  tiga kaki persegi, warna dan kualitinya hanya akan luntur selepas lima ratus tahun.
Selain itu, di dalam novel ini juga saya jumpa banyak perkataan saintifik yang sukar untuk disebut. Seperti, elektreonsefalograf, subdural hematoma, vichyssoise dan tetrodotoxin.
Dan perkataan yang paling unik dan paling susah untuk disebut di dalam novel ini adalah, Llanfairpwllqwyngyllgogerychwyrndrobwllllantysiliogogogoch iaitu nama tempat yang diketahui paling panjang di bumi ini yang terletak di barat laut Wales, United Kingdom. Tetapi selalunya orang menyebut sebagai Llanfair PG saja.
Macam mana? Cuba anda sebut dengan sekali lafaz sahaja. Hehe…berbelit lidah bukan? Kesimpulannya, biarpun ratingnya sedikit jatuh daripada novel yang pertama, namun jalan ceritanya tetap menarik dan mampu memberikan manfaat kepada pembaca. Saya akan baca Detektif Indigo Kembali pula selepas ini.

Thursday, 24 March 2011

Anda adalah apa yang anda baca

Dia suka baca komik. Patut la perangai dia juga seperti kartun. Oh, dia sangat jiwang sebab dia sangat suka baca novel cinta terbitan Alaf 21. Kamu lihat dia serius bukan? Sebab dia lebih banyak membaca buku sastera berbanding novel-novel biasa. Tahu sajalah, novel sastera kan novel untuk golongan orang tua. Dia tu, sangat suka berimaginasi dan berfantasi. Nak tahu kenapa? Sebab dia suka sangat membaca novel bersiri Harry Potter.

Yang mana satukah anda? Saya....semua! Boleh jadi perangai saya seperti Detektif Conan untuk beberapa ketika setelah membaca novel Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Boleh juga jadi, perangai saya suka berimaginasi, kononnya boleh merubah masa sekarang kepada 20 tahun akan datang atau 20 tahun yang lampau setelah membaca novel bersiri Harry Potter. Mungkin, saya akan termimpikan jejaka kacak lagi bergaya menaiki BMW 5 series setelah tidak tidur semalaman dek penangan novel cinta Alaf 21. Ataupun, saya menjadi seorang yang sangat puitis dalam berkata-kata selepas membaca karya sastera seperti novel Imam karya Abdullah Hussain. Kadang-kadang saya juga teringin nak menjadi watak gila-gila seperti novel karangan Hlovate.

Ah! Sangat tidak tetap pendirian. Kita tidak boleh menilai seseorang itu daripada apa yang dia baca. Boleh jadi, seseorang itu tidaklah seburuk kartun. Mungkin dia seorang yang serius, tetapi oleh kerana minatnya ke arah komik kita pula menggelarkannya kartun. Seperti yang saya terangkan di atas, keadaan minat saya berubah-ubah. Mengikut jenis pembacaan. Di sini jelas menunjukkan, pembacaan yang bagus adalah pembacaan yang memberikan kesan yang mendalam terhadap pembaca.

Saya selalu juga mendengar kata-kata seperti: "Tak bosan ke baca buku sastera? Tak cool langsung!"
Atau, "Kau ni suka sangat baca novel islami, tak masuk la dengan aku"

Oh, saya sangat berkecil hati dengan kata-kata seumpama itu. Belum cuba, belum tahu. Bukan apa, saya cuma mahu kawan saya beralih sedikit daripada pembacan yang sama. Sebab itu saya memberinya pinjam buku-buku seperti itu. Selepas seminggu, dia pulangkan semula. Katanya, "Aku tak bacapun. Tengok cover pun dah tahu tak best."

Hello, novel Tunggu Teduh Dulu pun cerita tentang cinta. Konserto Terakhir yang kau baca sampai keluar air mata dan hingus semasa di tingkatan lima dulupun adalah novel karya Sasterawan Negara.

Aduhai, bagaimana agaknya ya nak merubah persepsi sesetengah masyarakat Malaysia ni agar membaca bahan bacaan yang bermanfaat dan memberi kebaikan kepada diri sendiri?

Jadi, kalau anda nak berubah. Berubahlah dengan pembacaan. Jadilah apa saja yang kamu mahu jadi. Apa salahnya sesekali tu tukar selera. Orang jahat juga boleh berubah menjadi alim setelah membaca buku.

P/s: Ini adalah pandangan saya yang bukan pakar. Jadi, kalau ada yang tidak bersetuju silalah suarakan.

Sunday, 13 March 2011

Sedetik Lebih --> Lagu berhantu


Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu
Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu
Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa
Kasihku…ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya
Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu
Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu
Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa
Kasihku…ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya

Friday, 18 February 2011

Projek Tunas Mekar



Alhamdulillah. Setelah berkali-kali memohon, akhirnya saya diterima sebagai perunding muda atau lebih tepat lagi perantis Projek Tunas Mekar Negeri Selangor untuk siri ketiga. Saya sangat berbesar hati dan sukacita dengan perlantikan ini.

Projek Tunas Mekar merupakan satu program perantis keusahawanan yang melibatkan graduan terpilih ditempatkan bersama pengusaha kecil dan sederhana (IKS) yang sesuai dan mengikut bidang yang diminati oleh graduan. Seorang pensyarah UiTM akan ditugaskan menjadi kaunselor perniagaan kepada graduan dan pengusaha tersebut. Pengusaha adalah pemilik perniagaan.

Objektif utama projek ini adalah graduan dan pengusaha akan membantu meningkatkan prestasi perniagaan pengusaha dan pengusaha pula dapat membantu graduan mendapatkan pengalaman praktikal dalam dunia perniagaan. Win-win concept macam tu. Saya berharap sangat pengusaha saya nanti seorang yang tidak lokek ilmu dan boleh memberi tunjuk ajar kepada saya.

Pengambilan graduan Tunas Mekar setiap tahun tak ramai. Untuk Negeri Selangor saja hanya 38 orang. Jadi, sesiapa yang diterima tu memang bertuah. Gunakanlah peluang yang ada ni sebaik mungkin. Syarat-syarat untuk mengikuti projek ini tak banyak. Anda mestilah seorang pemegang Diploma atau Ijazah dari mana-mana universiti yang diiktiraf. Sepanjang tempoh satu tahun, graduan akan diberi elaun sebanyak RM800.

Saya telah terpilih untuk mengikuti projek usahawan ini di Selangor memandangkan permohonan di Negeri Sembilan belum dibuka. Apa yang saya minat? Saya berminat dalam bidang kek dan roti. Jadi, saya telah di tempatkan bersama seorang pengusaha kedai kek di Padang Jawa, Shah Alam.

Projek Tunas Mekar dijalankan selama setahun. Untuk tahun ini bermula 16 Februari 2011 hingga 15 Februari 2012. Jadi, selama setahun saya akan menuntut ilmu untuk menjadi seorang usahawan.  Namun,  graduan boleh mula berniaga selepas enam bulan jika mahu.

Kenapa nak jadi usahawan? Sebab saya dah fade-up mintak kerja! Sudah hampir dua tahun graduate tetapi saya masih belum punya kerja tetap. Ini sajalah peluang yang saya ada untuk meningkatkan prestasi diri. Kepada kawan-kawan sila berikan sokongan moral kepada saya untuk meneruskan projek ini okay. 

Jadi, selama setahun ni saya nak buat projek usahawan. Segala urusan yang tidak berkaitan akan ditangguhkan buat sementara waktu. Sekian...

Untuk informasi lebih lanjut: http://tunasmekar.uitm.edu.my/

Monday, 31 January 2011

Detektif Indigo dan sixth sense

Membaca Detektif Indigo ibarat saya menonton Detective Conan versi Bahasa Melayu. Membaca Detektif Indigo juga membuatkan saya berfikir, ini adalah bayangan Harry Potter. Dan, membaca Detektif Indigo saya mengimaginasikan bahan-bahan forensik yang diceritakan adalah seperti dalam drama TV CSI.

Ya, sememangnya novel ini memerlukan kita untuk berimaginasi. Cuba untuk merasai apa yang mereka (iaitu remaja indigo atau remaja yang punya deria keenam) fikirkan. Tabik spring kepada penulis, Dr Faisal Tehrani, kerana berjaya membuatkan saya berfikir secara luar biasa.

Novel ini menceritakan tentang remaja indigo iaitu remaja yang mempunyai deria keenam. Menurut Dr. Dilaysu dalam novel ini, remaja indigo ialah remaja yang memiliki tahap IQ melebihi 120. Sifat dan perangai manusia boleh dikaitkan dengan medan elektromangetik tertentu, atau medan tenaga. Setiap manusia ada warna khas dan warna indigo adalah gabungan biru dan nila. Warna indigo dikaitkan dengan deria keenam. The sixth sense. Warna ini dapat dikesan di antara dahi dan kedua-dua alis mata. Salah seorang remaja dalam novel ini yang mempunyai tahap IQ yang tertinggi ialah Chen-chung iaitu 357.

IQ luar biasa dan deria keenam menjadikan mereka detektif indigo. Mereka mempunyai kebolehan bertelepati. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, telepati bermaksud perhubungan fikiran, perasaan dan sebagainya secara langsung antara minda seseorang dengan minda seorang yang lain tanpa melalui deria yang biasa. Tetapi, saya tak jumpa maksud perkataan 'indigo' selain bahan pewarna biru.

Mereka, remaja indigo ini seramai enam orang, bersatu dan dilatih bukan semata-mata untuk memperalat ilmu dan teknologi bahkan menjelmakan adab dan akhlak berteraskan iman dan takwa.

Saya jarang menonton Detective Conan. Sekadar menontonnya bersama adik. Ceritanya sama saja, mengenai budak-budak penyiasat ala CSI. Kebolehan untuk berhubung secara luar biasa. Kita dapat menerokai alam sains, kimia, fizik dan seangkatan dengannya.

Bayangan Harry Potter. Saya rasa, novel ini lebih islamik sifatnya dan berpijak di bumi yang nyata. Jika Harry Potter menampilkan latar belakang fantasi magis, Detektif Indigo pula datang dari arah yang bertentangan sama sekali. Penulis menggunakan pendekatan yang berbeza dari JK Rowling. Kisah Detektif Indigo bersandarkan realiti dan penyelidikan. Yalah, Harry Potter itu cerita orang putih. Ini cerita orang Melayu. Sesuailah untuk bacaan kita.

Saya tidak pasti bahawa novel yang saya baca adalah novel rekaan semata-mata dan bukanlah suatu yang ‘real’. Dari muka ke muka, helaian demi helaian yang dibaca tidak langsung menunjukkan bahawa ini adalah suatu cereka. Mujur penulis menyatakan pendirian di akhir babak bahawa novel tersebut adalah rekaan semata-mata. Fuhhh! Penat saya Google Maktab Rendah Remaja Indigo. Memang patutlah tak jumpa. Hehe.

Saya amat tertarik dengan watak Faruq atau digelar “Si Tahukah Anda?” oleh teman-teman. Antara info yang menarik:

-  Tahukah anda, jantung manusia mempunyai tekanan yang boleh memancutkan drah setinggi 9 meter?
-  Tahukah anda, menghidu pisang, bukan memakannya, boleh menolong mengurangkan berat badan?
-  Ikan lumba-lumba tidur dengan sebelah mata terbuka.
-  Lipas boleh hidup untuk beberapa minggu lagi meskipun kepalanya telah putus.
-  Semut mengeliat setiap kali bangun daripada tidur. 
-  Secara purata manusia bermimpi sebanyak 1460 kali dalam setahun. 
-  Gajah ialah mamalia yang tidak boleh melompat.

Babak yang paling saya suka di halamaan 80:

Faruq menunduk, (selepas dimarahi oleh Mihrimah) bersuara perlahan. "Tahukah anda serbuk teh di China berjumlah kira-kira 317 ribu tan?"

Kata ibu Faruq, sekiranya dimarahi, Faruq mudah merajuk dan dia akan mula menyebut pelbagai fakta "Tahukah Anda". 

Oh, saya sangat suka babak ini. Sangat menarik dan lucu bukan? Terlalu banyak fakta yng mahu saya kongsikan. Tetapi, bimbang anda bosan membaca entri saya yang berjela-jela. Ok, kalau nak tahu lebih lanjut, sila dapatkan novel ini di pasaran. Murah saja, tak mahal. Apa salahnya berbelanja untuk mendapatkan ilmu, kan?

p/s: Selepas ini nak baca Detektif Indigo Kembali dan Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisn & Jimson.

Wednesday, 26 January 2011

Jutawan Blog?

Anda boleh jadi jutawan jika anda memiliki blog? Boleh percaya ke?

Tentu ramai yang terkejut setelah membaca muka hadapan akhbar Berita Minggu (BM) Ahad lalu. Tentang seorang blogger boleh untung RM1 juta hanya dengan menulis blog. Saya tak baca berita lain dulu, terus sambar berita seperti di muka hadapan.

Oo...bukanlah jutawan pun. Itu anggaran secara purata saja. Mustahil kamu boleh menjadi jutawan dengan menulis blog saja. Mustahil! Kecuali jika kamu memang seorang businessman atau seorang penulis buku bestseller. Itu memang tidak dinafikan.

Blogger seperti yang diceritakan di dalam BM tersebut adalah seorang wanita dan juga seorang ibu. Blog http://redmummy.com/ telah mendapat perhatian seluruh negara. Ya, saya telah melawat blog beliau. Memang aktif. Tetapi, bagi saya blog Red Mummy itu sama saja seperti blog orang lain. Membaca ceritanya kadang ada yang sama dengan orang lain. Iaitu menjaja kisah peribadi. Perihal kehidupan seharian. Apa yang menguntungkannya sebenarnya adalah Nuffnang! Dia dapat duit bukan hasil jualan barang atau apa pun. Dia dapat duit sebab Nuffnang yang beri.

Apa itu Nuffnang? Nuffnang itu adalah komuniti pengiklanan blog. Blog kita boleh memaparkan iklan berasaskan grafik daripada pihak pengiklan. Contohnya seperti Nokia, Nike, Nestle dan banyak lagi. Jadi, blog kita menjadi perantara untuk Nuffnang menyampaikan berita/iklan kepada pembaca blog. Lebih ramai follower sesebuah blog bermaksud lebih popularlah sesuatu blog itu. Jadi, bila dah ramai follower, Nuffnang akan beri blogger tersebut upah berbentuk cek. Maka, dengan itulah mereka digelar 'Buat Duit Dengan Blog'. 

Faham? 

Saya pun sebenarnya baru saja faham selepas diceritakan oleh seorang teman. Untuk maklumat lebih mendalam, sila baca di laman web Nuffnang. Anda tentu juga perlukan duit bukan? Materialistik! Seperti saya. Haha. Siapa yang tidak mahu duit? Jadi, berusahalah menjadi jutawan. Ingat, berwaspadalah dengan setiap entri yang dimasukan. Berikanlah maklumat yang bermanfaat untuk semua. Mereka dapat ilmu, anda dapat pahala. Janganlah dok merapu dengan entri yang tidak berfaedah.

Tetapi, saya sedikit ragu-ragu dengan sumber pendapatan tersebut. Nanti saya tanyakan kepada ustaz ok. 

p/s: Selamat menjadi jutawan blog!

Wednesday, 19 January 2011

Goodreads


Sejak menyertai grup 'ulat buku' Goodreads, minat saya untuk membaca menjadi semakin bertambah-tambah. Kalau dahulu saya paling susah nak menghabiskan bacaan dalam masa yang singkat, contohnya dua hari, walaupun buku tersebut tidaklah tebal mana, cuma 180 halaman. Tetapi, sejak saya masuk Goodreads, saya semakin rajin membaca. Saya boleh menghabiskan bacaan 180 halaman dalam masa 2 hari. (Jangan gelak okey. Saya tahu anda boleh menghabiskannya dalam masa setengah hari). Hal ini terjadi kerana beberapa perkara:

1. Saya jelous melihat teman-teman Goodreads yang meng'update' status mereka setiap hari.
2. Saya rasa nak lawan mereka yang telah ada lebih 100 buah buku di dalam rak. (Owh, rak buku saya cuma ada 29 buah buku sehingga 19 Januari 2011).
3. Seronok dapat berkongsi buku dengan teman-teman. Kita boleh melihat buku apa yang mereka baca. Boleh review buku mana yang saya berkenan berdasarkan bacaan dan pendapat mereka.
4. Dapat berkongsi topik hangat dan berdiskusi semua tentang buku di Goodreads Malaysia.
5. Kenalan baharu mambuatkan kita boleh berfikiran lebih jauh kerana dapat berjumpa kawan-kawan 'ulat buku' dari seluruh Malaysia. Luar negara pun ada. Ini dapat meluaskan pengetahuan terhadap apa yang mereka baca.

Kepada teman-teman yang belum mendaftar sebagai ahli Goodreads, segeralah berbuat demikian. Percayalah anda tidak akan rugi atau menyesal. Mari kawan-kawan, tambah saya sebagai kenalan di Goodreads!