Lama juga tidak kemaskini blog. Senang kata, malas dan tiada idea yang perlu diisi.
Salam Aidiladha diucapkan kepada tetamu blog. Maaf, sedikit terlambat. Apapun, Aidiladha atau Hari Raya Haji tahun ni begitu berbeza daripada tahun sebelum-sebelumnya. Sesuai dengan 'korban', saya telah melaksanakan sebuah pengorbanan sebagai seorang anak terhadap ibunya.
Seperti yang tertulis di status Facebook sejak seminggu yang lalu, emak saya telah dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah (HKP) pada 11 November yang lalu akibat terdapat darah beku dalam paru-paru yang menyebabkan emak saya sesak nafas. Dari hari pertama saya melawatnya di HKP sehingga hari dia dibenarkan keluar hospital, saya berasa simpati. Serta-merta teringat betapa pentingnya waktu sihatmu sebelum sakitmu.
Selama 13 hari emak di HKP. Hari-hari itu meliputi Hari Raya Korban (17 Nov) dan haji lahir emak ke-54 tahun (18 Nov). Di sinilah erti pengorbanan sebenar bagi saya. Sepanjang ketiadaan emak, saya dan adik-beradik perlu berdikari. Sebelum ini emak yang memasak, mengemas rumah, menyapu sampah, basuh baju disebabkan saya bekerja. Tetapi, semasa ketiadaan emak semua perkara itu dapat diselesaikan biarpun sedikit kelam-kabut kerana mengejarkan waktu bekerja.
Dari sini, saya terpaksa belajar memasak. Ini perkara baru bagi saya, sebab saya bukan tidak tahu, cuma tidak pandai memasak. Mengemas rumah dan membasuh semua itu tiada masalah. Atas permintaan emak, saya mencuba nasib dengan memasak. Paling membanggakan, masakan pertama saya, 'Asam Pedas Ikan Duri' menjadi! Itupun selepas beberapa kali menelefon emak bertanyakan tentang cara memasaknya, termasuk bertanyakan kepada beberapa orang rakan dan juga resepi daripada internet. Aduhai...nak masak asam pedas macam nak buat Nasi Briani pula.
Semasa hari ulang tahun kelahiran emak, kami adik-beradik (semua ada sebab cuti Aidiladha), menyambutnya di wad 6, HKP. Pengalaman baharu. Ada senyum terukir di wajah emak meski sedikit. Dapatlah mengubati kesepian di HKP seketika. Emak dibenarkan keluar dari hospital pada hari Selasa, 23 Nov. Tetapi tidak boleh buat kerja berat. Sayalah yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan aktiviti harian emak sama seperti hari-hari emak di hospital. Semoga emak cepat sembuh. Sekian.
No comments:
Post a Comment