Thursday, 26 August 2010

Tarawih + kekenyangan + mengantuk= ?


Apabila Ramadhan menjelma, umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa. Selain berpuasa, satu lagi amalan yang dituntut adalah solat sunat terawih. Mari saya terangkan, apa itu solat tarawih sebelum bercerita lebih lanjut.


Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.


Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.


Sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan:

"Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."


Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:


"Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan."

(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga. Ingat ya, sekadar dapat memberi tenaga bukan mengikut nafsu. Jadi, kesimpulannya perkara inilah yang boleh menyebabkan seseorang itu merasa kekenyangan dan mengantuk ketika menunaikan solat sunat terawih. Berbukalah dengan mengikut kadar kemampuan. Lebih afdal lagi, berbuka mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu makan tiga biji kurma.

Selepas ini, jangan la mengantuk ketika terawih lagi ya?

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_Sunat_Tarawih

Saturday, 14 August 2010

Ramadhan Pertama


Dulu, masa di tahun-tahun akhir ketika menuntut di UiTM Kedah, saya pernah membuat pengumuman di laman Friendster (yang kini sudah tidak berapa aktif), tentang Ramadhan Terakhir. Ramadhan terakhir kami sebagai pelajar di sana. Pengumuman saya mendapat respon yang pelbagai daripada kawan-kawan. Tetapi pada hari ini, Ramadhan kali ini saya ingin membuat pengumuman baharu tentang Ramdhan Pertama pula. Orang selalu kata, tanpa permulaan tidak mungkin akan ada pengakhiran bukan? Tetapi kali ini, dengan pegakhiranlah saya ketemu permulaan.

Ramadhan Pertama mungkin boleh jadi tahun lepas, memandangkan saya sudah grad penghujung Mei 2009. Ramadhan pertama selepas tidak bergelar pelajar. Tetapi, saya mahukan Ramadhan Pertama itu untuk tahun ini. Kenapa Ramadhan pertama? Kerana Ramadhan kali ini saya sambut dalam situasi berkerja tetapi bukan berkerjaya. Kerja saya lebih banyak pulang malam. Apa yang pasti, ibadah tarawikh kali ni sudah tentu akan lebih banyak di rumah berbanding berjemaah di masjid seperti Ramadhan sebelum-sebelumnya. Tetapi tidak mengapa. Alah bisa tegal biasa. Terpaksalah teruskan juga. Jangan jadikan pulang lewat sebagai alasan tidak bertarawikh.

Ramadhan kali ini juga merupakan Ramadhan Pertama saya mengambil tempah menjahit baju untuk raya. Kalau sebelum ni saya belum cukup keberanian untuk mengambil tempahan. Tetapi tahun ini saya seratus peratus berani menyahut cabaran. Buat apa ada ilmu tetapi tidak dimanfaatkan, tidak gitu? Ini semua juga atas dorongan keluarga dan teman-teman yang mahukan saya menjahit.

Samaada Ramadhan itu yang pertama atau yang terakhir untuk anda, ingatlah bahawa sesungguhnya Ramadhan itu tetap sama seperti sebelumnya atau yang akan datang. Cuma pahala kita saja yang mungkinkah bertambah ataupun berkurang. Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pengunjung blog.

Thursday, 12 August 2010

Kenduri Kahwin

Sudah sebulan lebih saya tidak mengemaskini blog ini. Bukan malas, tetapi ada komitmen lain yang lebih penting untuk diuruskan. Sibuk menjahit dan membuat bakul telur sebagai persediaan kenduri kahwin abang saya pada 1 Ogos lalu. Selain bebanan kerja setiap hari dan pulangnya di malam hari. Selepas kenduri, saya sudah boleh menarik nafas lega. Penat lelah selama ini sangat berbaloi. Abang saya juga telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihannya. Kami sekeluarga menerima orang baharu menjelang Ramadhan. Di sini, saya mencoretkan beberapa keping gambar sebagai tetapan dan berkongsi kegembiraan ;)

Thursday, 24 June 2010

Mekar Sakura di Mimbar Cinta vs Hidayah Cinta


Membaca buku sakura ini ibarat merasai sendiri kecantikan bunga-bunga sakura. Dari muka surat pertama hingga akhir, sakura sokmo. Tapi, bila dah sampai bab akhir-akhir rasa jemu pula asyik-asyik sakura saja. Musim sakura gugur, pejabat menghadap pohon sakura, sungai sakura mengalir tenang…

Saya telah membaca Hidayah Cinta (HC) terlebih dahulu sebelum Mekar Sakura di Mimbar Cinta (MSMC). Sekali lagi, hati saya tertarik untuk membacanya kerana kulit muka depan buku ini. Izinkan saya komen hal yang negatif dahulu.

Selepas membaca kedua-dua buah buku, bagi saya, cerita di MSMC hampir 70 peratus menyerupai HC. Watak dan perwatakan, latar tempat dan kadang-kadang ayat yang sama juga digunakan untuk kedua-dua buku. Namun tidaklah secara keseluruhan. Contohnya seperti kisah Ahmad Atiq dalam cerpen betajuk Merdekalah Segera. Kisah ini ada di dalam HC. Tentang perjuangan rakyat Palestin menentang rejim Zionis. Mamaku seorang Jepun juga kisah ‘copy and paste’ dari MSMC ke HC barangkali.

Di awal pembacaan saya rasa sedikit bosan sebab dah tahu ceritanya berdasarkan HC. Sungguh! Banyak persamaan. Boleh dikatakan, setiap satu cerpen dalam MSMC mewakili setiap satu bab dalam Hidayah Cinta. Mungkin, penulis korek sikit MSMC untuk menulis HC pula. Perkara inilah yang membosankan pembacaan saya. Cumanya, saya berminat dan tertarik pada cerpen yang tiada kaitan dengan HC saja. Sepeti cerpen Pada Awan Langit Chiba dan Wardah Ain Salsabila. Kedua-dua cerpen ini saya beri lima bintang!

Komen yang positifnya, saya tabik spring kepada penulis kerana cerpennya sudah banyak yang terbit di surat khabar rupanya. Mungkin waktu itu era kegemilanagn penulis, sekitar tahun 2004 kerana cerpen beliau mudah sungguh keluar surat khabar. Ketika itu, saya masih dibangku sekolah, masih mentah dalam bidang penulisan dan tidak kenalpun siapa Addeen Bandarsepi itu. Selain itu, saya sangat suka bahasa ‘sakura’nya yang sangat berbunga mekar. Ada juga pengisian tentang ilmu agama. Kebanyakan kisah dakwah di Jepun digarap dengan baik. Bagi saya, antara kedua-dua buku ini, saya lebih suka HC.


Saya rasa, kepada sesiapa yang berminat untuk membaca antara dua buku ini, pilih antara satu saja pun tidak mengapa. Sebab, bagi saya kalau sudah baca Mekar Sakura di Mimbar Cinta, tak baca Hidayah Cintapun tak apa. Dan kalau dah baca Hidayah Cinta tak baca Mekar Sakura di Mimbar Cinta pun tak apa. Tetapi, kalau anda miliki kedua-dua bukupun tidak mengapa juga. Kerana setiap pesamaan itu ada juga perbezaan. Pembaca boleh menilai sendiri tahap penulisan seseorang terhadap buku pertama dengan buku keduanya. Ini cuma pandangan saya saja. Harap tidak ada pihak yang pertikaikan.

Apapun, tahniah buat penulis kerana tidak jemu menulis. Saya akan nantikan kemunculan Bara Cinta Canberra pula.

Monday, 14 June 2010

Virus Piala Dunia

Piala Dunia sudahpun bermula. Saya bukanlah seorang peminat yang fanatik. Cukuplah sekadar menyokong belakang-belakang. Setakat nak tengok pasukan kegemaran saja. Nak minat semua takut tak larat pula untuk bersengkang mata. Jadi, saya hadkan bilangan pasukan yang saya sokong. Antaranya, England, Jerman, Sepanyol, Itali, Belanda, Jepun, Korea dan Perancis. Cukuplah sekadar beberapa nama.

Jadual perlawanan juga perlu dirancang sendiri. Kalau esok kerja shif pagi, perlawanan pukul 2 pagi tak boleh tengok. Kena tunggu siaran ulangan. Kalau shif petang baru boleh bersengkang mata pukul 2 pagi.

Apapun, seronok mendengar pelbagai gelagat manusia sempena Piala Dunia kali ni. berebut siaran TV, yang tak ada astro cepat-cepat mendaftar, kedai mamak terpaksa dilanjutkan hingga ke Subuh atau dibuka 24 jam. Waktu itu, penuh la kedai-kedai mamak yang jarang-jarang orang datang pun, sekarang kerusi penuh. Yang kerja malam pun minta balik awal, tak mahu ambil OT bulan ni.

Gara-gara Bola Sepak Piala Dunia 2010, Afrika Selatan...

Thursday, 10 June 2010

Mencari ulat di celah buku



Sejak kebelakangan ini, saya sangat rajin membaca buku. Suatu perubahan yang sangat drastik dan perkembangan baik untuk diri sendiri. Sebelum ini, saya cukup jarang membaca. Buku yang baharu dibeli, kena tunggu sehingga dua tahun barulah dibaca. Saya mempunya satu sikap suka bertangguh. Lama-lama tidak buat. Saya suka membaca tetapi tidak rajin membaca.
Sebenarnya, sejak saya bekerja di sebuah kedai gambar, rutin harian saya mula berubah. Saya banyak menghabiskan masa dengan termenung dan berbual kosong dengan rakan. Jika ada pelanggan datang, barulah ada kerja. Jadi saya menggunakan inisiatif ini sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah. Iaitu membaca. Buku yang saya peroleh semasa PBAKL lalu, daripada lima hanya satu yang terusik. Setiap hari saya membawa buku. Setiap saat yang berlalu itu juga saya isikan dengan membaca. Saya tidak lagi termenung menunggu durian jatuh.
Alhamdulillah, setakat tiga minggu bekerja, saya sudah boleh menghabiskan sebuah novel. Biar lambat, asalkan baca daripada tak baca langsung. Selepas berjaya menghabiskan sebuah novel, saya cukup yakin boleh menghabiskan bacaan seterusnya yang banyak tertangguh. Kalau dulu, bila tengok buku di rak buku rumah kakak, rasa takut-takut nak pinjam. Biarlah…nanti dulu. Tunggu habiskan buku tu dulu baru boleh pinjam. Tapi sekarang dah tak rasa malas nak pinjam. Sebab saya sudah ada azam baharu, nak mencari ulat di celah buku! Cari sampai dapat, selagi tak dapat jangan berhenti membaca. Tetapi, benarkah ada ulat di celah buku?

Friday, 4 June 2010

Lesen P

Alhamdulillah, selepas dua kali buat ujian JPJ, akhirnya saya lulus jugak. Terima kasih JPJ. Haritu, buat ujian perama kali, kandas. Punyalah hamun JPJ macam-macam (dalam hati je). Sekarang dah lulus, berterima kasih sangat kepada JPJ...uhuhh.

Sebenarnya, lesen L saya sudah menghampiri tempoh matang 2 tahun, pada 11 Jun 2010. Isnin lalu, nak tak nak, kena lulus jugak. Nasib baik. Kalau tidak, saya kena ambil semula lesen L, masuk kelas, praktikal semula. Oh tidak!

Itulah, sikap bertangguh-tangguh memang tidak bagus diamalkan.

Sekarang, sudah ada lesen P motor, rasa bangga la sangat. Abah kata, kena beringat-ingat. Jangan terlalu syok dapat lesen ni. Kita membawa nyawa bersama ketika menunggang motor. Ya, kena ingat tu.

Matlamat lepas ni, nak kumpul duit beli motor pula..:P