Thursday, 26 January 2012

Mari mengasah pena!

Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian



Menulis???

Seperti sedia maklum, saya sudah lama tidak menulis (tidak termasuk di blog). Kali terakhir saya menulis ketika mengikuti Bengkel Menulis Cerpen Bersama Puan Nisah Haron, di Seremban kira-kira lebih satu tahun yang lalu. Itupun saya menggunakan cerpen yang sedia ada di dalam laptop dan cuma menokok tambah sedikit. Nak yang lagi padat dan betul-betul menulis, empat tahun lalu sewaktu saya menyertai Pertandingan Menulis Esei Integriti Peringkat IPT 2007. Dan saya memenangi tempat kedua! Alhamdulillah, hehe. Tiba-tiba terkenang detik kegembiraan yang lalu. Adoi la, lama dah. Kata orang, kalau kita sudah tinggalkan sesuatu perkara memang sukar untuk memulakannya semua.

Lebih mengejutkan lagi, baru-baru ini saya bersembang dengan seorang teman di laman sembang YM! dan dengan beraninya saya memberitahu teman tersebut bahawa saya sudah malas menulis sebab saya sudah ada komitmen baharu. Ya, saya sudah mula berbisnes. Tempahan kek dan menjahit semakin menjadi-jadi pula sejak kebelakangan ini. Rezeki jangan ditolak, bukan? Menulis juga lubuk rezeki. Seperti seorang teman penulis, Hasni Jamali atau nama penanya Hanna Johan, menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa. Saya sangat kagum dengan beliau, kerana setiap minggu ada saja karyanya yang terbit di majalah dan akhbar mingguan. Tetapi saya memilih untuk fokus kepada bidang yang lebih cerah 'hasilnya'. Bukan menulis tidak untung, cuma saya ni suka main-main ketika menulis. Menulis untuk suka-suka. Biar saya setia dengan hobi membaca saja walaupun sudah tidak menulis.

Pernah saya terbaca status seorang teman di laman sosial facebook. Katanya, seorang pembaca belum tentu seorang penulis. Tetapi, seorang penulis sudah tentu seorang pembaca. Kerana seorang penulis memerlukan bahan bacaan serta kajian untuk menulis. Menurut penulis Puan Nisah Haron pula dalam salah satu entri di blognya yang bertajuk "Penulis itu Pembaca", karya yang baik itu terhasil daripada pembacaan yang baik dan juga mencakupi pelbagai bidang. Ya, dahulu, ketika saya menulis esei integriti, yang saya menang wang tunai dan sijil penghargaan tu..(cewah!) saya juga membaca. Memandangkan saya memilih tajuk "Sistem Pendidikan di Negara Ini Berjaya Memupuk Integriti Masyarakan Berbilang Kaum di Malaysia", jadi saya mengkaji segala aspek pendidikan negara. Antara yang saya ingat, buku rujukan Sejarah tingkatan empat dan lima, selain maklumat di internet. 

Penulis lain, seperti Faisal Tehrani sebagai contoh, sewaktu menulis novel kontroversi Sebongkah Batu di Kuala Berang, juga telah membuat kejian menyeluruh mengenai Batu Bersurat Terengganu sebelum menulis. Boleh lihat di halaman akhir novel tersebut dimana terdapat beberapa rujukan dan sumber bacaan. Kemudian, penulis Sri Rahayu Mohd Yusop di dalam novelnya Kasih Nan Agung, (boleh baca ulasan saya mengenainya di sini) telah mememenagi tempat pertama hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008, sudah tentu membuat kajian mengenai teori Darwin terlebih dahulu sebelum menulis. Saya sangat-sangat suka novel ini dan memang patut layak menang. Pucuk pangkalnya, seorang penulis itu memang perlu membaca untuk menghasilkan karya yang baik.

Kita berbalik semula kepada tajuk entri ini. Saya rasa tiba-tiba terpanggil untuk menulis semula. Wah! Itu satu perkhabaran yang bagus. Sebab apa? Sebab mahu menang hadiah wang tunai. Sayembara ini merupakan salah satu langkah untuk memartabatkan sastera Malaysia. Hadiah yang lumayan bagi saya adalah untuk menggalakkan penulis muda terutamanya untuk lebih serius dalam bidang ini. Lagipun, sudah lama kita tidak ada sayembara besar bagi mengiktiraf karya satera. Sayembara kai ini pula dikhususkan kepada penulis muda  berumur 45 tahun dan ke bawah.

Untuk kategori cerpen dan puisi, minimum 10 buah cerpen yang belum pernah terbit di mana-mana mahupun di blog dan tarikh tutupnya 31 Julai 2012. Untuk kategori puisi pula, minimum 30 buah puisi dan tarikh tutupnya 31 Januari 2013. Untuk info lebih lanjut, boleh baca di laman web ITNM.

Cabarannya untuk saya adalah, mampukah saya menghasilkan 10 buah cerpen dalam masa lima bulan bermula dari sekarang? Sedangkan, sebuah cerpen saja saya pernah tulis hampir setahun sebab banyak bertangguh dan malas. Ah, ingat...dahulu ketika menghasilkan esei IIM, saya menulis tidak sampai sebulan sebab saya mahukan hadiah wang tunai. Tapi, itu dulu. Ya, dahulu. Ketika saya menulis untuk menang.

Tiba-tiba saya teringat kata SN Abdullah Hussain, penulis novel Interlok dan Konserto Terakhir, menulis dengan tujuan untuk mendapatkan hadiah sama seperti orang yang mengerjakan solat mengharapkan pahala. Adoi!

P/s: Tepuk dada tanya selera. Selamat menulis buat teman-teman semua!

2 comments:

eeiyss said...

wah... menarik....

Siti Salha Rosman said...

Best Kak Eeiyss. Try la masuk pertandingan ni...hehe.